My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Selasa, 3 September 2019

Nur Jannatul Firdausi Bab 5

                    AKU mogok lapar. Berhari-hari aku tak mau makan gara-gara abang Ari tuduh Comot mati kerana aku. Memang aku suap Comot pulut tanak dengan kelapa parut dan berlaukkan ikan tamban kering goreng sebelum hari kejadian.

                    Takkanlah Comot mati kerana makan pulut? Aku pun makan pulut juga, semua orang dalam rumah kami makan pulut, tak mati pun.

                   "Adik, makanlah sikit, emak masak bubur ni khas untuk adik sorang saja. Kalau adik tak makan, satgi kak Ros balik sekolah, dia makan semua. Adik juga yang melepas." kak Aziah memujuk aku tanpa jemu.

                    Hari ini hanya tinggal aku dan kak Aziah saja di rumah. Kak Suhana dan kak Rosiah pergi sekolah. Abang Ari pergi bekerja di kebun kacang Tokey Ah Hock di Padang Lembu. Ayah macam biasa, keluar bekerja membuat rumah orang. Kak Salwa tolong emak merumput di kebun.

                 "Adik tak mau makan. Adik tak suka la abang Ari tu, dia kata Comot mati sebab adik. Mana ada! Adik tak mau Comot mati. Kak Aziah suruhlah Comot balik. Adik rindu kat Comot. Nanti adik tidoq, nak peluk sapa, Comot takdak?" aku merengek pada kak Aziah. Rasa macam nak menangis bila teringat pada Comot.

                  Comot yang manja dan jinak. Comot yang pandai dan comel. Comotlah segalanya dan dia teman aku yang setia.

                  "Comot dah mati, nak suruh dia balik macam mana?" soalan kak Aziah buat aku tersedu dan akhirnya air mata jatuh di pipi. Aku sebak bila dengar kak Aziah sebut Comot mati. Aku bangun dan berlari ke tangga yang menghubungkan dapur.

                 Dapur di tingkat bawah, dan tangga nak turun ke dapur sangat tinggi. Aku berlari laju dengan niat dalam hati nak turun ke dapur untuk keluar melihat kubur Comot. Namun, kakiku tersadung tikar depan pintu dapur dan aku terasa tubuhku melayang ke bawah.

                "Adik Tiiiii..." aku dapat mendengar suara kak Aziah menjerit.


                  AKU cuba mengerakkan mata, tapi..sukarnya. "Mak.." aku cuba panggil emak.

                 "Adik dah jaga, mangkit makan adik Ti, mak sembahyang, satgi mak mai." suara kak Aziah. Aku cuba buka mata lagi namun hanya mata kanan saja yang dapat melihat. Mata kiri terasa sangat berat.

                "Kak..mata adik sakit." aku berkata sayu.

               "Mata adik bengkak. Tu la, kak Aziah dah banyak kali pesan, jangan berlaqi dalam ghumah tapi adik ketegaq. Kan, dah jatuh tangga."

                "Tapi, adik nak pi tengok kubur Comot. Adik rindu Comot. Adik nak pi tabur bunga kat kubur Comot." aku membalas dengan nada sendu. Rasa nak menangis bila kak Aziah salahkan aku. Bukan aku sengaja nak terjun tangga tu.

                "Nasib baik lantai dapur tak boh simen lagi, kalau ada simen mesti kepala adik pecah." kak Salwa pula yang bersuara. Aku sebak lagi, air mata mula bergenang. Bibir sudah herot menahan tangis.

               "Kalau kepala adik pecah, adik mati boleh jumpa dengan Comot."

               "Adik! Awat cakap macam tu?"

                     "Kalau kepala pecah, mana boleh hidup dah. Ghumah kita mana ada hospital." aku membalas mengikut apa yang aku fikir.

                     "Hiesy..adik ni, adik mau ka mati? Kalau mati, nanti orang tanam dalam tanah, kena kambuih. Adik mau, tinggai sorang-sorang dalam tanah!"

                    "Laa..Comotkan ada! Tanam la adik sebelah kubur Comot, nanti adik boleh kawan dengan Comot."

                   "Mak..tengok adik ni, mereben tak tau hala." kak Salwa mengadu pada emak sebaik emak menghampiri kami.

                  "Awat? Adik mereben apa?" emak duduk di sebelahku dan membelek luka di tepi mata kiriku.

                  "Adik ni ha..dia kata.."

                  "Kak Wa yang kata kat adik dulu. Kak Wa kata kalau dapur ada simen, kepala adik pecah. Kalau kepala adik pecah mestilah kena mati.." sebelum sempat kak Salwa mengadu, aku mengadu dulu.

                  "Salwa..awat yang kata kat adik macam tu? Kepala adik tak pecah pun. Elok ja ni..adik kecik lagi, mana boleh mati lagi. Kan, adik?"

                "Alaa..boleh la adik mati, nanti adik boleh jumpa dengan Comot."

                   "Habih tu, kalau adik mati, mak nak tinggal dengan sapa?" emak bertanya sambil merenung wajahku. Aku sembamkan wajah di atas riba emak.

