Bab 4
MINGGU kedua aku bekerja dan
kerja aku semakin bertambah. Kebetulan pula pagi tadi kereta aku meragam dan
aku bertembung dengan encik Zuhaimie dalam perjalanan. Dia mempelawa aku datang
bersamanya ke pejabat dan menolong aku menghubungi mekanik untuk menarik kereta
aku ke bengkel. Aku tiada pilihan kerana takut sampai lewat ke tempat kerja
jadi aku turutkan saja kemahuannya.
Bila aku turun dari kereta
encik Zuhaimie dan ramai pekerja yang nampak, gosip pun mula tersebar termasuk
dalam pejabat aku bekerja. Semua pekerja yang mengenaliku mula menyoal aku
dengan soalan-soalan yang mengarut.
‘’Macam mana kau boleh kenal encik
Zuhaimie tu?’’ soalan pertama yang disoal adalah daripada Shasha setiausaha
Puan Salina. Wajah dia begitu serius bila menyoal aku. Aku tak menjawab pun
soalan dia dan menyebabkan aku dikulikan teruk olehnya hari ini.
‘’Aku dah lama bekerja di sini.
Berdepan dengan encik Zuhaimie tu pun tak pernah. Macam mana kau boleh tumpang
kereta dia datang kerja? Kau goda dia ke? Macam mana kau buat?’’ soalan yang
diajukan oleh Erna membuatkan wajah aku berbahang panas. Aku goda encik
Zuhaimie? Nak meneka pun tak agak-agak.
‘’Izz Zahrah Hasyilla, saya tak tahu apa
hubungan awak dengan bos syarikat kita ni, tapi saya harap awak jangan
cuba-cuba nak ambil kesempatan ya. Kerja awak sebagai kerani saja di sini dan
jangan cuba nak curi tulang.’’ Amaran tegas daripada encik Amran bos aku
membuatkan wajahku bertukar merah. Bos syarikat ini? Siapa tu? Encik Zuhaimie?
Dan hari ini demi nak
membuktikan aku langsung tiada hubungan dengan encik Zuhaimie, aku bekerja
keras. Apa saja kerja yang disuruh aku lakukan dengan bersungguh-sungguh. Waktu
rehat aku makan saja di pantri dengan bekal yang aku bawa. Aku cuba habiskan
semua kerja hinggalah aku akhirnya tertidur di dalam surau selepas solat Isyak.
Bila aku terjaga hari sudah lewat malam. Aku mengambil keputusan untuk menenangkan
fikiranku di tingkat atas, tempat aku berehat setiap hari.
AKU menapak ke arah lift dengan langkah yang
longlai dan bila aku sudah berada di depan pintu lift aku terus menekan butang
untuk naik ke tingkat atas.Sejurus kemudian pintu lift terbuka dan aku tak
menunggu lama, terus meloloskan diriku dan menekan nombor 25 iaitu tingkat yang
paling atas sekali. Bila lift bergerak dan aku yang masih berserabut dengan
masalah siang tadi terus khayal sendiri.
Sampai saja ke destinasiku, aku
menapak keluar dan terus melangkah dengan lemah.Di depan sana sudah terbentang
sebuah permandangan yang sangat indah. Bibir aku tanpa sedar sudah mengukirkan
senyuman.
Aku berdiri di tepi koridor
bangunan dan memandang di kejauhan, memerhatikan suasana malam yang sangat
indah dengan warna-warna lampu neon yang bergemerlapan. Bangunan pencakar
langit yang masih terang begitu menarik minatku. Aku memerhatikan suasana malam
dengan asyik dan cuba melupakan segalanya yang sedang aku hadapi.
"Awak buat apa di
sini?" ada suara lelaki yang menyapaku dan orang itu telah berdiri di
sebelahku. Terasa lututku sudah bergoyang dan jantungku sudah berlari laju. Aku
membelek jam di tangan. Sudah pukul 10.00 malam.
"Kenapa tak balik lagi?"
Lelaki itu bertanya lagi. Aku cuba menoleh ke arahnya. Perlahan-lahan aku
mendongak kerana dia lebih tinggi daripadaku.
"Err..err..saya,
saya.." tergagap-gagap aku bersuara namun minda aku masih tak mampu berfungsi
sepenuhnya kerana tak menduga akan bertembung dengan orang lain di sini.
"Kenapa?" Dia bertanya
lagi. Aku terus mengelabah.
"Nak baliklah ni.."
sejurus aku berkata kakiku terus melangkah namun pergerakanku terlalu kaku angkara
lututku yang sedang mengigil.
