My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Khamis, 13 Oktober 2016

Penyamar Bab 15 - Bab 21

Bab 15

        SAAT yang paling mendebarkan buat aku. Sumaiyah juga tidak menduga akan melalui situasi sebegini. Sebaliknya pula untuk Fatin dan Farisha, mereka seakan teruja untuk masuk ke studio rakaman dan berdiri di hadapan penonton. Malam ini kami mengenakan pakaian tradisional rakyat Malaysia. Sudah semestinya pakaian tradisional kaum melayu menjadi pilihan kami.

        Encik Zafril mengenakan baju melayu sepasang berserta kain sampin, tapi baju melayu fesyen terkini yang telah direka oleh seorang pereka tanahair yang terkenal. Fatin dan Farisha memilih baju kurung kain sutera dan bersulam labuci dan manik. Sumaiyah mengenakan baju kurung kedah dan mengenakan selendang labuh. Aku pula memilih baju kurung kain satin yang berwarna gelap, longgar dan sesuai dengan kehendak hatiku. Ada sedikit sulaman di hujung lengan dan di bawah baju. Semua pakaian yang kami pakai ditaja oleh sebuah butik. Kami berhak memilih mengikut citarasa sendiri dan status kami mengikut pekerjaan masing-masing.

        Bila nama kami dipanggil oleh pengacara rancangan seorang demi seorang untuk masuk ke dalam studio rancangan yang ditonton oleh berpuluh orang penonton, tubuh aku terus berpeluh dingin. Aku pastikan, wajah aku benar-benar ditutup dengan sempurna. Dengan cermin mata berbingkai hitam tanpa kanta, baju kurung moden yang agak besar dan tudung labuh melepasi dada aku berlagak selamba walaupun hatiku berdebar kuat.

         Aku mulakan langkah dengan Bismillah dan selawat ke atas Kekasih Allah, Junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. di dalam hati. Bibir cuba ku ukirkan dengan senyuman untuk meredakan rasa mengelabahku. Walaupun aku tahu tiada siapa pun yang akan melihat senyumanku, tapi aku pasti senyumanku akan terpancar juga dari riak wajahku melalui renungan mata.

            ‘’Rancangan Mencari Calon Isteri akan dimulakan sekarang. Setiap peserta diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Semua peserta sila mengambil tempat yang telah ditetapkan.’’ Pengacara rancangan artis terkenal Farhana Asaari memulakan mukadimahnya. Aku berjalan dengan langkah perlahan ke arah papan tanda yang bertulis Orang Gaji kerana itulah pekerjaan aku. Sumaiyah di sebelah kiriku berjalan selamba dan mengambil tempatnya juga. Pelajar IPT itulah nama pengenalan Sumaiyah dan seterusnya Guru Sekolah untuk Fatin dan Setiausaha untuk pengenalan nama Farisha. Ketika aku dan Sumaiyah mengambil tempat, studio rakaman sunyi sepi, sebaliknya bila Farisha dan Fatin mengambil tempat, studio rakaman menjadi gamat terutamanya siulan oleh penonton-penonton lelaki.

          ‘’Okey, semua peserta sudah mengambil tempat masing-masing, sekarang kita persilakan pula Encik Zafril untuk memberi jambangan bunga untuk semua peserta.’’

              Pengacara rancangan bersuara lagi. Muncul pula Encik Zafril bersama beberapa orang pembantu bersama empat jambangan bunga segar. Kami dihulurkan jambangan bunga seorang satu oleh Encik Zafril. Aku perasan setiap jambangan berlainan jumlah bunga mawar dan berlainan warnanya.

               Aku hanya mendapat tiga kuntum bunga mawar merah saja sedangkan orang lain mendapat jambangan mawar yang terdapat berbelas kuntum bunga atau mungkin juga berpuluh kuntum mawar di dalamnya. Tiba-tiba diriku terasa begitu kerdil dan terasing. Jambangan mawar paling banyak dimiliki oleh Farisha dan mawarnya berwarna merah susu. Sumaiyah pula mendapat jambangan mawar berwarna putih, mungkin melebihi sepuluh kuntum mawar. Fatin pula mendapat jambangan mawar berwarna kuning. Ah..macam tak adil dan berat sebelah saja pemberian Encik Zafril ni?

             ‘’Terima kasih Encik Zafril. Nampaknya peserta-peserta kita terdiri dari perbagai golongan dan pekerjaan. Boleh terangkan tak Encik Zafril, apa maksud di sebalik semua jambangan mawar tu? Adakah Encik Zafril memberi jambangan bunga mawar untuk setiap peserta mengikut ketegori pekerjaan atau sebaliknya?’’ pertanyaan pengacara rancangan membuatkan aku mengangguk tanpa sedar. Macam dia tahu saja apa yang sedang aku fikirkan.

            ‘’Yupp..sudah semestinya ada maksud di sebalik setiap jambangan mawar yang diberi. Pink bermakna Kau yang Teristimewa. Kuning melambangkan Menawan Hati. Putih itu Sesuci Embun Pagi dan mawar merah paling istimewa..tapi biarlah rahsia.’’ Penjelasan Encik Zafril membuatkan studio rakaman menjadi gamat seketika. Aku juga turut mendesah kerana tidak puas hati dengan jawapan itu. Kalau mawar merah yang paling istimewa, kenapa tiga kuntum saja? Setidak-tidaknya bagilah seratus kuntum. Aku berbicara sendiri di dalam hati.

            ‘’Waa..adakah peserta ke empat ini sudah mendapat tempat di hati Encik Zafril? Tapi, kenapa perlu tutup muka? Bukankah ini rancangan untuk mencari calon isteri?’’ kenyataan pengacara rancangan membuatkan aku mendesah lagi untuk kesekian kalinya. Aku mencari ilham dalam diam supaya aku tersingkir hari ini, walau dengan apa cara sekali pun.

           ‘’Tertutup untuk tontonan umum saja, tidak untuk saya.’’ Selamba saja Encik Zafril menjawab soalan pengacara rancangan. Aku mencebik dalam diam. Sumaiyah mengerling aku sekilas lalu dengan senyuman. Fatin dan Farisha sejak tadi asyik tersenyum tanpa henti. Berseri sungguh wajah kedua-duanya hari ini ditambah dengan pakaian dan solekan mereka yang membuatkan wajah mereka nampak lebih cantik dari hari biasa.

             ‘’Oh..nampaknya Encik Zafril sudah terjumpa calon isteri? Bukankah begitu? Apa-apa pun kita mulakan acara seterusnya. Segalanya masih menjadi rahsia untuk didedahkan hari ini.’’ Pengacara rancangan membuat tekaan rambang, namun selepas itu dia meneruskan rancangan seperti yang sepatutnya.

            ‘’Seperti yang pernah diwarwarkan, setiap peserta akan menunjukkan bakat masing-masing untuk pusingan pertama hari ini. Rasanya semua peserta sudah bersedia dengan persembahan mereka. Rasanya, ada tak peserta yang akan tersingkir hari ini?’’ mendengar saja kata-kata pengacara rancangan yang seterusnya membuatkan hati aku bergetar sejuta rasa.

          Apakah ini? Tunjuk bakat? Bakat apa yang aku ada? Aku tak diberitahu apa-apa pun. Ah..sudah...apa semuanya ini? Aku bengang sebengangnya saat ini. Aku kerling Sumaiyah di sebelah. Selamba saja wajahnya. Fatin dan Farisha juga tidak menujukkan riak wajah terkejut. Mereka masih tetap tersenyum seperti tadi. Aku yang berpeluh seorang diri.

           ‘’Undian akan dimulakan selepas selesai calon-calon isteri ini menunjukkan bakat masing-masing. Zahratul Aishah akan memulakan pertunjukkan. Bakat apa yang telah awak sediakan Zahratul Aishah?’’ Encik Zafril kini sudah mengambil alih tugas pengacara rancangan. Nama aku disebutnya sebagai peserta pertama. Rasa macam nak pengsan dan sebagainya ketika ini. Kalau aku lari keluar studio sekarang ni, aci tak?

           ‘’Bakat berlakon, boleh? Tapi saya perlukan Encik Zafril sebagai pembantu.’’ Aku mengunakan bakat menulis aku untuk menunjukkan bakat aku. Bab nak buat skrip ni, aku boleh saja. Hidup atau tidak lakonan aku, bukanlah persoalannya sekarang ni. Almaklumlah, pelakon tangkap muatlah katakan.

          ‘’Berlakon? Wow, awak memang benar-benar mengejutkan. Sebagai peserta paling rendah sekali pangkat awak, bakat lakonan yang ingin awak tonjolkan? Saya memang tak sangka, itulah jawapan awak. Okey, saya akan jadi pembantu awak. Saya kena buat apa?’’ kata-kata Encik Zafril sekali lagi menyentap tangkai hati aku. Pangkat paling rendah sekali? Apa maksudnya? Orang gaji ke?

          ‘’Ini kisah suami isteri. Saya isteri yang setia tapi Encik Zafril adalah seorang suami yang tak bertanggungjawab, perengus, kaki botol, kaki betina dan selalu pulang lewat malam. Jadi, kesabaran saya sebagai seorang isteri benar-benar tercabar malam ini bila Encik Zafril pulang ke rumah bersama wanita lain. Mungkin Farisya boleh menjadi kekasih gelap Encik Zafril.’’ Aku menyambut kata-kata Encik Zafril dengan nada serius. Dalam minda sudah merancang untuk mengenakan Encik Zafril cukup-cukup malam ini. Biarlah aku tersingkir. Itu juga sebahagian dari rancangan aku.

          Seluruh studio riuh rendah dengan sorakan. Encik Zafril merenung aku seolah tidak percaya dengan apa yang aku katakan. Farisha sedang menuding jari ke arah dirinya sendiri, mungkin sedang bertanya, akukah?

           ‘’Semua ini di luar dugaan nampaknya. Kita mulakan persembahan oleh peserta pertama kita malam ini. Di persilakan Zahratul Aishah, Encik Zafril dan Farisya keluar ke hadapan.’’ Pengacara rancangan menjemput kami bertiga untuk keluar ke atas pentas di hadapan penonton. Aku melangkah dengan yakin. Tangan yang berbalut sarung tangan hitam berkain lembut aku picit-picit sikit. Bukannya apa, sekadar persediaan untuk persembahan aku nanti.

          Pangg..sebaik pengacara mengatakan ‘cut’ tanda boleh bermula, laju saja tangan aku menampar pipi Encik Zafril sekuat hati. Terkejut juga Encik Zafril menerima tamparan itu dan boleh dilihat dari riak wajahnya yang merah kerana tamparanku.
          ‘’Kenapa bang? Kenapa abang buat Ecah macam ni? Sepuluh tahun kita nikah, ini yang abang hadiahkan untuk Ecah? Apa semua ni bang, selama ini Ecah banyak bersabar dengan sikap abang. Apa abang buat, semuanya Ecah diam. Abang pulang mabuk, Ecah diam. Abang pukul Ecah pun Ecah diam. Sekarang, abang nak berzina pula dalam rumah kita ni? Cukup-cukuplah dengan dosa abang selama ini. Ecah tak nak bersubahat dengan abang lagi.’’ Spontan saja kata-kata itu keluar dari bibir aku. Sesungguh hati aku ungkapkan dialog-dialog itu sambil cuba menghayati perasaan seorang isteri yang sangat kecewa dengan suaminya.

           ‘’Hantar Ecah pulang ke rumah orang tua Ecah. Cukuplah setakat ini saja hubungan kita. Ecah tak nak hidup dengan abang lagi. Lepaskan Ecah!’’ aku tak memberi peluang sedikit pun untuk Encik Zafril dan Farisya bersuara. Aku terus menerus mengeluarkan kata-kata spontan yang muncul dalam fikiranku. Sorakan bergema lagi dalam studio. Aku tak peduli dengan semua itu. Aku pegang pula leher baju melayu Encik Zafril dan menolaknya dengan kuat hingga dia terdorong beberapa langkah ke belakang. Aku betul-betul menunjukkan belang aku malam ini.

           ‘’Cut!’’ Encik Zafril sendiri yang memberikan arahan agar aku hentikan lakonanku. Aku mengeluh perlahan. Tak dapatlah aku nak kenakan dia lagi.

           ‘’Awak memang berbakat Zahratul Aishah, bukan saja berbakat, bertenaga juga awak ni kan?Pedih juga pipi saya ni kena tamparan padu awak tu.’’ Encik Zafril memuji bakat lakonan aku dalam sindiran tajam. Seluruh studio sudah riuh dengan sorakan mendengar kata-katanya. Aku hanya mampu tersenyum di sebalik niqab. Dalam hati masih berdoa. Tolonglah, singkirkan aku malam ni.

