My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Sabtu, 16 Jun 2018

Aku Dan Bos Final


Bab 41

Aswal Madri (Bos)
            Aku perhatikan Izz Zahrah yang sedang berjalan ke arahku dengan perut yang sudah memboyot. Aku melebarkan senyuman bila dia sudah menghampiriku. Dia isteri kesayanganku. Bermacam dugaan kami lalui selepas bergelar suami dan isteri. Bermacam kerenah yang terpaksa kami depani. Kadang-kadang dia merajuk, kadang-kadang aku yang tersentak hati dengan gelagatnya, namun dalam semua ragam itu, berjaya juga kami tempuhi alam rumah tangga ini.

                ‘’Abang, Has rasa macam teringin sesuatulah. Abang boleh tolong tak?’’ sebaik Izz Zahrah meletakkan punggungnya di atas pangkin di tepiku, dia sudah bernada manja. Aku mengeliat malas, tahu sangat dengan kerenahnya itu. Kalau dia bernada manja macam tu, adalah benda yang nak dimintanya.

            ‘’Hmm..bergantung pada permintaan sayanglah. Kalau mampu abang tolong, abang tolong..’’ aku tak nak membuat janji kosong, kerana aku tak pasti apa yang nak dimintanya. Kami sekarang ni sedang berada di Teluk Intan. Izz Zahrah yang nak balik untuk bersalin di sini. Aku terpaksa menurut kemahuannya. Lagi pun, aku sudah membuka cawangan baru di Pekan Teluk Intan dan aku sendiri sudah bertukar ke sini. Cawangan utama di Kuala Lumpur, aku serahkan kepada abang Amri dan Zuhaimie untuk menguruskannya. Kebahagiaan aku ada di sini, di sisi Izz Zahrah, dan aku sudah mula serasi dengan semua saudara maranya.       

                ‘’Has nak air kelapa muda. Boleh tolong ambilkan?’’ Izz Zahrah berkata perlahan sambil mengelus lembut tanganku. Aku memandang pegun ke arahnya.

             ‘’Has nak suruh abang panjat pokok kelapa?’’ aku bertanya kalut. Seumur hidup, tak pernah lagi aku buat kerja panjat memanjat ni. Kalau aku nak apa-apa, selalunya aku beli saja termasuk kelapa muda.

               ‘’Kata sayang, takkan nak panjat pokok kelapa pun tak boleh?’’ Izz Zahrah bertanya selamba sambil merenung pokok kelapa yang tinggi menjulang di tepi halaman rumah mertuaku. Aku pula yang gerun melihat pokok kelapa itu. Nak panjat ke tak? Aku berkira-kira di dalam hati.

                 ‘’Isshh..kalau abang jatuh nanti, sayang juga yang bakal merana. Kalau mati ke, patah riuk ke, macam mana?’’ aku cuba beralasan. Izz Zahrah sudah mencebik, tapi sekejap cuma aku sudah mendengar suaranya yang sedang ketawa.

           ‘’Ada saja alasan abang. Tapi, tak apalah, abang tak nak ambil, biar Has ambil sendirilah.’’ Izz Zahrah bangun dan berjalan laju menuju ke belakang rumah. Cemas pula aku melihat gaya berjalannya itu. Aku bangun dari pangkin dan mengikutnya dari belakang.

           ‘’Has..takkan merajuk lagi. Okey, abang panjat, demi isteri abang..’’ aku cuba memujuk dan melangkah laju ke arahnya.

            ‘’Tak payah. Abang memang tak sayang Has pun. Cakap saja sayang, tapi sebenarnya tak..’’ aku sudah mengelabah mendengar suaranya yang seakan sudah berjauh hati. Inilah dia, kerenah isteri aku yang seorang ni. Sekejap okey, manja dan mengoda, tapi dalam masa yang sama dia akan merajuk dan memberontak. Dan...adakalanya, dia begitu menyenangkan hatiku.

                ‘’Lahhh..kenapa tak cakap, petik kat pokok kelapa ni? Kalau Has cakap dari awal kan senang..’’ aku sudah tergelak bila aku memerhatikan pokok kelapa di depanku yang sedang berbuah lebat. Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Pokok kelapa renek, tapi berbuah lebat hingga ke tanah. Zaman sekarang ni, bukan saja pokok kelapa, pokok mangga dan berbagai jenis pokok buah-buahan lain yang boleh mengeluarkan buah, walaupun pokok buah-buahan itu kelihatan renek dan rendah. Buahnya pula mencecah hingga ke tanah.

