Bab 20
ROMBONGAN pengantin lelaki dah tiba dan mengambil
tempat di ruang tamu. Kak Ieta juga sudah duduk bersimpuh di belakang pengantin
lelaki. Ketika jurunikah baru nak memulakan tugasnya, encik Awal masuk dan
duduk berlutut di depan kak Ieta. Serius, aku memang kesian tengok dia tapi aku
masih ingin melihat dia berusaha untuk meluahkan perasaannya. Ketika aku
mengintai gelagat dia dari jauh, abang Izzhar masuk ke dalam rumah dan berdiri
di sebelah aku.
‘’Has, kenapa jadi macam ni?
Orang lelaki pun ada maruah dan harga diri Has.’’ Aku tersentap mendengar
kata-kata abang Izzhar tapi aku tetap tak mahu mengalah. Aku ingat lagi malam
itu bila aku tiba-tiba dipanggil naik ke atas pentas dan encik Awal melamar aku
di depan orang ramai. Walaupun nampak macam lakonan tapi aku juga turut rasa
malu diperlakukan seperti itu. Alah, dalam majlis akad nikah ni bukannya ramai
mana pun. Cuma saudara mara aku dan rombongan pengantin lelaki saja. Aku
berbisik di dalam hati.
‘’Izz..’’ encik Awal mula
bersuara. Hanya nama aku yang disebutnya. Nampak macam payah sangat dia nak
memulakan kata. Kak Ieta pula nampak macam tenang saja. Mata semua tetamu kini
sedang menghala ke arah encik Awal dan kak Ieta.
"Izz..jangan macam ni.
Saya tak sanggup kehilangan awak Izz. Takkan awak sanggup lupakan saya macam tu
saja? Siapa pula lelaki ni? Hari tu tunang awak orang lainkan?" aku dengar
encik Awal bersuara lagi.
" Izz..maafkan saya.
Semua tu hanya gurauan saja untuk menguji perasaan awak. Saya cuma nak tahu
perasaan awak terhadap saya saja. Jangan macam ni Izz, please.." aku sudah menekan perut melihat gelagat encik Awal
yang masih tak berputus asa merayu kak Ieta.
"Has, keluarlah.
Kesian Awal tu. Sampai bila Has nak dera dia macam tu? Kalau abang ditempat
dia, tak sanggup abang nak tebalkan muka macam tu.." abang Izzhar mencuit
aku dan meminta aku munculkan diri. Aku masih lagi ingin menguji encik Awal.
"Biarlah abang. Bukan
senang nak tengok drama free depan
mata. Lagipun, Has teringin nak dengar ayat-ayat cintan encik Awal yang
seterusnya." aku keluarkan kenyataan yang sangat kejam. Abang Izzhar sudah
mengelengkan kepalanya berkali-kali melihat kedegilanku.
"Izz Zahrah Hasyilla!
Keluar sekarang!" lain yang aku fikir, lain pula yang terjadi. Tiba-tiba
saja abah menyeru nama aku dan semua tetamu terutamanya saudara mara aku sudah
memandang tepat ke arahku. Terpaksa juga aku munculkan diri sambil tersenyum
kelucuan.
"Encik Awal, itu kakak
kembar saya, Izz Zahrah Hasyieta. Sorry, encik Awal ingat encik Awal saja ke
yang pandai nak kenakan orang. Orang kata hutang darah dibayar darah tapi Izz
Zahrah Hasyilla kata hutang prank
dibayar sama rata. Peace!" aku
berkata kepada encik Awal sambil membuat peace
dan bibir aku sudah lebar dengan senyuman.
"Apa maksud awak? Apa
semua ni Izz?" suara gugup encik Awal kedengaran sambil dia memandang aku
dan kak Ieta silih berganti.
"Yang tu siapa? Dia tunang
awakkan?" encik Awal bertanya sambil menudingkan jarinya ke arah abang
Izzhar pula.
"Dia abang saya. Maaf
encik Awal. Saya tak sangka encik Awal ni pandai berlakon. Kalau saya jadi
penerbit filem gerenti saya ambil encik Awal sebagai watak utama." aku
masih ada hati untuk berseloroh lagi. Wajah encik Awal sudah bertukar warna.
Telinganya juga sudah merah. Marah ataupun malu, aku tak pasti.
