My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Isnin, 5 November 2018

Penyamar Bab 24


         Hari ketiga Puan Syarifah Amelia pergi berkursus ke Terengganu. Aku hanya menjaga Dania dan Danial bila perlu saja. Mereka lebih banyak bersama Encik Airil bila orang lain tiada di rumah. Bila ada Yusri dan Yusrina, mereka yang menguruskan Dania dan Danial. Adakalanya Puan Syarifah dan Encik Nazir sendiri yang akan melayan mereka.
                                    
         Tapi..hari ini Encik Nazir pergi ke Luar Negara kerana urusan perniagaannya. Puan Syarifah juga ke luar daerah dengan alasan menemani kawan baiknya. Yusri dan Yusrina juga ada agenda masing-masing. Manakala, Encik Airil pula ada tugasnya yang belum selesai di KLIA. Entahlah tugas apa, malas pula aku nak ambil tahu.

          ‘’Banyaknya buku cerita Dania? Siapa yang beli?’’ aku cuba mengambil hati Dania sambil berbual dengannya. Walaupun kebanyakan buku-buku ceritanya adalah buku-buku cerita dongeng yang aku langsung tak setuju dibaca oleh kanak-kanak seperti Dania.

          ‘’Mama yang beli. Nenek dan Pak Ngah pun beli juga. Banyak ke Acik? Acik boleh tolong bacakan untuk Dania tak?’’ aku tersenyum mendengar pertanyaan Dania. Aku mengangguk tanpa sedar. Salah satu buku ceritanya aku capai sambil membuka lembaran demi lembaran.

            ‘’Tapikan Dania..Acik rasa, daripada kita baca buku ni, lebih baik kita berzikir. Lagi pun, buku ni semua cerita dongenglah Dania. Acik tak suka cerita ni semua. Cerita bohong dan tak elok dibaca.’’ Aku macam terlupa siapa Dania yang sebenar. Aku bercakap seolah Dania itu seorang dewasa yang sudah matang dan bijak berfikir.

           ‘’Berzikir tu apa Acik? Betul ke cerita bohong? Mama tak pernah cakap pun. Kalau betul cerita bohong, kenapa mama beli untuk Dania?’’ petah pula Dania berkata-kata dan melumpuhkan fakta yang aku beri. Aku tersenyum lagi dan cuba mengajak minda aku bekerja untuk memberi alasannya.

          ‘’Berzikir tu memuji Allah dan Rasul. Sebagai hamba Allah dan sebagai umat, kita haruslah memuji Allah dan Rasul kita selalu. Contohnya macam ni.. La Ila Ha Illallah, Muhamadul Rasullullah. Ataupun Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku mengalunkan pujian-pujian mengikut rentak irama yang sepatutnya sambil memandang tepat ke wajah Dania dan Danial silih berganti. Mereka nampak macam berminat dan bibir kedua-duanya seakan bergerak-gerak.

           ‘’Okey..Dania dengan Danial ikut Acik. Kita berzikir bersama-sama. Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku ajak kedua-duanya mengalunkan zikir itu. Bibir kedua-duanya terkumat kamit mengikut aku melagukan zikir tersebut walaupun masih kekok.

         ‘’Pandai pun. Kita mula sekali lagi.. Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku masih ingin mengajak mereka berzikir. Mudah-mudahan, aku tak perlu menjawab soalan Dania tadi. Kenapa buku cerita dia tu, cerita bohong. Macam mana aku nak jawab? Wujud ke Cinderellah, Snow White, Sleeping Beauty dan berbagai lagi tu? Bukankah semua itu hanya cerita khayalan semata-mata? Lebih baik baca buku kisah-kisah Rasullullah dan sahabat-sahabatnya yang dikhaskan untuk bacaan kanak-kanak. Rasanya, berlambak buku tu di pasaran.

            "Apa yang Dania rasa?" soal aku pada anak kecil itu.

            "Ermm..tak tahu, tapi dekat sekolah pun cikgu Dania ajar juga lagu macam ni." tulus Dania menuturkannya. Aku hanya tersenyum. Budak sekecil Dania apa yang dia tahu, tapi tak apalah sekurang-kurangnya aku dah jadi guru tak bertauliah untuk Dania dan Danial hari ini.

