KRIIIIINGGGGGGGG..loceng berbunyi
nyaring. Hari ini hari Ahad dan perhimpunan akan diadakan di padang depan
pejabat sekolah. Aku dan Rozaimah yang sedang berbual menghentikan perbualan
dan bangun keluar dari kelas. Kami menuju ke tangga untuk turun, namun nasib
aku tak baik hari ini.
Sampai saja di tangga, mata aku bertembung dengan wajahnya yang sedang
menuruni tangga dari tingkat atas. Dia berada di kelas atas tingkat tiga
manakala kelas aku di tingkat dua. Aku tak dapat melarikan diri dan
terperangkap dalam debaran yang sangat hebat. Aku dan Rozaimah menuruni tangga
dan dia dan kawan-kawannya mengikut kami dari belakang.
Kebetulan, mata aku mula rabun sejak darjah enam lagi tapi abang Mat Dan
tak ada duit untuk membuat cermin mata untuk aku. Gelaran yang kawan-kawan
sekampung aku beri adalah Mek Rabun sebab penglihatan aku tak berapa elok
terutama dalam gelap.
Waktu pagi yang masih awal dan keadaan tangga bangunan ini yang juga
agak gelap membuatkan aku melangkah dua anak tangga tanpa sengaja.
Akibatnya..aku nyaris tersungkur di depan dia dan kawan-kawannya. Suasana
menjadi riuh dengan suara-suara sumbang mengata aku dan gelak ketawa kelucuan
mereka.
Aku
hilang pertimbangan dan terus berlari-lari anak. Rozaimah yang juga turut
ketawa dengan kejadian yang berlaku di depan matanya mengikut aku dari
belakang. Aku tak peduli lagi dengan semua mata yang memandang, kalau boleh aku
nak terus berlari dan ghaib dari dunia ini. Malu! Tersangat malu hingga aku tak
mampu untuk mengawal keadaan lagi.
‘’Awat ni..la awat, pasai pa Jan?’’ bila aku berlari ada pula yang
menegur namun aku tak sempat untuk menjawab dan terus berlari hinggalah aku
sampai di padang perhimpunan.
‘’Hahahaha..’’ bila Rozaimah sampai dia ketawakan aku tanpa henti. Aku
rasa macam nak bersembunyi saja sehari ni, biar tak ada siapa yang dapat
mencari aku terutama semua pelajar yang menyaksikan kejadian pagi ni.
‘’Best dak? Dapat dak koqa?’’ dalam ketawa Rozaimah menyoal.
‘’Banyak hang punya koqa, aku rasa macam nak menyorok ja ni..’’ aku
menjawab sambil turut ketawa bersama Rozaimah.
‘’Awat Jan, hang lari pasai pa?’’ Shimah bertanya dan memandang aku dan
Rozaimah silih berganti. Aku jungkit kening pada Rozaimah dan kami ketawa lagi.
Dalam rasa malu, aku pasti kejadian ini akan membuatkan aku mengingatinya
sepanjang hidup.
‘’Janna tangkap koqa tak dapat, menyuluq koqa tu laqi..hahahaha..’’ Rozaimah
kenakan aku lagi, tapi aku tak marah dia sebaliknya aku turut ketawa
bersamanya.
‘’Yang laqi tu koqa ka ulaq, sampai menyuluq?’’ aku bertanya Rozaimah
kembali, soalan Shimah aku abaikan, cukuplah dengan mata-mata yang telah
menjadi saksi tadi, jangan ditambah lagi saksi lisan pula, niaya aku
diketawakan mereka. Boleh pecah perut semua orang nanti.
‘’Hampa ni, aku tanya betoi-betoi hampa main-main..’’ Shimah bersuara
rajuk, aku dan Rozaimah terus ketawa hinggalah cikgu Mat Zain berdiri di atas
pentas untuk membuat ucapan pagi.
SELEPAS kejadian tu aku selalu mengelak daripada bertembung dengan dia
dan kawan-kawannya. Kalau bertembung pun, aku buat-buat tak nampak dan
berpaling ke arah lain. Lama juga aku tidak berani untuk bertentang mata
dengannya lagi.