"Izz Zahrah..awak memang
sengajakan?" suaranya semakin perlahan dan wajahnya sudah mencerun geram
ke arahku. Aku mula rasa serba salah berdepan dengan dia sekarang. Aku pandang
wajah abah, aku pandang kak Ieta dan akhir sekali aku pandang wajah abang
Izzhar mohon pertolongan.
‘’Awal, aku rasa semua ini hanya
salah faham saja. Izz Zahrah tak bersalah dalam hal ni. Kita pun bersalah juga
sebab kita pun selalu kenakan dia. Aku rasa semua ini kifarah, sepatutnya kau
kena bersyukur sebab bukan Izz yang akan nikah.’’ Encik Zuhaimie masuk dan menyelamatkan
keadaan. Aku sudah mula mengesat air mata yang tak semena-mena menitis ke pipi.
Aku tak dapat nak mengambarkan apa perasaan aku sekarang ni.
‘’Betul, kalau encik Awal nak
marah juga, saya tak kisah. Encik Zuhaimiekan ada. Encik Awal tak nak, saya
ngorat encik Zuhaimie pulalah.’’ Entah daripada mana idea mengarut tu menjengah
dalam kepala hotak aku ni. Tak pasal-pasal nama encik Zuhaimie yang aku sebut
dan aku sudah terdengar encik Zuhaimie ketawa dengan ayat-ayatku.
‘’Awak tak kesian ke Izz? Awal dah hilang
separuh nyawa sebab awak, takkan awak nak uji dia lagi? Pasal gambar yang dia
hantar tu, semua kerja saya…’’
‘’Saya tahu encik Zuhaimie.
Saya dah dengar tadi, di sebalik langsir, di tepi tingkap. Tak apa, saya tak
kisah. Esok suruh kawan baik encik Zuhaimie ni buat lagi macam tu. Alang-alang
nak edit gambar dan hantar kepada saya, bagi banyak sikit, setakat tiga keping
tak cukup untuk dipublishkan.’’ Aku
memangkas kata-kata encik Zuhaimie dan cuba mengertak encik Awal. Terbuntang
mata dia mendengar kata-kataku.
‘’Lebih baik awak delete gambar tu. Saya saman awak
nanti!’’ amboih, ada hati lagi nak beri aku amaran. Aku cebikkan bibir
kepadanya dan berlalu dari ruang tamu kerana aku baru tersedar semua mata sudah
memandang kami sambil mulut mereka tak henti-henti bersoksek-soksek.
‘’Minta maaf pak cik sebab dah
buat kecoh. Minta maaf semua.’’ Encik Zuhaimie sekali lagi menyelamatkan
keadaan dengan meminta maaf kepada abah dan kepada semua tetamu yang
menyaksikan adegan spontan kami tadi. Aku pula sudah keluar dari rumah dan
masuk ke bawah khemah dan menuju kepada Puan Afifah dan keluarganya. Encik Awal
dan encik Zuhaimie juga menuju ke arah yang sama. Puan Afifah menyambut aku
dengan senyuman lebar sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.
‘’Pandai awak Izz, ini kali
pertama akak tengok Awal tu buat perangai macam tu. Kuat juga penangan
Izzkan?’’ Puan Afifah bersuara sambil tersenyum. Encik Amri sudah tergelak
sambil melihat encik Awal dan encik Zuhaimie melangkah ke arah kami. Aku pula
sudah duduk di tepi Puan Afifah sambil berpura-pura mengacah anak keduanya.
Lina dan Umai juga sedang berjalan ke arah kami. Mereka juga turut ada di dalam
rumah menyaksikan adegan spontan tadi. Tak tahulah apa yang mereka fikir.
Marahkah mereka?
‘’Sukalah tu?’’ encik Awal
bersuara sebaik dia melabuhkan punggungnya di sebelah aku. Aku berganjak
sedikit dan berpura-pura tidak mendengar. Semakin rancak aku bermain dengan
Syarina yang baru berusia dua tahun itu. Melihat dia ketawa setiap kali aku
mengacahnya membuatkan hati aku sedikit lega.
‘’Kak Izz, ini kali pertama Lina
tengok drama tanpa skrip. Macam best, tapi kesian pun ada juga tengok hero tu
tadi. Walau apa pun, Lina takkan sesekali memihak mana-mana pihak sebab Lina
tahu kak Izz pun mangsa juga. Gambar yang abang Awal hantar tu, kalau Lina yang
jadi girlfriend abang Awal pun,
memang Lina reject abang Awal, la, la
tu juga. Memang daring habis.’’ Bila
tahu Lina memihak kepadaku, aku menjungkitkan keningku berkali-kali kepadanya.
