My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Isnin, 9 Januari 2017

Penyamar Bab 22- Bab 23

Kemungkinan juga..dua bab ini bab terakhir yang akan diupdate dalam blog.



           AKU sampai di Tesco dan menuju ke bahagian menjual bahan-bahan basah. Hari ini aku nak masak lauk yang berasaskan daging pula. Mungkin aku akan beli ayam atau daging, sayur-sayuran seperti kailan dan brokoli serta sayur campur. Nak cuba pula resepi moden.

           Selain nak masak untuk keluarga Puan Syarifah, aku juga teringin nak menguji bakat memasak aku yang aku pendam ini. Aku memang jarang masuk dapur, tapi aku pernah juga belajar memasak. Sejak aku menjadi penulis saja, aku sudah jarang masuk ke dapur kerana sibuk menyamar dengan perbagai pekerjaan. Sibuk mengembara ke serata tempat untuk mencari pengalaman.

         ‘’Kak Aishah!’’ nama aku diseru seseorang bila aku baru mengambil troli. Aku mencari arah suara itu. Aku kaget seketika. Oh, apakah ini?

          ‘’Kak Aishah beli barang ke?’’ aku masih kaku untuk menjawab. Mata aku sedang menjamah wajah-wajah yang tiba-tiba menyapa pandanganku.

         ‘’Awak buat apa di sini Aishah? Tak pakai pula purdah awak tu. Tak apa ke masuk tv macam ni?’’ aku baru tersedar mendengar soalan Encik Zafril. Jurukamera yang sedang merakam turut melebarkan senyuman melihat wajah aku yang sedang mengelabah.

         ‘’Tolong, jangan rakam.’’ Aku berkata sambil memberi isyarat tangan. Jurukamera ingin menghentikan rakaman, tapi Encik Zafril pula menegah.

         ‘’Teruskan..saya penerbit rancangan ni. Saya yang bayar gaji awak, bukan dia.’’ Kata-kata Encik Zafril membuatkan hati aku menjadi hangat. Macam nak tampar saja dia seperti malam tu. Best juga kalau boleh bagi tamparan percuma tu lagi. Aku berkata dalam hati dengan perasaan geram.

          ‘’Mana boleh macam tu Encik Zafril. Saya dah tak terbabit dalam rancangan ni lagi.’’ Aku cuba membantah. Encik Zafril mengoyangkan jari telunjuknya di depanku berkali-kali.

          ‘’Oh, tidak Zahratul Aishah. Awak pernah terbabit dan awak tak boleh nak mengelak. Simple awak pakai hari ni. Awak bershoping ke awak nak pergi jogging ni?’’ soalan Encik Zafril membuatkan hati aku terbakar lagi. Dia sindir aku ke? Aku bertanya diri sendiri.

           ‘’Aishah!’’ ada lagi yang menyeru namaku. Aku tak perlu berpaling untuk mencari siapakah gerangannya kerana aku kenal suara itu. Pemiliknya adalah orang yang aku tinggalkan di perhentian bas tadi.

            ‘’Siapa ni?’’ sambil menyoal Encik Airil cuba menghalang jurukamera dari terus merakam. Gelagatnya seakan orang yang ingin mencari pasal.

            ‘’Jangan siarkan kalau tak mahu terima saman. Saya takkan teragak-agak untuk menyaman kalau gambar Aishah atau saya masuk mana-mana siaran atau internet.’’ Encik Airil mengugut pula. Jurukamera nampaknya mengikut arahan. Kamera dijatuhkan, aku tak pasti pula sama ada rakaman masih berlangsung atau jurukamera sudah off kameranya.

          ‘’Siapa awak ni? Apa hubungan awak dengan Zahratul Aishah? Ini rancangan saya, apa hak awak untuk menghalang rakaman ini dijalankan. Aishah pernah terbabit dalam rancangan ini, walaupun dia sudah disingkirkan.’’ Encik Zafril pula bersuara. Dia dan Encik Airil masing-masing macam nak tunjuk kuasa. Aku yang seolah-olah tersepit di tengah-tengah, tapi aku lebih memihak kepada Encik Airil ketika ini.

            ‘’Awak tak perlu tahu siapa saya. Jom Aishah..’’ tanpa aku duga Encik Airil menarik tangan aku untuk berlalu dari situ. Aku bengang dengan tindakannya. Walaupun kaki aku mengikut langkahnya, tapi minda aku membantah keras tindakannya itu. Aku belum sempat bertegur sapa dengan Sumaiyah, dia sudah melarikan aku.

