AKU sekarang dalam tingkatan satu manakala
Faiz pula sudah tingkatan dua. Keluarga kak Rosnani semakin ramai, selain Faiz,
adiknya Fazlan juga sudah mula bersekolah dalam darjah satu dan ada seorang
adik perempuan yang sudah berusia dua tahun.
Aku bersekolah petang, selalunya pukul
sebelas pagi aku sudah bersiap dan keluar dari rumah. Kalau hari cuti aku akan
disuruh menjaga anak kecil kak Rosnani. Fatihah kalau dengan aku suka meragam
terutama kalau dia baru bangun tidur. Selalunya kalau aku pujuk Fatihah, dia
semakin kuat meraung. Kadang-kadang aku hilang sabar dengan Fatihah..semakin
dipujuk lagi kuat dia menangis, jalan penyelesaian aku mudah saja, sebab aku ni
mudah hilang sabar jadi aku cubit paha Fatihah..lagi kuat dia melalak dan kak Rosnani
akan hentikan kerja dia dan akan ambil Fatihah. Lega..bolehlah aku buat kerja
aku pula.
Dari atas rumah aku melihat Jamaliah terkedek-kedek belajar basikal. Aku
tersenyum dan minda sudah merancang sesuatu yang agak nakal. Aku turun dari
rumah dan perlahan-lahan menghampiri Jamaliah daripada belakang. Aku tolak
basikal Jamaliah, bertujuan untuk mengenakan dia namun, aku dengan Jamaliah
bukan saingan.
Jamaliah menoleh ke belakang dengan wajah merah, dia menolak basikal hingga
jatuh dan mengejar aku. Aku kenal Jamaliah dengan sikap panas barannya kerana
Jamaliah dan Faiz tak ada bezanya, bab buli serah pada mereka. Dia kejar aku
hingga ke atas rumah. Aku tahu abang Mat Dan sedang tidur di depan pintu dapur
kerana dia pergi ke laut waktu malam. Aku perlahankan langkah sebelum sampai ke
pintu dapur. Aku turun ikut tangga pintu dapur. Jamaliah masih mengikut ke mana
saja aku pergi. Gerun betul aku dan akhirnya Jamaliah dapat menangkap aku.
Dipukulnya aku hingga aku menangis. Kak cik Aini pula masuk sebelah aku.
‘’Hang bodoh cik Janna..dia tampar hang, hang tampar la dia balik..’’
kak cik Aini memarahiku. Aku terus menangis tanpa menjawab sepatah pun. Hati
aku yang terus merintih. ‘Siapalah aku nak lawan Jamaliah yang ganas tu?’ setiap
kali dia marah telinga dan wajahnya akan bertukar merah. Nasib baik tak
bertukar hijau. Kalau tak mesti terkenal Kampung Kuala Sungai Yan sebab ada
‘hulk’.
PERSEKOLAHAN diteruskan seperti biasa. Di Daerah Yan ini sekolah bercuti
pada hari Jumaat dan Sabtu. Hari Ahad sekolah dibuka semula. Bangun pagi
selepas sarapan pagi aku menolong kak Rosnani mengemas rumah, tapi setakat
menolong apa yang termampu saja. Selebihnya aku menolong menjaga Fatihah
sebelum aku bersiap ke sekolah.
Pukul sebelas pagi aku sudah mula keluar rumah, berjalan kaki hingga ke
Pekan Sungai Yan. Aku memang tak pernah mempunyai kenderaan sejak sekolah
rendah. Hari ini aku pergi dulu ke rumah Ameera di seberang sana sungai. Aku
dan Ameera rapat selepas kami dimasukkan dalam satu kelas sejak bermulanya
persekolahan lagi. Yusni pula selalunya dihantar oleh ayahnya ke Pekan Sungai
Yan. Ameera dan Yusni seperti aku juga, anak bongsu dalam keluarga tapi mereka
lebih bernasib baik masih tinggal dengan keluarga dan menjadi kesayangan
keluarga.
Dari rumah Ameera kami berjalan sambil berbual rancak. Kami ikut jalan
seberang sana kerana banyak pokok-pokok rimbun dan lebih teduh berbanding
seberang sini yang lebih panas dan banyak juga kenderaan yang lalu lalang.
Sampai di Pekan Sungai Yan kami menunggu bas di depan kedai seberang sana yang
kebanyakannya dimiliki oleh kaum cina. Kadang-kadang kalau ada teksi, kami akan
naik teksi saja. Tambang teksi dua puluh sen sama dengan harga tambang Bas
Sekolah. Kalau bas Mara pula tambangnya hanya lima belas sen, cuma berbeza lima
sen saja.
29 Ogos 2019
SUDAH
banyak hari aku tidak mengarang kerana
jiwa aku terasa kosong. Tiada perkara menarik dalam dunia ini yang mampu
menarik minat aku. Hari-hariku hanya dipenuhi dengan dunia imaginasi dengan
menonton drama Korea atau apa saja drama yang mampu membuatkan hatiku kembali
bahagia dan membuatkan bibir aku mengukir senyum dan tawa.
Beberapa minggu yang lepas aku mula mengarang cerpen terbaru yang
bertajuk Depression untuk mengambarkan keadaan aku ketika ini. Walaupun
depression itu sejenis penyakit namun melalui maklumat yang aku cari, penyakit
depression ini boleh diubati. Aku cuba mengolah cerita reality dan imaginasi
dalam cerpen terbaru ini, namun kerana jiwaku yang berantakan semua ilham
hilang begitu saja. Aku tiada mod untuk terus menulis.
Hari ini sekali lagi aku cuba menyambung cerpen Depression namun aku
tetap gagal untuk mengarang bait-bait kata. Yang aku nampak hanyalah rasa sakit
yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Aku buntu untuk terus menulis.
Allah..letih sungguh untuk meneruskan kehidupan ini, semakin aku cuba
untuk bertahan aku semakin lelah untuk menanggung semua beban perasaan. Aku
tahu penyebabnya berpunca daripada aku yang tak mampu untuk melupakan semua
memori pahit itu dan seharusnya aku bersyukur dengan ingatan yang aku ada
kerana dengan kenangan aku mampu untuk menulis kembali sebuah cerita untuk
diabadikan dalam diari hidupku dan buat tatapan semua orang.
Aku berperang lagi dengan perasaanku hanya kerana sebuah mimpi yang tak
pernah padam. Mimpi yang datang ketika aku benar-benar melupakan semuanya.
Ujian yang tak pernah habis untuk aku lalui. Hari ini air mata aku tumpah lagi
ketika mengadap menu pagi yang sudah habis tempohnya. Aku sarapan pagi ketika
matahari sudah terpacak di atas kepala. Hanya dengan sebuah mimpi, air mataku
tumpah lagi namun aku tahu apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Hanya kerana
sebuah mimpi aku mampu untuk terus mengarang dan menyambung cerita yang masih
tergantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.