My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Isnin, 5 November 2018

Penyamar Bab 29


BAB 29


            ''NENEK! nenek! tengok ni ada toyol!''

            Syafik anak pamanku yang bongsu berlari ke arah nenek yang sedang menyiapkan sarapan bersamaku di dapur. Dia memberi nenek handphone yang berada di tangannya. Nenek merenung gambar dalam handphone tu sambil mengerutkan sedikit keningnya. Aku menjenguk dan mengambil handphone dari pegangan nenek dan meneliti gambar tersebut. Ada satu bayangan makhluk yang bertelinga capang yang berada di tengah di antara aku dan Airil. Melopong aku seketika. Aku tunjukkan pula pada nenek gambar tersebut.

         ''Ya Allah nek, seramnya nek. Dia dok tepi kami pulak tu..'' aku mula meremang bulu roma.

          ''Allahu Akbar, macam mana boleh ada dalam ni?'' nenek pun terkejut melihat gambar tersebut. Pagi tu rumah nenek riuh dengan topik toyol tersebut. Isteri paman sampai terjerit melihat gambar toyol tu. Datuk pula terus mengamuk katanya duit dia memang selalu hilang sebelum ni. Aku dan Airil ternganga dengar cerita datuk. Tak sangka, toyol masih wujud di zaman siber macam ni.

            Topik toyol terus menjadi topik terhangat hari tu. Isteri paman pun terus buka cerita zaman awal perkahwinannya dengan paman. Katanya dulu, arwah datuknya juga terpaksa mewarisi membela toyol ni. Bila datuknya meninggal dia nampak toyol ni sedang bermain cuk cak dengannya di balik tiang.

           Perasaan seram pada mulanya bertukar jadi lucu selepas mendengar cerita bibik. Toyol bermain cuk cak? Cuba bayangkan sendiri kalau ada makhluk kecil yang sebesar kanak-kanak berusia lima tahun, bertelinga capang dan tidak memakai apa, botak pula, sedang bermain cuk cak. Cuba pusing belakang tengok, jangan-jangan ada di belakang.

         ''Ko tahu Shah, bibik masa muda dulu pernah tengok hantu tau. Masa tu malam la, bila perut bibik memulas bibik beranikan diri ke bilik air sorang-sorang. Bilik airnya pula di luar rumah. Rumah pula rumah papan, bila bibik terserempak dengan hantunya ko tahu tingginya setinggi pokok kelapa. Hitam pulak tu,berbulu lagi.’’ Bibik terus bercerita sambil diselang seli dengan ketawa.

          ‘’Ko tahu apa jadi lepas tu? Terus bibik angkat kain, bibik tudung kepala dan terus bibik pecut naik ke rumah..'' aku terus bayangkan keadaan bibik masa tu, kalau dah angkat kain tutup kepala apa yang jadi? Terus aku gelak hingga mengigil badan. Bibik yang sedang bercerita tu pun ikut gelak sama.

           ''Bibik ingat tak ada orang, rupanya ada saksi yang sedang memerhati, ko tahu dia cakap apa? Bik, kenapa kainnya tu di letakkannya di atas kepala?’’ bibik hentikan ceritanya dan terus gelak. Aku pula dah tekan perut. Air mata bergenang kerana ketawa tanpa henti sambil bayangkan keadaan bibik ketika itu.

           ''Bila bibik dah kena tegur macam tu bibik pun jawab. Aku nampak hantu Man, tinggi ko tahu...'' bibik sambung ceritanya lagi dengan penuh perasaan. Aku pula tolong ketawakan cerita bibik. Almaklumlah, penulis seperti aku imaginasiku sangat tinggi, seolah-olah sedang menonton video cerita kelakar di depan mata.

            MALAM tu aku langsung tak dapat lelapkan mata. Asal pejam saja mata macam-macam bayangan yang aku nampak. Airil di sebelah sudah lama hanyut di alam mimpi. Suasana bilik yang suram hanya di terangi sedikit cahaya dari luar bilik. Lagi bertambah kecutlah perut aku ni. Sekali sekala aku pandang tingkap nako rumah nenek yang ada di hujung kepalaku dan di kiri bilik. Bermacam-macam bayangan yang hadir dalam kepala otak aku ni. Wajah toyol dan wajah makhluk hitam semuanya datang menjengah. Sedang aku berperang dengan perasaan kecut tu aku ternampak satu benda hitam sedang bergerak di atas bumbung bilik. Aku terus himpit Airil semakin rapat. Badan aku sudah berpeluh. Segala ayat Qursi dan tiga Qul semua aku baca.

        Aku pejamkan mata rapat sambil aku peluk Airil erat. Peluh semakin rancak mengalir dan jantung aku semakin laju berdetak. Aku terus berperang dengan perasaan takut dan tiba-tiba aku terdengar ada benda jatuh dari bumbung masuk ke bilik. Aku yang sudah di landa perasaan takut yang amat dengan spontan terus menerkam Airil dan landing di atasnya.

       ''Ouchh..''Airil yang turut terkejut dengan tindakanku terus terlompat bangun dan aku..

      Bukkk! Sedap saja landing atas lantai bilik. Jatuh katil daa..sedetik selepas suasana cemas itu berlaku, aku terdengar satu suara yang sangat aku kenali.

      ‘’Meow, Meow..’’ Sekali kucing daa yang terjun masuk bilik. Tak senonoh betul kucing ni. Aku terus tergelak, sedangkan Airil masih terkebil-kebil di atas katil. Selepas itu aku terus bangun dan memetik suiz lampu bilik dan bilik terang benderang hingga pagi. Bila pagi menjelang baru aku ceritakan apa yang berlaku pada Airil. Teruk aku digelakkannya..

     ''Abang ingat abang kena tindih dengan hantu..'' lepas tu dia terus sambung gelak. Aku bulatkan mata padanya, semakin galak pula dia gelak.

         Segala kejadian yang berlaku di rumah nenek, Airil bawa pulang ke rumah kami. Di rumah ibu mertua aku juga di ceritakannya. Dalam seramnya kisah toyol yang masuk ke handphone, aku juga turut dijadikan bahan tawa. Rasa macam nak merajuk saja dengan Airil kesayangan aku ni.
  
Akhirnya,honeymoon kami yang tak berapa indah ini pun berlalu juga.




            TERASA begitu pantas masa berlalu.Cuti Airil akan berakhir esok dan aku bakal ditinggalkan bila Airil mula bertugas. Airil turut mengajak aku bersamanya untuk turut berada disisinya sambil menimba pengalaman di tempat orang, tapi sayangnya aku juga sibuk dengan bidang penulisan aku ini.

         ''Sayang sekali Shah tak boleh nak ikut abang. Kebetulan lagi dua hari Shah ada sesi perjumpaan dengan pembaca. Abang pula lagi tiga minggu baru balik semula ke Malaysia.'' aku bernada sedih. Bila aku membayangkan aku bakal berjauhan dengan Airil, hati aku ni jadi sayu.

          ''Abang tak sanggup la nak terus berjauhan dengan Shah. Abang ingat lepas ni abang nak berhenti kerja dan bekerja dengan papa.'' Airil renung mataku dan kami terus bertatapan mata.

           ''Shah sokong abang seratus peratus. Lagi pun Shah dah biasa ada abang di sebelah. Shah tak mahulah berpisah dengan abang lama-lama..'' aku berkata jujur kerana itulah hakikatnya. Airillah nyawa aku sekarang, dan tugasnya isteri disisi suami. Kalau aku dan Airil selalu sangat berpisah macam ni, aku takut aku tak mampu untuk menanggung rindu.