          ‘’Sekarang ini dipersilakan pula peserta kedua, seorang pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor, Siti Sumaiyah Haji Deraman.’’ Nama Sumaiyah pula disebut Encik Zafril sebagai peserta kedua. Aku memerhatikan Sumaiyah keluar dengan langkah yang sangat tenang. Kemudian masuk beberapa orang kru membawa sebuah meja rendah dan tempat duduk beserta sebuah Al-Quran dan rehal. Subhanallah, adakah Sumaiyah hendak menunjukkan bakatnya membaca Al-Quran. Nampaknya ada seorang Qariah yang bakal lahir hari ini.

          Sumaiyah mula mengambil tempatnya di depan semua penonton. Al-Quran dibuka dan Sumaiyah mula mengalunkan kalimah Allah dnegan suara yang sangat merdu. Masya Allah, Sumaiyah sangat berbakat dalam mengalunkan kalimah-kalimah suci. Nada suaranya merdu dan tajwid bacaannya juga sangat sempurna. Aku memerhatikan wajah Encik Zafril dan penonton-penonton yang seolah sudah terpegun dengan alunan kalimah-kalimah suci yang Sumaiyah bacakan. Aku berdoa di dalam hati, biarlah Sumaiyah yang menjadi pemenang terakhir. Sumaiyah paling berbakat di antara kami semua. Aku buat tekaan rambang, walaupun Fatin dan Farisha masih menunjukkan bakat mereka.

            Seterusnya, tibalah giliran Fatin dan Farisya pula menujukkan bakat masing-masing. Farisha memilih untuk menyanyi. Seluruh studio tergelak mendengar nyanyiannya. Lari tempo dan sebagainya, Boleh dikatakan 88.8% tone deaf. Gagal menyanyi dengan baik. Fatin pula melagukan syair, bolehlah juga diterima gegendang telinga kerana suara Fatin sedikit merdu berbanding suara Farisha tadi. Akhirnya, akulah peserta pertama yang disingkirkan oleh Encik Zafril dengan alasannya dalam lawak jenaka, aku isteri gengster. Yeahoo..dalam hal ini, akulah yang paling gembira sekali. Boleh balik buat kenduri kesyukuran lagilah aku selepas ini.
          


Bab 16

       AKU berehat di rumah hari ini. Lega rasa hati dapat pulang semula ke rumah dan melakukan apa saja yang aku nak. Jauh dari jurukamera, pengarah dan Encik Zafril. Aku mendapar kebebasan aku semula. Seolah baru keluar dari penjara dunia, namun pengalaman seminggu bersama produksi banyak mengajar aku susah payah dunia orang seni.

         Apa saja bidang yang kita ceburi perlukan usaha yang lebih untuk meraih kejayaan. Tersalah langkah, pasti buruk padahnya. Macam aku sekarang, dalam aku bersantai di rumah mencari ketenangan minda untuk tajuk novel terbaru aku, sempat aku melayan internet dan menonton kembali rancangan Mencari Calon Isteri minggu pertama yang telah dimuat naik ke dalam Youtube. Setakat ini sudah ada 20,000 penonton dan beratus-ratus komen.

Gadis Ayu : Kenapa singkirkan Zahratul Aishah tu? rasanya dia peserta paling layak sebagai calon isteri.
Reply:
Winie: Layak apa? Tak nampak Zafril kena penampar? Rasanya bukan penampar buat-buat, real punya penampar
Aya: Betul, aku perasan pipi Zafril merah
Noni:dia memang patut disingkirkan, mana ada orang pakai niqab untuk rancangan reality tv
Ayunk: alaa..dia tu tutup muka nak bagi org ingat dia tu baik. Padam muka, dia peserta 1st yang tersingkir

              Aku baca dan terus membaca semua komen. Memang pedih dan menguris hati. Banyak komen negatif untuk aku berbanding positif. Yang positif, rasanya boleh dikira dengan jari. Sumaiyah yang menujukkan bakat mengaji Al-Quran pun dikutuk mereka. Farisha dan Fatin pula walaupun aku rasa bakat mereka tak seberapa, ramai yang memuji mereka terutama wajah cantik mereka. Namun, ada juga komen negatif untuk mereka berdua.

Ain Nabila: Orang yang patut tersingkir adalah farisha dan fatin, pakai baju, pakai tudung tapi macam telanjang, ketat, padat dan sendat. Zahratul dan sumaiyah barulah layak dibuat calon isteri.

Ahmad Nuraimi: Aku akan undi Sumaiyah minggu depan, dia barulah calon isteri sebenar. Nak cari calon isteri tengok pada agamanya, bukan rupa atau hartanya.

            Aku tersenyum seorang diri membaca komen-komen penonton. Sesekali kepalaku tergeleng tanpa sedar bila terbaca komen-komen negatif untuk diriku sendiri. Yang menghina, memaki, mencarut pun ada. Apa salahku pada mereka semua yang mengeluarkan kata-kata kesat untukku? Adakah kerana mereka dapat mengesan lakonan original aku yang menampar Encik Zafril sekuat hati? Atau, kerana aku seorang peserta yang berniqab? Aku tak faham dengan gelagat manusia di zaman alaf 21 ini. Mereka memberi komen sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain seolah-olah hanya mereka saja yang mempunyai perasaan.

            Mereka seronok menjadi keyboard warrior, mengutuk dan menghina orang lain, sedangkan mereka tak kenal pun orang yang mereka kutuk tu. Mereka suka menilai orang lain dengan pandangan mata kasar. Aku sedar, aku juga bersalah kerana melakonkan watak isteri gengster tu, tapi semuanya bersebab. Sebab pertama, aku memang nak disingkirkan, sebab kedua, aku geram kerana tak diberitahu pun tentang bakat yang perlu ditonjolkan.

         Selepas pengambaran hari tu, aku tanya Sumaiyah, adakah dia tahu dia perlu tunjukkan bakat dan jawapannya adalah ya. Begitu juga dengan Farisha dan Fatin, mereka berdua juga tahu dan bersedia dengan apa yang perlu mereka lakukan. Hanya aku yang tak tahu apa-apa. Bila aku tanya Encik Zafril, jawapannya memang mengejutkan aku.

         ‘’Kenapa awak tanya? Tak bagitau awak pun, awak mampu tunjukkan bakat terpendam awak tu kan? Awak tak nak kerja dengan produksi ke? Boleh terus berlakon, tapi awak tak boleh tutup muka la kalau nak jadi pelakon.’’ Tergiang-ngiang lagi jawapan Encik Zafril kepadaku. Dia memang sengaja nak menguji aku hari tu, rasanya tak salah aku memberi tamparan percuma tu untuk dia. Barulah berbaloi dengan apa yang dia buat pada akukan?

            ‘’Kak Yang, jom..teman Ucu keluar shoping. Nanti Ucu belanja kak Yang.’’ Ralit aku membaca sampai tak sedar Ucu sudah berada di sebelahku.

          ‘’Kak Yang tengok apa? Ehh..ni bukan rancangan..’’ Ucu tak menghabiskan kata-katanya, dia menarik laptop dan merenung skrin laptop dengan tekun.

          ‘’Kenapa dengan mereka ni kak Yang, suka sangat mengomen yang bukan-bukan. Padahal, mereka bukan kenal pun siapa kakak Ucu ni. Bersabarlah kak Yang, manusia ni memang macam ni. Mereka mengutuk tanpa mengenali orang yang mereka kutuk, mudah-mudahan nanti Allah bayar cash, baru mereka tau langit tu tinggi ke rendah.’’ Ucu mengeluarkan pendapatnya pula. Sama dengan apa yang aku fikir. Aku hanya tersenyum pahit. Kalau Ucu pun marah dan terasa, apatah lagi aku. Trauma tu tetap ada, walaupun mungkin penonton takkan kenal pun siapa aku.

          ‘’Manusia Ucu...’’ hanya itu yang mampu aku ungkapkan.

            ‘’Ucu nak shoping apa, cuti-cuti ni Ucu tak ada show ke?’’ aku menyambung kata-kataku. Mungkin Ucu dah baca semua komen-komen tu dan cuba nak memujuk aku dengan mengajak aku keluar shoping. Aku kenal sangat dengan Ucu, dah tahu tapi sengaja buat-buat tak tahu.

           ‘’Hmm..temankan Ucu beli baju, lepas tu kita singgah makan di mana-mana, lepas tu kita tengok wayang. Nak tak? Rasanya kak Yang perlukan udara luar. Tak payah nak memerap dalam bilik ni dan baca semua komen-komen tu. Tak ada faedah pun kak Yang baca. Abaikan semua ni. Semakin dibaca, semakin semak kepala otak kak Yang tu nanti.’’ Aku dah agak , Ucu memang nak memujuk aku untuk lupakan semua ni. Aku dah lama kenal Ucu. Dialah adik yang paling memahami aku.

             ‘’Jomlah, pergilah bersiap. Kak Yang belanja.’’ Aku terus bersetuju tanpa berfikir panjang lagi. Hari ini aku nak keluar dengan kekasih gelapku ini. Aku akan jadi Ayang Mas Merah. Aku nak melaram sakan.

              ‘’Ucu ajak, Uculah yang belanja, pehal pula kak Yang nak belanja?’’

          ‘’Ucu simpan saja duit Ucu tu, kak Yang tengah bermurah hati ni. Biar kak Yang yang belanja, Ucu minta saja apa yang Ucu nak nanti. Kak Yang nak habiskan duit yang Encik Zafril kasi. Macam sakit hati saja tengok duit ni dalam dompet kak Yang ni.’’ Aku berterus terang dengan Ucu. Duit Rm1000.00 pemberian Encik Zafril ingin aku belanjakan sehingga habis.

          ‘’Banyak ke dapat?’’ soalan Ucu buat aku tersenyum hambar.

           ‘’Bolehlah, kalau setakat sehelai baju, beli tiket wayang untuk kita berdua dan makan-makan.’’ Aku menjawab bersahaja. Malas nak bagitahu nilainya.

           ‘’Sehelai mana cukup. Ucu nak beli lima pasang. Tiga hari lagi, Ucu nak kena pergi shoting di Singapura. Kak Yang nak ikut tak? Jomlah..ada kak Yang best sikit.’’ Aku membeliakkan mata pada Ucu. Diam-diam nak pergi Singapura. Jauh tu..

            ‘’Wah, diam-diam ubi adik kak Yang ni. Jauh sangat tu Ucu, syarikat mana yang upah Ucu kali ni? Jangan sampai tertipu Ucu.’’ Aku mengingatkan Ucu tentang segala kemungkinan walaupun dia orang lelaki. Dunia sekarang ni banyak sangat penipu yang nak mengambil kesempatan.

            ‘’Kawan Along yang nak Ucu jadi model dia. Along pun ikut sama, nak pergi shoping kat Tambak Johor. Kak Yang tak nak ikut ke? Jomlah kak Yang!’’ Ucu mengajak aku pergi Singapura lagi. Ishh..ada-ada saja Ucu ni. Macamlah aku tak pergi, dia akan rindu.

            ‘’Malaslah, nak pergi jauh-jauh tu. Kak Yang nak berehat puas-puas sebelum memulakan projek baru kak Yang. Pergilah siap, tadi kata nak pergi shoping?’’ aku berkata sambil menolak Ucu keluar dari bilik aku.

             ‘’Projek baru? Projek apa?’’

            ‘’Shhh..’’ aku meletakkan jari telunjuk di bibirku. Biarlah rahsia.

              ‘’Dah..pergi keluar. Kak Yang nak mandi dan bersiap.’’ Aku halau Ucu lagi dan mencapai tuala lalu masuk ke bilik mandi.


            KAMI ronda shoping mall dan masuk ke semua kedai menjual pakaian lelaki. Aku menolong Ucu memilih pakaian dan bertindak sebagai penasihat. Apa saja yang Ucu berkenan semua aku tak berkenan, yang Ucu tak berkenan pula, aku suruh dia beli. Akhirnya Ucu beralah dan mengajak aku makan dulu.

         ‘’Makan dululah, Ucu kalau lapar, tak ada semangat nak bertekak dengan kak Yang. Semuanya kak Yang tak berkenan. Cuba jangan dibawa masalah rumah datang ke mall.’’ Ucu berkata sambil menarik muka masam. Apa taknya, dah lima buah kedai kami masuk, sepasang baju pun tak beli lagi. Semua pilihan dia aku bantah sekeras-kerasnya. Hihi..

             ‘’Ayam goreng!’’ aku keluarkan pendapat. Ucu tarik muncung, terus aku tergelak tanpa sedar.

          ‘’Okey, okey..Ucu yang buat pilihan.’’ Mendengar ayat-ayat aku yang seterusnya barulah Ucu tersenyum. Ceria kembali wajahnya yang monyok tadi.

          ‘’Western food ya?’’ Ucu menyoal. Aku mengangguk, tak mahu membantah lagi.

