My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Sabtu, 23 Februari 2019

Nur Jannatul Firdausi

Prolog

                 SAWAH yang terbentang luas depan mata yang berlatar belakang Gunung Jerai begitu indah dipandangan mataku. Berkali-kali hatiku mengucap syukur dapat tinggal di Daerah Yan ini. Pemandangan yang terhidang begitu memukau pandangan.

                 Ya Allah, sudah lama aku terima takdirMu ini, walaupun aku terpisah jauh dari saudara maraku. Aku bersyukur Ya Allah kerana kini sudah ku rasa manisnya hikmahMu itu. Aku redha terima ketentuanMu walaupun peritnya setiap ujian yang Kau beri.

                  "Cantik sungguh ciptaanMu Ya Allah, ini baru dunia, bagaimana pula di Syurga?" aku berdialog sendiri.

                    Orang kata Syurga itu sangat cantik. Apa yang kita nak, ada di Syurga. Subhanallah, tak dapat aku bayangkan, indahnya Syurga itu. Di dunia ini pun aku sudah terpegun, apatah lagi di Syurga sana.

                   Asyik sungguh melihat panorama di depan mata, dengan suara kicauan burung yang saling bersahutan. Aku pandang pula ke langit biru. Ya Allah rahmatMu ini tak terkira banyaknya. Kau Maha Pemberi, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Kau Maha Mengetahui segalanya. Setelah penat aku diuji, rupa-rupanya Kau ingin memberi aku anugerah ini. Aku dapat menikmati kemanisan hidup setelah puas aku menangis.

                      Kenangan lalu, memberi aku inspirasi hari ini, bahawa hidup ini bukan hanya untuk bahagia dan gembira. Penderitaan juga harus ada untuk memberi pengalaman yang paling berharga. Kepahitan hidup masa lalu mengajar aku erti sebuah kehidupan yang sebenarnya. Kau lontarkan aku di daerah ini tanpa ibu, ayah dan adik beradik. Namun, Kau beri aku ketabahan untuk merentasi onak dan duri kehidupan. Tanpa kekuatan jiwa, aku percaya aku akan tersungkur rebah ke bumi. TanpaMu Ya Allah, pasti aku kalah melalui ranjau dan liku hidup ini.

                 "Woi Jannat! Buat pa tu? Jauh sangat melamun tu? Boleh pulak dok sengeh sorang-sorang." konsentrasiku terhenti. Aku menoleh ke arah suara itu. Kacau daun betullah 'ulat' ni. Ada saja nak kenakan aku. Sejak kecil, selalu sangat panggil aku Jannat. Nama aku Nur Jannatul Firdausi. Emak aku yang namakan aku dengan harapan aku akan jadi cahaya di Syurga Firdausnya nanti.

                "Jannat, Jannat..tak habis- habis dengan Jannat hang. Nama aku Nur Jannatul Firdausi. Bukan nama Jannat!" aku membentak geram pada si pembuli tegar sejak aku kecil. Dia dan anak kakakku yang sulung paling suka membuli aku, seorang insan yang lemah ini.

               "Haha..Jannat, tak habis-habis berangan nak jadi cahaya syurga. Jangan-jangan masuk neraka. Dosa bertapuk dok ada, berangan pulak nak masuk syurga?" Allahu Akhbar, ayat dia memang boleh buat aku sentap separuh mati. Siapa yang tak mau masuk syurga? Di syurga ada segalanya, sedangkan neraka membayangkan situasi di dalamnya sudah membuat aku ngeri. Selalu aku baca terjemahan Surah Al-Waqiah dan surah-surah lain tentang neraka dan syurga.

                 "Sapa hang, nak menilai aku macam tu? Hang boleh nampak ka semua tu? Amalan kita ni hanya Allah yang tau, takut-takut aku yang dikutuk ni ke syurga, hang pulak yang dilontar ke neraka." aku membalas tanpa rasa bersalah. Orang kata, ungkapan kita merupakan doa. Nauzubillahi minzalik, minta dijauhkan aku dari neraka jahanam. Aku mohon Ya Allah, kukuhkan iman di dadaku dan matikanlah aku dalam iman. Sempat aku berdoa di dalam hati.

                  "Beranganlah hang.." sambil berkata dia menghenyak punggungnya di atas pangkin. Di sinilah aku merehatkan minda setiap hari. Di pangkin tepi sawah, sambil menjamu mata dengan panorama indah ciptaan Ilahi.

                 "Sapa berangan? Aku cuma mengharap. Aku tak berangan. Allah ada dan aku berharap kata-kata aku ni menjadi satu doa." aku membalas selamba. Dia mencebik sambil menjulingkan matanya.