           ‘’Lepaslah encik. Malulah, semua orang tengok.’’ Aku cuba bersuara, walaupun suara aku hanya dapat didengari kami berdua saja.

             ‘’Saya akan lepaskan, dengan syarat awak berjanji dulu, jangan lari dari saya. Kalau tak, jangan harap.’’ Encik Airil membalas kata-kataku tanpa menoleh ke belakang. Tangannya masih mengheret tanganku yang berlapik dengan lengan baju panjang. Nasib baik kulit kami tak bersentuhan. Walaupun begitu, aku tetap tak selesa bila diperlakukan sebegini. Aku bukannya milik dia pun. Siapa dia untuk bawa aku lari macam ni?

            ‘’Okey, saya janji akan dengar cakap Encik. Saya pun tak suka dirakam macam tu..’’

              ‘’Siapa mereka tu? Apa maksud lelaki tadi? Awak terbabit dalam rancangan apa Aishah? ‘’ tangan aku dilepaskan sebaik kami berada di pintu keluar Tesco. Sambil melepaskan tangan aku, Encik Airil menyoal dengan soalan yang tak terduga olehku.

           Aku buntu untuk menjawab. Perlukah aku jelaskannya? Untuk apa? Fikiranku bercelaru kerana bagiku, Encik Airil tak perlu tahu apa yang pernah aku lakukan sebelum ini. Dia tiada hak untuk menyoal aku tentang masa laluku.

          ‘’Aishah, awak nak membisu lagi ke? Kalau awak tak nak bagi tahu, saya akan masuk semula dan tanya lelaki tadi. Rasanya, dia tentu tak berat mulut macam awak. Tentu dia akan bagi saya jawapannya.’’

           ‘’Ehh..tak perlu, tak perlu..’’ aku mula mengelabah mendengar ugutan Encik Airil. Kalau boleh, aku nak keluar dari Tesco ini dengan segera. Bersyukur sebab Encik Airil dah larikan aku dari kru pengambaran rancangan Mencari Calon Isteri tu. Tapi masalahnya sekarang, aku tersepit pula dengan Encik Airil. Takkan aku nak ikut ke mana saja dia pergi?

          ‘’Jelaskan pada saya sekarang!’’ tegas sekali arahan yang diberi.

           ‘’Kita keluar dari sini dulu..’’ aku buat keputusan sendiri sambil melangkah laju. Kalau dapat melepaskan diri dari Encik Airil lagi bagus ni. Hati aku berbisik lagi.

            ‘’Aishah!’’ tiba-tiba aku terasa glamour sejak akhir-akhir ini. Tak henti-henti nama aku diseru dengan berbagai nada. Kenapalah, dia suka sangat menyeru nama aku ni?

           ‘’Awak nak pergi mana tu?’’ Encik Airil menyoal lagi dan mengejar aku dari belakang. Aku pun tak pasti lagi, ke mana pula tujuan aku selepas ini.

           ‘’Orang yang mungkir janji tu orang munafik. Awak dah janji tadi, nak dengar cakap saya. Kenapa awak nak lari dari saya lagi? Letihlah, kalau macam ni.’’ Encik Airil menarik lengan aku seperti tadi dan aku terpaksa berhenti melangkah. Aku mendengus kasar. Geram. Perasaan itu bertamu lagi.

             ‘’Mana lari pun. Jalan saja..’’

              ‘’Jangan nak loyar buruk...’’ bantah Encik Airil. Aku mengulum senyum.

              ‘’Mana ada.’’ Aku pula menafikan kata-katanya.

               ‘’Habis tu, awak sedang buat layar baru la ni? Bolehlah awak belayar selaju mungkin dan menjauhkan diri dari saya?’’ tak semena-mena bibir aku tersenyum mendengar kata-katanya.

               ‘’Mengarut!’’ dalam tersenyum, aku tetap membalas.

              ‘’Biarlah saya nak mengarut, yang penting, awak sudi berbual dengan saya.’’ Aku terdiam lagi mendengar kata-kata Encik Airil. Terkena lagi aku. Cehhh..