            Kami berjalan beriringan mencari restoran Western Food dalam mall ini. Sambil berjalan kami berbual rancak. Macam-macam topik yang kami bualkan termasuk komen-komen di Youtube yang kami baca tadi. Bagi aku, setiap orang ada jari dan fikiran sendiri. Terpulanglah, macam mana mereka nak gunakan jari jemari mereka tu untuk menaip. Di akhirat esok jari jemari itulah yang akan menjadi saksi bahawa mereka pernah menaip kata-kata kesat untuk orang lain. Kalau komen yang membina mungkin boleh diterima. Ini komen menghina, memaki hamun dan mencarut. Apakah semua itu? Mudah sangat nak mengeluarkan kata-kata sebegitu tanpa memikirkan apa impak yang terpaksa diterima oleh orang yang mereka hina tu. Kalau orang tu tungul kayu atau patung yang tak ada hati dan perasaan tak apalah juga. Sesekali tu sebelum meninggalkan komen fikir dulu, bagaimana pula kalau orang lain berkata begitu kepada kita sendiri? Seronokkah kita? Kalau kita sendiri pun sakit hati, ingat orang lain takkan rasa apa-apa ke?

            ‘’Kak Yang, tu macam..’’

            ‘’Ucu..sembunyi cepat, kak Yang tak nak kena tangkap dengan mereka. Tak pasal-pasal kita jadi topik hangat nanti.’’ Aku cepat-cepat menarik Ucu lari untuk bersembunyi. Nahaslah kalau Encik Zafril dan kru-kru rancangan Mencari Calon Isteri melihat aku bersama Ucu. Ditambah pula dengan pakaian yang aku pakai sekarang. Memang aku melaram sakan dan wajah pula aku kenakan sedikit solekan. Tak sama dengan wajah aku ketika bersama mereka. Berbeza sangat.

            ‘’Mereka buat apa di sini? Takkan mereka pun shoping kot?’’ aku menyoal diri aku sendiri sambil mengintai dari jauh.

          ‘’Mereka shooting tu kak Yang. Ada jurugambar sekali dengan mereka. Encik Zafril tu..’’

            ‘’Kenapa?’’ aku bertanya bila Ucu terdiam lama dan tak menyambung kata-katanya.

            ‘’Mereka masuk kedai emas.’’ Ucu berkata lagi. Aku mengangguk perlahan. Aku cuba mencari wajah-wajah yang turut ada bersama Encik Zafril. Aku cuma nampak Farisha dan Encik Zafril saja. Mana Fatin dan Sumaiyah? Hati aku berkata-kata.

            ‘’Encik Zafril nak lamar Farisha ke?’’ aku bersuara lagi. Tak tahu pada siapa aku tujukan soalan itu. Ucu menoleh ke arahku dengan dahi yang sedikit berkerut.

           ‘’Kalau ya, kenapa? Kak Yang jealous ke?’’ tak semena-mena soalan itu yang Ucu tanya. Aku pula tayang wajah pelik padanya. Cemburu? Hiesy..tak ada faedah langsung aku nak cemburu dengan mereka berdua.

           ‘’Jangan nak mengarut sangat. Jomlah, kita pergi makan. Kak Yang pun dah lapar. Lantaklah, kalau terserempak dengan mereka pun. Nanti Ucu jadi BF kak Yang, okey?’’ aku buat keputusan mendadak. Selalunya, aku dah Ucu memang suka berlagak macam sepasang kekasih yang sedang bercinta, kecuali di depan teman-teman baik yang mengenali kami. Yang tu memang tak boleh nak kelentong.



Bab 17

            AKU nak lupakan pasal semua kejadian yang sudah berlalu. Aku tak mahu fikir pasal semua komen. Aku takkan terjah lagi Youtube untuk membaca komen. Aku takkan menonton lagi rancangan Mencari Calon Isteri. Aku rasa semua orang sudah lupa dengan Zahratul Aishah dan begitulah aku, ingin lupakan semua orang. Aku nak mulakan projek baru untuk mencari kerja dan mencari ilham untuk novel terbaru. Fokus utama aku adalah Orang Gaji.

          ‘’Mak, Shah nak tanya ni, ada tak kawan-kawan mak yang perlukan orang gaji? Manalah tahu, kalau-kalau mak pernah dengar kawan-kawan mak bercerita, orang gaji mereka berhenti ke, ataupun permit orang gaji mereka dah habis ke?’’

           Soalan aku untuk Datin Maimunah ibuku di petang yang damai sambil memasak mee kari kegemaran kami sekeluarga. Aku sengaja mengambil kesempatan keluar ke dapur untuk membantu emakku dan pembantu rumah kami menyediakan makan petang sambil mencari info penting.

        ‘’Dua minggu lepas ada rasanya, kawan mak cakap pembantu rumah jiran sebelah rumah dia berhenti, tapi tak pastilah pula, dah dapat penganti ataupun belum. Kenapa Shah tanya?’’

        ‘’Ermm..sebenarnya mak, Shahkan..dah target novel terbaru ni nak pilih tajuk orang gaji, jadi..macam biasalah mak, hobi Shah..’’ aku berterus terang dengan mak sambil tersengeh. Semacam saja Datin Maimunah ni pandang aku. Tak percayalah tu.

         ‘’Anak mak, nak jadi orang gaji? Boleh ke? Masuk ke ceruk dapur ni sebulan sekali pun liat...’’ Aku menekup mulut Datin Maimunah sebelum habis dia mengungkapkan kata, kemudian aku letakkan jari telunjuk di bibirku sendiri.

          ‘’Ishh..mak ni, belum cuba, belum tau mak. Untuk novel Shah, apa saja kerja mesti Shah boleh buat. Mak percayalah dengan anak mak ni. Shah bukannya tak nak tolong di ceruk dapur ni, kesian pula dengan bibik, nanti dia tak ada kerja pula nak buat. Lagi pun, Shah takut, kalau Shah kerap masuk ke dapur, nanti kalau Malaysia ni banjir ataupun kemarau, ada pula yang nak salahkan Shah.’’ Aku memberi alasan yang aku cipta secara spontan. Memang bernas sangat alasan yang aku beri tu, tapi emakku mencebik saja mendengarnya. Bibik pun menjeling semacam saja padaku.

         ‘’Pandailah menjawab, bila dah kahwin nanti, kalau Shah menjawab macam tu..hmm, tak tahulah mak, apa nak jadi.’’

           ‘’Tentu mak mertua Shah berbangga dapat menantu macam Shahkan mak?’’ aku sengaja mengusik emakku lagi. Dan, serentak itu emak menjeling tajam ke arahku. Hailah..Datin Maimunah ni, main jeling menjeling pula dia.

            ‘’Nanti mak tolong Shah tanya ya. Rumah siapa pun Shah tak kisah. Kerja berat pun Shah tak kisah, asalkan jangan jaga orang sakit saja. Jaga baby, Shah boleh pertimbangkan, tapi kena tengok jugalah, baby tu besar mana. Kalau yang masih merah tu, Shah tak berani.’’ Aku berterus terang dengan emakku. Demi menyiapkan sebuah novel, aku sanggup melakukan apa saja demi sedikit pengalaman.

         ‘’Kenapa? Kalau takut nak jaga baby, anak Shah nanti, siapa yang nak jaga? Takkan nak upah orang jaga?’’ Datin Maimunah pula menguji aku. Aku diam sejenak mencari ilham untuk menjawab.

          ‘’Mak, Shah pernah terbaca satu artikal dalam ruangan soal jawab agama dalam sebuah majalah. Ustaz tu kata, tugas isteri yang wajib, cuma layan suami di tempat tidur saja. Jadi, suami yang wajib cari pembantu untuk jaga anak, kalau dia mampu. Tapi kalau suami tak mampu, dialah yang kena jaga anak tu.’’

         ‘’Ooo..jadi Shah cuma nak layan suami sajalah, yang lain Shah tak mau buat? Kalau macam tu, mudahlah kerja Shah. Pikul tanggungjawab sebagai isteri yang wajib saja. Habis tanggungjawab mendidik anak-anak macam mana pula? Kalau mak tak didik Shah dan semua anak-anak mak, agak-agaknya apa yang akan terjadi? Apa yang Shah rasa?’’

          Aku peluk emak serta merta mendengar jawapan emak. Betul juga kata-kata emakku. Kalau emak serahkan tugas mendidik anak-anak kepada pembantu rumah, tentu kami akan terasa kehilangan kasih sayang emak, walaupun emak masih ada.

          ‘’Shah tau, bukan senang nak pikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan seorang ibu dalam masa yang sama. Buat masa sekarang, Shah tak mahu fikirkan lagi pasal itu semua. Mak pun tahukan, Shah belum ada calon? Bila dah ada calon nanti, Shah belajarlah untuk menjadi seorang isteri dan seorang ibu yang baik.’’ Selamba saja aku menjawab balas. Tapi, dalam hati gentar juga memikirkan segala kemungkinan.

          ‘’Bila nak ada, calon tu?’’ Datin Maimunah tanya soalan cepu cemas padaku. Aku cuma mampu tersengeh. Nak jawab apa ya?

             ‘’Bila dah sampai seru nanti, adalah mak. Sekarang ni seru untuk jadi isteri orang tu belum sampai lagi. Mak sabar ya, nanti Shah cari seorang calon suami yang handsome untuk mak, ataupun, mak nak calon menantu yang macam mana? Bagitau saja Shah. Nanti Shah tunaikan permintaan mak tu.’’ Aku menjawab soalan emak aku sambil tayang wajah kering, macamlah nak cari calon suami tu boleh di pilih-pilih macam beli baju di pasaraya.

            ‘’Hai, anak mak ni..tu nak cari calon suami ke, nak beli baju?’’ aku terus tergelak mendengar pertanyaan emakku. Sesungguhnya, bukan mudah nak cari calon suami yang benar-benar berkualiti. Kalau aku nak seorang suami yang sempurna, aku juga harus jadi seorang wanita yang sempurna. Kalau aku pun banyak kekurangan, tak bolehlah aku berangan untuk mendapat suami yang langsung tak ada kekurangan.

         ‘’Bila hati Shah dah ada rama-rama yang terbang selepas bertentang mata dengan seseorang nanti, adalah calonnya mak. Selagi hati Shah ni tak berdetak laju, payah sikitlah mak..’’

         ‘’Rama-rama? Ada rama-rama pula dalam hati? Masuk ikut mana?’’

           ‘’Alaa..mak ni. Bila dah ada taman dalam hati nanti, tentu ada rama-rama yang akan masuk terbang dalam tu..’’

             ‘’Yalah..tapi rama-rama tu nak masuk ikut mana?’’

               ‘’Biasalah mak, dari mata turun ke hati. Kan bibik?’’ tak pasal-pasal, bibik pula yang kena soal. Bibik hanya tersenyum tanpa menjawab soalan aku. Aku pula mengambil mangkuk dan memasukkan mee yang telah dicelur bibik dan menghidangkannya di atas meja. Inilah pertolongan yang mampu aku beri. Tolong tengok emak aku dan bibik memasak dan tolong hidang bila dah siap. Amacam, terror tak aku? Hihihi..

              BEBERAPA hari selepas aku berbual dengan emak aku tentang orang gaji, akhirnya aku mendapat jawapannya. Kebetulan seorang daripada kawan emak aku memerlukan orang gaji kerana pembantu rumah mereka akan pulang ke kampung buat sementara waktu atas urusan keluarga. Aku pun hanya nak bekerja sementara saja, bukan untuk selamanya. Sekadar mencari pengalaman untuk menyiapkan sebuah novel. Dapat sedikit pengalaman pun, sudah cukup berbaloi dan aku yakin mampu menceritakan setiap babak dengan baik dalam novel aku nanti.

            Hari ini hari pertama aku bekerja sebagai orang gaji. Sebelum ni aku ada orang gaji untuk menguruskan semua keperluan aku dan memasak apa saja yang aku nak makan tapi hari ini, akulah orang gaji tu. Apa nak jadi pun, aku harus kuatkan semangat demi novel terbaru ini. Aku pernah buat macam-macam kerja sebelum ni. Pernah bekerja di restoran, jadi tukang cuci, bekerja di kilang dan tinggal di kampung. Semua kerja tu bukan mudah untuk aku melakukannya tapi aku tetap berjaya juga mengharungi setiap kepayahan.

           ‘’Shah, hari ni masak banyak sikit ya. Anak sulung saya nak balik.’’ Puan Syarifah, majikan aku sudah memberikan arahan. Masalahnya, apa yang perlu aku masak hari ini? Dalam rumah ni ada empat ahli keluarga. Kalau anak sulung Puan Syarifah akan pulang bermakna, lima orang. Kalau dicampur dengan aku dan drebar dah jadi tujuh orang. Kalau nak masak banyak sikit tu, banyak mana?

           ‘’Baik Puan. Tapi..nak masak banyak mana Puan? Nak masak lauk apa? Shah tak tahu nak masak apa. Boleh tak Puan senaraikan dulu, lauk apa yang harus Shah masak dan banyak mana nasi yang harus Shah masak. Maksud Shah, sukatan beras tu.’’ Aku berterus terang saja dengan Puan Syarifah. Kalau tunjuk pandai nanti, lain pula jadinya.