            ''Dah sayang sangat la tu..'' Airil ukirkan senyuman manis buatku dan aku membalasnya.

              ''Bukan sekadar dah sayang cik abang oii, dah cinta, kasih dan yang sewaktu dengannya.'' aku tergelak kecil selesai ungkapan aku, Airil terus merangkul aku dalam pelukannya.

              ''Abang pun dah sayang sangat kat isteri abang ni. Isteri abang yang bijak sangat berkata-kata. Kalau sebelum ni jual mahal, tapi sekarang ni abang sendiri pun dah kena surrender..'' berakhirnya ayat Airil dahiku dikucup pula. Macam mana nak berpisah tiga minggu ni? Belum apa-apa aku rasa macam rindu sangat. Mula la aku nak jadi isteri terlebih gedik. Memang rasa macam tak sanggup nak lepaskan dia pergi.

           ''Hmm, nampaknya lepas ni Shah kena buat novel baru la Jangan Kau Pergi..'' aku lepaskan tawa dan tawaku bergabung dengan Airil.

            ''Abang sokong apa saja yang sayang nak buat, cuma abang ada soalan untuk sayang, kerana sejak kita kahwin ni abang perhatikan sayang selalu sangat membaca ulasan yang diberikan pembaca dalam penulisan2u tu walaupun yang dikomen bukan karya sayang. Kenapa ya?'' Airil tanya soalan yang aku sendiri tak menduga akan keluar dari bibirnya. Nampak sangat lari tajuk dari topik asal kami. Namun bila soalan diajukan terpaksa juga aku berikan jawapannya.

          ''Orang kata rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Bukan senang sebenarnya nak memikat hati pembaca ni. Tak semestinya apa yang si A suka, si B pun akan suka. Jadi untuk mengenali kerenah pembaca, Shah kenalah merujuk pada apa yang dikomen. Tapi sebagai penulis Shah sendiri pun tak tahu apa kehendak pembaca yang sebenarnya dan abang jangan tak tahu Shah juga salah seorang dari pembaca tegar di penulisan2u tu.

        Kadang-kadang pembaca ni betul jugak, bila Shah membaca komen mereka Shah jadikan semua tu sebagai ikhtibar. Penulis sekarang wujud bagaikan cendawan selepas hujan. Ada yang masih belajar di sekolah menengah dan Shah perhatikan cerita mereka terlalu banyak dengan imaginasi yang dah merupai cerita orang barat. Banyak sangat terpengaruh dengan cerita luar. Shah berharap sangat untuk adik-adik di luar sana yang nak menceburkan diri dalam bidang penulisan ni janganlah terlalu berimaginasikan sesuatu yang tak logik dan langsung tak ada nilai murni.

      Kalau nak buat cerita apa sekali pun biarlah isinya mampu membawa pembaca ke arah kebaikan.Ehh, apa yang Shah dah melalut ni, abang tentu dah boringkan, asyik dengar Shah menceceh aja?'' aku pandang Airil dan menanti jawapannya. Macam ni lah aku, bila aku dah bersama orang yang aku saying, aku akan mula membebel sampai tak jumpa nokhtah.   

             ''Siapa yang cakap abang boring? Abang suka lagi adalah, nanti abang boleh bawa bekal ke luar negeri.'' Airil lepaskan tawa dengan ayatnya sendiri. Aku cebirkan bibir. Yalah tu, baru kahwinkan, semuanya indah. Tak tahulah bila dah lama esok. Jangankan panjang berjela baru cakap sepatah dah mengamuk. Aku membebel dalam hati.

            ''Abang ada lagi soalan bonus untuk Shah ni.'' aku dongakkan kepala dan pandang wajah Airil. Nak berhenti pilot dan nak jadi reporter pula ke suami aku ni?

             ''Abang betul-betul nak tukar job ke ni?'' sebelum dia tanya soalan bonus kat aku, aku tanya dulu soalan cepubelian kat dia. Haha…

            Airil renung aku tak berkelip. Mungkin hairan dengan soalan aku untuknya barangkali. Aku hanya hadiahkan senyuman.

         ''Kenapa sayang tanya macam tu?''

         ''Manalah tahu kot-kot abang teringin nak jadi reporter pulak?'' terburai tawa Airil mendengar jawapanku. Bahuku diraih semakin rapat dengannya.

        ''Macam-macamlah sayang abang ni..''

        ''Apa soalan bonus abang tadi? Shah dah tak sabar nak dengar.'' aku suarakan rasa hati. Memang dah sabar nak dengar pun. Macam suspen pula.

          ''Okey, sebagai reporter yang paling handsome abang nak tanya la..''

           ''Ek elahh, perasannya..'' belum habis Airil cakap aku dah menyampuk. Airil pula terus ketawa dengan ayatku.

          ''Sayang janganlah mencelah, abang belum habis cakap lagi....''

          ''Okey, teruskan dengan soalannya tuan reporter. Ayang Mas Merah a.k.a Orang Gaji kepada Airil Farhan sudah bersedia untuk menjawabnya.'' aku ukirkan senyuman sambil jongketkan kening pada Airil. Percuma saja hidung aku ditarik selepas itu.

          ''Abang cuma nak tahu perasaan sayang, kalau dapat komen yang pedas lagi berbisa dari pembaca yang mengikuti karya sayang selama ni, macam sayang cakap tadikan bukan mudah nak memikat hati pembaca dan bukan semua pembaca akan suka dengan karya sayang, so..macam mana perasaan sayang?Ada rasa terguris tak?'' aku mengangguk faham dan kemudian mengeleng dan terus jawab sejujur hatiku.

       ''Tak pernah terguris. Disebalik kepedasan tu sebenarnya ada kemanisannya. Bila pembaca memberi komen maknanya karya kita diberi perhatian. Dengan kata lain pembaca bukan hanya membaca tapi pembaca juga menilai karya kita itu. Macam ubat yang pahit tapi ubat itu adalah penawar. Kritikan yang pedas macam ubat yang pahit akan mampu memberi lebih inspirasi pada Shah untuk terus berkarya. Cuma, ubat tu janganlah sampai terlebih dos, kerana ubat yang terlebih dos akan mampu membunuh.'' aku akhiri jawapanku dengan senyuman.

        ''Abang tak faham.'' Airil kerutkan keningnya.

       ''Simple, boleh saja komen yang pedas-pedas tapi jangan sampai membunuh semangat orang lain untuk terus berkarya. Bukan semua orang boleh terima kritikan yang pedas. Pembaca pun kena faham, seorang penulis punya jiwa yang sangat halus dan sensitif. Macam Shah ni kental sikit, boleh saja kalau nak komen yang extra pedas.'' aku mula mendabik dada. Macamlah kental sangat. Ayat saja power nih.

       ''Betul jugakkan..'' Airil mengiakan saja jawapanku. Selepas penat berbual kami terus tidur selepas itu. Kami terus lena dengan nyenyak dalam rangkulan kasih dan sayang yang kini sudah pun bersatu dalam ikatan pernikahan. Moga kasih sayang ini akan terus direstui Ilahi.

       Dalam kehidupan ini ada suka dan dukanya.Hari ini aku bahagia dalam dakapan seorang suami. Esok aku bakal kerinduan kerana akan ditinggalkan pergi. Biar pun hanya sementara, namun bila sudah ada cinta yang bersemi di dalam hati, sesaat pun sudah rasa terlalu lama.