"Tunggu!" dia bersuara
lagi. Jantung aku seakan terhenti berdenyut. Di dalam hatiku sudah berdoa
sakan, semoga Allah melindungiku.
"Saya hantar awak,"
kata-katanya membuatkan aku berpaling ke belakang dan mendongak untuk melihat
wajahnya. Bibirnya sudah menguntum senyum. Lidahku terus kelu melihat senyuman
itu dan mataku pula terus merenung wajah kacak di depanku.
"Kenapa tengok saya macam
tu? Jangan cakap awak tak sudi pula. Dah lewat ni, bahaya balik
sorang-sorang." lelaki itu berkata lagi. Aku sudah telan liur
berkali-kali. Siapakah dia? Bagi aku, balik seorang ataupun balik bersama
lelaki yang tak dikenali tak ada bezanya. Tetap berbahaya.
"Tak apalah encik. Saya
balik sendiri." aku menolak perlawaannya sambil berpusing dan berjalan
laju namun aku dapat mendengar derap langkahnya di belakangku.
"Nur Izz Zahrah..awak
nak ke mana tu? Takkan awak nak turun dengan tangga?" aku dengar dia memanggil
namaku. Dia kenal aku ke? Aku semakin mengelabah.
"Jangan degil. Saya
hantar awak balik. Kereta awak rosakkan? Dan awak datang kerja naik kereta
Zuhaimiekan pagi tadi?" dia masih bersuara. Hati dan minda aku semakin
bercelaru. Dia tahu semua pasal aku ke?
"Encik ni siapa?"
aku berpura-pura berani dan bertanya dengan nada suara yang tegas.
"Saya kawan Zuhaimie, awak
kenal diakan?" sambil bersuara matanya merenung tepat ke wajahku. Aku
berpusing kalut dan melangkah lagi tanpa menjawab pertanyaannya. Kawan encik
Zuhaimie? Macam mana pula dia boleh kenal aku? Hati aku berbisik sendiri.
"Nur Izz Zahrah." dia
melaung namaku lagi. Semakin laju aku melangkah dan menuruni tangga untuk ke tingkat
bawah. Kalau boleh aku ingin masuk ke dalam lift di tingkat 24 saja. Hati aku
sedang berperang sekarang ini. Menyesal pula bila difikirkan balik. Kenapalah
aku mengambil keputusan untuk pulang lewat malam ini? Kalau aku pulang awal
tadi tentu kejadian seperti ini takkan berlaku.
Sampai di tingkat 24 aku menuju
ke arah lift dan berjalan laju. Aku tahu lelaki itu tadi masih mengikut aku
dari belakang. Aku terus berdoa di dalam hati semoga lelaki itu takkan
mengapa-apakan aku. Bila lift sampai aku terus meloloskan diriku. Lelaki tadi
berbuat perkara yang sama. Aku mula mengigil lagi tapi cuba berlagak tenang.
Sekarang dia sedang berada di depanku dan sedang merenung wajahku. Lututku
sudah mula goyah namun aku cuba menenangkan hatiku sendiri. Percaya saja dengan
Allah kerana Dia akan sentiasa ada untuk melindungiku.
"Izz..boleh saya panggil
awak Izz?" lelaki itu bertanya. Tak semena-mena aku terasa lucu dengan
soalannya. Hilang semua rasa takut aku tadi. Aku mengulum senyum dalam diam.
"Dah panggil dah pun, baru
nak minta izin? Semua orang panggil saya Has," aku cuba berlagak ramah.
"Kenapa Has?" dia tanya
lagi.
"Hmm..sebab, sebab mereka
nak panggil Has. Biarlah mereka." aku sengaja nak mainkan dia dengan
berkata begitu.
"Saya tak nak panggil
Has. Saya nak panggil Izz juga. Rasa sweet
saja." dia berkata lagi. Aku berfikir sejenak. Kalau dia boleh panggil
nama aku sesuka hati dia saja, aku pun nak buat macam tu juga.
"Kalau macam tu saya
panggil awak encik mengada-ngada." tanpa berfikir panjang aku pula
meluahkan apa yang aku fikir.
"Ehh..kenapa pula? Bila
pula saya mengada-ngada ni?" dia cuba membantah.
"Ehh..ikut suka hati
sayalah, nak panggil apa pun. Awak boleh pula panggil nama saya ikut suka hati
awak." aku tak mahu mengaku kalah.
"Nama awakkan Izz Zahrah?