Tahun ini sekolah kami mengadakan sukan
Merentas Desa dan aku turut serta mengambil bahagian. Waktu petang kami akan
datang untuk membuat latihan. Memandangkan rumah aku jauh, aku tak terus
pulang.
Laluan kami untuk merentas desa adalah melalui jalan Batu Hampar masuk ke
Kampung Raga dan keluar ikut Jalan Ruat dan pintu belakang sekolah. Aku ni
kalau bab sukan memang lembab sikit, tak pernah aktif pun. Aku kekurangan
stamina walaupun ketika membuat latihan. Bila berlatih lumba lari, aku dapat
tempat terakhir dan menjadi peserta pertama yang disingkirkan. Kalau lompat
jauh, hanya mampu melompat di depan garisan. Bila buat latihan melontar peluru,
nak angkat pun tak larat. Lompat tinggi? Tak pernah pun aku ambil bahagian
walaupun hanya sekadar latihan. Awal-awal lagi aku tarik diri.
Bila acara merentas
desa diadakan, aku terpaksa juga mengambil bahagian dan membuat latihan
hinggalah hari sukan tiba dan aku salah seorang pesertanya. Aku tak bersungguh
pun, sekadar ambil bahagian saja. Aku dan kawan-kawan hanya berjalan macam kami
sedang meronda kampung. Sambil berjalan kami berbual, sesekali kami akan
berlari-lari anak terutama bila hampir sampai ke garisan penamat.
‘’Mohd Mikail Bin Mat Deris!’’ nama seorang pelajar yang mendapat pingat
dipanggil untuk naik ke atas pentas. Aku menjadi penonton di bawah pentas
bersama kawan-kawan sekelasku. Dia yang bernama Mohd Mikail naik ke atas pentas
dan menerima pingat yang dimenanginya.
Oh..Mikail rupanya..aku berkata
di dalam hati. Hari ini kerana namanya dipanggil naik di atas pentas barulah
aku tahu namanya dan hari ini juga aku tahu dia aktif di dalam sukan dan
menjadi salah seorang ahli pasukan bola tampar sekolah kami.
‘’Janna..abang Mikail hang dapat hadiah
banyak tu..’’ Rozaimah berbisik ke telingaku. Aku berpaling dan membeliakkan
mata.
‘’Gila hang..bila masa dia jadi abang aku?’’ aku turut berbisik ke
telinga Rozaimah sambil menjeling geram. Terasa berbahang wajah aku dengan
kenyataannya. Rasa macam nak balas dendam saja. Macamlah aku tak tahu, dia pun
ada juga mamat yang syok dengannya.
‘’Abang sayang..’’ dia berkata lagi dan terus ketawa. Aku bengang sangat
tapi nak marah aku tak kuasa. Salah aku juga kerana bocorkan rahsia hatiku ini.
‘’Hang jangan caqi pasai Imah, aku pangge abang Mat hang mai tang ni
satgi kot.’’ Aku memberi Rozaimah amaran, ketawanya terus terhenti. Aku
tersenyum menang.
‘’Pangge la kalau hang berani.’’ Rozaimah mencabar aku. Aku tersenyum
dan menjungkit kening. Mata aku sudah meliar memerhatikan sekeliling kami.
‘’Tuu..abang Mat hang dengan Din..aku pangge naa?’’ aku sengaja mengertak
Rozaimah. Wajah dia berubah dan aku perasan Muhammad Suharto juga ketika ini
sedang memandang ke arah kami. Giliran Rozaimah pula bersembunyi di belakang
aku.
‘’Awat? Ada rasa takut?’’ aku bertanya dan ketawa.
‘’Janganlah wei..aku serenda..’’
‘’Tau pun takut, kata kat aku tak ingat dosa..hahaha..’’ aku ketawa
lagi.
SRP semakin menghampiri dan aku mendapat kelas tambahan percuma untuk
semua mata pelajaran yang diadakan di dalam dewan sekolah. Setiap petang
selepas habis waktu belajar aku terpaksa pula untuk mendaftarkan diri masuk ke
kelas tambahan percuma ini. Aku mendapat kelas tambahan percuma kerana abang
Mat Dan yang menjadi waris/penjaga aku bekerja sebagai nelayan.