      I LOVE YOU Airil Farhan, akan aku kekalkan rasa cinta ini buatmu.


Nota : Mungkin ada sambungannya..mungkin juga ini bab terakhir. Mod menulis terjun gaung paling dalam. Cedera parah..masuk I.C.U..hahahaha..

            

Penyamar Bab 28


BAB 28


           HARI berbahagia aku dan Airil tiba juga. Selesai akad nikah dan doa dibacakan. Doaku di dalam hati, moga ikatan pernikahan aku dan Airil akan berkekalan hingga ke Jannah. Biar pun aku sedia maklum, sedangkan lidah lagi tergigit dan tiada laut yang takkan di landa badai.

          Selepas menunaikan solat sunat, aku didatangi Airil. Perkara biasa yang dilakukan oleh pasangan yang baru sah bergelar suami isteri. Majlis pembatalan air sembahyang dilakukan. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisku dan kucupan kasih seorang suami pun singgah di dahiku.Ucu dan Yusrina yang jadi jurugambar tak bertauliah dalam majlis akad nikah ni sudah mula mengada-ngada. Kucupan di dahiku diminta untuk dilamakan sedikit, kononnya nak ambil gambar tak sempat. Bila tiba giliran aku bersalam dan mencium tangan Airil pun begitu juga, aku diminta untuk terus berada dikedudukan itu dengan agak lamaBukan salam, cium tangan dan terus lepas. Siap kena beraksi depan kemera lagi. Seksa juga bila dah jadi pengantin ni kan? Di arah itu dan ini. Mahu atau tidak, terpaksa juga menurut perintah.

         "Kak Yang, dekat sikitlah. Ucu berani jamin 100% abang Airil takkan makan kak Yang punyalah.." Ucu memberi arahan padaku bila kami bergambar di dalam bilik. Wajahku bertukar merah bila mendengar Airil ketawa dengan kata-kata Ucu. Yusrina dan yang lain pun turut sama mengelakkan aku.

          "Sekarang ni memanglah Airil tu tak makan lagi, malam nanti siaplah Ayang." entah dari mana Along ni muncul, tiba-tiba saja terdengar suara dia dengan kata-kata yang bisa memanaskan lagi wajahku. Semakin riuh rendah suasana jadinya. Airil pegang tanganku sambil pamerkan senyuman nakal.

            "Apa?" aku jeling Airil sambil ketap bibir. Nasib badanlah kalau dapat adik beradik yang juara menyakat ni.

           Sesi bergambar diteruskan, mengalahkan artis pula Ucu dan Yusrina meminta kami berikan pose. Saling merenung di antara satu sama lain, berpelukanlah dan sebagainya. Tak tahan betul aku. Bila aku cuba membantah korang tahu apa Ucu cakap kat aku?

           "Alaa, sportinglah kak Yang. Dah halal punkan?" itu kata Ucu, ini pula kata Yusrina.

           "Entah kak Shah ni, tengok abang Airil tu sporting saja. Ikut saja apa arahan yang dikeluarkan oleh jurugambar-jurugambar pro ni." selepas selesai dia berkata begitu dia terus gelak dan disambut oleh Airil dan Ucu. Aku hempuk juga budak berdua ni. Mereka berdua saja tau. Airil aku sayang, mana boleh hempuk. Lagi pun berdosa, sebab dah jadi suami aku.

          Selesai sesi bergambar kami dibawa keluar dan mengadap meja makan pula, untuk makan beradap dan potong kek. Ini semua tiru orang baratlah ni. Aku asalnya tak setuju tapi Alang dengan Angah yang paksa aku untuk hadapi semua ini. Ucu pula kata....

       "Bagi la peluang Ucu jadi jurugambar dan beri arahan pulak.Ucu dah jemu jadi model dan ikut saja arahan jurugambar." banyak songeh punya adik. Aku hanya mampu membentak dalam hati. Walaupun aku sedang bengang, wajah tetap aku maniskan juga.

        Sebenarnya aku sendiri pun ada juga terfikir, semua yang kita lakukan hari ini wajib ke? Aku tak berani nak jawablah, sebab bagi aku kita ni suka sangat meniru. Apa yang orang buat kita pun nak buat juga, sampaikan cerpen dan novel pun kadang-kala kita ciplak saja cerita orang lain. Kan?


           HONEYMOON kami lain dari yang lain. Kalau orang lain sibuk nak honeymoon kat tempat-tempat romantik, tapi kami pula honeymoon di kampung saja. Aku ajak Airil balik kampung nenek di Kampung Baruh, Sabak Bernam Selangor. Airil pun cakap dia dah selalu sangat ke luar negeri, jadi apa salahnya menghabiskan cuti dia di kampung pula. Korang jangan keliru pulak erk, walaupun ayah aku tu bergelar Dato Khuzairi, dan emak aku tu Datin Maimunah, tapi kami pun asal dari kampung juga.

             Masa kami sampai di kampung nenek aku, dah petang sangat. Belum sempat kami duduk, dah azan Maghrib. Usai solat Maghrib berjemaah bersama nenek dan datuk(orang jawa panggil kakek tapi aku tak nak la kalau ada yang keliru jadi aku tulis saja datuk) paman (pak cik) datang bersama isteri dan anak-anaknya. Kami berbual lama di ruang tamu rumah nenek hinggalah masuk waktu Isya dan kami solat berjemaah pula bersama keluarga paman aku.

           Kalau tadi datuk aku jadi Imam tapi solat Isya ni datuk minta Airil pula yang menjadi Imam dan aku yakin Airil mampu kerana sejak kami bergelar suami isteri memang Airil yang menjadi Imam solat kami. Solat berjemaah suami isteri ni banyak berkatnya tau. Ianya dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang suami dan isteri. Lagi satu petua untuk isteri, selalu-selalulah tidur atas lengan suami kerana ketiak suami akan mengeluarkan hormon yang mampu memberi ketenangan buat isteri. Aku bukan reka cerita tau. Aku pernah baca artikel ni di majalah Mingguan Wanita tapi aku tak ada idea la pula macam mana nak menjelaskannya secara detail.

            "Ko tak pegi berbulan madu ke Shah?" paman tanya aku selepas kami sambung berbual sehabis menunaikan solat Isya.

            "Kami datang sini untuk berbulan madu la paman." aku menjawab soalan paman tu dengan selamba. Airil yang turut ada bersama hanya mengangguk.

           "Apa class berbulan madu di kampung?" Dahsyat juga paman aku ni. Ayat dia buat aku dan Airil spontan tergelak. Datuk, nenek dan isteri paman aku langsung tak mencelah perbualan kami. Mungkin hanya menunggu masa untuk mencelah kot?

           "Shah dah jemu la paman masuk kelas ni. Sekolah rendah dah enam tahun masuk kelas. Sekolah menengah lima tahun. Di UITM pun kena masuk lagi. Dah kahwin pun nak kena masuk jugak? Tak naklah." aku sengaja berkata begitu. Sekadar untuk bergurau dengan paman dan kata-kata aku disambut dengan gelak dan tawa nenek dan datuk. Airil dan yang lain hanya tersenyum memandang aku.

           "Ko ni Shah, ada-ada saja ko nak jawabkan. Patutlah ko jadi penulis.." paman bidas semula kata-kataku. Aku hanya tayang gigi mendengar kata-kata paman.

