My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Selasa, 3 September 2019

Nur Jannatul Firdausi Bab 9

                   SEBULAN sudah berlalu sejak kami berpindah di kampung ini. Rumah baru masih belum siap sepenuhnya. Walaupun ayah tukang rumah, tapi banyak lagi barang-barang untuk binaan diperlukan.

                    Tinggal di rumah ini banyak betul cabarannya terutama bila cuaca buruk. Bila hujan lebat, bumbung rumah bocor di merata tempat.

                     Malam ini kampung ini dilanda ribut kuat. Rumah sewa kami bergoyang kuat. Aku menjadi cemas dan sangat takut. Ayah mengajak kami turun dan berlindung di bawah rumah. Tak tahulah, apa alasan ayah. Aku tak dapat berfikir macam ayah. Namun aku rasa lebih selamat bila berada di sisi emak. Wajah abang Ari dan kakak-kakakku juga nampak cemas.

                    Ribut semakin menganas disusuli guruh dan kilat sabung menyabung. Aku dengar ayah membaca doa dan diaminkan oleh abang Ari dan emak. Aku pula memeluk emak seeratnya. Mulutku mula bergetar menahan sejuk. Emak menyelimutkan tubuhku dengan kain batik.

                 Kami berkumpul dalam satu kumpulan. Ayah menyuruh kami membaca surah-surah Al-Quran yang kami ingat. Aku tak tahu sebarang surah, hanya pasrah pada Allah.

                     Setelah hampir setengah jam berlalu, ribut semakin reda dan diganti pula dengan hujan lebat. Kesejukan semakin mendinginkan malam yang kian larut. Kilat masih sabung menyabung.

                 "Mak, adik takut." aku berkata dalam suara getar bila terdengar guruh berdentum kuat.

                    "Takut apa?" emak bertanya perlahan sambil menarik aku semakin rapat padanya.

                    "Takut guruh, bunyi deqas."

                      "Takda pa aih. Guruh ja pun." emak memujuk dalam nada bersahaja namun aku dapat mendengar jantung emak yang berentak laju.

                    "Mak, pasai pa ribut mak? Allah tak sayang kita ka mak? Sebab tu Allah bagi ribut." aku tanya emak kerana ingin tahu. Kenapa dan mengapa, bersarang dalam pemikiranku.

                   "Allah sayang..sebab tu Allah uji kita. Kalau kita sabar Allah bagi ganjaran. Kalau kita tak sabar, tak dapat apa la.."

                  "Ganjaran tu apa mak?"

                      "Ganjaran tu hadiah, macam adik kalau tak banyak soal nanti dapat la hadiah.." abang Ari yang menjawab soalan aku. Terus aku diam, mana tahu nanti boleh dapat hadiah.

                        BILA ribut dan hujan kembali reda, kami naik semula ke atas rumah. Berhati-hati kami melangkah kerana kedudukan tangga yang agak tinggi dan kecil. Boleh dikatakan sebahagian rumah kami basah. Beberapa keping atap sudah terselak dan diterbangkan angin.

                    Jam loceng yang selalu kami gunakan sudah menunjukkan angka tepat pukul 1.00 pagi. Aku mula menguap luas, namun sebahagian tikar mengkuang yang kami gunakan untuk tidur sudah basah. Begitu juga bantal dan selimut.

                  "Adik mengantuk la mak." sambil berkata aku menyandarkan tubuh di badan emak.

                  "Sat, mak nak kemaih tempat tidoq dulu." aku melepaskan peganganku dan menghampiri kak Aziah pula. Cuba meredakan kesejukan tubuhku.

                 "Kita nak tidoq mana, malam ni kak?" soalan aku ajukan pada kak Aziah sedangkan emak sudah mula mengasingkan tikar untuk kami gunakan malam ini.

                  "Tak payah tidoq, malam ni kita berjaga sampai ke pagi." ayah yang bersuara menjawab persoalanku.

                    "Ayah la jaga sorang-sorang." aku berkata perlahan, hanya untuk didengar diri sendiri.

                      "Hang kata pa?" ayah bertanya dengan suara lantang, namun dia terus ketawa selepas itu. Apa yang lawaknya? Orang sejuk, mengantuk pula tu. Ketawa pula. Aku bermonolog dalam hati.

                     "Adik..mai tidoq tempat, Ros, Hana..lekaih mai tidoq dulu, ada tiga biji bantai ja yang tak basah. Yang lain tu, kalau nak tidoq..lapik dulu dengan apa yang ada." emak memanggil nama kami seorang demi seorang. Yang pastinya, yang paling muda didahulukan.