                    "Alaa..adik sorang ja yang mati, ayahkan ada. Abang Ari, kak Aziah, kak Wa, kak Hana, kak Ros, semua ada. Kesian kat Comot mak, dia takdak kawan, nanti adik boleh kawan dengan Comot." aku cuba pujuk emak. Aku pandang wajah emak. Tangan emak mengelus rambutku perlahan. Mulut emak bergerak-gerak tapi emak tak bersuara pun.

              "Kalau adik mati, Putih nak kawan dengan sapa? Tak kesian kat Putih ka? Nanti Putih tak dak kawan." aku baru teringat Putih tapi..

             "Kak Aziah la tolong kawan dengan Putih." aku mendapat Ilham untuk membalas. Selalunya, selain emak dan abang Ari, kak Aziah juga yang selalu bagi Putih makan.

                "Putih tak mau kawan dengan kak Aziah, dia nak kawan dengan adik jugak." aku terdiam mendengar kata-kata kak Aziah. Putih pun sayang aku jugak? Tapi, Comot sayang aku, Comot mati, kalau Putih pun sayang aku nanti Putih pun mati macam Comot. Aku tak mau Putih mati!

                   "Adik tak mau la kawan dengan Putih, satgi Putih mati jugak macam Comot." aku berkata tegas dan terus pejamkan mata. Aku bayangkan aku mati dan jumpa Comot. Comot, adik mai ni. Kita kawan, kan Comot?

                    SEMUA orang suruh aku lupakan Comot. Aku pun pura-pura lupakan Comot dan main dengan kawan-kawan macam biasa. Kadang-kadang bila aku tak dapat menahan rindu aku pada Comot, aku akan pergi pada Putih. Aku akan berbual dengan Putih dan belai kepala Putih.

                  "Putih, putih jangan mati macam Comot tau!" aku bercakap dengan Putih. Dia sondol kepalanya ke badanku sambil mengoyangkan ekornya.

                 "Comot dah mati, kalau Putih pun mati macam Comot, satgi adik sunyi. Adik ada Banu, tapi Banu selalu bekelahi dengan adik. Dia selalu jelian lidah dia kat adik. Syaaban pula selalu kutuk adik. Nazim? Huh! Adik paling tak suka dengan Nazim. Mak Nazim jahat. Kalau Nazim berkelahi dengan adik atau kak Ros mesti mak Nazim akan serang mak. Walaupun, mak kata ayah Nazim tu adik ayah tapi adik tetap tak suka Nazim." aku terus mengadu pada Putih. Kepala Putih aku belai lagi.

                  Putih anak Merah, umurnya aku tak tahu tapi kak Aziah kata umur Putih lagi muda dari aku walaupun Putih lebih besar dari aku. Tapi, ketinggian Putih hampir tinggi paras aku, jadi bolehlah aku belai Putih selalu. Mak Putih aku tak boleh belai sebab Merah besar sangat. Gemuk pula tu. Emak aku kata, jangan dekat sangat dengan Merah, nanti aku kena tendang. Hais, takkan Merah tak sayang aku? Aku sayang Merah, aku sayang Putih dan aku sayang semuanya termasuk hitam dan Peah si kambing tu.

              "Nur Jannati..jangan kacau Putih. Kan Putih tengah makan tu." aku dengar emak memanggil namaku. Aku buat-buat tak dengar, nanti emak letih panggil, tentu emak diam. Ayah bukannya ada di rumah. Emak kata, lepas subuh lagi ayah dah keluar. Emak kata lagi, ayah keluar cari kereta sebab tak lama lagi kami akan pergi jauh dari sini. Eh? Putih macam mana? Kubur Comot boleh bawa sekali tak?

             "Kalau adik pergi jauh, Putih nak ikut dak?" aku tanya Putih lagi tapi Putih tak jawab pun. Ehh..Putihkan lembu.

              "Putih ikut adik na, kalau ayah dapat gheta nanti Putih boleh naik gheta dengan adik." aku masih berbual dengan Putih.

                "Adik Ti oii..dah takdak orang dah ka dalam dunia ni hang nak sembang? Dengan Putih pun menjadi noh?" aku dengar suara kak Suhana, lepas berkata begitu dia ketawakan aku. Huh! Buat apa sembang dengan orang. Semua orang suka menyakitkan hati aku kecuali emak.

                "Kak Hana kalut, pasai pa? Biaq pi la kat adik nak sembang dengan sapa pun." aku melaung kuat. Geram sangat dengan kak Suhana. Tak boleh tengok aku bahagia langsung.

               "Agak-agak la adik oii..Putih tu bukannya paham pun, adik cakap apa.."

              "Putih paham la! Bila adik tanya Putih, ajak Putih naik gheta sekali, Putih angguk kepala." aku berkata yakin tapi kak Suhana semakin galak ketawa.

                   "Mak!! Anak bongsu mak ni dah teruk mak! Dia nak ajak Putih naik gheta dengan dia, kita kena duduk atas bumbung la mak!" kak Suhana berkata kuat sambil gelak terbahak-bahak. Aku kebam bibir menahan geram.

                 "Abang Ari kena duduk dalam bonet gheta kot?" abang Ari pun sama, gelakkan aku. Ishhhh..

                  "Ayah nak juai Putih sebelum kita pindah la. Nak bawa Putih macam mana?" kak Salwa mencelah dengan wajah serius. Macam betul saja!

                "Tak boleh! Jangan juai Putih! Adik sayang Putih!" aku terus meraung.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.