         HARI ini hari pelarian buatku. Bila Encik Airil mengajak aku pergi ke Pasar dengannya, aku memberi alasan ingin ke tandas terlebih dulu. Aku suruh dia tunggu di kereta dan bila dia menghilang, aku pun mula bertindak mencari teksi dan melepaskan diri. Selepas selesai membeli apa yang perlu aku pulang ke rumah.

        Bila aku sampai di rumah Pak Mat sedang mencuci kereta. Aku minta Pak Mat menghubungi Encik Airil dan menyuruh Pak Mat beritahu Encik Airil, aku dah pulang. Alasan aku mudah saja, aku tak tahu di mana Encik Airil meletakkan keretanya. Dan, selepas itu aku masuk ke rumah untuk berehat seketika sebelum mula memasak.

        Selesai memasak, aku masuk berehat di dalam bilik. Sambil berehat, aku on laptop dan mula berimaginasi. Kali ini aku tak ada idea untuk menulis tajuknya. Aku benar-benar buntu, tapi aku sudah ada plot ceritanya. Memandangkan novel yang bertajuk orang gaji sudah banyak, aku merancang untuk menaip jalan ceritanya dulu, barulah mencari tajuk yang sesuai. Sukar betul untuk mencari tajuk novel aku kali ini.

       Tok! Tok!..baru mula menulis satu perenggan untuk bab pertama, pintu bilik aku diketuk orang. Aku menghentikan kerjaku dan mencapai tudung. Aku pakai tudung dan rapikan tudung aku di depan cermin. Siap dan kemas, aku menuju ke arah pintu dan menguak perlahan daun pintu. Aku terkaku di muka pintu bilik sebaik daun pintu terkuak luas.

        ‘’Bagi laluan, jangan nak menghalang jalan pula.’’ Encik Airil bersuara tegas. Wajahnya merah dan dia sedang berpeluh. Raut wajahnya juga nampak kepenatan. Aku malas nak bertanya, mengapa dan kenapa? Aku hanya perlu menunggu saja ayat yang akan dituturkan dari bibirnya

        ‘’Nak letak mana ni Encik?’’ salah seorang lelaki yang mengikut Encik Airil ke bilikku bersuara. Peti ais kecil satu pintu hanya muat-muat saja dengan pintu bilikku. Aku tak bersuara, walaupun ada niat dalam hati untuk membantah. Melampau sangat Encik Airil ni. Melayan aku sampai begini sekali. Apa pula kata Puan Syarifah dan Tuan Nazir nanti. Bagaimana pula dengan Yusrina dan Yusri?

         ‘’Tengoklah, mana yang ada suiz untuk masukkan plug.’’ Sempoi saja jawapan Encik Airil. Aku cari juga keliling bilikku, di mana letaknya suiz. Baru aku teringat dengan laptop aku yang sedang terpasang. Buru-buru aku menutup laptop dan menyembunyikannya di bawah bantal. Haru jadinya kalau kegiatan aku dalam bilik ini terbongkar. Dada aku bergetar hebat kerana takut rahsia aku tersingkap. Kenapalah aku ni cuai sangat?

       Allahu Akhbar. Aku teringat manuskrip yang baru aku taip sebentar tadi. Aku belum save pun lagi manuskrip tu. Nasib baik baru satu perenggan. Kalau dah sampai satu muka surat, mesti akan berubah jalan ceritanya kalau ditaip semula.

       ‘’Awak tahu tak Aishah, satu Tesco tu saya cari awak. Di mana ada tandas awan semuanya saya masuk. Dua jam saya tunggu awak dalam kereta. Ingatkan awak sembelit ke? Saya keluar cari awak selepas itu tapi terlupa nak bawa handphone. Nasib baik selepas tu Pak Mat call bagitau awak dah pulang. Kalau tak, saya masih merayau lagi cari awak. Awak tahu tak?’’ tegas sekali nada suara Encik Airil. Merah wajahnya saat dia mengungkapkan kata. Aku tak berani nak bersuara. Tak berani langsung untuk memberikan alasan macam yang aku beritahu Pak Mat tadi.

      ‘’Awak dengar tak apa saya cakap ni?’’

       ‘’Dengar, tapi maaf..saya terpaksa halau Encik keluar dari bilik ni. Encik perasan tak, hanya kita berdua saja dalam bilik ni? Dua orang lelaki yang masuk dengan Encik tadi dah keluar.’’ Aku terpaksa menghalau Encik Airil keluar dari bilikku. Hati aku dilanda gundah dan gelisah. Apa taknya, anak dara dan anak teruna berdua-duaan dalam bilik, tentu akan menimbulkan salah faham orang lain.