                          MATAHARI semakin meninggi, tapi aku baru bangun dari tidur. Letih betul rasanya. Mata pula masih layu.

                    "Emak, rumah Wak Man kena bawa ayaq bah semalam." dalam keadaan yang masih mamai aku dengar suara kak Aziah. Wak Man tu siapa? Hati aku bermonolog. Almaklumlah, aku bukannya kenal pun orang kampung ni.

                    "Teruk ka? Ayaq bawa sampai mana?" emak bertanya balas. Aku bangun dan duduk bersila. Mataku menatap wajah kak Aziah dan beralih ke arah emak yang sibuk mengeluarkan tikar dan bantal.

                       "Tak jauh mana pun, ayaq angkat ghumah depa lari dari tiang." aku langsung tak faham maksud kak Aziah. Aku hanya mendengar dengan perasaan keliru.

                      "Mai tolong mak angkat ni pi jemur sat, satgi kita pi tengok. " mendengar kata-kata emak aku bingkas bangun.

                 "Adik nak ikut!" laju juga aku bersuara.

               "Pi basuh muka dulu, lepas tu nyorok dulu, baru boleh ikut." emak sudah memberikan arahan sambil menghampiriku. Emak memimpin aku ke arah dapur. Tempayan dibuka dan emak menolong aku membasuh muka.

                    "Kumur.." aku mengikut arahan emak. Selepas itu emak membawa aku ke bahagian depan rumah berhampiran pintu.

                  "Duduk tang ni, emak nak pi ambik ayaq kopi dengan cucuq. Makan dulu.." emak berlalu pergi dan mengeluarkan pinggan di bawah tudung saji.

                      Sepinggan jemput-jemput pisang diletakkan di depanku juga secawan air kopi. Cawan plastik kecil yang comel itu aku angkat dan suakan ke mulut. Aku hirup seteguk dan terasa manisnya ditekakku. Aku mula menyuap jemput-jemput pisang. Sebiji, dua biji dan masuk yang ketiga aku menolak pinggan dan menghabiskan baki air kopi.

                "Tak mau dah?" emak menyoal dan spontan juga aku mengeleng.

               "Nak ikut, tukar baju dulu." arahan emak aku turuti. Emak mengeluarkan sehelai baju t shirt bercorak dan kain skirt paras betis untukku.

                      "Jauh dak mak?" aku bertanya ragu. Sudah sedia maklum, ke mana kami pergi mesti perlu berjalan kaki.

                     "Ghumah Wak Man, dekat tu ja..adik kan selalu ikut kak Aziah pi ngaji Quran?" emak menjawab dan menyoal aku kembali. Aku diam membisu. Manalah aku tahu, rumah kak Aziah mengaji tu rumah siapa.

                        RUMAH Wak Man terletak elok atas tanah tanpa tiang. Banjir sudah surut namun kawasan sekeliling rumahnya bersepah dengan sampah. Ramai orang kampung datang dan melahirkan rasa simpati.

                     "Amboi, elok aih ayaq bawa noh.." entah siapa yang bersuara. Boleh lagi dia memuji dalam situasi tuan rumah bersedih hati.

                      "Kuasa Allah..kalau Allah boleh jadikan ciptaanNya elok, Allah juga mampu untuk buat apa saja." orang lain pula bersuara.

                       Aku memerhatikan semua itu tanpa perasaan. Mungkin ada sikit perasaan hairan. Macam mana air boleh angkat rumah? Benarkah, air sekuat itu?

                    "Rumah Tok Ngah Sedeli lagi teruk. Ribut bagi rumah depa habih jahanam sebelah. Dengar kata Tok Ngah kena timpa bumbung, depa hantaq pi Hospital Teluk Intan lepaih ribut berenti." siapa pula Tok Ngah Sedeli tu? Aku masih berteka-teki dalam hati namun semua itu hanya muncul dalam fikiranku hanya beberapa saat saja.

                    "Ghumah hampa teruk jugak ka Jah? Aku tengok Pak Din dok angkut bawak balik atap dengan Ari." emak aku pula disoal. Nama emak aku Khadijah tapi orang selalu panggil dia Jah. Ayah aku pula Mohd Zainuddin tapi orang lebih selesa memanggilnya dengan nama Pak Din.

                 "Atap ja terbang dua tiga keping. Alhamdulillah la, kena sikit saja. Janji anak-anak semua selamat." emak menjawab perlahan dan mereka berbual-bual kosong selepas itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.