Okeylah tu kalau saya panggil Izz. Masalahnya nama saya tak ada pula
mengada-ngada tu." lelaki di depan aku cuba membantah. Aku tayang wajah
selamba saja. Kau suka ke tak, ada aku kesah.
"Ikut suka sayalah. Mulut
saya." aku sengaja marakkan lagi kemarahannya.
"Mana boleh macam tu. Kita
belum berkenalan lagikan? Nama saya Aswal Madri. Kawan-kawan dan keluarga
panggil saya Awal." lelaki tadi berkata lagi sambil menghulurkan
tangannya. Eh, tak tahu hukum ke apa? Takkan dia nak bersalam dengan aku kot?
Aku sudah mencebik ke arahnya.
"Maaf ya, saya ni dilahirkan
sebagai anak melayu yang beragama Islam. Dalam agama saya dilarang bersalam
dengan lelaki yang bukan mahram saya." aku berkata dengan yakin sambil
memeluk tubuh. Lelaki di depan aku sudah tersenyum sambil menarik tangannya
kembali.
"Good. Saya suka perempuan macam awak. Sudi jadi isteri saya
tak?" dengan selambanya dia buat ayat macam tu dengan aku. Ishh..memang
sengaja nak menguji aku ke apa?
"Tapi saya tak suka lelaki
macam awak. Jumpa perempuan saja terus kejar. Belum kenal lagi dah tanya soalan
yang tak sepatutnya." aku pula memainkan peranan aku.
"Awak yang tak kenal saya
tapi saya dah lama kenal awak. Hari-hari saya tengok awak." dia tersenyum
selepas berkata. Aku memerah minda berfikir. Setahu aku, ini kali pertama aku
terserempak dengan dia.
"Tipulah. Saya tak pernah jumpa
awak pun. Dahlah, saya nak balik. Dah lewat ni." aku malas lagi nak
berbual dengan dia dan bila lift sudah berhenti dan terbuka luas aku terus
keluar dan berjalan laju. Dia terus mengikut aku dan jalan di sebelahku.
"Saya hantar awak balik.
Percayalah, saya takkan apa-apakan awak. Dah lewat ni, bahaya awak balik
seorang." dia cuba menghalang aku. Aku serba salah, dalam hati menyesal
sangat sebab ikutkan hati tadi.
Kalau aku tak cuba membuktikan
bahawa aku bukan ada hubungan dengan encik Zuhaimie dan pulang kerja seperti
biasa tentu aku tak mengalami semua ini. Tentu aku takkan bertembung dengan
lelaki ini, tapi kenapa pula dia pun pulang lewat juga? Siapa dia? Pengawal
keselamatan ke? Daripada baju yang dia pakai tak nampak pula macam pegawai
keselamatan. Berbaju kemeja biru dan berseluar slack. Memang nampak kemas dan
kacak. Lebih-lebih lagi dengan tubuhnya yang tinggi dan tegap.
"Maaf, saya tak biasa balik dengan
lelaki yang bukan mahram saya. Lebih-lebih lagi kalau berdua-duaan." aku
terus mengelak daripada dihantar oleh lelaki ini. Dalam kepala aku sudah
tergambar kami berdua-duaan di dalam kereta atau di atas motor. Hiss..seramnya.
"Okey, kalau macam tu saya
teman awak balik naik kenderaan awam. Bas, teksi atau LRT?" lelaki tadi
masih tak berputus asa. Aku yang semakin serabut kepala.
"Awak ni kenapa? Beria-ia nak
ikut saya balik. Awak nak tahu di mana rumah saya ke? Lepas tu senanglah awak
nak atur rancangankan?" tanpa berfikir panjang terluah lagi apa yang aku
fikir. Lelaki itu tayang wajah terkejut, tapi selepas itu dia sudah ketawa.
"Awak ni Izz Zahrah, kalau
tulis skrip untuk filem mesti filem tu meletop kebabom begitu. Mesti penerbit
filem tu akan meraih keuntungan berjuta-juta." dia berkata sambil ketawa
dan kepalanya tergeleng-geleng. Aku mencebik ke arahnya.
"Senang sangat apa?"
dia masih menyoal. Aku pula sudah bergerak ke perhentian bas. Kebetulan sebuah
teksi sedang bergerak ke arah kami. Aku tak menunggu lama, terus menahannya.
Bila aku masuk ke perut teksi, lelaki tadi pula sudah membuka pintu hadapan dan
turut meloloskan dirinya. Parah. Nampaknya dia memang sudah nekad untuk ikut
aku balik.