                 "Perasan! Hang pakai tudung labuh, ingat boleh masuk syurga? Mahai woi syurga tu. Sembahyang hang pun belum tentu lagi betoi, sedangkan sembahyang tu tiang agama." dia membidas kata-kataku. Aku senyum di dalam hati. Aku tahu Ya Allah, syurgaMu terlalu mahal untuk ditempah oleh hamba sepertiku. Aku bukannya ustazah, bukan alim ulamak, aku hanya manusia biasa yang lemah. Aku banyak sangat kekurangan. Banyak sangat dosa yang belum dilangsaikan dengan amalan. Aku selalu lalai dan leka dengan dunia yang sementara ini.

                   "Aku tau, tapi tak salah untuk menaruh harapan. Aku cuma perlu usaha untuk menjadi yang terbaik. Aku perlu berdoa tanpa jemu dan terus berikhtiar untuk membuat sebanyak-banyak amalan.                    Selebihnya, aku hanya perlu tawakal." aku berkata pasrah. Dia mencebik lagi. Aku terus berwajah selamba. Hati dan jiwaku perlu ditenangkan untuk memangkas semua kata-katanya agar Allah memberi aku ilham untuk membalas.

                    "Tak habis-habis hang ni, dari kecik sampai ke tua bangka dok berangan nak masuk syurga. Obses sangat dengan syurga gamaknya? Ada hati pulak tu nak jadi ustazah. Hang sekolah pun tak tinggi mana. Setau aku, SPM pun masuk gaung."

                   "Apa kena mengena dengan sekolah aku pulak? Hang ni la Maliah, dari kecik sampai ke tua bangka, tak habis-habis nak kondem aku. Tak salah kot apa yang aku kata tu. Hang tak teringin kot nak masuk syurga? Sebab tu hang selalu dok kondem aku, kan? Kutuk aku tak habis-habis sejak dulu." aku balas kata-katanya bertubi-tubi. Semakin membulat matanya memandang padaku. Aku tersenyum manis sebagai hadiah percuma.

                  "Malaih aku nak layan hang dah. Dulu hang diam macam kayu, sejak bila hang pandai menjawab? Aku balik dulu la, ingat nak mai sembang dengan hang, tak tau pulak aku tak dialu-alukan di sini." dia berkata dan terus bangun dari pangkin. Aku masih ada ayat untuk aku luahkan.

                   "Hang pun boleh masuk syurga Maliah. Pintu taubat masih terbuka. Pakai tudung dan tutup aurat mengikut syariat. Buat semua apa yang Allah suruh. Jangan lupa satu perkara penting. Jangan suka sangat nak ' membawang' satu kampung. Bawa gosip ke mana saja hang pi." selamba rock saja aku ungkapkan ayat-ayatku itu. Jamaliah menoleh ke arahku dan mengebam bibir.

                 "Hang ingat, hang baik sangat ka?" dia membentak dan berlalu.

                 "Sorry!" aku melaung sambil bibir mengulum senyum.





Bab 1

                  "Adik Ti, masuk mandi! Dah maghrib." aku mendonggakkan kepala ke arah rumah. Kak Aziah sedang berada di tepi tingkap sambil melambai tangan.

                "Masuk!" sekali lagi suara kak Aziah bergema.

                "Nanti la.." aku menjawab bersahaja sambil menyambung permainan kami. Kak Rosiah pun buat tak dengar saja dengan panggilan kak Aziah. Dua beradik kembar yang merupakan sahabat baikku juga buat tak dengar dengan laungan kak Aziah. Kami terus bermain tanpa lelah.

                  "Nur Baiti, Rosiah..masuk mandi!" suara ayah pula yang melaung nama aku dan kak Rosiah. Aku dan kak Rosiah tak menunggu lagi. Masing-masing berlari masuk ke dalam rumah. Bila ayah bersuara, tiada siapa yang berani membantah.

                   "Nazim, Syabanu, Syaaban, pi balik! Matahari nak tengelam dah nu. Nak malam dah, tak ingat nak balik ghumah ka?" kali ini sepupu aku Nazim dan dua orang anak jiran kami pula dileteri ayah. Mereka juga tak menunggu lama. Lintang pukang lari balik ke rumah masing-masing. Aku dan kak Rosiah berebut- rebut untuk mandi. Emak pamkan air ke dalam baldi. Gayung hanya satu, siapa yang cepat dia yang dapat dulu.

                  "Adik dulu la.." aku merenggek manja bila kak Rosiah merebut gayung denganku.

                "Akak dulu la, akak lagi tua. Emak selalu kata orang tua patut didahulukan." kak Rosiah tak peduli dengan renggekan aku. Emak tergelak kecil mendengar kata-kata kak Rosiah. Aku mula rasa sebak.