            "Airil, ko pulak bila mula kerja? Lama ke ko ambik cuti kahwin ni?'' soalan paman ditujukan pula pada Airil.

             ''Minggu depan Ril mula kerja balik. Kenapa paman?" sambil menjawab Airil menyoal paman semula.

              ''Paman nak ikut abang kot, mana tau kot-kot paman teringin nak berkenalan dengan pramugari cute miut dalam kapal terbang tu..'' aku usik paman, sambil tu aku pandang isteri paman di sebelah aku. Isteri paman aku ni, aku panggil bibik saja. Eh, korang jangan salah faham pula tau. Bibik tidak semestinya orang gaji. Yang namanya orang gaji tu aku saja, tapi orang gaji untuk episod yang lepas saja, untuk episod ni orang gaji tu dah diangkat menjadi seorang isteri.

             ''Ko ni Shah, saja nak kasi bibik ko tu ngamuk kat paman ya? Nanti tak pasal-pasal paman kena tidur luar..'' aku tergelak dengan kata-kata paman sambil mengelus perlahan belakang bibik. Bibik mencebikkan bibirnya.

             ''Takdernyer pramugari tu nak dengan paman ko tu Shah, dah tua kerepot pun..'' riuh  sekali lagi ruang tamu rumah nenek dengan gelak tawa kami. Anak paman pula sejak tadi aku tengok asyik sangat bermain dengan telefon bimbitnya itu. Sekejap-sekejap disnapnya gambar kami berdua. Kami biarkan saja. Tak luak pun.

             Malam itu kami berbual hingga lewat malam dan paman bersama keluarganya tidur di rumah nenek malam itu.Untuk kami nenek dah sediakan bilik khas untuk pengantin baru. Katil baru dengan cadar baru berwarna pink, warna kesukaanku.

             Sebelum melelapkan mata aku dan Airil berbual-bual kosong. Sebagai isteri, aku akan sentiasa taat pada suami. Kalau sebelum kahwin aku berat mulut, tapi berbeza bila selepas kahwin. Aku rasa aku lagi banyak bercakap dari Airil, sedangkan Airil hanya banyak mengukirkan senyuman dan memanggil nama aku dengan panggilan sayang. Perubahan yang paling ketara macam malam ni. Letih aku membebel, tapi Airil hanya merenung aku saja.

             ''Abang nak tahu tak, apa harapan Shah untuk pembaca-pembaca di luar sana setiap kali novel Shah diterbitkan? Bagi Shahkan, Shah tak harapkan sangat orang nak puji cerita Shah, cuma Shah akan rasa gembira kalau pembaca di luar sana bahagia dan gembira membaca setiap cerita Shah. Shah menulis bukan untuk nama atau pun mengejar duit royalty, tapi Shah menulis untuk kepuasan hati Shah, kerana inilah impian Shah sejak sekolah lagi.

              Abang nak tahu apa komen pembaca dengan novel Shah yang terakhir,'Orang gajiku isteriku' tu? Ramai yang dah terpikat dengan watak Hero. Cemburu pula Shah, bila baca komen-komen mereka. Watak hero tu, kan watak abang yang Shah pinjam untuk novel tu.'' aku tergelak sambil memandang Airil yang diam sejak tadi sedangkan matanya masih setia menatap wajahku.

             ''Agak-agak abanglah, papa baca tak novel Shah tu? Kalau papa baca dan tahu watak majikan miang tu ialah papa, habislah Shah.'' lagi sekali aku tergelak dan kali ini Airil turut tergelak bersama aku.

             ''Sayang, tak baik tau, ada pulak tulis macam tu. Papa dengan mama tu sikit punya baik layan sayang, tapi sayang tulis macam tu. Mama garang, papa pulak miang, siap nak perkosa sayang lagi.  Tapi abang sukalah bila hero dan heroin tu berkahwin. Romantikkan cerita mereka?'' Airil gantungkan ayatnya. Matanya begitu ralit merenung aku. Keningnya di jongketkan beberapa kali padaku dan mengukirkan senyuman nakal. Aku terkelu lidah tiba-tiba. Cerita yang rancak terus bertukar nada bila Airil mula memainkan peranannya sebagai seorang suami.
            


Penyamar Bab 27

BAB 27


           HARI ini Alang paksa aku untuk ke butik baju pengantinnya. Aku yang menurut perintah ni, seawal pagi lagi dah sampai. Tapi, yang aku bengang sangat, bila aku sampai saja di depan butik, pintu butik masih lagi berkunci. Aku terus call Alang.

         "Assalammualaikum," terdengar suara Alang memberi salam di hujung talian.

         "Waalaikummusalam, Alang di mana ni?"

         "Ada di planet marikh. Kenapa?" huargghhh,..aku bertambah bengang dengan jawapan Alang.

          "Alangggggggggggg….serius la, Ayang dah ada depan butik Alang ni." aku dengar Alang gelak sakan.

           "Lahhh..Ayang buat apa disana?" soalan Alang benar-benar menguji kesabaranku. Aku tak mahu mengalah, kalau Alang tanya soalan yang membuatkan kesabaranku luntur, aku pun boleh menguji Alang dengan jawapan mautku.

            "Ayang bawa geng nak bakar butik Alang, lagi pun Ayang dah boring tengok butik Alang ni. Lokasinya dah la jauh dari tempat tumpuan orang, dah tu baju-baju pengantinnya pun entah apa-apa. Tak up to date langsung. Semuanya ketinggalan zaman." Amekaw Alang, nak main-main lagi dengan Ayang Mas Merah.

            "Amboi, amboi..sedap bebenor kau mengutuk ya cik Zahratul Aishah. Alang cancel nak sponsor baju pengantin kau karang. Melopong kau." aku tergelak kecil dengar ugutan Alang.

            "Dah la Alang, Ayang dah boring nak tunggu lama-lama kat depan butik Alang ni. Dah macam pengemis ni. Daripada Ayang buang masa di sini, baik Ayang balik goyang tangan di rumah, ada jugak faedahnya.." aku buat keputusan muthakhir. Sangkaku Alang masih di rumah.

            "Jangan nak mengada-ngada, tunggu Alang buka pintu. Alang ada ja kat dalam ni.." Memang nak kena mak labu sorang ni. Ada rupanya, mesti dia sengaja biarkan aku melopong kat luar butik dia ni. Terus aku tekan butang merah di handphone aku dan aku tunggu Alang buka pintu.

         "Masuk, jangan nak tunjuk muka cemberut di sini. Tak laku pun.." Alang tarik aku masuk ke dalam butik. Aku hanya mengikut langkah Alang tanpa bantahan. Kami terus menuju ke sofa di sudut kiri butik. Belum sempat aku henyakkan punggung di sofa empuk tu, aku terdengar suara seorang lelaki memberi salam di muka pintu butik. Laju saja aku dan Alang menoleh ke arah pintu.

            "Airil, dah sampai pun. Masuklah, cepat kita discuss cepatlah selesai kerja Alang ni. Alang bukannya apa, takut baby dalam perut ni tak sabar nak tengok dunia. Tak sempat pula Alang nak berkhidmat untuk korang nanti." Alang pelawa Airil masuk, sambil tu mulutnya terus menceceh. Mudahan bila anak saudara aku lahir esok jadi YB la.