Mohd Mikail hanya mendapat kelas tambahan matematik saja dan setiap kali
kelas tambahan matematik diadakan dia juga turut berada di dalam dewan yang
sama. Aku malas untuk memikirkan tentang perasaan aku lagi ketika ini.
Peperiksaan SRP ini juga penentu masa depanku, andai aku gagal, tahun depan
pasti aku tak dapat melanjutkan pelajaran lagi. Abang Mat Dan dan kak Rosnani
hanya menunggu masa saja supaya aku menamatkan zaman persekolahanku. Banyak
duit yang diperlukan selagi aku masih bersekolah.
Faiz bukan macam aku. Dia suka ponteng sekolah. Minatnya hanya bermain
sungai dan memancing ketam batu di sungai berdekatan, mencari ikan laga dan
melagakan ayam. Kalau aku pemalas dan selalu didenda kerana tidak membuat kerja
sekolah tapi Faiz lebih teruk daripada aku. Faiz bukan saja malas pergi ke
sekolah, dia juga malas untuk belajar dan selalu gagal dalam peperiksaan.
Petang ini kelas tambahan matematik ramai sangat yang hadir. Guru yang
mengajar adalah cikgu K.S Tan guru kelas kami. Cikgu ni ajaran dia payah nak
faham dan formulanya pun tak macam cikgu Abd Rahman. Cikgu K.S Tan juga
bercakap agak pelat dan tak fasih berbahasa melayu.
Kami semua diminta tampil ke hadapan dan menulis jawapan di papan hitam.
Aku bukannya pandai sangat dalam matematik ni terutama dalam suasana bercampur
antara kelas ini. Ramai yang aku tak kenal dan Mikail dan kawan-kawannya juga
turut ada di dalam dewan yang sama. Walaupun aku tidak peduli dengan
kehadirannya, getaran dalam dada tu tetap ada.
Bila tiba giliran aku untuk keluar ke hadapan dewan, perasaan aku tu
usah ditanya, mengelabahnya usah dicakap tapi sebelum aku bangun sempat orang
di hadapan aku memberi aku jawapannya. Aku mencuba nasib dan keluar ke depan
untuk menulis jawapan di papan hitam. Mujur..jawapan yang aku tulis tu betul.
Lega hatiku tapi nampak sangat menipunya, bukan aku yang selesaikan kiraan pun,
hanya cilok jawapan yang diberikan oleh kawan di hadapanku saja.
Giliran Mohd Mikail pun tiba..nasib dia tak berapa baik kerana jawapan
pertama yang ditulis, salah. Aku hanya menjadi pemerhati di tempat duduk. Aku
tak tahu pun dia pandai atau pun tidak. Aku tidak pernah ambil tahu tentang
dirinya. Siapa dia? Berapa adik beradik? Tinggal di mana? Aku langsung tiada
maklumat tentang dirinya.
Aku tak berminat nak ambil tahu. Bagi aku
meminati seseorang tidak memerlukan syarat kacak atau pun kaya, bijak atau pun
bodoh..asalkan aku tidak bertepuk sebelah tangan. Aku pasti dia yang memulakan
dulu mengerakkan hatiku untuk meminatinya dalam diam. Hanya sekadar minat tapi
tak pernah bertegur sapa pun. Cukuplah dengan hanya menyimpan perasaan padanya.
Tak perlu mengikut apa yang pelajar lain buat. Bercinta dan berdating tu bukan
caraku. Aku tak boleh buat seperti orang lain. Hidup aku cukup terbatas dalam
pergaulan.
Aku bukannya tak bercakap
langsung dengan pelajar lelaki, ada juga yang pernah bertegur sapa terutama
pada pelajar lelaki yang aku rasa selesa untuk berbual dengan mereka. Aku
selesa berbual dengan Burhan walaupun dia juga ada bagi hint sukakan aku dan
selalu menganggu aku ketika di dalam kelas. Aku juga selesa berbual dengan
Nazim dan Abidin tapi sekadar berbual biasa atau berbual kosong saja.
