DESTINASI kedua kami tiba tanpa sebarang gangguan.
Rakaman di atas kereta terus berlangsung. Kali ini meriah sikit bila Encik
Zafril dan Farisha asyik berbual dari mula kereta bertolak hingga sampai ke
destinasi.
Aku hanya mencelah bila sesekali
disoal oleh Encik Zafril. Sumaiyah macam biasa, hanya menjawab sepatah bila
ditanya dengan setiap soalan. Banyak topik yang Encik Zafril dan Farisha
bualkan. Topik melancong keluar Negara, tempat-tempat menarik yang pernah
mereka kunjungi dan pengalaman masa lalu mereka, yang paling menarik mereka
kongsikan. Aku mendengar dengan teliti setiap perbualan mereka. Itu juga
merupakan bonus untuk aku persembahkan dalam manuskrip novel aku nanti. Bukan
semua orang mempunyai pengalaman yang sama.
‘’Okey, kita dah sampai, sekarang
ni Fatin tak tahu kita datang, macam mana kita buat serbuan di pejabat Farisha
tadi, begitulah sekarang ni, kita akan serbu kelas Fatin mengajar. Sekarang ni,
Fatin sedang mengajar di kelas Enam Ara. Aishah, pastikan awak tak pakai cermin
mata hitam tu ya, kalau awak nak pakai cermin mata juga, boleh pakai yang ni.’’
Aku terkejut bila nama aku disebut lagi. Sambil berkata, Encik Zafril hulurkan
cermin mata tanpa kanta untuk aku. Cermin mata dengan bingkai hitam, sesuai
dipakai oleh warga tua atau watak-watak skema di dalam tv.
Tanpa sepatah kata, aku mencapai
cermin mata yang Encik Zafril hulurkan dan memakainya dengan selamba. Aku
pandang Sumaiyah dan dia tersenyum sambil mengangkat ibu jari tangan kanannya.
Encik Zafril sempat menoleh ke arah kami sebelum melangkah laju. Farisha
langsung tak ambil peduli seolah langsung tak terkesan dengan kehadiran aku dan
Sumaiyah. Mungkin bagi Farisha, aku dan Sumaiyah ni langsung tak wujud. Kami
seolah halimunan di matanya. Di rumah pun begitu setiap kali kami bertembung,
dia tak pernah menegur, apatah lagi untuk mengerling, jauh sekali memandang
kami.
‘’Awak masuk dulu Farisha. Saya
dan yang lain akan menyusul di belakang.’’ Encik Zafril menolak Farisha masuk
ke dalam kelas Enam Ara. Aku dan Sumaiyah sudah saling memandang antara satu
sama lain bila melihat gelagat Encik Zafril yang agak nakal. Pinggang ramping
Farisha yang mengenakan pakaian yang agak sendat disentuh lembut. Aku tergeleng
tanpa sedar. Aku sempat mendengar Sumaiyah beristighfar perlahan sambil
pura-pura menutup mata dengan tangannya. Aku dan Sumaiyah juga sempat berbalas
senyum sebelum masing-masing mencebik seketika.
‘’Assalamualaikum..’’ Farisha
memberi salam sebaik masuk ke dalam kelas. Kelas yang sunyi sepi terus riuh
dengan suara-sura pelajar yang dalam kehairanan. Masing-masing saling bertanya
sesama mereka, siapa kami yang tak diundang ini. Fatin yang sedang membelek
buku-buku pelajarnya di meja guru juga sudah membuat mimik muka terkejut dengan
kehadiran kami.
‘’Assalamualaikum semua...’’ kali
ini Encik Zafril pula melangkah masuk dan memberi salam dengan suara yang
ceria. Aku dan Sumaiyah teragak-agak untuk masuk. Salah seorang jurugambar
mengarah kami untuk masuk bersama. Pengarah juga turut serta bersama kami kali
ini. Agaknya, tuan pengarah sudah lama tiba dan menunggu kami di lokasi ini
sejak tadi. Mungkin juga tuan pengarah datang awal untuk meminta izin untuk
membuat pengambaran di sini. Segalanya adalah mungkin.
‘’Ada apa ni?’’ seperti Farisha,
Fatin juga menyoal dengan soalan yang sama.
‘’Relax Fatin. Jangan mengelabah
dulu.’’ Encik Zafril memujuk Fatin yang sudah berubah wajah. Dia macam marah
dengan kedatangan kami. Suasana riuh dalam kelas tersebut seolah tidak
dihiraukannya. Wajah Fatin merah dan nampak sedikit tegang. Fatin memang
berwajah garang dan sedikit sebanyak, kemungkinan kedatangan kami telah
mengugat tugasnya sebagai seorang guru. Aku berceloteh di dalam hati bila
melihat respon yang ditunjukkan oleh Fatin.
‘’Kenapa nak buat pengambaran di
sini? Encik Zafril dan Tuan Pengarah tak pernah cakap pun, akan buat
pengambaran di tempat kerja seperti ini. Ini dah langgar perjanjian kita. Mana
boleh macam ni?’’ tanpa diduga, Fatin melenting juga, walaupun dalam nada suara
yang tertahan-tahan.