          ."Dah lama Yang sampai?" Airil tanya aku sebaik dia duduk sambil tersenyum. Aku pandang Alang untuk tengok reaksinya. Wajah Alang slumber saja, macam tak ada apa yang berlaku.

           "Ayang tu untuk adik beradik ja, emak dan ayah Shah pun panggil nama, kalau abang panggil Ayang jugak nampaknya abang ni adik beradik Shah la. Kalau macam tu kena cancel la majlis kahwin ni.." aku sengaja menguji Airil. Sebelum ni dia hanya panggil Shah atau pun bila aku buat-buat tak layan, dia akan panggil nama penuh aku. Tapi hari ni, entah mimpi apa semalam, dia panggil aku Yang pula.

         "Macam tu pun boleh ke?’’ Airil menyoal balas, aku menahan senyum. Alang pula langsung tak peduli dengan apa yang kami bualkan. Alang buat kerja dia, mengeluarkan beberapa majalah baju pengantin dan gambar-gambar set pelamin dan bilik tidur untuk kami buat rujukan. Soalan Airil aku biarkan berlalu macam tu saja. Aku terus mengambil majalah yang dikeluarkan Alang dan mula membuka helaian demi helaian.

       "Apa warna tema korang ni?" soalan pertama Alang pada kami berdua. Aku dan Airil saling berpandangan. Airil jungkit kening padaku. Aku hanya angkat bahu. Aku tak pernah berangan tentang majlis kahwin aku. Hanya dalam novel saja aku selalu bayangkan majlis kahwin yang gah. Bagi aku, yang penting hanyalah akad nikah. Majlis biarlah sederhana saja. Walaupun harta bertimbun, tapi kalau buat majlis sekadar nak menunjuk kat orang bahawa kita ni mampu buat majlis besar-besaran, tak berkat juga. Nampak sangat membazirnya.

            "Apa kata warna krim? Majlis akad nikah biasalah, warna putih gading. Baju ni Alang rasa sesuai dengan korang. Tak sarat sangat dengan labuci dan manik. Ayangkan tak suka baju yang sarat dengan manik ni?" bila melihat kami berdua terus membisu tanpa membuat sebarang keputusan, Alang memberi pendapatnya. Tahu saja Alang ni dengan citarasa aku.

           "Ayang tak tahulah Alang. Abang macam mana?" aku tanya Airil, dia ukirkan senyuman untukku dan dia pula yang angkat bahu. Sekejap sangat dah berjangkit penyakit angkat bahu tu.

           "Ikut sayanglah.." akhirnya Airil bersuara. Aku pandang Alang. Di bibirnya ada senyuman, walaupun matanya tak memandang kami. Aku tahu maksud senyuman Alang tu.

          "Macam nilah Alang, janji boleh masuk dan muat dengan badan Ayang, Ayang ikut saja mana yang Alang pilih cuma kalau boleh warnanya jangan yang cerah sangat. Ayang tak suka yang cerah, biar yang gelap sikit. Macam warna coklat ke, maroon atau pun ungu tua. Abang okey?" aku buat keputusan muktamad sambil tu pendapat Airil aku tanya juga.

           "Abang tak suka warna gelap," aku dan Alang serentak memandag Airil. Pulak? Kemudian, aku dan Alang pula saling berpandangan.

           "Airil nak warna apa?" Alang bertanya bagi pihak aku.

           "Biru muda," Airil jawab selamba. Alang tergelak kecil.

          "Alaa.." aku bersuara perlahan. Ada nada kecewa di situ. Aku paling anti warna biru.

          "Kenapa?" hanya sepatah perkataan dan Airil terus renung wajahku.

         "Shah tak suka biru dengan hijau, selain tu boleh saja." aku dengar Alang gelak sakan. Aku tarik muka.

        "Laaa..macam tu pulak?" akhirnya Airil pun join Alang gelakkan aku. Mungkin dia pun dah dapat agak maksud aku tu. Sebenarnya aku sendiri pun tak tahu kenapa aku tak suka dua warna tu, tapi bila orang tanya hanya alasan yang satu tu saja yang aku beri. Alasan apa? Aku tak suka politik. Titik.

        Akhirnya setelah berjam perbincangan kami, Airil ikut pilihanku dengan tema baju warna gelap. Aku pilih warna coklat. Set pelamin dan bilik tidur aku serahkan semuanya pada Alang. Bukan bidang aku nak menentukan semuanya. Biar pun aku yang bakal jadi raja sehari. Bagi Airil pula, tema apa pun bukan penentu kebahagiaan. Aku dan Alang pun sependapat. Selepas tu Airil ajak aku ke restoran untuk makan. Kali pertama kami keluar bersama setelah mengikat tali pertunangan. Airilkan pilot, jadi masa dia sangat terhad, lagi pun setiap kali dia cuti dia akan bertandang ke rumah kami atau pun dia akan bawa aku ke rumah mereka. Bagi aku, berjumpa di depan keluarga sendiri lebih selamat dari keluar dating berdua-duaan.




Penyamar Bab 26


BAB 26


             Aku mengadap laptop kesayanganku ini. Selepas membuka Facebook aku beralih pula pada E-mail dan blog. Ada satu E-mail yang menarik minatku. E-mail dari Jejaka Setia. Aku buka dan aku baca E-mail itu.

Ayang Mas Merah My Dear
Walau aku tak kenal siapa dirimu tapi aku sering memujamu dalam diam. Setiap novelmu aku jadikan sumber inspirasiku. Aku lepaskan rinduku padamu dengan memiliki setiap hasil karyamu. Aku tak tahu kenapa, mungkin antara kita ada pertautan yang kuat. Aku senang membaca hasil tulisanmu. Seringkali hasil tulisanmu menjadikan aku rasa tenang dan bahagia.

Ayang Mas Merah My DEAR
Kali pertama hatiku terusik bila aku pandang seorang gadis yang ku rasakan langsung tak sepadan denganku. Dia orang gajiku.Zahratul Aishah namanya. Aku cuba melupakan nama Ayang Mas Merah selepas aku bertemu dengan gadis itu. Aku tahu memujamu dalam diam langsung tak mendatangkan apa-apa faedah untukku. Aku umpama mengejar bayang-bayang dalam memujamu. Kau sudah dikenali ramai, sedangkan aku hanya seorang pemuja yang langsung kau tak kenali.

Ayang Mas Merah My DEAR
Aku mula jatuh cinta dengan gadis itu bila aku curi-curi dengar dia berbual dengan Danial dan Dania. Mungkin dia tak pernah tahu setiap kali dia bersama Dania dan Danial aku juga turut ada bersama mengikuti setiap cerita dan perbualannya. Aku benar-benar jatuh hati pada dia, tapi aku suka kenakan dia untuk menarik perhatiannya. Gadis ini terlalu pendiam dengan aku, kadang-kadang aku cemburu bila melihat dia berbual mesra dengan orang lain, tapi dengan aku begitu sukar dia nak memulakan bicara.

Ayang Mas Merah My DEAR
Aku sakit hati sangat, bila aku pulang ke rumah semula dia sudah berhenti kerja. Aku baru berhasrat untuk melamarnya. Aku kecewa, aku sangkakan aku bakal kehilangannya. Pertemuan kita di mall tempoh hari menyinarkan kembali harapanku. Tapi, aku kembali terluka bila dengan mesranya gadis yang aku sayang itu berpegangan tangan dengan orang lain.