         ‘’Dania! Danial!’’ aku menoleh kalut mendengar suara itu. Encik Airil sudah tersenyum lebar di depan pintu bilik.

         ’’Pak Ngah!’’ serentak Dania dan Danial menjerit dan bangun serta berlari laju memeluk Encik Airil. Mereka berpelukan seolah tak berjumpa bertahun lamanya. Aku pula sudah kaget di tempat aku duduk tanpa bergerak sedikit pun. Minda aku penuh dengan persoalan. Bila Encik Airil pulang? Kenapa dia datang dan munculkan diri di bilik ini? Dengarkah dia, apa yang aku katakan kepada Dania dan Danial tadi?

             "Siapa nak ikut Pak Ngah keluar makan ice cream?" Encik Airil bertanya, Dania dan Danial serentak memandang ke arahnya.

             "Horey..Dania nak! Dania nak!" Dania bersorak sakan. Danial pun tak terkecuali tumpang gembira dengan berita itu.

             "Danial nak ikut jugak!" petah Danial berkata-kata.

             "Okey, jom..pergi siap cepat. Aishah awak tolong siapkan mereka ya. Awak pun siap sekali. Saya nak awak ikut juga. Lagi pun tugas nak jaga mereka tugas awakkan. Bukan tugas saya." aku melopong.

              "Hah?" sepatah saja ayat yang mampu aku keluarkan.

              "Kenapa? Takkan awak nak goyang kaki saja di rumah? Cepat, daripada awak menganga saja di situ, lebih baik awak cepat pergi bersiap." sekali lagi Encik Airil keluarkan arahannya dan yang pastinya arahan Encik Airil tidak harus ada perkataan tidak. Terkena juga aku kali ini. Hampeh!


           "ZAHRATUL AISHAH!"  ketika kami sedang menikmati ice cream di Mc Donald nama aku diseru seseorang. Kami terus menoleh. Aku amati wajah itu. Orangnya tinggi dan kacak.

              "Zahratul Aishahkan?" lelaki itu bertanya, dia sudah ada di tepiku. Aku belek wajahnya sekali lagi, macam aku kenal la mamat ni.

              "Danial?" aku tanya dia inginkan kepastian.

              "Kenapa Acik panggil Danial." aku pandang Danial Rizqi. Aku tergelak perlahan.

             "Tak adalah Danial, ni kawan Acik masa sekolah, nama dia Mohd Danial Haziq." aku menerangkan pada si kecil Danial. Danial mengangguk. Encik Airil dan Danial Haziq  bersalaman.

             "Kau dengan siapa ni? Sorang saja ke?" aku menoleh ke arah Danial semula dan mula bersoal jawab. Dah lama sangat aku tak jumpa dia, semakin kacak dan bergaya pula.

             "Aku datang dengan wife aku, dia pergi toilet kejap." aku tersentak. Dah kahwin rupanya dia. Ingatkan akulah bidadarinya.

             "Lahh..dah kahwin ke?" aku bertanya lagi.

              "Yupp..Alhamdulillah, dah sampai seru, kau pun keluarga dah besar nampak?" Encik Airil yang sedang minum air tersedak. Aku lagi la, macam nak sekeh kepala Danial Haziq ni. Main serkap jarang saja. Malu aku dengan Encik Airil.

             "Ehh, kau salah faham ni. Ni bos aku la, ni anak-anak saudara dia. Aku teman saja ni. Aku masih single la. Tak laku." aku saja nak berseloroh untuk menutup malu.

            "Ohh..sorry, ingatkan..." Danial Haziq tak habiskan ayatnya. Dia tergelak perlahan.

                 "Abang.." seorang perempuan cantik menghampiri meja kami. Sudah berbadan dua. Nampak sarat benar perutnya. Dia mengukirkan senyuman.

              "Wife aku." Danial Haziq perkenalkan isterinya padaku. Kami bersalaman.