Aku tak ada perasaan pada
mereka, sebab itulah aku boleh berbual dengan mereka tapi Mikail lain..aku takut
untuk bertemu muka dengannya..boleh tengok dari jauh pun bersyukur dah.
Pelikkan, perasaan ini?
‘’Kumbang Kasanova!’’ seseorang melaung dan
aku menoleh untuk mencari pemilik suara dan dalam masa yang sama Mikail yang
berada di hadapan kami turut menoleh dan mata kami bertembung. Dapat aku lihat
riak wajahnya yang berubah seperti harimau yang bakal menerkam. Pelajar cina
yang yang bernama Ah Peng melarikan diri di belakang sekolah dan Mikail
mengekorinya dari belakang.
‘’Relax, relax..’’ aku berkata
perlahan bila mata kami bertembung sekali lagi. Wajahnya masih seperti tadi
macam harimau baru lepas beranak yang sedang mencari mangsa untuk dilahap.
‘’Maqah betoi tu..’’ aku
berkata pada Masnita yang sedang berjalan di sebelahku. Kami baru habis kelas
tambahan matematik dan berjalan keluar untuk pulang ke rumah. Aku tak tahu apa
masalah Ah Peng dan Mikail tapi aku kenal sangat dengan Ah Peng. Dia cucu
kepada peniaga cina yang berniaga di Pekan Sungai Yan dan rumah mereka di tepi
jalan masuk jalan Kuala Sungai Yan.
Bab 33
HARI yang dinantikan tiba juga,
perit jerih belajar akan terbukti hari ini. Siapa yang bersedia pasti mudah
untuk menjawab soalan. Aku macam biasa dalam pelajaran, tak pulun sangat, tak
leka sangat..belajar setakat yang termampu saja. Bila Faiz gagal dalam SRP dan
sudah tidak bersekolah lagi, aku juga tidak mahu terlalu berharap. Segalanya
mungkin terjadi, andai aku lulus mampukah mereka menanggung persekolahanku
lagi?
Setiap hari ada saja rungutan tentang duit yang aku dengar. Sepanjang
bersekolah aku tak pernah dapat apa yang aku nak. Berbaju kusam dan lusuh ke
sekolah. Beg sekolah hanya beg kain yang berharga rm5.00, kasut sekolah
berjahit selalu. Alat tulis pun hanya ada apa yang diperlukan saja. Minta itu
tak dapat, minta ini tak dapat. Basikal pun tak pernah ada, cuma sesekali aku
akan mencuri basikal Faiz dan membawanya
hingga ke pekan Sungai Yan. Aku pun sudah letih berjalan kaki pergi dan pulang
setiap hari. Sampai bila aku harus menahan sabar berdepan dengan semua rintangan ini?
‘’Kalau dah herot tu herot jugak..’’ seseorang bersuara bila aku cuba
membetulkan tudungku yang selalunya memang senget. Aku memang tak pernah ambil
peduli dengan penampilanku. Seterika pun pinjam daripada jiran sebelah rumah.
Bedak hanya pakai bedak nyonya atau bedak air. Kak Rosnani pula rajin buat
bedak sejuk. Memang tak mampu nak beli bedak mahal. Pakai saja apa yang ada.
Sejak akhir-akhir ini ramai pula yang suka menyindir aku dan menyoal
soalan pelik-pelik. Aku tak tahu sejak bila gosip mula tersebar. Aku selalu
menjadi perhatian dan dikutuk, bukan saja di belakang..berdepan pun selalu
sangat namun aku ni jenis malas nak bergaduh. Apa yang aku dengar langsung aku
tak simpan dalam hati, semuanya aku buat tak peduli. Mereka punyalah prihatin sampaikan
tudung aku yang senget pun dikutuknya. Apa yang sakit hati sangat? Apa salahku?
‘’Petang ni Agamakan..hang balik dak Janna?’’ Aida menyoal setelah kami
beriring keluar dari tandas.
‘’Dak kot. Hang balik ka?’’ aku tanya Aida kembali, rumahnya di Kampung
Pauh dan Aida datang menaiki basikal.
‘’Hang tunggu tang mana?’’
