AKU ibarat burung merpati, nampak jinak dari jauh tapi bila didekati aku
terus terbang menjauh. Aku selalu bermain tarik tali, suka merenung dari jauh
tapi bila dekat aku selalu jual mahal. Bukan senang untuk memiliki hatiku dan
bukan senang juga untuk mendekatiku. Aku ada prinsip aku sendiri dan yang pastinya
aku sudah mendapat amaran daripada kak Rosnani.
‘’Pi sekolah belajar betoi-betoi, kalau pi sekolah nak bercinta berenti
sekolah.’’ Ganas sungguh amarannya hingga membuatkan bulu romaku meremang
kerana aku masih ingin bersekolah. Kalau berhenti sekolah, macam mana nak usyar
dia dari jauh lagi? Mesti aku bakal menjadi perindu sepi.
Sebenarnya aku ni pemalu terutamanya dengan lelaki, selebihnya aku
trauma dengan insan bergelar lelaki. Ramai lelaki yang bermata keranjang dan
tak boleh dipercayai. Aku paling takut kalau dicurangi dan aku belum bersedia
untuk terluka. Aku menjaga hatiku dan mengawal diri agar jangan terlalu suka,
cukuplah sekadar meminati dalam diam. Tak perlu nak bertemu muka dan nak
berdating bagai. Itu bukan aku! Aku percaya dengan jodoh yang telah Allah
aturkan cuma sekarang aku tidak mampu untuk mengawal perasaan ini.
Perasaan ini adalah anugerah Allah untukku. Bukan dia seorang pelajar
lelaki sekolah kami tapi kenapa dia yang menjadi pilihan? Aku percaya, Allah
yang beri aku rasa ini. Aku seorang yang sangat setia, sekali aku beri hatiku
padanya, takkan ada lagi peluang lelaki lain untuk merebutnya tapi andai aku
dan dia tiada jodoh, aku akan redha menerima ketentuanNya. Itu janjiku pada
diri.
AKU dan Rozaimah bertugas hari ini dan waktu rehat kami tak keluar
makan. Selesai tugas kami menyusun meja dan menyapu sampah kami memilih meja
guru untuk bersantai sambil melihat panorama luar kelas melalui cermin tingkap
nako kelas kami.
Pandangan mataku mengarah ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sedang
bersantai di bawah pokok ketapang. Aku sempat menangkap kelibat dia di situ dan
kesempatan ini tidak aku lepaskan untuk usyar dia dari jauh.
‘’Imah..hang nampak dak geng yang dok
bawah pokok tu..aku suka salah seorang daripada depa.’’ Aku membuat pengakuan
lisan pada Rozaimah kerana aku percaya hanya Rozaimah seorang saja yang boleh
menyimpan rahsia hatiku ini.
‘’Tu diaa..diam-diam ubi hang ni. Hat mana satu woi..’’ Rozaimah terus
mengusik aku dan memandang keluar tingkap.
‘’Hat pakai baju warna lain daripada orang lain..’’ aku malas untuk
berahsia dengan Rozaimah, kami memang sangat rapat dan dialah satu-satunya
sahabat aku yang selalu berkongsi suka dan duka walaupun bukan semuanya aku
cerita pada dia.
‘’Oh hat tu..’’ Rozaimah berkata dan ketawa. Dia memandang aku dan kami
ketawa bersama. Tak tahu kenapa mata aku tidak mahu kalah hari ini, memandangkan
dia berada di bawah dan aku di atas jadi aku mengambil peluang ini untuk terus
melihat dia tanpa rasa takut.
MASA terus berlalu dan hati aku masih berdegil untuk menyimpan wajahnya
untuk berada di setiap sudut hatiku ini. Namanya aku tak tahu. Aku juga tak
berani untuk bertanya. Biarkan saja wajahnya yang bersemadi dalam hatiku, ianya
takkan tergugat walaupun digoda oleh lelaki yang paling kacak dalam dunia ini.
Perasaan ini adalah anugerah Allah, bukan aku yang minta, ianya datang tanpa
diundang, datang tanpa amaran dan aku pasrah.