Ada juga geng yang nak memihak kepadaku. Nasib baik lagi.
‘’Nasib baik lagi abang hantar
gambar tu, kalau tak, tak adalah orang tu nak confess kat abang,’’ wajah aku rasa terbakar mendengar sindiran
encik Awal. Encik Zuhaimie sudah ketawa sakan. Aku mengebam bibir menahan
geram.
‘’Confess apa?’’ Lina menyoal laju.
‘’Lina nak baca ke?’’ encik Awal
sudah mengeluarkan telefonnya. Aku menjeling geram.
‘’Delete! Kalau tak saya betul-betul publishkan gambar encik Awal tu. Gempar satu Malaysia tengok CEO
syarikat, Aswal Mardi dalam pose maut
macam tu,’’ aku mengertak dia pula. Dia sudah tergelak.
‘’Cubalah kalau berani. Nanti
saya suruh Mie edit gambar kita pula dalam pose
macam tu. Mahu?’’ aku menjegil. Amboi, tak habis-habis lagi nak ugut aku?
‘’Aku tak mau masuk campur...’’ kata-kata
encik Zuhaimie buat aku tersenyum kemenangan lagi.
‘’Berani masuk campur, nanti
saya pun publishkan gambar encik
Zuhaimie yang ada pose maut macam tu
juga. Kan Lina?’’ spontan Lina meletakkan jari telunjuknya di bibir.
‘’Lina! Delete!’’ Lina pula mendapat amaran daripada encik Zuhaimie. Yang
lain sudah tercenggang melihat kami bertiga terutamanya Umai yang pastinya tak
tahu apa-apa mengenai perbualan kami.
‘’Gambar apa ni? Umai nak
tengok juga. Kenapa nak berahsia dengan Umai? Mana aci. Abang Awal, minta handphone tu, Umai nak tengok juga.’’
Mendengar saja Umai meminta telefon daripada encik Awal, aku pantas merampasnya
terlebih dahulu.
‘’Huh! Ada password.’’ Aku mengeluh.
‘’Kalau pandai cubalah buka.’’
Encik Awal sudah mencabar aku. Aku cuba taip nama aku, Izz Zahrah dan tekan
perkataan done.
‘’Oooo..’’ spontan aku
tersenyum sambil kepala sudah terangguk-angguk dan memandang encik Awal. Dia
guna nama aku rupanya. Dengan pantasnya aku buka WhatsApp dan padam semua mesej
aku. Aku clearkan chat kami berdua dan memberi semula
telefon kepada encik Awal.
‘’Awak delete semua Izz?’’ dia bertanya geram. Aku tersenyum menang. Dan
dia sudah menghela nafas panjang.
‘’Aih, takkan Izz tahu password handphone kau Awal?’’ soalan
encik Zuhaimie buat aku tertunduk, tiba-tiba terasa wajah berbahang. Takkan aku
nak bocor rahsia kot?
‘’Kamikan sehati sejiwa!’’
ayat-ayat encik Awal buat semua orang mencebikkan bibir termasuk aku. Tak boleh
blah punya ayat.
HARI yang penuh bersejarah buat kak Ieta dan aku
berakhir juga. Selepas rombongan pengantin lelaki pulang, keluarga Puan Afifah
pula masuk ke dalam rumah dan menyampaikan hajat mereka. Tanpa aku duga rupanya
Puan Afifah sudah membawa bersama cincin tanda dan kini aku sudah bergelar
tunang encik Awal secara rasminya. Encik Awal meminta kepada abah agar
pernikahan kami disegerakan secepat mungkin.
Abah menjadi serba salah pada
mulanya kerana majlis akad nikah kak Ieta baru saja selesai. Nak mengadakan
kenduri untuk kali kedua dalam tempoh yang singkat mungkin akan memenatkan
minda untuk berfikir.
Encik Awal pula membuat saranan
agar majlis akad nikah hanya diadakan secara ringkas saja. Katanya, buat apa
yang wajib dan perlu saja. Nanti kalau nak buat majlis besar-besaran buat
majlis lain pula. Macam kak Ieta yang akan bersanding pada hujung bulan hadapan.
Encik Awal sanggup nak mengeluarkan semua belanja. Abah semakin serba salah
dengan sikap murah hati encik Awal.