Zahratul Aishah Dato Khuzairi
Aku rasa tak perlu aku sorokkan perasaan aku lagi.
SUDIKAH KAU MENJADI ISTERIKU?
Aku cintakan kau sepenuh hatiku.

Yang Ikhlas
Jejaka Setia
Airil Farhan Muhammad Nazir

           Aku seka air mata yang mengalir di pipi. Terharu aku membacanya. Dalam diam aku juga sudah punya perasaan yang sama sepertinya. Aku balas E-mail itu.

Jejaka Setia
Aku tetap manusia biasa walau siapa aku di matamu. Aku tetap seorang hamba Allah seperti orang lain. Aku menulis untuk kepuasanku, kerana itulah impianku.

Jejaka Setia
Pertemuan dan perpisahan adalah perancangan dari Yang Esa. Bukan niat aku untuk menipumu dan seluruh keluargamu. Maafkanlah aku.

Jejaka Setia
Andai kau ikhlas untuk menyuntingku, lakukanlah mengikut adat yang sepatutnya. Aku serahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Andai ada jodoh antara kita, takkan lari ke mana. Aku Redha dengan semua ketentuaNya.
Ikhlas Dari HATIKU
Ayang Mas Merah
(Zahratul Aishah orang gajimu:))

            Aku balas E-mail nya itu dengan perasaan yang berdebar. Malu pula aku nak mengaku bahawa aku juga ada perasaan yang sama dengannya.


            AKU gelisah di dalam bilik menahan debar. Cepat betul Encik Airil ni bertindak. Dua hari selepas E-mail nya dibalas, emak aku cakap Puan Syarifah menghubunginya dan beritahu mereka nak hantar rombongan ke rumah kami.

            Tak sabar betul Encik Airil ni? Kalau suka pun, tunggulah bulan depan ke tahun depan ke, ni baru dua hari aku selamat memberitahunya supaya masuk meminang, tau-tau saja mereka kini sudah ada di rumahku. Dah tu bukan sekadar merisik, bertunang terus pula tu. Aku tak percaya dengan tindakan drastik keluarga bekas majikan aku ni. Entah apa yang mereka kalutkan sangat?

           Aku yang sedang berada di dalam bilik seorang diri mula berpeluh walau ada  penyaman udara di bilikku. Selepas ni status aku akan berubah dalam beberapa minit saja lagi. Aku pasti sangat tu. Aku bakal bergelar tunangan kepada Airil Farhan.   

         “Ayang, bakal mak mentua nak masuk sarung cincin, yang mengelisah semacam ni kenapa pulak?“ Alang menuju ke arahku, perutnya yang memboyot tu buat aku mengukirkan senyuman.

           “Syok nak jadi tunang orang pun, janganlah tunjuk sangat..senyum sampai telinga.“ Alang bersuara sinis. Aku sengeh lagi.          

             “Bukanlah Alang, Ayang senyum tengok perut Alang yang boyot ni la, dah nak sampai harikan?“ sempat lagi aku menyoal Alang di saat genting sebegini dan dalam masa yang sama aku memegang perut Alang.          

            “Eh Alang, baby geraklah. Best tak Alang?“ aku teruja bila tersentuh saja perut Alang aku dapat rasakan gerakan kecil di perut Alang. Alang tak menjawab soalanku bila bilikku di kunjungi tetamu dan lantas salam diberi. Kami berbalas salam. Aku dihampiri Puan Syarifah bakal ibu mentuaku. Kami berbalas senyum pula sebaik cincin disarungkan di jari manisku. Puan Syarifah memeluk aku dan menghadiahkan ciuman di pipi kiri dan pipi kananku. Selepas bersalaman dan mencium tangan Puan Syarifah, kini giliran Yusrina pula bersalam denganku. Ketika kami berpelukan Yusrina sempat berbisik padaku. 
        
              “Kak Shah..abang kirim salam rindu.“ aku hanya angguk tanpa membalas apa-apa. Wajahku sudah merah menahan malu. Yusrina pula ketawa kecil melihat wajahku yang sudah berubah warna. 

               “Papa, Airil, Abang Long dengan Kak Long kirim salam. Papa ada kerja dan tak dapat datang. Airil ada kat bawah kalau Shah nak jumpa. Kak Long dengan Abang Long pula balik kampung kak Long kerana emaknya jatuh sakit tiba-tiba.. “ Puan Syarifah pula berkata mesra. Aku masih tersenyum manis.       

              “Kenapa Kak Shah diam semacam saja ni? Selalunya Kak Shah bukan main ramah lagi.. “ Yusrina sudah pandai nak kenakan aku. Aku punyalah control ayu, tahan gelabah dalam hati. Ingat senang ke nak jadi tunang orang. Walaupun aku dah biasa dengan keluarga mereka, tapi debaran tu tetap ada untuk saat genting macam ni. Aku tetap seorang gadis yang masih ada rasa malu dalam diri, takkan nak tergedik-gedik suka pulakan? Memang nak kena betul la Yusrina ni.

             "Pandailah dia nak kenakan akak.." aku pura-pura marah pada Yusrina, Segan aku bila dia sindir aku begitu. Alang dengan Puan Syarifah senyum saja pandang aku.

             "Dahlah tu Rina, jangan nak kenakan sangat Kak Shah tu. Dah merah dah muka tu ha.." Puan Syarifah a.k.a bakal mak mentua aku tu bersuara lagi. Semakin aku tersipu-sipulah jawabnya. Bilik aku dah riuh rendah dengan gelak tawa mereka. Beginilah nasibku, time aku sakat orang seronok juga rasanya, tapi bila aku pula yang disakat oleh mereka, barulah aku tahu macam mana rasanya. Ni baru bertunang kot, dah naik pelamin esok rasanya lagi teruklah aku dikerjakan.

              BILA rombongan pihak lelaki ingin pulang, aku dipanggil turun ke bawah untuk berjumpa dengan tetamu dari pihak sana. Aku mula dapat meredakan perasaanku. Aku turun dipimpin Angah ke bawah. Ek eleh, siap kena pimpin lagi tu. Aku bukannya nak mengada-ngada tau, tapi memang dah adat macam ni.

              Aku diarahkan emak untuk bersalam dengan semua tetamu, terutamanya tetamu perempuan. Bila tiba giliran aku bersalam dengan bakal mak mentua aku, sekali lagi aku dipeluk dan dicium olehnya.

             "Airil ada kat luar tu bersama Yus, Shah tak mahu jumpa dulu ke sebelum kami berangkat pulang?" sekali lagi wajahku sudah merona merah. Kenapalah bakal mak mentua aku ni sporting sangat? Aku pandang emak aku di sebelah. Emak aku cuma tersenyum padaku. Yusrina pula mengambil giliran untuk bersalaman denganku. Selepas bersalaman dia masih tidak mahu melepaskan tanganku. Ditariknya aku untuk keluar dari rumah. Aku tergamam,dah dapat agak apa kemahuannya. Aku hanya menurut langkahnya tanpa banyak soal.

            Kami berdua melangkah ke khemah di halaman rumah. Dari jauh aku sudah dapat melihat Airil Farhan dan Yusri yang sedang berbual dengan Along dan Ucu.

           "Alolo..kakak siapa ni?" suara Ucu menyambut kedatangan kami. Aku bulatkan mata pada Ucu. Adalah tu,nak kenakan aku. Macam aku tak kenal, adik beradik aku memang semuanya juara menyakat termasuk ayah aku. Emak aku sorang saja yang baik dan sentiasa berlemah lembut dengan kami adik beradik.

