AYAH sewa van untuk
perjalanan jauh kami. Ke mana destinasinya, aku belum pasti. Naik saja atas
van, muka masing-masing sudah monyok. Almaklumlah, kami jarang naik kereta dan
kebanyakannya mabuk kereta kecuali ayah dan abang Ari.
"Mak..adik pening.."
kereta baru sampai di Pekan Gurun, kepalaku sudah terasa berpusing.
"Pejam mata, tidur..."
emak memangku kepalaku di atas ribanya dan menyuruh aku memejamkan mata. Aku
ikut arahan emak.
Perjalanan kami semakin lama semakin jauh.
Aku sudah hanyut dibuai mimpi-mimpi indah. Tidur di atas ribaan emak buat
jiwaku tenang setenangnya. Namun, aku terjaga bila terdengar seseorang muntah
dan terbau sesuatu yang tidak menyenangkan rongga hidungku. Perutku terasa sebu
dan mual. Kepalaku semakin pening dan berpusing.
"Emak, perut adik
sakit." aku beritahu emak tentang situasi aku. Emak mengeluarkan beg
plastik berwarna merah dan menghulurkan padaku.
"Adik nak muntah ka? Muntah
dalam plastik." sambil berkata begitu, emak membuka plastik dan meletakkan
di depan wajahku. Tanpa menunggu lama, semua isi perutku melonjak keluar.
Arghhh..teruk rasanya. Beserta air mata yang berjurai laju, perut turut senak
dan pedih dada. Perit dan pahit.
"Sampai mana dah?" aku
dengar emak bertanya, entah pada siapa.
"Dah sampai Beruas.."
aku dengar suara ayah.
"Jalan macam ulaq kena
palu.." emak berkata lagi.
"Habih pakat lembik,
orang cakap pandai pun kalah." aku dengar suara ayah lagi dan dia gelak.
Aku kembali tidur selepas
muntah teruk. Kembali menyambung mimpi-mimpi di siang hari. Aku tak ingin
mengambil tahu tentang orang lain. Apa yang aku inginkan agar perjalanan ini
segera berakhir.
Kali ini tidur aku ditemani
mimpi ngeri. Aku bermimpi, kami tinggal di dalam hutan dan terserempak dengan
binatang liar. Ada ular sawa sebesar pemeluk sedang menghalang perjalanan kami,
tiba-tiba sekawan binatang berkaki pendek menyerbu ke arah kami dengan laju.
Aku terkejut jaga dan nafasku semput. Binatang apakah itu?
"Jom turun, kita dah
sampai." emak berkata sambil mengangkat aku yang masih mamai.
"Dah sampai ka mak?" kak
Aziah bertanya. Aku pula memerhatikan sekelilingku.
"Kena naik bot pulak ka
mak?" kak Suhana pulak yang bertanya.
"Tak naik bot, takkan nak
berenang." abang Ari menjawab sambil tersengeh. Aku menyandarkan tubuh di
kaki emak. Kepalaku masih berpusing lagi.
"Jom, bot sampai
dah..." ayah pula bersuara sambil mendahului kami menuju ke arah bot.
Abang dan kakak-kakakku mengangkat beg pakaian dan mengikut ayah dari belakang.
Emak memegang tanganku sambil mengambil beg di sebelah tangan kirinya.
Aku dipimpin oleh emak menaiki
bot dan kami tertinggal di belakang. Selepas menyeberang Sungai Perak dengan
bot penambang, kami diangkut dengan motosikal masuk ke kampung.
Rasanya,
kampung ni lebih mundur dari kampung tempat aku dilahirkan. Hanya ada jalan
sungai dari Teluk Intan untuk ke sini.
Kampung ini masih belum
diterokai sepenuhnya. Masih ada hutan belukar sekeliling kampung dan belum
ramai penghuninya. Jarak antara sebuah rumah dengan rumah yang lain agak jauh.
Kami dibawa ke sebuah rumah
papan. Ketinggiannya membuat aku rasa gayat. Tangganya pula berbentuk bulat dan
sangat jarang. Bak kata, macam dibuat dengan batang kayu. Rumahnya pula kecil,
tiada bilik dan bilik air tentunya di luar rumah.
Aku tak tahu, kenapa kami harus
berpindah? Bagiku, Kampung Paya Mengkuang tempat aku dilahirkan sudah memadai.
Aku bahagia di sana walaupun ayah selalu garang denganku. Ayah garang mungkin
bersebab? Mungkin betul kata emak, ayah marah sebab dia sayangkan aku?
Ahh..biarlah, ayah sayang atau tak..yang pastinya emak sayangkan aku dan
emaklah segalanya.
MALAM pertama di rumah baru
memang serba tak kena. Namun, suasana tetap meriah dengan gelagat kami adik
beradik. Bila enam beradik yang umurnya hampir sebaya tinggal dalam satu rumah,
memang bermacam ragam yang ada. Tapi, kesian dengan abang Ari, dia seorang yang
tak ada geng jadi dia lebih rapat dengan ayah.
Abang Ari juga banyak membantu
emak selain kak Aziah yang merupakan anak perempuan tertua antara kami. Walaupun
umur kak Aziah baru lima belas tahun, dia sudah boleh diharap untuk mengurus
rumah dan menjaga kami empat beradik. Kak Salwa baru berumur tiga belas tahun,
manakala kak Suhana sebelas tahun.
Kakak aku yang bertiga ni
adakalanya saling bekerjasama, tapi adakalanya bercakaran juga sesama mereka. Aku
pula anak bongsu yang manja tapi sangat degil dan suka melawan cakap
terutamanya cakap ayah. Aku selalu membantah kata-kata ayah, mungkin sebab itu
ayah selalu memukul aku.
Kak Rosiah, dia lebih pendiam
berbanding aku. Sesekali bila kami berdua bergaduh, dia yang selalu beralah.
Kerap kali juga dia menangis bila dibuli aku. Ehh..aku ni kecil-kecil cili padi
tau. Walaupun kecil, sesekali aku bertindak, kak Rosiah pun angkat bendera
putih.
"Jannati..tidoq. Dah sayup
ni, tak letih ka?" aku merenung wajah emak. Aku rasa emak pun letih juga
sebab emak pun mabuk kereta macam kami. Emak pun muntah teruk.
"Pening adik tak habih lagi la
mak. Adik rasa macam ghumah dok berpusing. Ishh..dah la nyamuk pun banyak.
Pasai pa kita mai dok sini, mak? Tak best la dok ghumah ni. Dah la tinggi, adik
takut nak naik turun tangga. Kalau adik jatuh tangga lagi macam ghitu, macam
mana?"
"Dah hang terjun memang la
jatuh." ayah yang menjawab. Aku mengebam bibir. Ayah ni tak pernah
sporting dengan aku. Aku tanya elok-elok, dia jawab acah-acah. Ingat aku suka
ka dapat sakit?
"Dak! Bila adik terjun? Adik jatuh
la! Tanya kak Aziah!"
"Betoi ayah, adik tak terjun
tapi adik lari masa nak turun tangga." aku mula rasa sebak. Kak Aziah pun
tak bela aku. Kak Aziah pun salahkan aku.
"Adik nak tidoq la.
Huh!" aku terus ambil bantal dan rebahkan badan di atas tikar mengkuang.
Aku pejamkan mata dan pujuk hati sendiri. Air mata mula mengalir ke pipi. Dalam
diam, esak tangisku pun bermula. Terasa tangan emak mengelus perlahan
belakangku. Hanya emak yang memahamiku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.