        ‘’Hmm..ada saja alasan awak nak mengelakkan? Dah..keluar, saya nak temuduga awak. Kenapa awak buat saya tercari-cari awak tadi. Saya tunggu di ruang tamu, lima minit saya tunggu awak tak muncul, saya akan masuk cari awak di sini.’’ Encik Airil bersuara tegas lagi. Laju saja dia berkata-kata. Aku hanya mampu mengangguk perlahan. Sebelum keluar, sempat Encik Airil memetik suiz peti ais dan memeriksa di dalamnya.

       Aku menutup pintu bilik selepas Encik Airil berlalu. Aku melurut jatuh terduduk sebaik pintu tertutup rapat. Rasa seakan kepala aku berdenyut-denyut. Kepala aku turut serabut untuk terus melayan sikap Encik Airil. Bila agaknya dia akan keluar terbang semula? Lima minit masa yang Encik Airil beri aku buat tak endah saja. Aku masih berfikir akan kewajarannya dan aku juga berfikir alasan apa yang harus aku beri nanti.

          Tok! Tok! Sepuluh minit berlalu dan pintu bilik aku diketuk lagi. Aku masih duduk memeluk lutut di depan pintu bilik.

        ‘’Aishah! Tak apalah, kalau awak tak sudi keluar berbual dengan saya pun. Buka pintu ni, saya takkan kacau awak lagi selepas ni.’’ Macam rajuk saja bunyi suara Encik Airil. Kesian pula aku mendengarnya.

        ‘’Saya nak bagi awak barang ni saja. Saya janji takkan kacau awak lagi. Serius, saya tak tipu.’’ Bersungguh-sungguh dia berjanji. Perlahan-lahan aku bangun dan menguak pintu bilik. Encik Airil terus meletakkan beberapa beg plastik di depan aku.

         ‘’Masukkan semua ni dalam peti ais awak tu. Makan bila lapar, jangan dibiarkan perut selalu kosong. Kami tak nak kena saman dengan keluarga awak.’’ Suara Encik Airil masih bernada serius. Memang dia betul-betul merajuk dengan aku. Terasa pula hati aku ini mendengar nada suaranya begitu.

         Aku mengambil barang-barang yang ditinggalkan Encik Airil masuk ke dalam bilik dan menutup pintu bilik selepas Encik Airil hilang dari pandanganku. Aku memeriksa barang-barang di dalam plastik. Ada banyak buah-buahan perbagai jenis. Ada air mineral dan air jus buah-buahan. Ada perbagai jenis biskut dan snek.

           Air mata aku sudah mula bergenang. Aku rasa malu dan terharu. Aku rasa bersalah dan bermacam lagi perasaan yang menyerang naluriku saat ini. Aku tak pernah lagi diserang perasaan aneh sebegini. Ya Allah, bantu aku untuk meleraikan kekusutan ini. Kenapa jiwa aku terlalu keliru saat ini?


Bab 23

        SUDAH  beberapa hari Encik Airil tak menegur aku. Dia betul-betul merajuk dengan aku. Setiap hari aku ditinggalkan sendirian di rumah melakukan tugas-tugasku. Semua orang akan keluar rumah selepas sarapan pagi. Hidup aku kembali sunyi tanpa sebarang gangguan. Aku menjadi insan yang bebas sebebasnya di rumah ini. Tiada sesiapa pun yang akan memaksa aku melakukan itu dan ini lagi.

       Encik Airil pun sudah berubah selepas kejadian hari itu. Dia betul-betul tersentap dengan layanan aku terhadapnya. Bila berselisih dalam rumah ni pun, dia sudah tidak memandang aku lagi. Aku ingatkan, aku akan gembira bila dia berkelakuan begitu, tapi sangkaan aku meleset sama sekali. Aku tak faham perasaan aku sendiri. Aku tak suka dia ganggu aku. Aku tak suka bila dia sering ajak aku berbual. Tapi, bila dia dah tak endahkan aku lagi, aku terasa sedih pula. Kenapa? Aku benar-benar tak mengerti dengan diriku sendiri.