‘’Dia datang dengan lenggang lengoknya.’’ Rozaimah menyanyi ceria sambil
tersenyum lebar dan mengerling ke arahku. Ini yang lecehnya bila rahsia hatiku
sudah aku bongkar. Ada saja aksi yang Rozaimah gunakan untuk mengusik aku.
Ketika kami sedang berehat menunggu loceng sekolah berbunyi untuk masuk
ke dalam kelas kami nampak dia sedang berjalan seorang diri dari belakang pintu
belakang sekolah. Aku tahu dia meletakkan basikalnya di rumah kawannya di
belakang sekolah. Kami pernah terserempak dengannya sedang melepak di situ
bersama kawan-kawannya yang lain.
Aku mengambil peluang ini untuk usyar dia tapi tak lama, hanya sekejap
saja dan aku kembali berbual dengan kawan-kawan yang lain. Ramai kawan-kawan
sekelas yang rapat denganku berkumpul di sini, namun hanya Rozaimah yang tahu
rahsiaku. Aku tak berani untuk bercerita dengan orang lain terutama pada Ameera
atau Yusni. Kami memang baik tapi aku malu untuk bercerita pada mereka. Aku
kurang yakin untuk meluahkan rahsia hatiku yang satu ini.
‘’Satgi sainskan?’’ Aida yang berada di sebelah kiriku bertanya. Aku
mengangguk dan membayangkan suasana di dalam makmal yang akan kami masuk sekejap
nanti.
‘’Hang siap dak lagi nota?’’ aku memandang Aida dengan perasaan kaget.
Riak wajah aku bertukar gerun. Habislah…
‘’Aku lupa..cikgu tak kutip kot noo..’’ aku berkata laju dan berharap
agar nota sains yang cikgu Kamariah beri tidak dikutip hari ini. Aku kalau bab
nota memang selalu lupa, lebih-lebih lagi nota kelas jahitan dan setiap kali
juga bila cikgu menyuruh kami menyerahkan kerja yang diberi pasti aku akan
didenda untuk jalan itik. Pemalas! Itulah aku, sebab itulah kalau aku lulus
dalam peperiksaan memang payah orang nak percaya. Bab kena denda aku juga
pemegang tropinya.
TINGKATAN tiga aku di kelas 3 Kenanga. Guru kelas kami cikgu K.S Tan dan
dia mengajar matapelajaran matematik. Salah seorang sepupu abang Mat Dan
menjadi cikgu matapelajaran Bahasa Malaysia, namanya cikgu Salmiah bt Abd
Hamid. Setiap kali cikgu Salmiah datang ke rumah mak abang Mat Dan aku akan
bersembunyi kerana malu tapi aku pasti cikgu Salmiah kenal siapa aku.
Cikgu Salmiah lambat masuk ke dalam kelas
dan kelas sangat bising. Tadi kami mendapat arahan untuk membuat kerja
masing-masing kerana semua guru yang mengajar sedang bermesyuarat di bilik
guru. Aku macam biasa suka membaca dan novel menjadi pilihan aku. Aku mungkin
pemenang tropi kalau bab malas menulis nota tapi bab bising aku tetap kalah
kerana hobi aku lebih suka buat kerja dalam diam.
Aku suka membaca sejak sekolah rendah dan bila tiada kawan waktu rehat
aku akan menuju ke perpustakaan dan membaca buku kegemaran aku. Dulu, kalau
masuk perpustakaan aku akan baca buku penyiasatan. Aku suka baca buku kisah
misteri dan kisah kumpulan penyiasatan tiga sekawan atau tujuh sekawan. Aku
membaca sambil berfantasi dan cuba membayangkan suasana dalam buku yang aku
baca.
Bila
masuk sekolah menengah aku masih mengekalkan hobiku dengan membaca. Bila waktu
terluang atau guru tidak masuk ke dalam kelas aku akan membaca novel yang aku
pinjam dari perpustakaan sekolah. Kadang-kadang aku akan pergi ke perpustakaan.
Aku memang lebih suka menyendiri kerana kawan-kawan aku bukannya selalu ada
untukku. Kadang-kadang aku ditinggalkan juga. Aku selalu tak ada duit untuk
pergi makan, jadi bila mereka ke kantin, aku akan melangkah ke perpustakaan
seorang diri.