‘’Tang mana yang sempat, aku nak
habaq pun tak tau.’’ Aku berkata jujur sebab aku memang tiada jawapannya. Kalau
kami datang awal untuk latihan sukan, kami akan melepak di rumah kak Jun di
belakang sekolah. Tapi hari ini aku terpaksa menunggu untuk menjawab kertas
soalan Agama Islam, mungkin aku boleh ulangkaji di mana-mana tempat rehat di
kawasan sekolah.
‘’Hang balik dak Imah?’’ aku tanya
Rozaimah pula. Sabrina tak perlu ditanya, rumah dia paling dekat, di Kampung Permatang
Keramat, kampung belakang sekolah saja.
‘’Balik la..’’ Rozaimah menjawab laju. Untungnya mereka sebab rumah
mereka dekat. Rumah Rozaimah depan jalan saja di Kampung Sungai Udang, keluar
saja dari rumah sudah boleh tunggu teksi atau pun bas.
‘’Nampaknya aku kena cari kawan la satgi..’’ aku berkata dalam nada
lemah, yang terbayang dalam fikiranku hanya Yusni dan Ameera, mereka mungkin
tak balik tapi mereka di kelas lain, mungkin akan bersama kawan sekelas mereka.
Aku ibarat ‘sebatang kara’ saja, kebanyakan kawan-kawan yang rapat denganku
akan pulang dan datang semula sebelum peperiksaan bermula.
SEPERTI yang aku bayangkan aku terpaksa bersendirian menunggu di tempat
rehat khas di hujung bangunan perpustakaan kerana tiada kawan, sambil menunggu
aku berniat untuk mengulangkaji. Biarlah tiada kawan, asalkan aku tak ganggu
orang lain. Ameera dan Yusni juga tidak pulang tapi mereka berkumpul bersama
rakan-rakan sekelas mereka, takkan aku nak pergi pada mereka pula? Jakun aku
jadinya nanti.
‘’Jan..hang tak pi makan ka? Jom pi makan di kedai luar.’’ Aku baru nak
buka buku terdengar suara bertanya. Aku mendongak, Yusni sudah tersenyum
padaku. Aku mengangguk dan memasukkan buku ke dalam beg semula.
‘’Jomlah..ingatkan takdak kawan, aku malas nak pi makan.’’ Aku bangun
dan mengalas beg, sambil berjalan keluar dari kawasan sekolah kami berbual
hinggalah sampai di kedai makan di Pekan Yan Besar. Aku memilih untuk makan mee
kuah kerana aku tidak berselera untuk makan nasi.
Selesai makan kami kembali semula ke tempat rehat tadi dan aku dengan
Yusni mengulangkaji bersama. Di seberang sana meja ada geng tiga sekawan yang
sedang rancak berbual. Aku dan Yusni membuat kerja masing-masing dan hanya
berbual sesekali saja.
‘’Janna..tak jeles ka tu?’’ tak semena-mena aku disoal Yusni. Aku panggung
kepala dan memerhatikan wajahnya. Dia memuncungkan bibir ke sebelah sana, pada
tiga orang sekawan yang rancak berbual tadi, di depan mereka Mikail sedang
duduk dan berbual dengan mereka. Fahamlah aku maksud Yusni sebentar tadi.
‘’Tak dak maknanya nak jeles, bukannya laki aku pun, lainlah kalau dah
jadi laki aku.’’ Aku berkata selamba dan sedang menyoal diri sendiri sambil
memandang ke hadapan. Cemburukah aku? Tidak! Tak ada sedikit pun perasaan
cemburu, dan aku sangat pasti dengan kata hatiku sendiri.
‘’Kot la..’’ dia berkata dalam nada mengejek sambil tersengeh.
‘’Ada orang kata Mikail tu couple dengan Amisya..ada yang kata dia
couple dengan Natrah.’’ Selamba Yusni bercerita walaupun aku tidak menyoal. Dan
di depan sana memang salah seorangnya adalah Amisya dan kawan-kawannya. Aku
diam tanpa kata, bukan bermakna aku sedih atau sebaliknya. Aku sedang berfikir
tentang apa yang Yusni katakan sebentar tadi. Siapa aku dengan Mikail? Kami
bukannya sedang bercinta dan kami bukannya couple pun. Kami bukan pasangan
kekasih atau apa saja yang sewaktu dengannya. Aku sekadar minat dalam diam dan
suara hatiku hanya Rozaimah saja yang tahu. Aku tak tahu daripada mana gosip
muncul hingga Yusni berkata begitu padaku. Hingga ada yang sakit hati denganku.