          ‘’Assalamualaikum..’’ terdengar suara memberi salam. Aku yang sedang memasukkan baju-baju ke dalam mesin basuh menghentikan kerjaku. Aku menuju ke ruang tamu. Seorang perempuan bersama dua orang kanak-kanak sudah masuk ke dalam rumah.

         ‘’Shah..boleh tolong akak tak? Tolong jaga Dania dengan Danial seminggu. Akak nak kena pergi Terengganu sebab ada kursus di sana. Tak ada orang nak jaga, pengasuh mereka masuk wad.’’ Aku tergamam di depan wanita ini. Siapa dia? Mungkin ahli keluarga Puan Syarifah juga?

         ‘’Err..siapa ya?’’ aku bertanya ragu-ragu. Wanita itu tersenyum dan menghampiriku serta menghulurkan tangannya.

        ‘’Maaf..akak tak perkenalkan diri lagi. Akak menantu sulung rumah ni. Isteri abang Qusri. Ini anak-anak kami Dania dan Danial. Maafkan akak, kalau menganggu Aishah. Mama mertua akak cakap, boleh tinggalkan mereka di sini. Boleh tak Shah? Tolong tengok-tengokkan mereka.’’ Mendengar kata-kata wanita itu, aku memandang wajah kedua-dua orang kanak-kanak di depanku. Comel sangat wajah kedua-duanya. Aku dah mula jatuh sayang. Tanpa aku sedar, kepala aku jatuhkan berkali-kali.

          ‘’Dania, Danial..jom ikut Pak Ngah. Kita pergi makan ice cream. Tak apa kak Lia, sementara Airil cuti ni, biar Airil saja yang jaga mereka.’’ Entah dari mana Encik Airil datang, aku pun tak perasan. Mungkin dia baru balik dan terserempak dengan keadaan yang terjangka ini, jadi dia tumpang mencelah dan menawarkan bantuan.

          ‘’Ehh Airil, dari mana ni? Banyak hari ke cuti?’’

           ‘’Jogging Kak Lia, jaga stamina, jaga kesihatan. Airil cuti dua minggu, berehat lama sikit kali ni.’’

          ‘’Tak apa ke nak jaga budak-budak ni?’’

          ‘’Aishahkan ada, nanti dia bantulah apa yang patut. Alah Kak Lia, bukan nak jaga baby pun, Dania dengan Danialkan dah besar.’’ Aku berdiri kaku di depan mereka tanpa suara. Mendengar perbualan menantu Puan Syarifah dan Encik Airil sambil minda merusuh resah.

         ‘’Shah macam mana? Boleh ke? Diam saja.’’

          ‘’In Sha Allah Puan. Boleh kot, tapi Shah nak berterus terang, Shah tak pernah jaga kanak-kanak lagi sebelum ni. Puan kenalah ajar apa yang perlu Shah buat.’’ Aku berterus terang saja. Angah baru mengandung sulung. Alang pula baru berkahwin dan belum ada rezeki lagi. Kalau anak-anak sepupu tu pernah jugalah aku main dengan mereka tapi tak pernah pula jaga 24 jam.

        ‘’Panggil Kak Lia saja Shah. Tak payah nak puan-puan sangatlah. Tak susah pun Shah, Dania dan Danial dah pandai jaga diri, Cuma tolong pantau saja ketika mereka makan dan mandi, dan time mereka tidur. Danial saja yang masih minum susu dalam botol. Ni, akak dah bawakan semua keperluan mereka.’’

         ‘’Tak apa ke panggil kak Lia?’’ aku menyoal menantu Puan Syarifah dengan perasaan ragu-ragu. Sempat aku mengerling Encik Airil yang sedang berbual dengan Dania dan Danial. Mesra sangat mereka bertiga. Mungkin mereka dah biasa dan mereka nampak sangat rapat.

          ‘’Kenapa Shah tanya macam tu? Majikan Shahkan mama, bukannya kak Lia. Oklah Shah, akak dah lewat ni. Tolong akak ya Shah, tengokkan budak-budak ni.’’ Aku tak sempat membalas kata-kata menantu Puan Syarifah, dia sudah meminta diri untuk pergi.

         ‘’Airil, tolong tau. Kak Lia dah kena bertolak ni.’’ Encik Airil pula menerima amanat dari kakak iparnya. Encik Airil mengangguk sambil memberi isyarat jari. Beres kak! Mungkin itu maksudnya. Aku hanya memerhati tanpa kata, namun hati aku mula bergetar lagi. Tak selesa ditinggalkan bersama Encik Airil untuk menjaga Dania dan Danial. Perasaan lain mula menerpa dalam hatiku ini.