           ‘’Masak saja apa yang Shah nak masak. Kalau tak ada bahan-bahan untuk masak, ajak Pak Mat ke pasar. Nasi tu..selalunya empat cawan cukup dah Shah. Rasanya bekas untuk menyukat beras tu, dah ada dalam bekas simpan beras tu.’’ Simple dan mudah penjelasan yang Puan Syarifah beri. Aku berfikir seketika. Masak saja apa yang aku nak masak? Hari ni hari pertama aku nak tunjuk bakat memasak aku di sini. Masalahnya, lauk apa yang aku nak masak?

           ‘’Puan..boleh tolong bagi pendapat tak? Shah tak tahu, lauk apa yang penghuni rumah ni suka makan.’’ Aku tanya lagi Puan Syarifah. Aku memang tak ada idea langsung tentang selera Puan Syarifah dan anak-anaknya.

           ‘’Masak lemak cili padi udang galah.’’ Tiba-tiba muncul suami Puan Syarifah dan dia bersuara memberikan cadangan. Dia sudah lengkap berpakaian untuk keluar ke pejabat. Aku tergamam seketika. Langkah kaki yang ingin menuju ke arah almari pinggan mangkuk terhenti. Aku memerhatikan wajah Puan Syarifah dan Tuan Nazir silih berganti.

           ‘’Jangan nak mengarut. Mana nak cari udang galah? Masak saja, yang senang nak cari bahannya Shah. Jangan ikutkan sangat selera Tuan ni..’’ Puan Syarifah mencelah sambil mengerling suaminya yang sedang menarik kerusi untuk duduk.

             ‘’Masak saja Shah, tak ada udang galah, udang putih pun boleh. Udang putih pun tak ada, beli udang harimau.’’ Tuan Nazir bersuara lagi sambil tersenyum. Dalam masa yang sama, tangannya memasukkan nasi goreng ke dalam pinggan. Puan Syarifah pula menuangkan air milo panas yang baru aku letakkan di atas meja ke dalam cawan.

           ‘’Amboi..selera..’’ Puan Syarifah bersuara lagi dan memandang tepat ke wajah suaminya. Aku terpaksa juga mengangguk. Dah bos cakap masak udang, aku nak kata apa lagi.

          ‘’Kenapa? Tak boleh ke?’’ Tuan Nazir membalas kembali kata-kata Puan Syarifah. Aku berlalu dari meja makan selepas selesai menghidang. Minda aku sedang berkerja keras untuk menu masakan tengahari ini. Tiada masa nak pasang telinga untuk ambil tahu hal keluarga majikanku.



Bab 18

          AKU keluar ke Pasar Tani bersama dengan Pak Mat. Dia akan membawa aku ke mana saja aku nak pergi. Baik betul Pak Mat melayan aku. Bila berbual dengan Pak Mat, rasa macam dah lama aku kenal dia. Apa saja yang aku tanya pasal keluarga Puan Syarifah, dia akan jawab dengan lancar.

         Bila masuk ke Pasar Tani, kenangan di kampung Mak Esah kembali terimbas dalam ingatanku. Segala jenis makanan kampung mentah ada di sini. Pucuk ubi kayu, pucuk paku, pucuk maiden, jantung pisang, segala jenis ulam-ulaman, tempe, ubi keledek, ubi kayu, ubi keladi.

         Subhanallah, aku tiba-tiba rambang mata melihat semua ini di depan mata. Selama ini bibik atau mak aku yang keluar ke pasar membeli bahan-bahan untuk dimasak. Aku hanya menunggu untuk menyuap saja. Kalau pergi pun, sesekali pergi pasaraya dengan Ucu, Alang ataupun Angah. Itu pun hanya sayuran dan buah-buahan yang kebanyakannya diimport yang kami jumpa. Di sini sangat berbeza dan hatiku begitu teruja. Sangat-sangat teruja, seolah-olah aku sedang berada di kampung yang berada di tengah-tengah bandar.

            Aku cari juga udang putih A dan ikan-ikan segar. Kebanyakan ikan-ikan di sini kelihatan seolah baru dibawa naik dari bot-bot nelayan kerana kelihatan masih segar. Dalam mencari udang putih gred A, aku terjumpa udang galah. Bila ditanya harganya, ternyata udang galah lebih mahal berbanding udang putih A. Aku tak memilih, aku beli kedua-duanya. Kalau tak masak hari ini, mungkin aku akan masak esok.

            Selain udang, aku beli beberapa ketul ikan pari dan beberapa ekor ikan sembilang yang masih hidup. Aku ingin memasak resepi yang aku belajar dari Mak Esah ketika di kampung. Udang galah masak lemak cili api bersama pucuk ubi kayu. Sesekali suami Mak Esah akan keluar menjala udang galah. Kalau sudah rezeki, pasti ada hasilnya yang dibawa balik. Ikan sembilang juga selalu menjadi rezeki aku ketika di kampung Mak Esah, dan ikan sembilang itu Mak Esah akan masak kari rempah giling. Mak Esah ajar aku adukkan rempah ratusnya dan menunjukkan aku cara mengiling rempah. Katanya, kalau tak ada batu pengiling , boleh juga dikisar, dan Mak Esah mengajar aku cara-caranya.

            ‘’Ehh..tu macam Encik Airil..’’ aku dengar Pak Mat bersuara bila dia mula membelok masuk ke laman rumah. Aku memandang ke arah yang sama. Memang terdapat seorang lelaki dengan pakaian seragam seorang juruterbang.

              ‘’Encik Airil tu siapa?’’ aku bertanya Pak Mat yang sudah mematikan enjin kereta. Dia sudah bersedia untuk melangkah keluar. Aku juga berbuat perkara yang sama. Bila Pak Mat tak menjawab soalanku, aku membuka pintu kereta dan meloloskan diriku. Aku berdiri kaku di tepi kereta, sedangkan Pak Mat sudah melangkah laju menuju ke arah lelaki itu.
          
          ‘’Shah! Sini..’’ Pak Mat melaung namaku sambil melambaikan tangannya. Lelaki itu turut menoleh ke arahku. Pandanganya begitu tajam dan wajahnya sangat serius. Tiada segaris senyuman pun di bibirnya. Aku tiada pilihan, melainkan melangkah perlahan-lahan ke arah mereka.

           ‘’Pak Mat kenalkan, ini Encik Airil Farhan, anak sulung Puan.’’ Pak Mat memperkenalkan lelaki yang sedang berdiri di depanku sekarang. Aku menganggukkan kepala, tanda salam perkenalan.

          ‘’Awak datang dari Jepun ke? Main angguk-angguk pula.’’ Lelaki yang diperkenalkan sebagai Encik Airil ini bertanya padaku. Wajahnya masih serius dan matanya merenung tepat ke wajahku. Mata kami bertentangan seketika dan dengan beraninya aku melawan pandangannya. Jepun? Memang sengaja nak cari nahas, dia ni? Aku membentak di dalam hati.

          Aku nekad tak mahu menjawab soalannya. Aku mengeleng dan ingin berlalu masuk ke dalam rumah. Tapi, langkahku terhalang. Encik Airil menghalang jalan dengan berganjak dari kedudukannya dan berdiri menghalang pintu utama. Aku menahan geram di dalam hati. Pak Mat yang sedang memerhatikan gelagat kami, sudah mula ketawa.

          ‘’Siapa awak? Kenapa tak nak perkenalkan diri. Pak Mat dah kenalkan diri saya, takkan awak nak blah macam tu saja. Dari mana awak belajar ni?’’ Encik Airil bersuara lagi. Kata-katanya, seolah ingin mencari gaduh denganku.

             ‘’Saya orang gaji, baru bekerja di sini. Rasanya, Encik takkan berminat nak berkenalan dengan orang kampung macam saya ni. Maaf Encik, saya nak masuk. Banyak lagi kerja saya yang belum selesai.’’ Aku berkata perlahan sambil tertunduk tersipu-sipu. Malulah kononnya tu. Sengaja aku berlakon sikit. Rasanya, tak salahkan?

           ‘’Oh..orang gaji. Mana awak tahu saya tak berminat nak berkenalan dengan awak? Awak ada kuasa psikik ke? Boleh baca minda orang lain?’’ Encik Airil ajukan beberapa soalan seolah ingin menyindir aku. Aku panggungkan kepala dan bertentangan mata dengannya. Dia menjungkitkan kening, seolah mencabar aku. Aku melawan pandangannya dan kami bertentangan mata agak lama sebelum terdengar Pak Mat berdehem.

         ‘’Encik Airi, Shah..Pak Mat nak kena keluar ni. Tadi Tuan dah pesan, dia nak kena keluar jumpa seseorang tengahari ni. Nanti lambat pula. Tak apa ke, Encik Airil dengan Shah dalam rumah ni? Yusrina dengan Yusri pun belum pulang dari sekolah lagi. Pak Mat bukannya apa, takut ada pula pencegah maksiat yang datang menyerbu rumah ni nanti.’’ Kata-kata Pak Mat membuatkan aku dan Encik Airil menoleh serentak ke arahnya. Hati aku mula gentar. Encik Airil pandang aku dan menjungkitkan keningnya lagi. Aku mengeleng laju. Aku tak nak, berdua-duaan dengan dia dalam rumah ni, tapi aku terpaksa masuk ke dalam rumah sebab, aku perlu masak.

            ‘’Saya nak kena masuk. Saya nak masak, takkan Encik nak suruh saya keluar dari rumah ni?’’ aku menyoal Encik Airil. Niat nak membisu tadi terpaksa aku batalkan buat sementara waktu, memandangkan sedang berada dalam situasi yang tidak diduga ini.

           ‘’Bila pula saya halau awak keluar dari rumah ni?’’

            ‘’Tak ada ke?’’ aku tanya Encik Airil kembali. Dia mengeleng pantas.

           ‘’Kalau macam tu, Encik Airil saja yang keluar dari rumah ni, sebab saya tak mahu kena tangkap basah dengan Encik..’’ aku berkata senafas lalu dan meloloskan diri masuk ke dalam rumah. Aku sempat menangkap suara Pak Mat ketawa.

          ‘’Awak halau saya?’’ Encik Airil melaung kuat. Pak Mat sudah pecah ketawa, sedangkan aku yang berjaya meloloskan diri hanya mampu tersenyum sendiri.


             MASUK ke dapur aku berehat sebentar melepaskan lelah. Melepak sekejap di meja makan sambil membelek telefon bimbit. Melihat mesej yang masuk melalui WhatsApp dan Mesegger Facebook. Buka juga email untuk melihat peti masuk. Aku ambil segelas air masak dan minum seteguk sebelum mula membalas beberapa mesej yang masuk. Bahan-bahan untuk memasak tadi aku biarkan seketika di atas meja.

           Letih juga keluar membeli bahan-bahan masakan dan memilih bahan-bahan yang harus aku masak. Ini kali pertama dalam hidup aku melakukannya seorang diri. Sebelum ni bukan tak pernah keluar, selalunya, aku hanya jadi pak turut dan tukang bawa saja. Kali ini, aku beli dan akulah tukang bawanya itu. Akulah yang bertindak memilih semua bahan tanpa orang tengah dan sebagainya. Ini pengalaman baru dalam hidupku. Bolehlah aku kongsi pengalaman ini dalam novel terbaruku nanti.

            ‘’Curi tulang ye?’’ tersentak aku mendengar suara itu. Aku sangkakan, dia dah keluar ke mana-mana. Habislah aku, takkan kami berdua-duaan saja dalam rumah ini? Hati aku mula merusuh di dalam, diburu dengan perasaan bimbang.

           ‘’Encik, kenapa tak pergi lagi? Saya tak nak nikah koboi dengan encik. Ishh..tak nak, tak nak..’’ aku bersuara gelabah. Boleh pula dia ketawa mendengar kata-kataku.

            ‘’Jangan nak perasan eh..saya pun tak nak nikah free dengan awak. Baik nikah dengan girlfriend saya dari nikah dengan awak.’’ Selamba saja Encik Airil berkata. Aku mencebik sedikit tanpa sedar.

            ‘’Habis tu, pergilah keluar. Buat apa menyibuk di sini lagi?’’ Sengaja aku membakar hatinya dengan kata-kata itu. Aku sedar, sebagai orang gaji, aku tak layak dan tak patut nak bercakap macam tu dengan anak majikanku, tapi sebagai penulis, aku ingin menguji dan melihat respon dari Encik Airil. Apa pula jawapannya?

           ‘’Ehh..ini kali kedua awak halau saya tau..’’ Encik Airil masih bersuara tenang. Dia tak marah ke, aku halau dia? Aku pula yang tertanya-tanya di dalam hati.