‘’Ini sebahagian dari skrip yang
telah kami rancang Fatin. Membuat suprize untuk peserta dan kebetulan, antara
empat orang peserta, awak dan Farisha saja yang bekerja. Farisha pun dapat
susprize macam ni juga tadi. Relax Fatin, jangan mengamuk dulu. Ini semua untuk
meningkatkan rating rancangan ini. Kalau rancangan ini berjaya menarik minat
penonton, semua peserta pun akan mendapat habuan juga. Semua ini bukan free
Fatin.’’ Aku dapat menangkap kata-kata Encik Zafril walaupun suaranya yang
sedang memujuk Fatin agak perlahan seakan orang sedang berbisik. Aku tersenyum
di dalam hati. Nak kejar ratinglah sangat. Inilah dia, orang bisnes.
‘’Habis tu, apa yang perlu saya
buat?’’ suara Fatin semakin mengendur, tak setegang tadi lagi. Encik Zafril dan
Tuan Pengarah bermain mata sambil melebarkan senyuman.
‘’Awak teruskan tugas awak macam
biasa. Kami hanya akan memerhatikan saja gelagat-gelagat pelajar di dalam kelas
ini. Kami akan membuat rakaman hingga pelajaran ini tamat. Selepas awak selesai
mengajar di semua kelas, kita akan keluar untuk makan tengahari bersama.
Mungkin akan makan di kantin sekolah, kalau awak masih ada kelas selepas ini.’’
Kata-kata Encik Zafril membuatkan aku dan Sumaiyah saling berpandangan lagi.
‘’Back to school.’’ Sempat
Sumaiyah berbisik kepadaku. Aku mengangguk dan tersenyum. Encik Zafril menoleh
ke arah kami. Aku pula lontarkan pandangan keluar tingkap yang berlatarkan
padang yang menghijau.
‘’Awak kata apa Sumaiyah?’’
Encik Zafril menyoal Sumaiyah dengan tiba-tiba saja. Sumaiyah terus mengeleng
laju. Wajahnya turut berubah, aku alihkan pula pandanganku ke arah
pelajar-pelajar di dalam kelas yang masih menumpukan perhatian ke arah kami.
‘’Awak berdua ni...’’ encik
Zafril tak menghabiskan ayat-ayatnya. Dia hanya memandang kami dengan pandangan
tajam sebelum membuat pengumuman di dalam kelas kepada pelajar-pelajar supaya
membuat kerja masing-masing. Selepas itu kami berjalan dari meja ke meja
melihat pelajar-pelajar membuat kerja mereka. Sesekali kami akan ajak mereka
berbual.
‘’Kenapa kakak tutup muka?’’ salah
seorang pelajar perempuan menyoal aku. Aku perhatikan namanya yang dilekatkan
di atas lencana sekolah, Nur Aishah Umairah. Ada juga nama aku. Aku berbisik di
dalam hati sambil tersenyum.
‘’Muka akak tak cantik. Jerawat banyak.’’
Aku autakan saja. Pelajar tu macam tak puas hati saja dengan jawapan aku.
‘’Tak baik tau kak Shah, menipu tu
berdosa tau.’’ Sumaiyah datang dan berbisik kepadaku. Aku tersenyum lagi dalam
diam sambil menjungkit sedikit keningku.
‘’Jangan cakap banyak Sue. Langgar
perjanjian dengan mama Sue pun berdosa jugak tau.’’ Aku membalas kata-kata
Sumaiyah dengan bisikan juga. Dalam masa yang sama aku cari jurugambar yang
sedang merakamkan gelagat kami. Nasib baik semua jurugambar sedang fokus ke
arah lain. Yang sedang memerhatikan kami ketika ini hanyalah Encik Zafril. Dia
seolah sedang mencari kesalahan kami. Macam polis pencen yang sedang mengintip
penjenayah saja lagaknya.
‘’Awak berdua ni ada sembunyikan
rahsia apa-apa ke?’’ encik Zafril menyoal aku dan Sumaiyah bila kami berdua
membuat keputusan untuk berdiri di belakang kelas sambil berbisik sesama kami
dan sesekali ketawa kecil.
‘’Rahsia apa?’’ aku menyoal
kembali berniat untuk mengenakan encik Zafril yang selalu sangat memerhatikan
gelagat aku dan Sumaiyah.
‘’Kalau ada yang awak berdua tak
puas hati, bagitau saya. Janganlah berbisik dan mengutuk saya macam tu.’’ Encik
Zafril serkap jarang. Aku mencebik dari sebalik niqab. Perasan. Hatiku berkata
lancar.
‘’Mana ada kami kutuk encik Zafril
pun. Sue cakap encik Zafril ni kacak. Saya kata sesuai sangat dengan cik
Farisha yang cantik. Kami puji apa, mana ada kutuk pun.’’ Aku autakan saja.
Padahal, kami tak sebut pun pasal encik Zafril dan Farisha. Aku dan Sumaiyah
hanya berbual-bual kosong saja.