‘’Bukannya apa pak cik,
sekurang-kurangnya Izz ni ada juga orang pantau. Bandar sekarang ni banyak
sangat bahaya. Saya nak menjaga dia dua puluh empat jam tanpa ikatan nanti apa
pula kata orang tapi kalau saya buat tak tahu saja, saya juga yang akan
risau,’’ abah sudah terdiam mendengar kata-kata encik Awal. Macam bernas
sangat, sedangkan aku sudah berdebar-debar menanti respon daripada abah.
‘’Bagus juga tu, pak cik pun
setuju dengan cadangan Awal ni tapi dengan apa yang berlaku hari ni, takut
orang akan salah faham pula. Nanti macam-macam fitnah pula yang keluar. Baru
sangat kakaknya menikah, dah nikahkan adik pula. Pak cik ingat kita tunggu
seminggu dua lagi la, biar hilang dulu kes hari ini?’’ aku tak sangka abah akan
berfikiran jauh seperti ini. Orang kampung dengan orang bandar takkan sama.
Lebih-lebih lagi yang menyaksikan ‘tragedi’ hari ini terdiri daripada saudara
mara kami.
‘’Saya faham maksud pak cik tu,
sebab itu saya nak segerakan pernikahan kami. Macam apa yang Izz pernah cakap
kat saya, Biarlah apa pun orang nak cakap, yang penting Allah tahu apa yang
kami buat. Ada orang tu kata bercinta tanpa nikah ni pun berdosa dan saya nak
halalkan apa yang haram sebab saya pun tak mahu terus tanggung dosa mencintai
Izz Zahrah yang masih belum jadi isteri saya.’’
Encik Awal curi kata-kata aku.
Pandai pula dia guna ayat-ayat aku untuk lembutkan hati abah. Akhirnya abah
beri kata putus agar pernikahan kami diadakan minggu hadapan. Melopong aku
mendengarnya sebab esok aku sudah mula bekerja. Mana sempat nak buat persiapan
minda untuk menjadi isteri orang.
Walau bagaimana pun malam ini aku
terpaksa juga ikut mereka pulang ke Kuala Lumpur. Kami bertolak selepas maghrib
dan aku naik kereta encik Awal bersama Lina dan Umai. Encik Zuhaimie duduk di
sebelah pemandu. Mereka bergilir-gilir memandu kerana encik Awal kata dia tak
boleh nak fokus memandu kerana aku ada bersama di dalam kereta. Dia teruja
sebab terlampau seronok aku dah jadi tunang dia. Geram betul aku mendengar
kata-kata dia. Langsung tak reti nak menjaga hati Umai yang mungkin sedang
terluka mendengar kata-katanya itu.
‘’Awal, kau hembus ayat apa tadi? Cer bagi
petua sikit.’’ Encik Zuhaimie yang sudah mengambil alih memandu memecahkan
keheningan malam. Tadi mereka hanya berbual-bual kosong saja. Aku pula macam
tak ada mod nak menyampuk perbualan mereka. Banyak sangat yang aku fikir.
Sekarang baru aku tahu macam mana perasaan kak Ieta bila nak bergelar isteri
orang. Memang sangat tertekan rupanya.
‘’Hembus apa?’’ aku memasang telinga mendengar
perbualan mereka sambil memejamkan mata dan berpura-pura tidur. Umai dan Lina
sudah lama dibuai mimpi agaknya atau mereka pun seperti aku hanya berpura-pura
tidur ataupun hanya tidur-tidur ayam.
‘’Abah Izz tu, senang saja setuju dengan
pendapat kau. Asalnya dia nak menangguh, alih-alih dia setuju. Kau ada baca
ayat apa-apa ke?’’ suara ketawa encik Awal sudah bergema di dalam kereta. Aku
menghela nafas dalam diam.
‘’Mengarutlah kau ni. Aku rasa abah Izz tu
mungkin dah berkenan sangat dengan aku tu, sebab tu dia terima saja pendapat
aku yang cukup bernas tu,’’ amboih! Perasan tak hengat. Aku sudah mengutuk
encik Awal di dalam hati.
‘’Apa perasaan kau sekarang.
Takkan tak nak share dengan aku?’’
sekali lagi encik Awal ketawa. Suka pula dia mendengar soalan-soalan cepubelian
encik Zuhaimie tu?
‘’Tentulah suka. Kau tak nampak ke
kebahagiaan yang dah terpancar di wajah aku ni. Kan Izz? Awak tak tidurkan
Izz?’’ sambil menjawab soalan demi soalan yang diajukan oleh encik Zuhaimie tu,
tak pasal-pasal nama aku juga yang diserunya. Terkantoi pula dengan dia. Aku
menghela nafas berat pula kali ini.