           ‘’Siapa awak ni? Kenapa awak berani sangat nak halau saya? Selama ni, semua pembantu rumah, tak pernah berani nak halau saya pun. Nak bercakap dengan saya pun tak berani. Awak ni..’’

            ‘’Kalau Encik tak mahu keluar, biar saya saja yang keluar. Encik tolong masak semua ni..’’ aku mencari helah dan ingin melangkah, macam tadi langkahku terhalang lagi. Encik Airil sudah menghalang pintu keluar. Ishh..dia ni, memang sengaja nak cari pasal betullah.

          ‘’Okey, saya keluar. Awak pergi masak dan jangan lupa, masak sedap-sedap. Saya dah lapar, dah jemu makan makanan mat saleh. Hari ni saya nak makan masakan special dari awak. Kalau ada asam pedas Johor, yang tu masakan kegemaran saya nombor satu. Boleh tak, awak masakkan untuk saya?’’

            ‘’Err..asam pedas ikan pari, boleh tak?’’

            ‘’Okey..terbaik. Masak sedap-sedap tau.’’ Encik Airil menjawab dan terus berlalu meninggalkan aku di dapur. Aku menarik nafas kelegaan. Mudahan, dia akan keluar dari rumah ini dan tinggalkan aku sendirian. Hari ini pengalaman pertama aku nak masak untuk keluarga orang lain.

           Kalau sebelum ni, aku masak untuk kru-kru Rancangan Mencari calon Isteri, sekarang ni sedikit berbeza kerana aku tiada pembantu. Aku akan melakukannya seorang diri. Sejujurnya, ketika melakukan pengambaran Rancangan Mencari Calon Isteri hari tu, barang-barangnya yang perlu dimasak sudah disediakan dan aku hanya berlakon memasak saja, selebihnya ramai pembantu yang membantu aku menyiapkan makanan termasuk Sumaiyah.


          Aku sediakan bahan-bahan untuk dimasak tengahari ini. Bahan selebihnya, aku masukkan ke dalam peti ais. Aku bercadang untuk membuat udang masak lemak cili padi, asam pedas ikan pari, ikan sembilang goreng bercili, air asam tomato bersama kerisik, kangkung goreng belacan dan ulam-ulaman. Rasanya dah mencukupi untuk keluarga ini. Walaupun aku perasan, semua masakan ini selera kampung, tapi aku takkan ubah menunya. Lagi pun, tadi Encik Airil dah cakap, dia dah jemu makan makanan mat saleh dan aku pula bagitau, aku datang dari kampung. Tak salahlah, kalau menu kampung ini yang menjadi pilihanku.

         Perkara pertama yang aku buat, masukkan udang dan ikan ke dalam singki. Buat apa yang perlu dan bersihkan, tos dan selawat. Itu yang emak aku ajar. Kemudian sediakan pula bahan-bahan lain.

           Aku nak masak, udang masak lemak cili padi terlebih dahulu kerana masakan ini paling mudah. Aku tumbuk kunyit hidup yang aku beli tadi, kemudian masukkan dalam pengisar bersama cili padi dan bawang besar. Aku kisar halus dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan santan cair, udang, garam dan sedikit serbuk perisa.

         Masak dalam api yang perlahan, kemudian basuh dua keping asam keping dan masukkan. Bila dah mendidih dan udang masak, masukkan semangkuk santan pekat. Biarkan mendidih seketika dan masukkan daun kunyit yang dipotong halus, kacau dan tutup api. Ini resepi Mak Esah tau. Cewah, dah macam jadi pengacara rancangan masakan pula?

          Sambil memasak udang masak lemak cili padi, aku tanak nasi di dalam periuk elektrik. Aku goreng ikan sembilang dan sediakan cili untuk digoreng dan dicurahkan di atas ikan sembilang goreng. Selepas itu aku sediakan bahan untuk asam pedas ikan pari pula. Nasib baik aku beli bersama kacang bendi dan bunga kantan di Pasar Tani tadi. Saja beli sebab, pada asalnya aku rancang nak masak kari ikan sembilang, jadi aku beli kacang bendi untuk dirampai di dalam kari. Tapi, aku hanya merancang, selebihnya semuanya yang terjadi adalah spontan. Yang penting, rasanya nanti. Berdebar-debar juga dalam hati, takut apa yang aku masak tak menepati selera keluarga ini. Apa-apa pun, aku hanya mampu berserah.



Bab 19

         USAI aku menyediakan masakan, aku hidangkan di atas meja dan menutupnya dengan tudung saji. Aku kemas dapur sebersihnya dan masuk ke bilik. Aku berehat seketika dan mandi selepas itu. Aku bersedia untuk solat zohor. Sementara menunggu masuk waktu solat, aku on laptop dan membuka laman sosial. Layan sekejap laman sosial yang hanya aku jengah sesekali ini. Bila tiada apa yang menarik, aku buka Youtube dan mencari Rancangan Mencari Calon Isteri yang terbaru. Rasanya siapa pula yang sudah tersingkir selepas aku?

        Bibir aku tersenyum tanpa henti. Rupanya minggu kedua lagi banyak aktiviti yang mereka lakukan. Nasib baiklah, aku sudah tersingkir. Letih juga melihat mereka melakukan aktiviti lasak begitu. Baru menonton pun dah rasa letih, apatah lagi kalau aku juga turut serta. Semuanya ada hikmahnya.

          Bila sebut tentang letih, rasanya menjadi orang gaji juga tidak kurang letihnya. Bangun di awal pagi untuk menyediakan sarapan. Menyiram pokok bunga, mengemas rumah, membasuh dan keluar membeli barang dapur. Balik nak kena bergegas memasak dan menghidang. Petang nanti nak kena masak untuk makan petang pula. Selepas itu masak lagi untuk makan malam. Aduhai, baru aku tahu betapa letihnya melakukan kerja rumah yang jarang-jarang aku lakukan sebelum ini.

         ‘’Shah..’’ nama aku dipanggil dan pintu turut diketuk berkali-kali. Aku memakai tudung sebelum membuka pintu. Laju langkah yang ku atur kerana tak mahu si pemanggil tertunggu-tunggu.

          ‘’Ya Puan.’’ Sebaik aku membuka pintu, aku sahut lembut, gaya gadis melayu yang berasal dari kampung. Penuh santun dan tertib.

           ‘’Jom..makan. Semua orang dah balik. Pak Mat pun ada. Shah dah penat masak, takkan tak nak makan bersama?’’

         ‘’Hah? Eh..tak apa Puan. Shah belum lapar lagi. Lagi pun dah nak masuk waktu ni. Shah nak solat dulu. Lepas solat baru Shah makan. Puan pergilah makan dulu. Kalau tak sedap, maaflah Puan. Shah memang tak pandai masak.’’ Aku cuba mengelak diri dan memberi bermacam alasan. Dalam masa yang sama, aku meminta maaf, manalah tahu masakan aku tak sesedap seperti yang mereka sangka, ataupun tak menepati citarasa mereka sekeluarga. Itu yang aku runsing sejak tadi.

          ‘’Shah tak lapar ke atau Shah malu dengan kami?’’ Puan Syarifah menyoal sambil tersenyum. Aku kelu lidah untuk menjawab. Iya, malu pun ada juga. Bukannya aku biasa dengan keluarga Puan Syarifah, lebih-lebih lagi kalau Encik Airil pun ada sekali. Tak sangguplah aku makan semeja dengan dia.

           ‘’Err..bukan malu Puan, segan sikit.’’ Aku bersuara juga sambil tersengeh.

            ‘’Yalah, kalau lapar nanti Shah keluar makan ya. Jangan dibiarkan perut tu kosong. Sakit nanti, apa saya nak jawab dengan keluarga Shah?’’

              ‘’Baik Puan..’’ aku mengiyakan saja dan menutup pintu bilik. Kembali mengadap laptop dan melihat jam yang tertera di sudut kanan laptop yang telah aku set waktunya. Rasanya waktu zohor dah masuk ni. Aku kembali memakai tudung dan keluar dari bilik untuk ke bilik air dan mengambil wuduk.

             Sampai di bilik air, pintu tertutup rapat. Pasti ada orang yang sedang mengunakan bilik air? Aku meneka sendiri dan menunggu hingga orang di dalam bilik air selesai. Aku menyandar di dinding dan mula berangan. Minda sedang bekerja mencari ilham untuk tajuk novel terbaru aku. Nak tulis tajuk apa? Orang Gaji? Macam tak best saja. Rasanya, dah ada novel atau cerpen dengan tajuk tu. Hari ini tajuk novel dan tajuk cerpen seakan sama saja.

           Kadang-kadang pening juga kepala untuk memikirkan tajuknya. Nak mencari nama watak juga bukan semudah yang aku duga. Aku tak suka memberi nama watak yang sukar disebut. Bukan saja kesian dengan pembaca, tapi kesian dengan diri aku sendiri untuk menaip nama yang payah tu. Tulis saja nama yang senang ditaip dan mudah diingat.

         ‘’Awak dah makan ke? Tak join sama? Jomlah..’’

         ‘’Hmm?..’’ ralit aku berangan, tak sedar pula ada orang di sebelah. Bila dia keluar?

          ‘’Jom makan.’’ Sekali lagi Encik Airil bersuara. Aku masih tercengang. Minda masih blur sebab tak sangka akan bertembung dia di sini.

           ‘’Telinga awak..ada something wrong ke?’ dia bertanya lagi. Apa maksud dia? Dia nak kata aku pekak ke? Aku tengah blur, bukan pekaklah. Aku memekik di dalam hati. Perlahan aku mengelak dan ingin meloloskan diri masuk ke dalam bilik air tanpa menjawab soalannya.

           ‘’Oii..saya cakap dengan awak ni..’’

          Aku tak peduli, nak cakap, cakaplah sorang-sorang. Sebaik aku berjaya masuk ke dalam bilik air, aku terus kunci pintu. Aku tanggalkan tudung dan mula mengambil wuduk. Selesai berwuduk, aku berdiri lama di depan pintu dan berdoa di dalam hati. Mudahan Encik Airil dah pergi ke meja makan dan mula makan bersama yang lain. Aku memulas tombol pintu perlahan-lahan. Aku jengukkan sikit kepala dan mencari Encik Airil. Yes, dia dah tak ada.

          ‘’Awak pernah jadi pencuri ke?’’

          ‘’Hah?’’ terkejut aku. Dari mana dia datang? Tadi aku tak nampak pun dia.

          ‘’Cara awak tadi macam orang berpengalaman, tau tak? Kalau orang tak kenal awak, termasuk saya ni mesti ingat awak ni ada pengalaman merompak di rumah orang sebelum ni.’’ Mulut tak berinsuran Encik Airil terus menguji imanku. Kalau aku tak kuat, pasti aku dah menjawab bertubi-tubi. Tak apa, bagi peluang untuk dia berkata-kata.

          ‘’Berat sangat ke awak nak menjawab setiap kali saya bertanya? Ada belian, emas atau intan permata dalam mulut awak tu?’’ dia masih membebel entah apa-apa. Aku pula malas untuk mendengar bebelannya. Perlahan-lahan aku melangkah ingin melarikan diri. Dia cuba menghalang macam tadi. Memintas langkahku dan berhenti di depanku.

         ‘’Tak baik tau Encik, halang orang nak solat.’’ Aku berkata laju dengan sekali lafaz. Dia tersenyum mengejek,

        ‘’Ada pun suara..’’

         ‘’Airil! Ya Allah, ingatkan dah pengsan dalam bilik air tu. Rupanya tengah mengayat anak dara. Dah..jangan diganggu Aishah tu. Berhenti kerja pula budak tu karang. Kata tadi lapar sangat, tak sabar nak makan?’’

         ‘’Yalah mama. Orang gaji baru mama ni OKU ke mama?’’

         ‘’OKU apanya? Hiesy..sedap saja mengata orang. Macam tu punya lawa, boleh pula dia cakap OKU. Agaknya Airil tu yang OKU? Dah rabun ke apa?’’

         ‘’Manalah Airil tahu..’’ aku mencebik sedikit mendengar perbualan Puan Sayrifah dan Encik Airil. Apatah lagi bila melihat jelingan Encik Airil kepadaku. Apa? OKU? Orang Kurang Upaya? Ishh..sejak bila aku cacat pula ni? Memang dia ni sengaja nak cari pasal dengan aku agaknya?

         ‘’Shah, nanti makan tau, lepas solat.’’ Puan Syarifah mengingatkan aku sekali lagi. Aku tersenyum dan mengangguk. Sempat aku menjeling Encik Airil yang masih tak berganjak dan sedang memerhatikan aku.

          ‘’Airil..’’

          ‘’Iya..coming..’’

          ‘’Dah berkenan ke?’’ sempat aku menangkap kata-kata Puan Syarifah. Berkenan? Hati aku berbisik sendiri. Jangan nak cari pasal erkk..