                 "Hah! Cepat sikit! Mandi pun nak berebut? " terdengar saja suara ayah, kak Rosiah buru-buru mandi. Aku tak jadi menangis. Tunggu saja giliranku tiba. Jangan cari pasal bergaduh depan ayah. Memang sengaja cari nahas sebab ayah memang tak pernah mesra harmoni dengan anak-anak.

                   "Nur Jannati..pakai tuala ni, pergi masuk rumah dengan kak Ros." emak melilitkan tuala ditubuhku setelah selesai aku menyiram gayung terakhir. Giliran ayah pula untuk mandi. Emak menghalau ayam masuk ke dalam reban.

               "Emak, Comot mana?" aku tanya emak tentang Comot, kucing kesayanganku. Ralit bermain dengan kawan-kawan, aku akan lupa dengan kewujudan Comot.

                Aku ada seekor kucing berwarna putih. Keluarga kami juga membela lembu dan kambing. Aku juga sayang dengan seekor anak lembu, juga berwarna putih. Dunia aku hanya bermain. Kadang-kadang aku main dengan kawan-kawan dan adakalanya binatang peliharaan pula menjadi penghiburku.

                "Baru nak ingat Comot? " emak tanya aku kembali.

               "Semua kawan-kawan adik dah balik, tentulah adik nak main dengan Comot pulak." aku menjawab balas.

                "Pi masuk pakai baju! Comot tak macam hang, main sampai tak ingat dunia." ayah pula bersuara. Aku tunduk membisu sambil berlalu. Sebak terasa tiba-tiba. Ayah memang, langsung tak sporting. Emak panggil aku Jannati, tapi ayah panggil aku Baiti, sedangkan namaku Nur Jannatul Firdausi. Huh! Syaaban lagi teruk. Dia panggil aku Firdaus, katanya aku lelaki.

                  WAKTU maghrib, ayah jadi iman dalam solat berjemaah. Aku tak ikut solat. Aku bermain dengan Comot. Kak Rosiah dengan buku sekolahnya. Beza usia aku dan kak Rosiah hanya dua tahun. Kami enam beradik. Abang aku yang sulung seorang yang pendiam tapi dia tak macam ayah. Abang aku sporting dan selalu belikan aku gula-gula dan keropok.

                Kak Aziah kakak yang nombor dua. Kak Aziah seorang kakak yang penyayang. Bagi aku kak Aziah ibarat emak nombor dua. Dia yang jaga aku dan kak Rosiah bila emak pergi bekerja.

                     Ayah aku seorang tukang rumah. Dia jarang berada di rumah tapi sesekali balik buat aku dan kak Rosiah kecut perut. Abang dan kakak-kakak yang lain tak macam kami berdua. Mungkin mereka lebih memahami ayah berbanding kami. Dua orang lagi kakak aku bernama Salwa dan Suhana. Aku pernah tanya emak kenapa nama aku paling panjang.

                 "Mak, awat nama adik Nur Jannatul Firdausi? Lepas tu mak pangge Jannati, ayah pulak pangge Baiti, abang Ari, kak Aziah, kak Wa, kak Hana dengan kak Ros pangge adik Ti? Yang mana satu nama adik? Adik paling tak suka dengan Syaaban, dia pangge adik Firdaus. Mak, buang la nama Firdaus tu, adik tak mau nama orang laki."

                    "Adik, Cahaya Syurga Firdausku, itulah maksud nama adik sebab adik paling istimewa dalam hati mak. Abang dan kakak semua kami bagi sorang satu saja nama tapi sebab adik paling istimewa, mak dengan ayah bagi tiga nama untuk adik sorang. Mak dan ayah harap, adik bakal jadi cahaya syurga untuk kami nanti. Ayah pangge Baiti sebab maksud Baiti tu rumahku, mak pangge Jannati sebab adik ibarat syurga untuk mak. Abang dan kakak pangge adik Ti, sebab adik adalah adik depa, bukan adik orang lain. Faham?

                 "Tapi adik tak suka Syaban selalu kata kat adik ni laki. Dia ejek adik dan pangge adik Firdaus."

                  "Firdaus tu nama syurga. Adik beruntung tau sebab adik bawa nama syurga di hujung nama adik. Biarkan mereka nak ejek adik, asalkan adik jangan ejek depa balik. Adik nak masuk syurga dak?"

                     "Di syurga ada coklat dak? Keropok ada dak? Comot dengan Putih boleh masuk sekali dak?" aku tanya soalan bertubi-tubi pada emak. Tenang saja wajah emak dengan bibir yang sentiasa dihiasi senyuman.

                 "In Sya Allah, di syurga nanti semuanya ada, janji adik jadi budak baik, jangan ketegaq, kena dengar cakap mak, dengar cakap ayah, abang dan kakak."