Bab 41
Aswal
Madri (Bos)
Aku perhatikan Izz Zahrah yang
sedang berjalan ke arahku dengan perut yang sudah memboyot. Aku melebarkan
senyuman bila dia sudah menghampiriku. Dia isteri kesayanganku. Bermacam dugaan
kami lalui selepas bergelar suami dan isteri. Bermacam kerenah yang terpaksa
kami depani. Kadang-kadang dia merajuk, kadang-kadang aku yang tersentak hati
dengan gelagatnya, namun dalam semua ragam itu, berjaya juga kami tempuhi alam
rumah tangga ini.
‘’Abang, Has rasa macam
teringin sesuatulah. Abang boleh tolong tak?’’ sebaik Izz Zahrah meletakkan
punggungnya di atas pangkin di tepiku, dia sudah bernada manja. Aku mengeliat
malas, tahu sangat dengan kerenahnya itu. Kalau dia bernada manja macam tu,
adalah benda yang nak dimintanya.
‘’Hmm..bergantung pada permintaan
sayanglah. Kalau mampu abang tolong, abang tolong..’’ aku tak nak membuat janji
kosong, kerana aku tak pasti apa yang nak dimintanya. Kami sekarang ni sedang
berada di Teluk Intan. Izz Zahrah yang nak balik untuk bersalin di sini. Aku
terpaksa menurut kemahuannya. Lagi pun, aku sudah membuka cawangan baru di
Pekan Teluk Intan dan aku sendiri sudah bertukar ke sini. Cawangan utama di
Kuala Lumpur, aku serahkan kepada abang Amri dan Zuhaimie untuk menguruskannya.
Kebahagiaan aku ada di sini, di sisi Izz Zahrah, dan aku sudah mula serasi
dengan semua saudara maranya.
‘’Has nak air kelapa muda.
Boleh tolong ambilkan?’’ Izz Zahrah berkata perlahan sambil mengelus lembut
tanganku. Aku memandang pegun ke arahnya.
‘’Has nak suruh abang panjat pokok
kelapa?’’ aku bertanya kalut. Seumur hidup, tak pernah lagi aku buat kerja
panjat memanjat ni. Kalau aku nak apa-apa, selalunya aku beli saja termasuk
kelapa muda.
‘’Kata sayang, takkan nak panjat
pokok kelapa pun tak boleh?’’ Izz Zahrah bertanya selamba sambil merenung pokok
kelapa yang tinggi menjulang di tepi halaman rumah mertuaku. Aku pula yang
gerun melihat pokok kelapa itu. Nak panjat ke tak? Aku berkira-kira di dalam
hati.
‘’Isshh..kalau abang jatuh nanti,
sayang juga yang bakal merana. Kalau mati ke, patah riuk ke, macam mana?’’ aku
cuba beralasan. Izz Zahrah sudah mencebik, tapi sekejap cuma aku sudah
mendengar suaranya yang sedang ketawa.
‘’Ada saja alasan abang. Tapi, tak
apalah, abang tak nak ambil, biar Has ambil sendirilah.’’ Izz Zahrah bangun dan
berjalan laju menuju ke belakang rumah. Cemas pula aku melihat gaya berjalannya
itu. Aku bangun dari pangkin dan mengikutnya dari belakang.
‘’Has..takkan merajuk lagi. Okey,
abang panjat, demi isteri abang..’’ aku cuba memujuk dan melangkah laju ke
arahnya.
‘’Tak payah. Abang memang tak
sayang Has pun. Cakap saja sayang, tapi sebenarnya tak..’’ aku sudah mengelabah
mendengar suaranya yang seakan sudah berjauh hati. Inilah dia, kerenah isteri
aku yang seorang ni. Sekejap okey, manja dan mengoda, tapi dalam masa yang sama
dia akan merajuk dan memberontak. Dan...adakalanya, dia begitu menyenangkan
hatiku.
‘’Lahhh..kenapa tak cakap,
petik kat pokok kelapa ni? Kalau Has cakap dari awal kan senang..’’ aku sudah
tergelak bila aku memerhatikan pokok kelapa di depanku yang sedang berbuah
lebat. Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Pokok kelapa renek, tapi berbuah lebat
hingga ke tanah. Zaman sekarang ni, bukan saja pokok kelapa, pokok mangga dan
berbagai jenis pokok buah-buahan lain yang boleh mengeluarkan buah, walaupun
pokok buah-buahan itu kelihatan renek dan rendah. Buahnya pula mencecah hingga
ke tanah.