      
             SELEPAS  makan tengahari dan bersolat, Puan Syarifah dan Encik Nazir kembali ke pejabat masing-masing. Pak Mat menghantar mereka berdua. Tinggal aku bersama Encik Airil dan Yusri. Yusrina belum pulang dari kolej. Pagi tadi pun dia pergi ke kolejnya sekitar jam 9.00 pagi. Mungkin dia masih ada kelas petang ini. Aku pula sibuk untuk mencari idea untuk masak makanan petang pula. Aku geledah segala jenis resepi kuih dalam internet. Aku pernah juga masak kuih ni, macam kuih karipap, kuih cara berlauk, kuih bingka tepung gandum, bingka ubi kayu dan tetiba aku teringat sesuatu.

           Aku keluar ke dapur dan menyediakan sesuatu yang sudah ada di dalam minda. Ubi kayu aku kupas kulitnya dan aku bahagi dua. Separuh aku parut untuk dimasak bingka dan separuh lagi aku rebus dan aku bercadang untuk membuat sambal ikan bilis. Kalau di kampung Mak Esah, ubi rebus akan dimakan bersama kelapa parut atau sambal ikan bilis. Memandangkan, tiada kelapa parut, jadi aku akan siapkan sambal ikan bilis saja sebagai pencicah.

          ‘’Awak nak masak ke? Baru lepas makan, nak masak lagi?’’ aku terkejut lagi. Dia ni masuk ke dapur tak reti nak bagi salam ke? Tau-tau sudah ada di sebelah. Macam hantu pula.

          ‘’Nak masak apa? Awak nak buat bingka ubi kayu ke?’’ Encik Airil masih menyoal dengan soalan-soalan cepu beliannya. Aku pula memang tak berniat untuk melayan. Ubi kayu yang sudah separuh aku parut, terus aku parut hingga habis. Selesai, aku melihat pula ubi kayu yang sudah aku rebus di atas dapur. Kacau sedikit supaya ubi kayu empuk sepenuhnya.

           ‘’Berat juga mulut awak ni kan? Memang ada pedal ayam ke?’’ Encik Airil masih ingin mengajak aku berbual. Aku rimas sangat bila dia ada di ceruk dapur ni. Aku dah macam tak reti nak buat kerja.

           ‘’Aishah, awak nak kahwin dengan saya tak?’’ aku menoleh sepintas lalu ke arah Encik Airil. Gila ke apa?

           ‘’Awak nak kahwin dengan sayakan?’’ dia masih menguji aku dengan soalan-soalannya. Ingat aku nak layan ke? Takkan sesekali. Tanyalah soalan apa pun, aku tetap dengan pendirianku. Aku akan cakap bila benar-benar terpaksa bersuara saja.

           ‘’Nanti saya bagitau mama dan papa ye, suruh mereka pinang awak? Lepas tu, awak pula tolong pinangkan isteri kedua saya. Nanti isteri kedua saya akan pinangkan isteri ke tiga untuk saya, sampailah cukup empat.’’ Encik Airil masih berceloteh. Entah apa-apa celotehnya itu. Memang aku ingin menjawab mendengar kata-katanya. Siapa yang sudi nak kahwin dengan lelaki yang sudah berangan nak kahwin empat? Tapi, aku tahankan saja dan simpan semua ayat-ayat aku kemas dalam minda. Manalah tahu, boleh digunakan sebagai dialog dalam novel aku nanti.

           ‘’Aishah..nanti teman saya keluar shoping?’’ soalan seterusnya buat aku panggung kepala dan memerhatikan wajahnya seketika. Apa kes dia ni?

            ‘’Bolehlah Shah..’’ suaranya berubah nada, dari selamba berubah romantik. Aku sudah mula meremang. Gila betul. Kenapa aku yang menjadi mangsa dia petang ni? Apa niat dia yang sebenar? Kenapa dia tak habis-habis nak kacau aku? Hati aku terus bertanya sendiri.

          Aku malas nak melayan. Aku terus melakukan kerja aku seolah-olah dia tak wujud. Aku mengunting cili kering dan masukkan air panas. Aku mengupas bawang dan mula membelah ikan bilis. Buang perut ikan bilis dan tulangnya. Walaupun ikan bilis ini sudah dibelah, namun perut dan tulangnya masih ada. Aku terpaksa berhati-hati melakukan kerja-kerja aku. Nak bagi makan keluarga majikan sendiri, masakan aku haruslah berkualiti.

           ‘’Aishah....’’ Encik Airil masih ada di sebelahku. Masih cuba menganggu tumpuanku.

           ‘’Apa? Encik nampak tak cili ni?’’ aku sengaja bersuara garang. Perasaan rimas aku sudah sampai tahap kritikal.

           ‘’Nampak. Kenapa? Awak nak minta tolong saya kisarkan ke?’’ Encik Airil masih ingin menguji kesabaranku. Aku menarik nafas dan melepaskannya dengan kasar. Kesabaran aku juga sudah berada dalam tahap bahaya.

          ‘’Saya tak suka la orang ganggu saya buat kerja. Encik tak ada kerja lain ke selain ganggu saya?’’ aku terpaksa juga bersuara kerana sudah tidak tahan dengan gangguan dari Encik Airil.

         ‘’Bila pula saya ganggu? Saya cuma nak berbual dengan awak saja. Kenapa awak tak nak berbual dengan saya? Nak jual mahal ke? Tak payahlah jual mahal sangat. Nanti tak laku.’’ Encik Airil berkata lagi sambil tersenyum. Aku menjeling sekilas lalu ke arahnya. Hati semakin sakit dengan kata-katanya tadi. Aku kunci bibir lagi. Diam dan terus diam. Aku buat kerja tanpa menghiraukan celotehnya selepas itu.

          ‘’Aishahhhh...’’ lanjut saja bunyinya. Aku buat-buat tak dengar. Aku tos cili kering dan hiris bawang besar dan bawang merah. Masukkan dalam pengisar dan kisar hingga halus. Sediakan kuali dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan. Mula menumis cili, masukkan garam, gula, serbuk perisa dan sedikit jus asam jawa. Perlahankan api dan biarkan cili masak. Selepas cili masak dan naik minyak, aku masukkan sedikit air dan ikan bilis goreng tadi. Biarkan pekat, barulah tutup api dan masukkan ke dalam bekas.

           Kalau boleh, aku nak siapkan makan petang ni dengan kadar segera. Kemudian aku nak masuk berkurung dalam bilik. Sebelum Maghrib, barulah aku nak keluar semula untuk masak makan malam pula. Rasanya, dah ada menu dalam minda nak masak apa malam ni. Lauk tengahari tadi cuma bersisa sikit saja lagi. Tak sangka betul, laku juga masakan aku. Puan Syarifah dan Tuan Nazir memuji masakan aku. Kembang sekejap hati aku tadi.

         ‘’Dah siap ke sambal ni? Nak makan dengan apa ni?’’

         ‘’Cicah ubi kayu rebus.’’ Aku jawab juga soalan Encik Airil dan menutup api ubi kayu rebus yang sudah empuk. Aku toskan ubi kayu rebus, masukkan dalam pinggan dan letakkan ubi kayu rebus dan sambal ikan bilis di atas meja. Aku tutup dengan tudung saji. Encik Airil mengikut dan membuka tudung saji. Menarik kerusi dan duduk.

         ‘’Shah, buatkan saya kopi.’’ Aku menoleh sekilas lalu ke arah Encik Airil. Dia sudah tersenyum memandangku. Aku pula menurut saja permintaannya. Sepaket serbuk kopi segera berkrim aku masukkan ke dalam cawan. Masukkan air panas dan kacau. Aku bawa kepada Encik Airil yang sedang menanti.

          ‘’Nak air basuh tangan.’’ Encik Airil meminta lagi. Aku mengangguk saja dan melakukan apa yang diminta. Bibir tetap aku kunci tanpa sebarang suara.

        ‘’Aishah..’’ aku yang baru meletakkan air basuh tangan di atas meja memandang wajah Encik Airil. Dia pula sudah mula menyuap ubi kayu rebus yang dicicah dengan sambal ikan bilis.

         ‘’Duduk. Makan bersama saya.’’ Aku mengeleng dan terus berlalu. Makan dengan dia? Hiesy..kalau dia nak bayar sejuta pun, aku takkan buat.

           Aku mula membuat bingka ubi kayu. Proses demi proses aku lakukan dengan sabar. Masukkan dalam loyang dan kemudian panaskan oven mengikut darjah yang ditetapkan. Selepas oven panas aku masukkan loyang yang sudah aku masukkan adunan bingka ubi kayu tadi. Dalam menunggu bingka ubi kayu masak, aku kemaskan dapur dan cuci pinggan mangkuk. Aku perlu banyak bersabar untuk menjadi orang gaji yang berjaya. Harus bersabar dalam apa saja dugaan, terutama dugaan menepis setiap gangguan dari anak teruna majikan aku sendiri. Encik Airil ni memang terlebih ramahnya.

           ‘’Aishah..’’ nama aku diseru lagi. Sudah beberapa kali nama aku meniti di bibir Encik Airil. Aishah, Aishah, hingga aku yang mendengar pun sudah menjadi rimas. Namun, aku tetap berpaling juga ke arahnya.

           ‘’Bosanlah, makan sorang-soarang. Marilah temankan saya.’’ Aku beristighfar dalam hati. Dia ni memang tak faham bahasa agaknya? Aku membebel sendiri, hanya di dalam hati.


Bab 20

        HARI  pertama bergelar orang gaji berlalu dengan perbagai dugaan. Paling menyakitkan hati dengan gangguan Encik Airil. Bila aku tak mahu melayan dia berbual, dia mula membuli aku. Selepas makan petang, aku menyiram bunga. Dia mengekori aku keluar ke halaman dan memerhatikan aku membuat kerja. Bila aku mula menyiram, dia pula mula membebel. Pokok tu harus siram air banyak. Pokok ni jangan siram selalu. Pokok tu begitu, pokok ni begini. Macamlah dia pakar sangat tentang pokok. Aku tahu, niat dia memang nak kenakan aku. Walaupun, aku tak biasa dengan pokok, sekurang-kurang aku tahu juga serba sedikit tentang pokok-pokok bunga ni.

        Menjelang malam pula, dia mengenakan aku lagi. Katanya, malam ni dia nak makan makanan diet. Tak nak makan nasi, nanti perut boroi. Dia suruh aku masak makanan berasaskan sayur saja untuknya atau makanan yang kurang kolestrol. Aku dah masak sambal udang bersama masak lemak cili padi pucuk ubi kayu, ikan sumbat cili dan sediakan ulam-ulaman. 

        Memandangkan makanan yang dia nak tu tak ada, aku cuba buat tawaran. Namun, tawaran aku tak diterima. Dia tolak mentah-mentah dengan memberi macam-macam alasan.

         ‘’Salad sayur? Rasanya tak ada bahanlah Encik Airil.’’

          ‘’Awak orang gajikan? Ikhtiarkanlah sampai ada.’’

          ‘’Dah malam ni, siapa yang nak pergi beli bahan-bahan?’’

          ‘’Takkan saya yang kena pergi beli? Awakkan orang gaji, kalau awak tak berani nak pergi sorang, saya boleh temankan.’’ Antara perbualan aku dan Encik Airil tadi, inilah ayat-ayatnya yang membuatkan aku menyampah sangat. Selepas dia bercakap macam tu, sempat pula dia mengenyit mata.

            ‘’Macam ni sajalah, saya dah masak apa yang ada. Encik nak makan ke tak, terpulanglah. Saya tak rugi apa-apa pun, lagipun bukan Encik yang bayar gaji saya. Jangan nak banyak songeh sangat.’’ Aku membuat keputusan terakhir dan berkata dengan nada geram. Yang peliknya, boleh pula dia bertepuk tangan selepas selesai ayat-ayat aku ungkapkan.

          ‘’Tak kisahlah, awak nak masak ke tak, yang penting..awak dah berbual dengan saya.’’ Dan ketika itu aku berpaling laju ke arahnya dan bertentang mata dengannya. Geram. Itu saja perasaan aku yang mampu aku lahirkan, lebih-lebih lagi bila melihat senyuman mengejek Encik Airil.

            Huh!..entah apa nasib aku kali ini. Penyamaran kali ini betul-betul mencabar kesabaranku. Ingatkan, bila dah tersingkir dari rancangan Mencari Calon Isteri, semua kerja aku akan menjadi mudah selepas tak bertembung muka dengan Encik Zafril lagi. Tak sangka pula, selepas Encik Zafril, muncul pula Encik Airil yang lebih mengugat kesabaranku. Ikutkan hati, cukuplah hari ini pengalaman aku bergelar orang gaji. Aku macam nak mengaku kalah saja, tapi bila memikirkan Encik Airil bukan selalu ada di rumah, aku batalkan saja niat untuk berhenti.   