‘’Kan Sue?’’ aku menyambung kata
dan menyoal Sumaiyah. Macam biasa respon Sumaiyah, menganggukkan kepalanya
tanpa sepatah kata.
‘’Tak apa, tak nak mengaku. Tak
mengaku, tak apa..saya tak dengar tak apa, awak berdua selamat. Kalau saya
nampak awak berdua berbisik lagi selepas ni, tahulah saya apa nak buat.’’ Tak
semena-mena encik Zafril mengertak kami. Tak puas hati kat mana pun tak
tahulah. Sampai tak boleh berbual langsung, teruklah kami. Nak suruh kami
berdua jadi patung cendana ke apa? Aku merungut geram di dalam hati. Bibir
sudah mencebik lagi sambil bermain mata dengan Sumaiyah. Dan, tanpa aku sangka
Sumaiyah sudah melebarkan senyuman dan tubuhnya sudah mengigil menahan tawa.
Aku mengulum senyum dalam diam dan meletakkan jari telunjuk di bibir.
‘’Haa..apa lagi tu?’’ encik Zafril
perasan dengan gelagat kami dan menyoal garang namun suaranya tak dikuatkan
pun. Hanya untuk didengari aku dan Sumaiyah saja. Aku mengeleng pantas dan
memandang ke hadapan kelas. Pelajar-pelajar masih melakukan kerja sekolah
mereka. Fatin pula sedang menandakan buku-buku pelajarnya. Farisha pula sedang
berbual rancak dengan tuan pengarah di sudut kiri kelas. Jurugambar pula sedang
melakukan tugas masing-masing. Encik Zafril? Kini, dia sedang berada di
tengah-tengah antara aku dan Sumaiyah. Tak dapatlah aku dan Sumaiyah
berbisik-bisik lagi macam tadi.
‘’Kenapa diam? Tadi bukan main
lagi, awak berdua berbisik.’’ Keluar lagi soalan tak puas hati dari encik
Zafril. Entah apa yang ada dalam fikirannya sekarang. Cemburu agaknya dengan
kami yang berbual mesra di belakang dia?
‘’Encik Zafril dah jadi penghalang
percintaan kami, nak suruh kami buat apa lagi? Takkan kami nak bertempik bagi
satu kelas dengar kami cakap apa.’’ Aku menjawab kata-kata encik Zafril dengan
nada bersahaja. Aku dengar encik Zafril berdecit. Aku silangkan tangan dan
berpeluh tubuh. Dah macam pelajar yang kena denda dengan guru sebab tak buat
kerja sekolah saja, kena berdiri di belakang kelas macam ni.
‘’Lesbian ke apa?’’ suara encik
Zafril yang tengelam timbul aku buat-buat tak dengar saja. Aku cuit Sumaiyah
perlahan sambil bermain mata. Encik Zafril mencerlung tajam.
‘’Esok, kita akan buat lawatan di
rumah Sumaiyah pula dan hari seterusnya kita akan berkampung di kampung awak.
Harap awak maklumkan pada keluarga awak. Saya tak mahu keluarga awak terkejut
dengan kedatangan kita.’’ Encik Zafril bersuara lagi sambil memandang kiri dan
kanannya. Saat ini, segala idea untuk berbalas kata dengan encik Zafril hilang
entah ke mana. Hati aku berdebar kuat. Apa ni? Tak ada dalam perjanjian pun?
Hati aku berdongkol geram. Di mana aku nak bawa mereka pergi? Kampung aku?
Rumah Mak Esah ke? Masalah besar ni. Aku pandang Sumaiyah pula. Wajah dia turut
berubah. Mungkin dia juga seperti aku, takkan menduga semua perancangan pihak
produksi yang menerbitkan rancangan ini.
‘’Mana..mana boleh macam tu.’’
Tergagap-gagap Sumaiyah membantah kata-kata encik Zafril sebentar tadi.
‘’Kenapa pula tak boleh? Sebelum
awak sign kontrak, awak baca tak semua syarat-syaratnya. Syarat nombor sepuluh,
pihak produksi yang akan tentukan, di mana rakaman akan dibuat.’’ Encik Zafril
menjawab tegas. Aku dengar Sumaiyah menghela nafas berat dan mengeluh. Mungkin
dia runsing memikirkan syarat mamanya, seperti aku juga yang sedang runsing,
memikirkan kampung mana, yang akan aku bawa mereka pergi.
‘’Selepas makan nanti, kita pergi
shoping. Selain beli barang-barang dapur, kita akan shoping pakaian untuk awak
berdua. Malam ini kita ada rakaman di studio untuk siaran langsung. Kemungkinan
salah seorang dari peserta akan tersingkir. Kalau nasib awak berempat baik,
mungkin penyingkiran akan ditangguhkan untuk minggu seterusnya.’’ Kata-kata seterusnya
dari encik Zafril membuatkan nafasku semakin semput. Tak habis dengan kejutan
tadi, kini muncul pula kejutan kedua. Masuk studio untuk siaran langsung? Tak
pernah aku bayangkan untuk berdepan dengan penonton di depan kamera. Allahu
Akhbar, tubuh aku mengigil lagi.