Kenapa? Aku tak tahu!
‘’Biaq pi kat dia la nak couple dengan sapa pun. Bukannya ada kena
mengena dengan aku pun.’’ Aku menjawab dengan tenang. Fokus untuk mengulangkaji
hilang begitu saja bila topik yang satu ini kami bualkan.
‘’Hang tak rasa apa ka tengok depa sembang?’’ Yusni menyoal lagi, aku
pandang ke hadapan lagi dan kepala aku mengeleng pantas. Apa yang harus aku
katakan? Aku langsung tak rasa apa-apa, yang ada hanya debaran untuk menjawab
soalan Agama Islam sekejap lagi. Itu saja.
‘’Bukan hang couple dengan dia ka?’’
‘’Gila hang! Dating pun tak penah. Hang dengar habaq angin daripada
mana?’’ laju aku membalas sebaik saja Yusni habis berkata-kata. Dupp..rasa
macam nak luruh jantung aku. Cepat-cepat aku nafikan.
‘’Ramai yang kata..’’
‘’Sapa?’’
‘’Ada la..’’ Yusni bermain teka-teki. Aku mengerti maksudnya kerana
tahun lepas pun ada beberapa orang rakan sekelas yang menyindir aku berdepan.
Aku sengaja pekakkan telinga kerana hakikatnya aku dan Mikail memang tak pernah
bertegur sapa. Aku tak berani untuk memulakan sebuah hubungan. Aku pernah tulis
dalam buku biodata Yusni tahun lepas ‘Kejarlah cita-cita sebelum mengejar
cinta’. Ayat yang paling popular dalam zaman persekolahan ini.
‘’Ikut suka hampalah..’’aku berkata malas kerana hatiku sudah mula
terasa pedihnya. Minda mula memujuk diri, sedarlah wahai diri, engkau tiada
rupa, engkau tiada harta, jauh lagi penampilan..semuanya hancur lebur, tak ada
apa yang perlu dibangga, banyak kurang daripada lebihnya.
AKHIRNYA peperiksaan berakhir juga. Hujung tahun cikgu sudah jarang
masuk ke dalam kelas, masing-masing buat hal sendiri. Setiap kelas bagaikan
pesta, bisingnya hanya kami yang tahu. Macam-macam gelagat yang boleh dilihat.
Aku macam biasa mencari tempat duduk di belakang sekali di tepi dinding dan
mula fokus membaca novel. Biarkan orang
lain buat hal mereka dan aku dengan hal aku.
‘’Hang
pulun Janna, bukan nak periksa dah pun.’’ Nazim datang dan menganggu tumpuanku
yang sedang membaca sambil berangan membayangkan setiap adegan.
‘’Bukannya nak masuk exam.’’ Aku menjawab malas dan kembali membaca.
‘’Syok sangat ka?’’ aku panggung kepala sejenak dan kembali membuka
helaian muka surat. Aku kembali fokus dan malas melayan Nazim di depan mata.
Nazim pun terus bangun dan berlalu. Lega..kerana tiada lagi ulat pengacau
‘daun’.
‘’Ada orang histeria..’’ tak tau siapa
yang berkata, dia masuk ke dalam kelas dan bercerita dengan suara yang teruja.
Aku menghentikan bacaan dan memandang ke hadapan.
‘’Sapa wei?’’ Surihani bertanya.
‘’Tak tau nama pa..depa kata budak tu memang selalu histeria..ayah dia
mai ambik dah, cikgu takut berjangkit.’’
Aku memasang telinga mendengar perbualan mereka dan cuba membayangkan
situasi itu. Memang tak sanggup rasanya berada dalam keadaan itu. Menjadi seorang
mangsa yang dirasuk dan lupa diri, pasti rasa malu setelah sedar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.