"ASSALAMUALAIKUM..Pak
Din, oo Pak Din.." waktu maghrib baru saja berlalu. Di depan rumah ada
orang memberi salam dan memanggil nama ayah.
"Ayah takdak, ayah tak
balik lagi.." kak Aziah yang membuka pintu dan menjawab panggilan sang
tetamu yang tak diundang.
"Laa..ayah ka!"
suara kak Aziah berbunyi lagi diikuti dengan ketawa ceria.
"Mak..ayah balik!"
kak Aziah masuk ke dalam rumah dan melaung pada emak yang masih di atas tikar
sejadah. Emak hanya menoleh tanpa suara. Aku, kak Rosiah, kak Salwa dan kak
Suhana keluar ke beranda. Ayah naik ke rumah sambil menghulurkan bungkusan
plastik pada kak Salwa.
Abang Azaahari hanya memerhati
ayah masuk ke dalam rumah dengan wajah tanpa riak. Dia memang paling pendiam
antara kami semua tapi dia seorang abang yang penyayang dan sporting. Mungkin,
statusnya sebagai abang sulung membuatkan sikapnya lebih matang. Usianya baru
tujuh belas tahun tapi tanggungjawab yang dipikul sangat besar. Dialah penganti
ayah ketika ayah tiada di rumah.
Keluarga kami sangat miskin,
ibarat kata kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bila ayah keluar
rumah, dia tak tinggal sesen pun pada emak tapi bila dia tiada duit dia akan
minta pada emak. Orang kampung puji ayah baik, tapi orang tak pernah tahu sikap
sebenar ayah.
Ayah ramah dengan semua orang.
Ayah baik dengan semua orang. Anak-anak saudara ayah selalu puji ayah yang
terbaik. Kata mereka, kami beruntung kerana ada ayah seperti ayah kami tapi
mereka tak tahu, ayah cukup garang dengan anak-anak.
Aku pula, anak bongsu yang
paling nakal dan tak dengar cakap. Ayah tak pernah bagi peluang untuk aku
bermanja dengannya. Kalau dia suruh dan aku membentak, tunggulah berbirat badan
aku ditibainya. Mak kata, ayah pukul aku sebab ayah sayang aku. Iya ka?
USAI solat Isyak, emak
menyediakan makan malam kami. Macam hari-hari biasa, makanan kami cuma ikan
tamban kering goreng, sambal belacan dan ulam-ulam kampung.
Aku hanya makan nasi
berlaukkan telur ayam kampung goreng dengan kicap. Inilah makanan kami setiap
hari. Kalau rezeki lebih dapatlah makan lauk ikan darat. Itu pun kalau emak
atau abang Ari keluar memancing ikan.
Kalau dapat ikan banyak, emak
akan buat pekasam atau ikan kering. Kalau lebih, emak akan jual untuk duit
belanja kakak-kakakku ke sekolah. Abang Ari, kak Aziah dan kak Salwa tidak
bersekolah kerana tak mampu untuk naik ke sekolah menengah. Hanya kak Suhana
dan kak Rosiah saja yang masih bersekolah. Itu pun, jenuh juga untuk menyiapkan
belanja mereka berdua. Sekolah jauh sangat dari rumah. Kenderaan langsung
tiada. Pergi sekolah berjalan kaki.
Hidup kami cukup melarat, sebab
itu saudara mara tak pandang. Namun, ada juga jiran sekampung yang baik hati.
Mereka yang prihatin, selalu hantarkan makanan atau pakaian terpakai untuk
kami.
Tapi..semua ini tidak
menghalang kami dari mengecapi nikmat bahagia. Miskin tidak bermakna kami
sengsara. Emak seorang yang sangat penyabar, pengasih dan penyayang. Dialah
kebahagiaan kami yang tak ternilai harganya.
Selepas makan malam, aku
mencari Comot. Di mana Comot ni? Aku bertanya di dalam hati.
"Mak..Comot mana?"
aku tanya emak dalam nada suara manja.
"Comot dah lari dari
ghumah." abang Ari yang menjawab. Aku sebak tak semena-mena. Kakak-kakakku
sudah ketawa.
"Dak! Comot sayang adik!
Comot tak laqi!" aku bertempik kuat, suaraku sudah tersedu dan hampir
menangis. Air mata sudah bergenang. Semakin galak kakak-kakakku ketawa.
"Comot dah nikah, dia
ikut laki dia balik ghumah mak mertua." abang Ari berkata lagi. Bibirnya
tersenyum dan tangannya menepuk kepala aku perlahan.
"Abang Ari bohong! Comot
mana boleh nikah! Comot bukan orang! Comot kucing!" aku bertempik lagi dan
suaraku bersatu dengan tangisanku yang semakin menjadi-jadi.
"Comot dah nikah la,
dengan kucing jantan Syaaban.." kak Rosiah pula berkata, semakin kuat
tangisanku bergema dan semakin rancak mereka ketawa.
"Ehh..Comot kita bukan
kucing jantan ka? Takkan kucing jantan nikah dengan kucing jantan?" kak
Aziah bertanya dan rumah kami semakin riuh rendah dengan gelak ketawa
kakak-kakak dan abangku. Hanya aku yang sedang berlagu sendu. Tak aci! Mana
aci, lima lawan satu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.