              Aku kerling sikit untuk pandang Airil dan pandanganku padanya tak lama. Berdebar pula hati aku untuk terus menoleh ke arahnya, walaupun hati aku meronta-ronta untuk menatap wajah itu. Yusrina yang sedari tadi tidak melepaskan tangan aku terus menarik tangan aku ke arah Airil dan menyuruh aku duduk di kerusi sebelah Airil.

            "Kak Shah duduk sini, Rina nak ambil gambar kak Shah dengan abang." arahan sudah dikeluarkan, mahu atau tidak terpaksa juga aku menurut kehendaknya. Sebaik aku duduk Airil merapatkan kedudukannya sambil berbisik.

             "I miss you..so much." aku spontan menoleh ke arahnya. Sempat dia kenyitkan mata padaku, berubah lagi wajahku.
          
            "Tak tahu pula saya, Ayang Mas Merah saya ni pemalu orangnya?" Airil bersuara lagi. Aku masih mendiamkan diri. Along, Ucu dan Yusri masih rancak bercerita. Namun aku sedar, sekali sekala mata mereka mengerling ke arah kami berdua. Yusrina pula sudah berlagak macam jurugambar pro saja.

            "Zahratul Aishah...awak masih tak mahu bercakap dengan saya ke? Sampai bila awak nak simpan suara awak tu?" Aku pandang Airil dan ku ukirkan senyuman untuknya. Dengan beraninya dia letakkan tangannya di atas kerusiku sambil tersenyum nakal. Terdengar deheman Along dan Ucu di sebelah, Airil terus ketawa dan meletakkan tangannya semula di atas meja. Puan Syarifah sudah keluar ke halaman rumah dan menuju ke arah kami di ikuti emak dan ayah. Serentak kami yang berada di bawah khemah bangun dan menanti kedatangan mereka.

             "Jomlah kita.." Puan Syarifah memandang seorang demi seorang anak-anaknya termasuk aku juga. Aku turut melangkah mengikuti mereka hingga ke kereta.

             "Nanti abang call." aku tergaman mendengar kata-kata itu. Sempat lagi nak ucapkan kata-kata terakhir tu? Bila semua dah naik kereta hon dibunyikan sebelum kereta meluncur laju meninggalkan rumah kami. Ucu yang turut sama menghantar pemergian tetamu tadi memaut bahuku dan mengukirkan senyuman nakal.
           "Kesian kat abang Airilkan?"

           "Kenapa pulak?" aku menyoal balas.

           "Kempunan nak dengar suara akak Ucu ni la."

          "Elehh..tunggulah bila dah kawen esok, kot tak larat nak tadah telinga dengar akak membebel.." sambil berkata, aku terus melangkah masuk ke dalam rumah dan Ucu turut serta mengikut langkahku.

             MALAM itu Airil menghubungiku dan kami berbual panjang. Terlerai juga rinduku ini terhadapnya. Moga kasih kami yang baru dibina ini akan terus kekal untuk selamanya. Aku hanya ingin abadikan cinta, kasih dan sayangku hanya buat seorang lelaki yang bergelar suami.

             Padamu Airil Farhan, aku akan tetap menjadi orang gaji di hatimu. Bila kita disatukan nanti, akulah orangnya yang akan menguruskan rumah tangga kita. Akan terus menjadi orang gaji yang teristimewa dalam hidupmu. Nantikan kedatangan aku dengan keramahanmu sebagai majikan yang akan terus bertapa di hatiku untuk selamanya.


           

Penyamar Bab 25


Bab 25     


            SELEPAS beberapa hari Encik Airil pun kembali bertugas. Rumah agam tu terus sunyi sepi tanpa suara Encik Airil yang kuat membuli itu. Sebelum Encik Airil kembali bertugas dia sempat menitipkan pesan padaku, katanya dia akan pulang semula tiga bulan kemudian, kerana dia akan ditukarkan ke luar negara untuk sementara waktu. Aku pun tak faham apa yang cuba disampaikannya. Bagi aku kalau dia tak pulang setahun pun, apa kena mengena dengan aku?

             Seperti apa yang aku rancangkan, selepas novel aku siap aku terus berhenti kerja. Ketika aku berhenti kerja tu, Encik Airil belum pulang semula ke rumahnya. Puan Syarifah memujuk aku untuk terus bekerja dengannya, tapi aku bagi alasan aku mendapat kerja di tempat lain.

            Aku tak tahu lagi rancangan aku yang seterusnya. Nak tahu tak apa kisah novel aku tu? Aku terbalikkan ceritanya. Watak Encik Airil tu aku buat sebaliknya. Dalam novel aku, heroin bercinta dengan Encik Airil kerana Encik Airil yang menyelamatkan maruahnya bila ayah Encik Airil yang miang tu ingin memperkosa dirinya. Encik Airil aku gambarkan sebagai seorang pencinta yang setia. Mereka berkahwin dan berbahagia akhirnya. Aku beri tajuk pada novel tu, Orang Gajiku Isteriku. Seminggu selepas novel Orang Gajiku Isteriku diterbitkan, aku keluar makan dengan Ucu.
           
          "Okey, hari ni kak Yang bagi tau saja Ucu, nak makan apa. Ucu baru dapat gaji ni." tawaran yang paling menarik minatku.

           "Okey, tapi kak Yang ada permintaan yang lain. Jangan panggil kak Yang tapi kena panggil sayang untuk hari ini, lebih-lebih lagi kalau ada yang menegur. Tak kisahlah yang tegur kak Yang atau pun tegur Ucu, boleh?" aku pula buat permintaan nakal tu. Dalam hatiku ada sedikit debar, entah kerana apa, tapi aku percaya aku akan jumpa seseorang yang aku kenal hari ni. Sekurang-kurangnya kalau terserempak dengan orang lagi taklah aku malu lagi nak mengaku yang aku ni masih single.

             "Ucu on saja. Kalau macam tu, nanti kak Yang pula panggil Ucu bie." aku pandang Ucu semacam saja. Bukan panggilan tu untuk suami saja ke? Singkatan untuk perkataan hubby.

              "Bie untuk singkatan baby bukan hubby!" Ucu merungkaikan kekeliruan aku.Macam tau-tau saja Ucu ni apa yang aku fikir.

             "Baiklah bie,kita couple untuk hari ni ok. Let’s go,..KFC I'm coming!"

            "KFC lagi..." Terdengar keluhan lemah Ucu. Setiap kali keluar dengan dia mesti aku suruh dia belanja aku makan KFC. Kalau dengan Along, Angah or Alang mereka yang selalu menang. Kalau nak makan kena ikut selera mereka, tapi dengan Ucu dia lebih mengikut daripada berlawan dengan aku. Sebab tu aku sayang lebih kat adik bongsu aku ni. Hihihi,..

              Aku masuk dalam mall dengan ucapan Bismillah. Entah kenapa langkah saja dalam mall hari ini hati aku berdebar sangat, lebih kurang macam cerita Shah Rukh Khan tu, Khabi Kushi Khabi Gham. Bayangkanlah sendiri!.

             "Acik Shah, Acik Shah..horey, jumpa Acik Shah." aku dan Ucu serentak menoleh ke arah suara itu.Ucu pula dengan spontannya terus memegang tangan aku bila melihat dua orang kanak-kanak, dua orang lelaki dan seorang perempuan menuju ke arah kami. Siapa yang kami jumpa? Tentulah keluarga bekas majikan aku, Encik Airil, Yusri, Yusrina, Dania dan si kecil Danial.