‘’Bos! Minta tolong sikit boleh
tak bos? Lepas-lepas ni kita buat macam biasa juga boleh tak? Lecehlah kalau
semua pekerja tau, stresslah kalau
asyik kena gosip saja,’’ aku buat permintaan yang tak mungkin dia akan setuju
dengan sekelip mata. Aku buka mata dan dia sudah menoleh ke belakang.
‘’Kenapa? Awak tak suka ke
jadi isteri saya?’’ soalan maut pula yang dibalasnya.
‘’Bukan tu masalahnya bos. Masalah
utamanya nak menjaga mulut pekerja-pekerja bos yang tak boleh ditutup tu dan
masalah yang berbangkitnya pula hati saya ni bukannya kebal macam besi bos.
Kadang-kadang tu tersentap juga,’’ aku meluahkan apa yang aku rasa. Lega rasa
jiwa aku ni. Ringan kepala aku bila dapat melepaskan semuanya.
‘’Okey, kalau itu yang awak nak
tapi dengan syarat selepas kita nikah, awak izinkan saya masuk ke dalam rumah
awak ya?’’ aku menghela nafas berat sekali lagi. Inilah dia orang lelaki tapi
aku tak ada sebab untuk mengelak.
‘’Bab tu saya tak boleh nak
membantah, selepas bos dah jadi suami saya, yang wajib saya wajib tunaikan,
Cuma di pejabat bos buatlah kerja bos macam biasa. Tolong jangan umum saya ni
isteri bos. Rimas saya ni bos. Biarlah pekerja-pekerja bos tak tahu siapa saya
ni, saya rela bos daripada teruk kena kutuk,’’ aku lepaskan lagi apa yang aku
rasa.
‘’Saya tak pernah jumpa perempuan
macam awak ni Izz Zahrah, orang lain berebut-rebut nak jadi isteri CEO, awak ni
tak mahu pula,’’ encik Zuhaimie mencelah perbualan kami.
‘’Salah tu encik Zuhaimie, bukan
tak mahu. Dah setuju punkan? Cuma tak nak diumumkan saja. Banyak bezanya antara
tak mahu dan tak nak diumumkan tu,’’ aku membantah kata-kata encik Zuhaimie.
Terdengar encik Awal ketawa dan dia sudah menoleh ke belakang lagi.
‘’Esok awak naik makan di atas ya
Izz? Tak payah bawa bekal, saya tahu awak masih letih. Nanti saya suruh Mimi
order makanan untuk kita.’’ Aku mengeleng kepala dengan pantas. Tak setuju
dengan saranannya sebab aku dah ada geng untuk keluar makan. Lagipun sekarang
bukan masa yang sesuai untuk kami makan berdua. Darah tengah manis orang kata.
Masih dalam tempoh pertunangan, masih banyak cobaan dan godaan.
‘’Tak boleh! Minggu ni tak boleh. Minggu depan
In Sha Allah, kalau kita masih berjodoh. Dah jadi isteri bos nanti baru saya
nak dengar cakap bos. Sekarang ni saya tak nak dengar cakap bos lagi. Bertunang
bukan tiket untuk kita berdua-duaan setiap hari,’’ encik Zuhaimie sudah ketawa
perlahan bila mendengar kata-kataku.
‘’Awak ni Izz, sebab tulah
saya nak nikah dengan awak cepat-cepat sebab awak ni perempuan yang paling
degil pernah saya jumpa. Umai dengan Lina ni pun tak degil macam awak tau.’’
Bila encik Awal menyebut nama Lina dan Umai aku menoleh ke sebelah. Sempat aku
melihat bibir Lina yang seakan ingin tersenyum tu. Dah sah-sah tidur-tidur
ayam.
‘’Encik Awal tentu akan jemu
kalau saya pun macam mereka. Tentu tak mencabar pula hidup encik Awal nanti,’’
aku tetap menjawab dan ketika inilah Lina membuka matanya.
‘’Tak apa! Lina pun nak kena
belajar daripada kak Izz juga. Lina pun nak degil macam kak Izz juga. Baru
mencabar sikit hidup abang Awal nanti.’’ Bila Lina membuka mulutnya encik
Zuhaimie juga sudah membuka luas mulutnya dan ketawa kuat.
‘’Habislah kau Awal!’’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.