"Esok jangan balik lewat
malam kalau tak mahu saya ikut awak balik." aku belum kata apa-apa, dia
yang bersuara terlebih dahulu sambil menoleh ke belakang. Aku buat tak tahu
saja dan berpura-pura tidak mendengar. Aku melihat keluar tingkap dan
menghayati keindahan malam.
"Izz..awak dengar tak
ni?" dia menyoal aku.
"Saya dengarlah encik Awal
dan akhir." aku bersuara juga dan memandang ke depan.
"Apa? Saya kekasih awal dan
akhir awak? Tapi saya tak mahu jadi kekasih awak. Berdosa kalau bercinta ni.
Saya nak awak jadi isteri saya. Kita bercinta selepas nikah ya Izz?"
ayat-ayat yang kedengaran sedikit nakal itu diungkapkannya. Aku menarik nafas
berat. Letihnya melayan manusia macam dia ni.
"Tak hingin.." aku
membentak keras. Dia sudah ketawa bersama pemandu teksi. Entah bila pak cik
teksi tu jadi geng dia?
"Encik yang kacak macam ni
pun kena reject juga ke? Kalau cik tu
tak mahu, jadi menantu pak cik sajalah." pak cik teksi pun nak memainkan
peranannya. Dia ketawa selepas selesai mengungkapkan ayat-ayatnya.
"Boleh ke? Tak apa, anak pak
cik tu boleh jadi isteri nombor dua. Masih ada tiga lagi kekosongan." ujar
lelaki itu dan ayat-ayatnya membuatkan aku mencebik lagi tanpa sedar. Orang
lelaki ni kalau bab memadukan bini memang kerja mereka agaknya.
"Boleh, boleh, tapi kena
tunggu 20 tahun lagi sebab anak perempuan pak cik baru berusia dua bulan. Yang
lain semua anak lelaki." bila pak cik teksi berkata begitu, spontan aku
tergelak. Tiba-tiba terasa lucu. Bila aku tersedar lelaki tadi menoleh ke
belakang dan memandang ke arahku, cepat-cepat aku tutup mulutku dan memandang
keluar teksi.
"Pandai pak cik buat lawak.
Izz yang beku pun boleh ketawa. Nanti nak berguru dengan pak ciklah." dia
cuba mengayat aku ke? Elehh..perkara macam tu pun nak berguru ke? Aku berani
kerat jari, pak cik tu pun tak sangka aku akan tergelak tadi sebab aku pun tak
menduga akan tergelak. Semuanya reaksi separa sedar aku.
"Bukan payah pun nak buat
lawak ni, yang penting kena aktivkan minda. Kalau minda tak aktiv, nak buat apa
pun takkan menjadi." ujar pak cik teksi itu pula. Aku tumpang memasang
telinga.
"Anak pernah dengar tak orang cakap,
hari jumaat orang Islam pergi masjid masuk kafir terus?" aku tersentap
mendengar kata-kata pak cik teksi. Otak aku sudah membantah keras namun bibir
tetap tak bersuara.
"Hah? Ini kali pertama
saya dengar pak cik. Kenapa pula macam tu?" lelaki yang bernama Awal itu
bertanya kalut. Tentu dia pun fikir macam aku. Apa yang mengarut sangat pak cik
teksi ni?
"Betullah. Orang Islam masuk.
Kafir terus." jawab pak cik teksi itu. Aku cuba mencerna ayat-ayatnya.
"Maksudnya?" lelaki
tadi bertanya lagi.
"Yalah, hari jumaatkan orang
Islam berpusu-pusu pergi masjid. Orang kafir dia teruslah, takkan orang kafir
pun nak masuk juga?" kali ini aku sudah dapat membaca maksud pak cik tu.
Rupanya dia sedang mencuba buat lawak spontan. Alang-alang orang tak sabar
tentu pak cik tu bakal dihentam balik. Tapi bila tujuan dia sekadar nak buat
lawak ada logiknya juga dan aku dengar lelaki tadi sudah ketawa.
"Pak cik ni, buat orang suspen
saja." lelaki tadi berkata dalam ketawa yang masih bersisa.
Mereka terus berbual sesama mereka
hingga kami tiba ke destinasi. Lelaki yang memperkenalkan namanya sebagai Aswal
tadi menghantar aku hingga ke muka pintu rumahku. Aku tak boleh nak menghalang
dia. Bukan tak menghalang tapi puas menghalang dia tetap mengekoriku. Untuk
keselamatan aku katanya. Hiesy..akhirnya aku yang ditimpa perasaan serba salah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.