My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Selasa, 3 September 2019

Nur Jannatul Firdausi Bab 8


                   EMAK, ayah dan Abang Ari setiap hari pergi menebas dan menyiapkan rumah baru kami. Rumah yang kami tinggal sekarang ni, rumah sewa. Kami lima beradik perempuan ni selalu ditinggalkan di rumah. Hari ini kak Aziah ajak kami pergi tengok mereka. Tak ada seorang pun membantah, semuanya nak ikut.

                  Berjalanlah kami lima beradik meredah semak samun yang hanya sebahagiannya sudah ditebas untuk dibuat jalan. Jarak dari rumah sewa ke rumah yang baru dibina ini agak jauh juga. Kami berlima berjalan kaki sambil berbual itu dan ini. Sedang dalam perjalanan terdengar sesuatu dalam semak berdekatan. Kaki yang sedang melangkah terus kaku di tempat kami berdiri.

               Tumpuan kami hanya ke arah semak yang bergerak-gerak. Beberapa minit kemudian, sekumpulan binatang berkaki pendek menyerbu keluar, namun mereka terus menuju ke dalam hutan. Beberapa ekor burung ruak-ruak berterbangan di udara. Kami mengigil, dada kami berombak laju. Kaki yang kaku menjadi getar.

               Terkejut tak terkira bila bertembung dengan kumpulan binatang berkaki pendek itu. Mujurlah mereka tak menuju ke arah kami dan menyondol kami berlima beradik. Mungkin mereka juga terkejut dengan kehadiran kami yang riuh rendah bersuara sebelum ini.

                 "Allahu Akhbar, nasib baik lagi depa tak serbu mai kat kita." setelah suasana kembali tenang barulah kak Aziah bersuara.

                 "Apa tu kak?" aku bertanya. Mana pernah tengok, ini kali pertama aku tengok binatang berkaki pendek ni depan mata.

               "Babi hutan.." kak Aziah menjawab perlahan.

                "Jomlah..cepat sikit, satgi depa patah balik..naya kita, nak lari pi mana?" kak Salwa mengesa kami semua meneruskan perjalanan. Tanpa membuang masa kami buru-buru berlalu dari tempat itu. Rumah yang baru dibina sudah nampak rangkanya, bermakna perjalanan kami sudah dekat.

                  Rumah baru ini dibina di depan hutan belantara. Nampak mengerunkan, namun kami memang tiada pilihan. Andai takdir sudah memilih kami untuk tinggal di sini maka di sinilah kami akan bermastautin nanti.

                 "Emak! Kami jumpa babi hutan, banyak mak, sepuluh ekor lebih kot..nasib baik depa lari masuk hutan." sampai saja kami di rumah baru, kak Aziah terus bercerita dengan riuhnya. Emak yang sedang menyemat atap menghentikan kerjanya. Ayah dan abang Ari yang sedang bertukang juga berbuat perkara yang sama.

                      "Hampa mai kot jalan mana?" ayah yang bertanya. Aku malas melayan mereka berbual, aku berjalan ke arah emak yang sedang menyemat atap di bawah pokok halban di tepi parit.

                   Aku duduk di atas tikar mengkuang di tepi emak. Mata asyik memerhatikan wajah emak yang masih fokus dengan cerita kak Aziah tadi.

                    "Lalu kot jalan ban tu la, tapi rasa jauh sangat kami masuk dalam bendang, tengok bendang kering elok ja, dok riuh-riuh, tau-tau ada benda bergerak dalam semak. Ghupa-ghupanya ada babi dok berkubang tepi tu. Ketaq lutut Zah dengan adik-adik, rasa macam nak pengsan." rancak betul kak Aziah bercerita walaupun nafasnya masih turun naik kepenatan.

                 "Hampa mai buat apa? Nasib baik babi tu tak sondoi." ayah berkata lagi. Aku dengar sayup-sayup saja mereka bercerita. Aku lebih berminat dengan kerja emak di depan mata.

             "Mak, ni apa mak?" aku mula bertanya. Tak berminat langsung dengan cerita kak Aziah yang masih rancak.

               "Batang bemban, adik nak buat pa?" emak menjawab pertanyaanku dan bertanya aku kembali.

                    "Mak nak buat atap, bubuh kat ghumah ka?" masih ada persoalan yang bermain dalam mindaku, jadi aku luahkan saja.

                  "Atap nak boh kat dapoq kot, tak tau la kat ayah hang, zink nak boh bumbung ada dah, dia suquh mak buat atap..nak buat apa tak tau la kat dia." emak menjawab persoalanku sambil menceceh laju. Aku anggukkan kepala seolah-olah aku sudah faham dengan penjelasan emak.

               "Ni daun apa mak?" aku menyoal lagi. Masih ingin tahu.

                "Daun nipah adik, yang ni buluh buat pemegang dia, sematkan daun nipah ni ikat dengan kulit batang bemban macam ni.." sambil emak berkata, emak tunjukkan caranya. Sekali dua daun nipah emak sematkan.

                 "Syok dak mak?" soalanku terus berlarutan. Aku dengar suara kak Suhana ketawa. Aku perhatikan wajah kak Suhana.

                   "Hang nak buat jugak ka adik Ti?" kak Suhana duduk di sebelahku dan bertanya. Kak Rosiah pula asyik benar bermain dengan daun nipah dan batang bemban yang sudah tidak berkulit.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.