             "Hai my dear Danial, my sweet heart Dania. Apa khabar?. Dania dan Danial sihat?" sebak pula aku tiba-tiba dengan pertemuan ini. Aku uraikan tangan Ucu yang memegang tangan aku.Ucu ni terlebih berlakonlah pula.Aku tundukkan wajah dan cium pipi Dania. Danial pula aku dukung dan cium juga pipinya kiri dan kanan. Rindu betul dengan mereka berdua.

          "Kak Shah dari mana ni?" Yusrina menyalami tanganku. Ucu pula bersalam dengan Encik Airil dan Yusri.

           "Nak gi KFC, jom join kami?" aku pula membuat tawaran kepada mereka. Dalam hati pula lain katanya. Aku berdoa agar mereka menolak. Aku berdebar pula berdepan dengan Encik Airil sekarang. Encik Airil dari tadi merenung aku semacam saja. Bila aku keluar dengan seorang model sambilan pakaian pun aku suaikan mengikut situasi. Takkan aku nak pakai selekeh pula.

         "Boleh join ke? Tak ganggu ke?" Encik Airil pula bersuara. Dia memandang aku dan Ucu silih berganti. Aku pula pandang Ucu sambil menjungkitkan kening. Ucu angkat bahu.

         "Yeayy....Danial nak pergi KFC." belum sempat aku membalas, Danial terlebih dulu bersorak. Aku letakkan Danial di bawah kembali. Macam tak jumpa anak sepuluh tahun pula aku buat Danial tu.

          "Dania nak jugak! Jom la Pak Ngah!" Dania pula merengek pada Encik Airil.

          "Tanyalah Acik tu…" Encik Airil pandang aku, langsung tiada senyuman di wajahnya.

           "Macam mana ni bie?" aku tanya Ucu.

           "Ikut sayang la, bie tak kisah." Ucu senyum padaku sambil kenyitkan mata. Aku tertawa perlahan. Baik punya lakonan.

               Hari ini dalam sejarah pun tercipta bila aku dan Ucu makan bersama dengan keluarga bekas majikan aku ni. Dania dan Danial pula langsung tak mahu berenggang dengan aku. Aku rasa bangga pula, walau sekejap saja aku jadi baby sister mereka tapi mereka begitu menyanyangiku. Ucu dengan Yusri pula rancak bercerita pelbagai kegemaran mereka. Photografilah, modellinglah, sukan dan sebagainya. Aku dan Yusrina lebih dari bertanya khabar masing-masing. Encik Airil pula lebih banyak diam dari bercakap, tapi yang aku perasan Encik Airil asyik merenung aku yang melayan kerenah Dania dan Danial.

            "Ayang, Ucu..makan KFC tak ajak Angah pun." kami ditegur oleh satu suara. Semuanya menoleh serentak. Si kecil yang didukung Angah sudah hulurkan kedua belah tangannya padaku. Aku juga menghulurkan tangan untuk menyambut Alisya dari dukungan Angah. Aku mencium pipi Alesya kiri dan kanan. Alesya juga mencium pipiku kiri dan kanan bila aku memberi isyarat dengan mengunjuk pipiku pada Alisya. Inilah anak saudaraku yang bijak dan manja denganku.

            "Angah dengan abang Am dari mana ni?" aku tak peduli lagi dengan pandangan Encik Airil, Yusri dan Yusrina. Angah dan Alang kakak yang paling tak sporting sekali, berbeza dengan Along dan Ucu. Aku lebih ngam dengan mereka berbanding Angah dan Alang.

             "Shoping." sepatah saja ungkapan Angah sambil tangan dihulur untuk bersalam dengan Yusrina. Begitu juga dengan abang Idham. Biar di mana kita berada adat bersalam tetap diutamakan.

             "Makan." aku pelawa Angah dan abang Idham sambil tersenyum.

              "Bam,bam la Ayang, KFC saja yang dia tahu." abang Idham menyakat aku. Ucu dan Angah turut tersenyum dengan kata-kata abang Idham.

              "Biarlah, bukan Ayang nak kacau abang Am pun." aku menarik muka sekejap. Aku tahu abang Idham ni memang suka menyakat aku.

              "Ayang Mas Merah, Mohd Taufik..korang ni tak ada benda lain dah ke nak makan?" tu dia, entah dari mana Alang ni muncul. Dengan perut boyot dia tu tiba-tiba main sergah saja. Pandai pula mereka ni cari lokasi kami ni. Macam tau-tau saja aku dan Ucu ada di sini. Kebetulan atau suratankah ini?.

             "Haa, dah sampai pun. Jomlah kita." Angah pula bersuara.

          "Alang dengan Angah berjanji nak jumpa di sini ke?" Ucu menyoal pula. Itu juga soalan yang ingin aku tanya tapi Ucu pula yang terlebih pantas dari aku. Aku pandang kedua kakakku dan abang Idham mohon penjelasan.

          "Abang Nas tak datang sekali ke? Lepas pulak dia mak labu dia ni, keluar dengan perut boyot ni?" aku ajukan soalan pada Alang sambil tergelak kecil. Alang dah buntangkan matanya.

           "Alahh, Ayang tunggulah time Ayang esok. Sedap saja cakap orang boyot." Alang tarik tangan Angah untuk berlalu dari situ. Sedari tadi memang aku perasan tiga orang hamba Allah depan aku ni sedang pandang aku semacam saja, lebih-lebih lagi Encik Airil. Mungkin inilah sebabnya debaran yang aku rasa sebentar tadi. Aku bakal berjumpa dengan orang-orang yang aku kenal. Aku pandang Ucu di sebelah, dia hadiahkan senyuman nakal padaku.

           "Jomlah Angah, usah dilayanlah budak-budak glamer tak cukup satu sen ni." itulah Alang. Kalau dengan kami berdua, adik-adik dia yang tersayang ni, ada saja dia nak cari gaduh, tapi gaduh-gaduh sayang.

           "Bye Alang, jatuh bangun sendiri ya." aku usik Alang lagi. Alesya aku hulurkan pada Angah. Sebelum mereka pergi, sekali lagi kami bersalaman. Sebenarnya keluarga aku dah lama  kenal semua ahli keluarga Puan Syarifah ni. Tak perlu diperkenalkan lagi. Bila Alang dan Angah pergi aku pandang Encik Airil dan pandangan kami bersatu. Aku larikan pandanganku dengan perasaan serba salah.

         "Ayang Mas Merah? Awak tak ada apa-apa nak bagi tahu saya ke?" Encik Airil tanya aku. Serius betul nada suaranya. Aku menoleh ke arah Ucu, dia angkat bahu. Aku pandang pula wajah Yusri dan Yusrina.

         "Rina dan Yus dah tahu semuanya. Papa dan mama pun tahu, kecuali abang Airil. Dia sorang saja yang tak tahu apa-apa." Yusrina bersuara sambil tersenyum, Yusri turut mengiyakan sambil tersenyum serta menjeling Encik Airil di sebelahnya. Aku yang tercengang, tidak percaya. Ohh, tidak….

           "Apa semuanya ni?" Encik Airil menyoal pula adik-adiknya.

           "Abang tanyalah kak Shah." jawapan mudah Yusrina. Aku juga yang terperangkap dengan penipuan aku sendiri.