‘’Bangun! Assalamualaikum cikgu.’’ Ketua kelas tiba-tiba bersuara. Kelas
yang riuh rendah tadi menjadi sunyi sepi. Aku yang asyik membaca sambil
berangan terus panggung kepala. Cikgu Salmiah sudah berada di depan kelas
dengan wajah yang menyingga.
‘’Assalamualaikum cikgu.’’ Seluruh kelas bergema setelah kami semua
bangun untuk memberi salam.
‘’Waalaikumusalam..duduk. Amboi sakan haih
depa buat pesta, cikgu dok di kantin dengaq dah soqa hampa.’’ Cikgu Salmiah
terus berleter selepas menjawab salam dan menyuruh kami duduk. Kelas terus
menyepi.
‘’Ketua kelas, bagi nama sapa
yang buat bising.’’
‘’Semua cikgu.’’ Ahmad ketua kelas kami menjawab bersahaja. Aku membantah
di dalam hati. Aku yang pendiam ini pun terjebak sama? Tak adil!
‘’Beratur mai sini..lelaki dulu..’’ cikgu Salmiah memberi arahan. Kami
tiada pilihan, seorang demi seorang pergi mengadap cikgu Salmiah di meja guru.
Kami semua dicubit perut oleh cikgu Salmiah. Tiba giliran aku yang ditarik
hanya baju. Eh..biar betul, tak sakit pun. Ketika sekolah rendah dulu aku pernah
ditarik telinga oleh cikgu Haji Ismail kerana tidak menyiapkan kerja sekolah
hingga telinga aku menjadi kudis. Aku pernah disuruh berdiri di luar kelas,
ketuk ketampi, berdiri di atas meja, berdiri di atas kerusi kerana tidak
menyiapkan kerja sekolah. Kali ini kerana membuat bising seluruh kelas dicubit
perut namun aku terkecuali.
‘’Esok kalau cikgu tak ada sapa buat bising ambil nama.’’ Cikgu Salmiah
memberi arahan pada ketua kelas kami.
‘’Satgi ambil nama depa kata saya gila kuasa cikgu.’’ Ahmad menjawab dan
suara-suara ketawa terus bergema.
‘’Hat yang kata tu, ambil nama dia sekali.’’
‘’Kalau hat buat bising tu yang kata cikgu?’’
‘’Tulis nama dia banyak kali, yang tu pun saya nak kena ajar ka?’’ dalam
menjawab cikgu Salmiah menyoal. Ahmad mengaru kepala dan tersengeh. Pelajar
yang lain termasuk aku turut tersengeh sama.
‘’Ambil buku nota ni balik buat latihan..buka buku teks muka surat dua
puluh, selesaikan. Jangan jadi macam latihan lepas, tengok saya ada tulis dalam
buku nota, sapa saya tak ingat. Ada ka buat ayat macam tu..’’
‘’Sapa cikgu?’’ Kudin yang menyoal. Dia memang selalu menyibuk.
‘’Tengok sendiri, saya ada tulis dalam buku nota kamu.’’
Aku membuka buku latihan aku yang baru diberikan. Masing-masing sibuk
menyemak buku latihan yang baru diterima. Terasa muka aku bagaikan ditampar
membaca tulisan daripada dakwat merah dalam buku latihan aku.
Gila ka! Buat pembetulan! Kalau aku memiliki wajah yang mudah berubah
aku pasti wajah aku sudah merah sekarang ini. Malu dan rasa sangat tercabar
tapi aku akui kesilapan diri. Latihan yang diberi oleh cikgu Salmiah adalah
membuat ayat mengunakan perkataan TER dan ayat aku yang satu ini memang agak
bodoh sikit. Tidak hairan kalau aku menerima reaksi begini.
‘Abu hendak membawa adiknya pergi berkelah tapi terbawa neneknya.’ Ayat
mudah yang aku tulis dan menerima amarah daripada cikgu Salmiah. Ketika ini aku
rasa macam nak koyak saja bahagian ni tapi aku tak berani nak koyak. Aku
berpura-pura berwajah selamba. Tak berani cerita pada sesiapa pun. Malu sungguh
kalau orang lain tahu, mesti aku akan diketawakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.