       ‘’Pak ngah, siapa ni?’’ Dania menuding jari ke arahku sambil bertanya Encik Airil. Aku ingin menjawab pertanyaannya, tapi belum sempat aku bersuara, Encik Airil yang menjawab terlebih dahulu.

          ‘’Bakal isteri pak ngah. Cantik tak?’’ aku mengebam bibir menahan geram. Dia buat lagi.

          ‘’Shah, awak tak ada barang nak beli ke hari ni? Jomlah..kita keluar, bawa Dania dengan Danial sekali. Kan awak yang jadi pengasuh mereka. Awak kenalah bawa mereka sekali, dan rasanya awak takkan mampu nak mengawal mereka seorang diri.’’ Aku merenung lama wajah Encik Airil mendengar kata-katanya. Maksudnya? Minda aku keliru.

             ‘’Kenapa awak tenung saya macam tu? Awak dah mula rindukan saya ya, sebab saya tak menegur awak beberapa hari ni?’’ aku tergaman mendengar pertanyaannya. Wajahku terasa berbahang tiba-tiba. Aku mencebik bibir, ingin menafikan kata-katanya.

            ‘’Pergilah siap. Kami nak keluar ni..’’ Encik Airil mengarah aku pula. Semakin tercenggang aku dibuatnya.

            ‘’Kita nak keluar ya pak ngah? Yeaa..Dania nak ice-cream. Nanti kita pergi jalan-jalan ya pak ngah, macam hari tu. Naik buaian pusing tu. Lepas tu naik keretapi, naik..’’

          ‘’Bukan hari ni Dania. Kita keluar makan saja okey. Cepat pujuk mak ngah Shah tu. Ajak dia pergi sekali.’’ Aku mendengar dengan teliti perbualan Encik Airil dan Dania. Danial yang ingin mencelah pun tak diberi peluang untuk bersuara.

           ‘’Jomlah mak ngah!’’ aku mengeleng mendengar ajakan Dania. Nak kena basuh minda Dania ni dulu. Sedap pula panggil aku mak ngah. Bila pula aku jadi isteri pak ngah dia tu?

          ‘’Tak nak panggil mak ngah. Acik Shah, okey. Kalau Dania panggil mak ngah, Acik Shah tak nak ikut!’’ aku buat kenyataan tegas. Dania menoleh ke arah Encik Airil yang sedang ketawa mendengar kata-kataku.

          ‘’Macam mana ni pak ngah?’’

           ‘’Acik pun Aciklah, asalkan ada orang sudi ikut kita. Dania, suruh Acik Shah pergi bersiap.’’ Encik Airil mengalah denganku. Dia gunakan Dania untuk menyuruh aku pergi bersiap. Aku merenung dia lagi tanpa sedar. Dia menjungkit kening.

         ‘’Kenapa? Saya dah semakin kacak dari beberapa hari lepas ke? Dari tadi lagi awak asyik tenung saya macam tu.’’ Aku melepaskan nafas dengan kasar mendengar kata-kata Encik Airil. Lain yang aku rasa, lain pula yang dia fikir.

         ‘’Saya dah siap ni. Jomlah..’’ aku sengaja ingin menduga. Dengan baju T shirt lusuh dan seluar slack buruk, aku bersuara selamba. Bukan saja Encik Airil pandang semacam ke arahku, Dania dan Danial juga berbuat perkara yang sama.

          ‘’Awak serius ke ni?’’ soalan dari Encik Airil untukku. Tanpa rasa bersalah aku mengangguk laju.

         ‘’Dania tak naklah keluar dengan Acik. Pakai baju buruk, seluar buruk..’’ Dania meluahkan kata-kata jujurnya. Bibir aku terukir senyuman manis. Rasa lucu pula mendengar kata-kata Dania.

         ‘’Bagus. Jadi..Dania dengan Danial keluar dengan pak ngah sajalah. Acik tak perlu keluar, sebab barang-barang dapur semua dah ada. Okey..bye..’’ aku mengakhiriku kata-kataku sambil meninggalkan mereka bertiga. Aku menuju ke arah dapur dengan niat untuk meneruskan kerja-kerjaku yang masih terbengkalai.

         ‘’Aishah! Sampai hati awakkan?’’