          ‘’Shah..’’ pintu bilik diketuk dan nama aku diseru. Rasanya itu suara Puan Syarifah. Aku bangun dan menuju ke pintu, tudung sengaja aku tak pakai. Alah, Puan Syarifah saja kot. Hati aku berkata-kata.

          ‘’Ya, Pu..’’ terkejut aku bila membuka pintu. Encik Airil turut ada bersama. Aku tutup pintu kembali dan buru-buru memakai tudung sebelum membuka pintu semula.

           ‘’Maaf Puan. Ya Puan, ada apa?’’ sebaik aku membuka pintu, kata maaf aku ungkapkan terlebih dahulu. Macam tak sopan pula menutup pintu ketika majikan sendiri ada di depan mata.

           ‘’Tak apa, bukan salah awak pun. Anak teruna saya tu yang gatal, nak mengintai bilik anak dara orang. Jom..tolong saya hidangkan makanan. Mereka semua dah merungut lapar tu.’’ Aku mengangguk, mengiyakan saja ajakan Puan Syarifah. Selepas memasak, memang aku tak hidangkan lagi, macam tengahari tadi.

          Kebetulan, masing-masing masih kenyang selepas makan petang. Encik Nazir memuji ubi kayu rebus yang dicicah dengan sambal bilis dan bingka ubi kayu buatan aku. Katanya, ini kali pertama dia makan ubi kayu rebus dicicah dengan sambal bilis, manakala bingka ubi kayu tu kena betul dengan seleranya kerana kurang manis. Setakat ini, semua jenis masakan aku mendapat markah A. Ini semua berkat kesabaran emak aku mengajar anak-anaknya memasak, walaupun aku adalah salah seorang anak perempuannya yang paling malas nak masuk ke dapur. 

           Masuk ke dapur, Encik Airil juga ada bersama. Aku tak tahu, apa niatnya kali ini. Sengaja nak membuli aku atau nak mengarah aku itu dan ini lagi? Aku hanya menanti untuk melihat, apa pula gelagatnya kali ini. Apa pula ayat-ayat yang akan dituturkannya? Semacam sudah mendapat modal pula untuk mula menulis selepas ini.

          ‘’Kenapa ni Airil?’’ Puan Syarifah mula menyoal bila Encik Airil masih berligar-ligar di ruang dapur. Aku sempat menoleh sekilas lalu. Tangan turut bergerak membuat kerja dibantu oleh Puan Syarifah sendiri.

           ‘’Nak memantau keadaan. Manalah tahu, orang gaji mama curi tulang ke.’’ Aku dengar Encik Airil menjawab dalam nada selamba. Aku memandang wajah Puan Syarifah untuk melihat reaksinya dan memandang juga wajah Encik Airil. Dia sedang tersenyum lebar, sedangkan Puan Syarifah sudah mengerutkan dahinya.

           ‘’Kalau dah berkenan, cakap saja. Boleh mama tolong pinangkan. Tak payahlah nak bagi banyak alasan.’’ Tenang saja Puan Syarifah membalas. Hati aku pula yang tidak keruan.

          ‘’Good idea mama. Ayat tu yang Airil nak dengar sangat. Tapi..masalahnya, orang gaji mama tu sudi ke? Nak berbual dengan Airil pun, macam ada pedal ayam double size saja.’’

          ‘’Yang tu, kena tanya sendiri tuan punya badan.’’ Selamba saja Puan Syarifah menjawab. Semakin tak keruanlah aku dibuatnya. Kenapa pula Puan Syarifah ni sporting sangat dengan anak teruna dia ni? Sepatutnya, dia bagi amaran pada Encik Airil, macam filem Ibu Mertuaku. Almaklumlah, akukan orang gaji saja. Mana sesuai dengan mereka yang ada bisnes sendiri. Encik Airil tu pula juruterbang. Takkan tak ada pramugari cantik yang layak untuk dia?

             ‘’Shah..awak sudi tak jadi isteri saya?’’ aku mengigit bibir mendengar ayat-ayat spontan Encik Airil. Benar-benar menguji hati dan jiwa aku. Juga menguji perasaan aku sekarang ni. Direct to the point. Terus ke jalan lurus. Tak ada langsung bengkak-bengkok. Tak ada langsung simpang untuk membelok.

            ‘’Saya tak ada jawapan tu.’’ Aku menjawab juga, walaupun dalam nada yang sangat perlahan. Encik Airil menghampiri dan membantu aku mengambil pinggan di rak dan meletakkannya di atas meja makan.

           ‘’Apa maksud awak?’’ dia masih menyoal. Puan Syarifah meninggalkan kami di dapur dengan alasan nak memanggil yang lain untuk makan.

          ‘’Hanya Allah yang tahu. Saya hamba Allah yang sentiasa berserah dengan ketentuanNYA.’’ Mudah jawapan yang aku beri. Encik Airil tersenyum sambil menarik kerusi dan menyuruh aku duduk. Aku mengeleng pantas. Tidak. Aku takkan makan semeja dengan mereka, walaupun aku dipaksa.

          ‘’Kenapa? Allah tak benarkan awak duduk dan makan bersama kami ke?’’ Terkejut aku mendengar pertanyaan Encik Airil. Sengaja nak menguji aku ke dia ni? Aku membentak di dalam hati. Ayat dia tu memang terasa hingga ke tulang hitam.

          Aku tak menjawab soalan Encik Airil. Aku berlalu untuk masuk ke bilik bila semua penghuni rumah sudah sampai di meja makan. Puan Syarifah memandang aku semacam saja bila melihat aku berjalan meninggalkan dapur dan sekejap kemudian..

        ‘’Shah, marilah makan sekali. Janganlah malu-malu. Tak salah pun kalau pembantu rumah makan semeja. Sekarang ni dah tahun 2016 Shah. Dah masuk Alaf 21, bukannya zaman dulu lagi yang membezakan darjat antara pekerja dan majikan.’’ Wah..aku tabik dengan Puan Syarifah. Ayat dia memang menyentap tangkai hati. Bila dia cakap macam tu, aku teringat satu pos yang aku jumpa dalam facebook. Bawa orang gaji pergi restoran, majikan makan mewah bersama keluarganya, orang gaji pula hanya memandang dari meja lain. Hiesy..zalim betul, macamlah orang gaji tu tak ada perasaan.

            ‘’Err..maaf Puan. Bukan Shah tak mahu makan sekali, tapi..Shah..’’ aku mati akal untuk menjawab. Beberapa saat juga aku terdiam.

            ‘’Orang tak sudi, jangan dipaksa mama.’’ Encik Airil membantu aku menjawab, di saat aku kebuntuan.

             ‘’Sedap awak masak malam ni Shah. Kalau macam ni selalu, semakin berisi la kami.’’ Encik Nazir memuji lagi masakan aku. Padahal, punggung dia baru saja mencecah kerusi dan Puan Syarifah baru saja meletakkan pinggan berisi nasi di depannya.

            ‘’Aih papa, tahulah bakal menantu pun, belum makan dah cakap sedap? Ni yang Rina mushkil ni.’’ Aku masih terkaku berdiri. Telinga masih mendengar perbualan demi perbualan yang mereka tuturkan. Hati mula tertanya-tanya. Apa maksud mereka? Takkan seisi rumah dah tahu Encik Airil nak aku jadi isteri dia? Bakal menantu? Ahh..pusing kepala aku ni. Baru sehari bekerja, beban perasaan yang aku tanggung semakin mengunung tinggi.

          ‘’Awak dengar tak Shah? Rina pun dah istihar awak sebagai bakal isteri saya. Meh..makan..’’ Encik Airil mengamit aku dari meja makan. Lutut aku menjadi lembik tiba-tiba. Air mata seakan ingin mencurah keluar. Kenapa aku diuji begini?

          ‘’Shah..’’ Puan Syarifah memanggil. Wajahnya penuh mengharap. Emak tolong Shah! Aku menjerit di dalam hati.

          ‘’Tak apa Puan. Shah kenyang lagi. Memang Shah jarang makan malam.’’ Jawapan selamat aku beri. Itu jawapan mengelak paling mudah yang sempat aku fikirkan. Ya, betul, aku dah makan petang tadi, tapi taklah banyak sangat hingga masih kenyang sampai sekarang. Semuanya itu sekadar alasan semata-mata. Nak tunjuk baiklah konon. Nak jadi orang gaji contoh yang tertib dan kurang makan. Tunggulah, bila aku dah balik rumah sendiri nanti. Tengoklah, macam mana aku makan.


          MENJELANG tengah malam, ketika aku rancak menaip merangka jalan cerita novel terbaru aku, perut aku meragam diserang gastrik. Perut aku memang kosong sebab jual mahal. Nak keluar makan seorang diri, malu pula. Dalam bilik ni, mana ada makanan. Selepas ni aku perlu sediakan biskut untuk masa terdesak macam ni, kalau aku nak terus bekerja di sini.

        Perlahan-lahan aku membuka pintu bilik. Dengan keyakinan yang ada dalam diri bahawa semua isi rumah sudah tidur, aku keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Aku membuka peti ais dan mencari sesuatu untuk dimakan waktu ini. Apa yang pasti, aku hanya mahukan makanan yang tinggi serat dan tiada kolestrol. Hanya buah saja yang terlintas dalam fikiranku. Cukuplah sekadar melegakan perut aku yang seolah dicucuk sakitnya.

       ‘’Buat apa tu? Belum tidur lagi ke? Selalu ke awak berjaga malam?’’ tersentak aku mendengar suara itu. Pertama sekali yang aku buat menutup kepalaku dengan tangan kiri. Rambut yang aku sepit dengan penyepit rambut cuba aku lindungkan. Menyesal pula tak pakai tudung sebelum keluar bilik tadi.

        ‘’Kenapa Encik tak tidur lagi?’’

          ‘’Awak tanya saya pula? Saya tanya, tak pernah awak jawab, saya pula awak soal.’’ Kali ini Encik Airil bernada serius. Matanya merenung tepat ke wajahku. Bengang plus gabra aku ketika ini, ditambah pula dengan aurat aku yang sedang terdedah di depannya.

          ‘’Kenapa awak buat macam tu? Ada apa yang awak sembunyi atas kepala awak tu? Awak mencuri erkk?’’

          ‘’Ehh..mana ada, saya cuma dahaga. Nak minum..’’ tangan kiri yang aku letak di atas kepala secara spontan tadi aku jatuhkan. Buah epal yang aku pegang dengan tangan kanan, aku letakkan balik. Encik Airil dah tuduh aku mencuri, takkan aku nak ambil juga buah epal tu. Berdosa pula nanti, makan tak minta izin.

          ‘’Awak lapar ke? Kenapa tak makan? Jangan dibiarkan perut tu kosong. Sakit nanti, siapa yang susah. Awak jugakan?’’

          ‘’Ehh..mana ada. Dahaga saja.’’ Aku masih ingin menafikannya. Perut aku yang sakit cuba aku tahan sedaya mungkin. Encik Airil menghampiri peti ais. Aku mengelak ke tepi. Dia keluarkan buah-buahan dan masukkan ke dalam bekas. Aku perhatikan saja gelagatnya.

          ‘’Ambil, masuk makan dalam bilik, kalau awak malu nak makan di luar ni. Esok saya belikan peti ais kecil untuk awak. Letak saja dalam bilik awak. Makan sebelum lapar, jangan dah lapar baru nak cari makan. Faham tu?’’ tak semena-mena aku dileteri oleh Encik Airil. Rasa air mata ini macam nak gugur saja. Terharu pula aku dengan keprihatinannya.

         ‘’Terima kasih.’’ Aku ungkapkan kata-kata itu seikhlasnya dari hatiku. Biarlah, orang cakap ikhlas itu tak boleh dilihat pun, tapi aku memang benar-benar ikhlas dan terharu ketika ini. Sakit-sakit hati aku dengan gelagat Encik Airil, ada juga sifatnya yang membuatkan aku tersentuh hati. Cair pula jiwa aku ni. Ehh..tetiba saja.

          ‘’Kasih awak, dah lama saya terima. Awak saja yang menyombong dengan saya.’’

           ‘’Hah?’’ aku blur.

            ‘’Kenapa? Awak tak percaya?’’

            ‘’Hah?’’ aku melopong lagi. Encik Airil dah tersenyum dan berlalu ke rak pinggan. Mengambil gelas dan menuangkan dua gelas air. Satu untuk dia dan satu untuk aku.

           ‘’Nah, bawa masuk bilik. Buah ni juga, pergilah makan dalam bilik. Malu sangat, macamlah nak luak, kalau orang tengok dia makan.’’ Perghh..ayat Encik Airil memang tak menahan telinga mendengarnya. Tanpa banyak soal. Aku ambil juga apa yang dia hulurkan dan menghilang di dalam bilik. Selepas menutup pintu, aku terduduk di depan pintu sambil meletakkan bekas buah-buahan dan gelas berisi air masak di atas lantai. Aku pegang dada aku. Jantung aku berdetak laju. Aku gementar dan perasaan aku menjadi keliru. Ini kali pertama perasaan ini hadir. Kerana sikap prihatin Encik Airil hati kerasku pun cair.

