My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Jumaat, 19 April 2019

Nur Jannatul Firdausi Bab 2


Bab 2          

               "TEPI, tepi, tepi..." sambil berkata Nazim mengangkat cangkul tinggi. Aku berundur ke belakang beberapa langkah.

                 "Tepi!" Nazim berkata lagi sambil maju ke depan. Aku berundur lagi. Kak Rosiah, Syabanu dan Syaaban hanya jadi pemerhati di sebelah. Kak Aziah dan emak sedang mengerjakan kebun.

                "Tepi..tepi.." kali ini dia maju lagi ke hadapan dan mengangkat cangkul semakin tinggi. Aku keraskan hati. Sampai bila nak undur?

                "Uwaaa.." cangkul yang keras itu terkena dahiku. Serentak dengan rasa sakit yang teramat, aku spontan meraung.

                 "Sakitttt.." aku terus meraung dan menjerit. Darah sudah mengalir di dahiku. Pedihnya tak terkata. Nazim pula berwajah selamba.

                  "Tu la, aku suruh pi tepi hang tak mau pi tepi.." dalam aku meraung Nazim memarahiku. Dia yang ikut langkahku, kenapa nak marah aku pula?

                 "Awat tu? Ya Allah..Allahu Akhbar. Adik Tiee.." kak Aziah menerpa ke arah kami. Emak juga turut berlari mendapatkan aku yang sudah berlumuran darah di wajah.

                 "Hampa buat apa ni, sampai jadi lagu ni?" kak Aziah terus menerus berteriak dan memarahi Nazim dan kak Rosiah. Aku terus menangis tersedu-sedu.

                 "Sakit..sakit..sakit.." sambil berkata aku menangis. Emak dan kak Aziah cuba menghentikan pendarahan di dahiku. Bila tak berjaya, emak mencempung aku dan bawa aku pulang. Sayup-sayup aku dengar suara kak Aziah memarahi Nazim dan kak Rosiah. Dan..aku dengar suara Nazim dan kak Rosiah menangis.

                  "Nak buat lagu mana ni? Hang pi caqi daun kapal terbang sat." aku dengar emak bersuara. Rumah kami jauh dari pekan. Rumah kami juga jauh dari rumah penduduk kampung yang lain. Rumah kami dalam kebun getah. Kerja emak berkebun menanam sayur dan kadang-kadang emak mengambil upah menoreh getah atau upah menanam padi. Nak harapkan ayah, walaupun dia juga bekerja sebagai tukang rumah, duit upah emak buat kerja dia yang sapu dulu.

                 Bila terdesak, ayah akan jual kambing atau lembu. Asalkan ayah jangan jual Putih sudahlah. Aku sayang sangat pada Putih.

                "Emak, ni daun kapal terbang. Dalam dak luka mak?" sambil memberi daun kapal terbang pada emak, kak Aziah menyoal. Emak tak menjawab, dia terus menekap kain tudungnya di dahiku. Tadi, dalam saat genting, emak tanggalkan tudung dan cuba membalut luka di dahiku.

                 "Pi ambik kapur sat, ada atas setbot( almari) kot." emak mengarah kak Aziah sekali lagi. Kak Salwa dan Kak Suhana turun ke bawah dan datang melihat keadaan aku. Rumah kami rumah papan tapi bahagian dapur separuh papan dan simen. Rumah kami juga ada beranda depan pintu depan.

                 "Awat mak? Adik Ti kena pa?" Kak Salwa bertanya.

                 "Buas sangat, kena laa.." emak tak sempat menjawab, kak Suhana yang mencelah.

                   "Dak! Bukan adik yang buas, Nazim yang angkat cangkul tinggi-tinggi, sapa suquh.." dalam sedu sedan yang masih bersisa, aku membela diri. Tak aci betul, Nazim yang salah, kenapa aku pula yang dituduh?

                     "Sudah, sudah..kak Aziah dah marah depa dah. Besa sangat, cangkul pun nak main." kak Aziah membela aku. Kembang terasa hati.

                      Emak suruh aku tidur, kata emak supaya luka cepat sembuh. Aku ikut arahan emak sambil tidur memeluk Comot. Dialah yang akan jadi penemanku.

                     Mata semakin layu dan layu. Bila hampir terlelap, aku terdengar suara riuh rendah di luar rumah. Aku bangun dan membawa Comot sekali ke beranda.

                   "Hampa buat apa kat Nazim, balik dok gheyau tersedu-sedu? Puas aku tanya dia tak mau habaq." mak cik Zaharah a.k.a adik ipar ayah aku bertanya dengan suara lantang. Emak hanya diam. Kak Aziah macam sudah bersiap siaga untuk menjawab.

                "Buat apa? Mak cik pi tengok adik Ti sampai berdarah meramu dahi dia. Nazim main cangkul, angkat tinggi sampai kena kepala adik Ti.." kak Aziah mewakili emak menjawab pertanyaan mak cik Zaharah yang terkenal dengan sikap garang dan sombongnya. Almaklumlah mereka ada tanah beratus ekar. Anak pula hanya tiga orang. Maznah yang sulung, Zuriani nombor dua dan Nazim anak yang bongsu. Anak lelaki tunggal pula tu.

                "Nazim juga yang salah? Hampa tu yang tak gheti jaga anak! Hampa buat apa kat anak aku. Dok gheyau berlagu teresak-esak.." mak cik Zaharah masih dengan bahasa kasarnya. Aku memerhati dari atas beranda. Air mata kembali bergenang. Perlahan-lahan mengalir di pipi. Nazim yang salah. Hati aku berdongkol geram. Comot aku peluk erat. Seakan mengerti perasaanku Comot mengiau manja seolah-olah sedang memujuk perasaanku.

                   Aku kembali ke tempat tidur dan sambung tidur. Air mata semakin galak mengalir. Hati tak dapat menahan rasa sedih dan geram. Nazim yang bersalah, kenapa kami pula yang dipersalahkan? Kesian mak, mak cik Zaharah kata mak tak pandai jaga anak. Macam-macam mak cik Zaharah kutuk emak.

                Sudah banyak kali mak cik Zaharah menyerang emak di rumah. Kalau anak-anaknya datang ke rumah dan bergaduh dengan kami, emak yang kena serang.

                 Mak cik Zaharah tak adil! Mak cik Zaharah pilih kasih! Mentang-mentanglah ayah jarang ada di rumah, suka-suka hati dia datang serang emak. Kalau ayah balik, baik pula datang berbudi bahasa.

Emak pula jenis tak suka mengadu domba. Hal anak-anak, hal jiran sekampung semuanya emak tak pernah cerita pada ayah.

                Tapi..aku lagi suka kalau ayah tak ada di rumah. Aku boleh bermanja, boleh merenggek dan menangis. Kalau ayah ada, aku baru nak menangis dah kena tengking. Ayah garang dan tegas tak bertempat. Aku sedih, takkan nak gelak pula? Aku sakit, takkan nak menyanyi, melalak pula? Huh! Ayah, kalau ada dia aku jadi takut, tapi kadang-kadang kalau ayah tak balik banyak hari, aku yang paling kerap tanya emak, bila ayah nak balik.