‘’Saja, nak menguji abang.
Sesekali nak tengok juga sejauh mana rasa sayang abang tu. Abang ingat tak kes
Has kena kidnap dulu? Tergamak abangkan, buat lawak macam tu?’’ aku terdiam
lama. Kes Izz Zahrah kena kidnap dan aku langsung tak percaya dengan apa yang
lelaki itu beritahu aku. Namun, aku tetap bimbang juga memikirkan
kemungkinannya hari itu, lebih-lebih lagi bila Lina menghubungiku dan
memberitahu Izz Zahrah sedang berada di wad kecemasan.
‘’Kes tu dah tujuh bulan berlalukan?
Lina dengan Umai pun dah minta maaf. Abang pun tak sangka, mereka akan buat
macam tu. Lagi pun, segalanya bermula dengan Has jugakan? Has yang tersalah
mengupah orang. Kebetulan, lelaki tu sepupu Umai, dan Lina dan Umai hanya nak
memberi pengajaran untuk Has sajakan. Semuanya bermula dari mana? Cuba Has
tanya diri sendiri.’’ Aku mengakhiri kata-kataku sambil menghela nafas panjang.
Aku tak sangka Izz Zahrah akan ingat lagi kejadian itu.
‘’Yalah tu. Has tahu, semuanya
kifarah. Pembalasan Allah untuk Has sebab kenakan abang. Lina dan Umai pun,
mungkin berniat baik. Has sedar semua itu.’’ Mendengar kata-kata Izz Zahrah,
aku menarik nafas lega kembali. Kalau tak, terpaksalah aku memujuk dia lagi.
‘’Setiap kejadian bersebab Has. Contohnya,
pertemuan kita dulu. Kalau Has tak naik ke tingkat atas dan melakukan
senaman-senaman mencuit hati itu, mungkin kita takkan pernah jatuh cinta.’’ Aku
cuba menceriakan suasana hambar sebentar tadi dengan mengimbas kembali apa yang
pernah berlaku. Aku tergelak diakhir kata-kataku.
‘’Abang! Dahlah tu. Kaki sekodeng.’’
Izz Zahrah terpekik sambil cuba memiat lenganku. Hari terakhir Izz Zahrah di
Syarikat, dia mengetahui rahsiaku mengintai dia di balik cermin selepas dia
masuk ke pejabatku dan menyaksikan sendiri Zuhaimie dan Umai yang sedang
berbual di luar ketika itu. Segala-galanya terbongkar dan Izz Zahrah memaksa
aku ceritakan segalanya, bila kali pertama aku melihatnya, hinggalah malam aku
menegur dan menghantarnya pulang hingga ke rumahnya.
‘’Semua kejadian ada
hikmahnya, kan abang?’’ Izz Zahrah bersuara lagi. Aku jatuhkan kepalaku
berkali-kali menyetujui kata-katanya. Setiap kejadian ada hikmahnya. Sebagai
manusia, kadang-kadang kita tak mahu melihat dari sudut positif.
‘’Berapa biji sayang nak?
Kalau ambil kat pokok ni, berapa biji sayang nak pun sanggup saja abang ambil.
Bila-bila masa saja.’’ Aku cuba mengubah topik kami dan mula bertanya Izz
Zahrah tentang keinginannya. Kalau nak berbicara tentang hidup dan setiap
kejadian, selagi kita bernafas di atas muka bumi ini, semua itu takkan pernah
selesai.
Suka dan duka akan silih
berganti. Sesungguhnya, Allah itu Maha Adil dan saksama. Setiap perbuatan yang
kita lakukan, pasti ada pembalasannya. Kalau bukan di dunia, pasti di Akhirat
nanti akan terbalas juga. Jangan rasa megah, kalau terlepas dari pembalasan di
dunia, bila kita melakukan kesalahan, kerana di Akhirat sana pasti ada juga
pembalasan yang menanti. Bersyukurlah, kalau Allah timpakan pembalasan di atas
dunia ini, kerana kita masih mampu bertaubat dan berubah. Tapi, di akhirat
sana, kita takkan boleh lagi berpatah balik. Allahu’alam.
*************Tammat**************