          Ya Allah, perasaan apakah ini? Aku mula bertanya di dalam hati. Mudah-mudahan Allah memberi aku jawapannya. Aku tak mahu mencari masalah di sini. Aku hanya nak mencari pengalaman untuk menyiapkan sebuah novel.

          Aku pegang lagi dada aku dan menghayati rentak iramanya. Masih lagi terasa berdebar-debar dan tak semena-mena, wajah Encik Airil hadir dalam fikiran. Senyuman dan kata-katanya kembali melantun dalam ingatan. Setiap gelagatnya melayang-layang menguasai perasaan. Dan..bibir aku mengukir senyum dalam diam. Sudah gilakah aku? Itu pula soalan yang aku ajukan untuk diri aku sendiri.

  

Bab 21

        ~ HATI..kenapa rentakmu berlagu shahdu? Kenapa iramanya bernada sayu? Aku keliru dalam mencari erti sebenar perasaan ini. Aku keliru untuk mengerti hati sendiri. Kenapa, perasaan ini yang hadir ketika ini? Apa salahku? Apa mahunya? Kenapa? Mengapa? Dan bagaimana ia boleh berubah sekelip mata?~

            Aku menutup buku catatan harianku, yang selalu aku gunakan untuk mencatat setiap isi-isi penting untuk novel aku. Tapi, hari ini aku tak mampu untuk mengawal emosi. Setiap kali kelibat Encil Airil hadir, jantung aku berdetak laju. Aku takut dengan perasaan ini. Aku takut terjatuh suka dengannya. Aku tak pernah berangan untuk berkahwin dengan seorang juruterbang.

         Lelaki impianku bukan orang ternama atau terkenal seluruh dunia. Lelaki impianku bukannya lelaki yang terbang di langit biru. Lelaki impianku, bukannya anak orang berharta. Bagiku, cukuplah dia seorang lelaki yang ada kerjaya, namun masih ada masa untuk keluarga. Biarlah dia dari keluarga sederhana, namun keluarganya bahagia dan berakhlak mulia. Tinggi sungguh impian aku untuk mencari calon suami. Namun, kini aku tersasar arah. Takkanlah hati aku memilih Encik Airil. Kenapa harus tersasar lapangan pula ni?

         Ayang : Ucu..tolong akak, dikk..

         Aku hantar mesej melalui WhatsApp kepada Ucu. Tiba-tiba aku teringatkan dia dan rindukan dia yang mungkin sedang berada di Singapura sekarang ini.

         Ucu : Why??

          Ayang : Kak Yang tak tahu. Jantung kak Yang ada masalah agaknya.

          Ucu : Pergi chek doktorlah. Ucu mana ambil cos medik.

       Ayang : Tak..bukan macam tu.

       Ucu : Pulak?

       Ayang : Payahlah nak cakap.

       Ucu : Tak payahlah cakap..taip saja.

       Ayang: Alaa..tolonglah Ucu, kak Yang tak tau nak buat macam mana ni L

               Aku tinggalkam icon sedih di hujung ayatku. Aku menarik nafas dan melepaskan nafasku dengan berat. Tekanan perasaan, kalau macam ni.

         Ucu : Straight to the point la. Jangan nak berbahasa kiasan. Ucu mana faham bahasa penulis ni.

        Ayang : Tak faham, sudah! Ok..bye..tata, titi, tutu..

           Tak pasa-pasal aku tersentap dengan kata-kata Ucu. Siapa yang sudi faham keadaan aku sekarang ni? Along? Angah atau Alang? Ahh..teruklah aku kena kutuk atau kena usik dengan mereka nanti. Tak ada siapa yang akan sudi mendengar luahan hati aku sekarang ni. Macam mana dengan sahabat baik aku? Siti Zulaikha, sihatkah dia sekarang? Perlukah aku mesej dia dan kongsikan perasaan aku ni? Tak perlu kot! Aku bertanya diriku dan memberikan jawapannya sendiri. Aku ragu-ragu dengan orang-orang yang rapat denganku. Aku tak percaya dengan diri aku sendiri, inikan pula untuk percaya dengan orang lain. Parah ni..

            Ucu : Okey..Ucu balik nanti kita berbual. Ucu ada show ni. Take care, kalau sakit pergi chek di hospital. Tanya pakar, jangan tanya orang yang tak tau apa-apa pula. Bye..
         Selepas beberapa saat, mesej Ucu masuk lagi. Aku membaca mesej Ucu sambil mengigit bibir. Kalau sakit yang tak sihat tu, senang ceritalah. Boleh pergi klinik buat chek-up. Masalahnya, ini bukan sakit macam tu. Ini masalah perasaan yang berubah sekelip mata. Kelmarin aku menyampah sangat dengan Encik Airil tu. Dalam sehari saja, hati aku ni berubah kerana ayat-ayat yang diungkapkan oleh Encik Airil semalam. Tersentuh hati aku dengan kata-katanya itu. Lemah juga jiwa aku ni. Sikit sangat cobaan perasaan, sudah jatuh tersungkur?


          HARI kedua sebagai orang gaji, kerja aku berjalan seperti biasa. Memasak di awal pagi, menyiram pokok-pokok bunga, mengemas membasuh dan segalanya berulang lagi seperti hari pertama aku di sini. Selepas sarapan pagi hari ini, semua penghuni keluar termasuk Pak Mat, drebar Tuan Nazir.

          Aku bersendirian di rumah menyelesaikan kerja-kerja yang perlu aku lakukan. Bila selesai semua kerja, aku mengeledah pula peti ais untuk mencari bahan-bahan untuk memasak tengahari ini. Aku mengeluh tanpa sedar sebaik selesai mengeledah. Nampaknya, aku perlu juga keluar ke Pasaraya untuk membeli bahan-bahan untuk dimasak hari ini. Kelmarin, aku dah masak semua bahan yang aku beli.

         Aku mengenakan baju T shirt lengan panjang bersama seluar slack hitam yang sudah agak lama aku beli. Memang nampak agak lusuh, kerana aku tak mahu penghuni rumah ini menghidu penyamaranku. Kebanyakan baju-baju yang aku bawa ke rumah ini, adalah pakaian yang aku pakai setiap kali aku melakukan penyamaran. Semuanya baju-baju murah yang aku beli borong di pasar malam. Tak ada jenama dan kebanyakannya di import dari negara Cina.

        ‘’Awak nak keluar ke?’’ aku baru saja mengunci semua pintu dan ingin melangkah ke pintu pagar, ada suara yang sudah menyapa. Aku mencari suara itu. Encik Airil sudah memandang aku dengan wajah serius. Dia merenung tepat ke wajahku. Aku berlagak selamba walaupun aku terkejut dengan sapaannya yang tak terduga itu.

       ‘’Ehh.. Encik Airil. Saya ingatkan tak ada orang lain. Saya dah kunci pintu. Encik nak masuk ke?’’ tanpa menjawab soalan Encik Airil, aku menyoal dia semula. Dia masih seperti tadi, masih merenung tepat ke wajahku. Dadaku sudah mula berdebar-debar tapi aku cuba mengawal debaran itu.
         ‘’Ishh..awak ni, memang selalu macam ni ke? Orang tanya tu, cuba jawab dulu. Ni asal saya tanya ja, mesti awak tanya saya semula.’’ Encik Airil mula tayang wajah bengang. Aku mengulum senyum.

         ‘’Padanlah, Encik tanya soalan bocor. Kalau saya dah kunci pintu tu, tentulah nak keluar. Kalau saya nak masuk, buat apa kunci pintu.’’ Aku menjawab kata-katanya. Aku dengar dia berdecit dan mengeluh keras.

        ‘’Saya pergi dulu Encik..’’ bila Encik Airil terdiam lama selepas aku membalas kata-katanya, aku pun meminta diri untuk berlalu. Rasa tak tenang hatiku ini dengan gelagatnya yang asyik sangat merenung wajahku. Rimas.

        ‘’Tunggu. Pergi dengan saya..’’ aku yang sudah menapak beberapa langkah, terhenti. Pergi dengan dia? Jangan cari pasal Encik Airil. Aku mula membentak dalam hati. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang semula. Encik Airil sudah membuat isyarat tangan agar aku masuk ke dalam keretanya.

        ‘’Masuk!’’ dia memberikan arahan bila melihat aku masih berdiri kaku. Aku mengeleng dan berpusing kembali, kakiku mula melangkah laju menuju ke arah pintu pagar. Aku meluru laju ke jalan raya selepas berjaya meloloskan diri. Beberapa minit kemudian, terdengar hon kereta di belakangku. Aku buat-buat tak dengar dan semakin laju melangkah. Perhentian bas hanya beberapa meter di depan aku. Macam lambat saja kaki aku melangkah, walaupun aku rasa aku sudah berjalan laju.

         ‘’Aishah!’’ Encik Airil berhentikan kereta sambil melaung namaku. Ahh..jangan peduli. Teruskan berjalan. Aku memberikan arahan untuk diriku sendiri.

           Aku sampai di perhentian bas dengan keadaan termengah-mengah. Takut sangat nak naik kereta dengan Encik Airil, tapi dia tetap mengekoriku. Aku buat tak nampak saja bila keretanya berhenti di depanku. Dia turun kereta dan melangkah ke arahku. Aku menanti dengan dada yang berombak kencang.

         ‘’Awak ni kenapa Aishah?’’ Encik Airil menyoal sebaik saja dia berada di tepiku. Aku memandang ke arah jalan dan memerhatikan kereta yang lalu lalang. Buat macam dia tak wujud di tepiku. Dalam hati aku memujuk diri sendiri. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Mengelabah tak tentu pasal. Aku menarik nafas dan melepaskannya untuk melegakan perasaan sendiri.

          ‘’Jom..naik kereta saya. Bukannya saya nak bawa awak lari pun. Awak tunggu di sini, bila awak nak balik masak? Saya dah lapar tahu.’’ Aku menoleh sekilas ke arahnya dan berpusing semula ke arah jalan bila mata kami bertentang mata seketika. Lapar? Hati aku bertanya lagi. Aku cuba mengimbas insiden pagi tadi. Nasi lemak berlaukkan sambal bilis, telur rebus dan timun. Banyak juga Encik Airil makan, sampai bertambah dengan alasan dah lama tak makan nasi lemak. Ingatkan nak diet dan takut perut boroi.

       ‘’Tak mahulah Encik..’’ aku masih ingin menolak perlawaannya.

        ‘’Kenapa?’’ sepatah saja soalannya. Aku mengeleng laju. Kepala tertinjau-tinjau ke arah jalan, tak ada bas, teksi pun boleh. Hati aku berkata-kata lagi.

        ‘’Malu?’’ dia terus menyoal. Aku mengeleng.

         ‘’Tak sudi?’’ geleng lagi.

          ‘’Suara awak dah hilang ke mana? Siapa yang curi?’’ aku tersenyum dan mengalihkan pandanganku ke arah lain. Aku membelakangkan Encik Airil.

          ‘’Apa salah saya Aishah? Benci sangat ke awak dengan saya? Dahlah tak nak cakap dengan saya, nak pandang saya pun awak tak sudi juga ke?’’ berasap juga telinga aku mendengar tuduhannya. Laju saja aku berpusing ke arahnya dan menatap wajahnya tanpa berkelip sikit pun. Barulah dia tersenyum dan menentang pandanganku. Aku menarik nafas dan melepaskannya dengan kasar. Geram. Perasan itu datang lagi bertandang.

           ‘’Daripada awak buang masa menunggu, lebih baik awak pergi dengan saya Aishah. Jimat masa awak, lepas masak nanti, awak pun boleh berehat lama sikit sebelum masuk waktu Zohor.’’ Dia masih cuba memancing perhatianku. Masih tak jemu untuk mengajak aku pergi dengannya.

          ‘’Biarlah Encik, penat sikit tak apa. Rasanya itu lebih baik dari berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram saya dalam kereta. Saya pun bukannya kenal sangat dengan Encik Airil ni. Berhati-hati itu penting Encik. Itu yang mak dan ayah saya ajar. Musuh ni dalam selimut pun ada, inikan pula di jalan raya.’’ Hah..sekali aku karang ayat, terdiam sejenak Encik Airil mendengarnya. Sebelum dia membalas kata-kataku, tanganku sudah melambai teksi yang sedang laju bergerak ke arah perhentian bas. Aku sudah berada di tepi jalan menunggu teksi yang sudah memberi isyarat untuk berhenti.

         Aku meloloskan diri ke dalam perut teksi. Menutup pintu teksi dan memandang keluar tingkap ke arah Encik Airil yang sedang merah padam wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya di pinggang. Aku tersenyum menang. Bye-bye Encik Airil. Hati aku berkata-kata gembira kerana berjaya melepaskan diri.