                    ‘’Saja, nak menguji abang. Sesekali nak tengok juga sejauh mana rasa sayang abang tu. Abang ingat tak kes Has kena kidnap dulu? Tergamak abangkan, buat lawak macam tu?’’ aku terdiam lama. Kes Izz Zahrah kena kidnap dan aku langsung tak percaya dengan apa yang lelaki itu beritahu aku. Namun, aku tetap bimbang juga memikirkan kemungkinannya hari itu, lebih-lebih lagi bila Lina menghubungiku dan memberitahu Izz Zahrah sedang berada di wad kecemasan.

              ‘’Kes tu dah tujuh bulan berlalukan? Lina dengan Umai pun dah minta maaf. Abang pun tak sangka, mereka akan buat macam tu. Lagi pun, segalanya bermula dengan Has jugakan? Has yang tersalah mengupah orang. Kebetulan, lelaki tu sepupu Umai, dan Lina dan Umai hanya nak memberi pengajaran untuk Has sajakan. Semuanya bermula dari mana? Cuba Has tanya diri sendiri.’’ Aku mengakhiri kata-kataku sambil menghela nafas panjang. Aku tak sangka Izz Zahrah akan ingat lagi kejadian itu.

            ‘’Yalah tu. Has tahu, semuanya kifarah. Pembalasan Allah untuk Has sebab kenakan abang. Lina dan Umai pun, mungkin berniat baik. Has sedar semua itu.’’ Mendengar kata-kata Izz Zahrah, aku menarik nafas lega kembali. Kalau tak, terpaksalah aku memujuk dia lagi.

            ‘’Setiap kejadian bersebab Has. Contohnya, pertemuan kita dulu. Kalau Has tak naik ke tingkat atas dan melakukan senaman-senaman mencuit hati itu, mungkin kita takkan pernah jatuh cinta.’’ Aku cuba menceriakan suasana hambar sebentar tadi dengan mengimbas kembali apa yang pernah berlaku. Aku tergelak diakhir kata-kataku.

                 ‘’Abang! Dahlah tu. Kaki sekodeng.’’ Izz Zahrah terpekik sambil cuba memiat lenganku. Hari terakhir Izz Zahrah di Syarikat, dia mengetahui rahsiaku mengintai dia di balik cermin selepas dia masuk ke pejabatku dan menyaksikan sendiri Zuhaimie dan Umai yang sedang berbual di luar ketika itu. Segala-galanya terbongkar dan Izz Zahrah memaksa aku ceritakan segalanya, bila kali pertama aku melihatnya, hinggalah malam aku menegur dan menghantarnya pulang hingga ke rumahnya.

                  ‘’Semua kejadian ada hikmahnya, kan abang?’’ Izz Zahrah bersuara lagi. Aku jatuhkan kepalaku berkali-kali menyetujui kata-katanya. Setiap kejadian ada hikmahnya. Sebagai manusia, kadang-kadang kita tak mahu melihat dari sudut positif.

                    ‘’Berapa biji sayang nak? Kalau ambil kat pokok ni, berapa biji sayang nak pun sanggup saja abang ambil. Bila-bila masa saja.’’ Aku cuba mengubah topik kami dan mula bertanya Izz Zahrah tentang keinginannya. Kalau nak berbicara tentang hidup dan setiap kejadian, selagi kita bernafas di atas muka bumi ini, semua itu takkan pernah selesai.

               Suka dan duka akan silih berganti. Sesungguhnya, Allah itu Maha Adil dan saksama. Setiap perbuatan yang kita lakukan, pasti ada pembalasannya. Kalau bukan di dunia, pasti di Akhirat nanti akan terbalas juga. Jangan rasa megah, kalau terlepas dari pembalasan di dunia, bila kita melakukan kesalahan, kerana di Akhirat sana pasti ada juga pembalasan yang menanti. Bersyukurlah, kalau Allah timpakan pembalasan di atas dunia ini, kerana kita masih mampu bertaubat dan berubah. Tapi, di akhirat sana, kita takkan boleh lagi berpatah balik. Allahu’alam.  

 
                                  *************Tammat**************          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.