             "Sayang, ni kawan abang masa sekolah, Aishah." giliran aku pula diperkenalkan, kami berbalas senyuman.

             "Join sekali, makan.." Encik Airil yang terdiam sejak tadi mula bersuara. Aku ingatkan dah tak ada suara dah. Dania dan Danial kecil pula berceloteh sesama mereka sambil menikmati ice cream masing-masing.

           "Tak apalah, kami minta diri dulu. Nak cari barang baby." sekali lagi kami bersalaman sebelum Danial Haziq dan isterinya berlalu pergi. Terlupa pula nak tanya apa nama isterinya tadi. Aku tanya hati aku, kecewakah aku? Aku tak pasti apa perasaan aku sekarang.

           "Aishah, kenapa?" Encik Airil tujukan soalan itu untuk aku. Aku hanya mengeleng. Malas pula nak beramah mesra dengan dia. Sepanjang kami keluar dari rumah tadi hinggalah dalam kereta aku hanya melayan keletah Dania dan Danial. Encik Airil dan aku langsung tak bertegur sapa.

          "Betul ke awak masih single?" aku pandang Encik Airil. Soalan apa ni? Perangkap maut ke apa?

         "Kenapa diam? Dengan lelaki tadi bukan main rancak lagi awak berbual. Dengan saya dah tak ada suara pulak?" aku mula rimas berhadapan dengan Encik Airil. Aku tak jawab soalan dia. Aku sibukkan diri aku melayan Dania dan Danial. Aku tahu, Encik Airil terasa hati dengan gelagat aku yang selalu mengabaikan pertanyaannya.

          "Okey, Fine!" Encik Airil keraskan suara. Wajahnya menunjukkan dia sedang tegang. Aku tak pedulikan apa yang dia rasa. Nak marah ke apa ke, biarlah dia. Usai makan, kami terus meronda mall tersebut.

           "Kita nak ke mana pula ni?" aku menyoal Encik Airil bila melihat dia melangkah laju meninggalkan aku dan Dania di belakang. Danial dia pimpin. Nasib baik dia ada juga rasa tanggungjawab. Lama menunggu, soalan aku tak berbalas. Aikk..kenapa dengan Encik Airil ni?

           "Encik Airil! Kita nak ke mana ni?" aku bertanya sekali lagi. Encik Airil menoleh, tapi dia tak menjawab pertanyaanku. Dia hanya pamerkan senyuman sinis. Haih! Encik Airil ni nak balas dendam ke? Akhirnya aku mengikut saja dia dari belakang sambil berbual dengan Dania.


             KAMI masuk kedai buku dan Encik Airil menuju ke rak buku kanak-kanak, aku pula menuju ke rak novel. Dania aku biarkan mengikut Encik Airil. Biarlah mereka anak beranak dengan hal sendiri, aku pun mahukan privasi sendiri juga. Aku terjah bahagian novel terlaris dan terhangat dipasaran. Novel aku yang terakhir adalah salah satu diantaranya. Bagaikan piramid di susun di dalam kedai buku itu. Aku sengaja bertanya pada pekerja kedai perihal novel yang lain bila aku tidak menemuinya, dan penjelasan pekerja kedai itu begitu memuaskan hati. Dah kehabisan stok. Satu perkembangan yang bagus juga ni. Aku ukirkan senyuman pada pekerja kedai itu dan mengucapkan terima kasih.

             "Hatiku Milikmu Selamanya..." Encik Airil hulurkan sebuah novel padaku. Itu novel aku. Aku sambut dan berpura-pura membaca sinopsisnya.

             "Saya suka dengan gaya penulis ini. Ceritanya santai dan mudah difahami." itu ulasannya mengenai penulis buku tersebut. Aku terkejut. Takkan Encik Airil baca novel-novel aku kot?

           "Encik Airil pun minat baca novel ke?" aku tanya dia untuk kepastian.

            "Ayang Mas Merah, saya peminat dia. Saya selalu chat dengan dia melalui emeil dan Facebook." sekali lagi aku terkejut. Biar betul?

             "Facebook?" aku pula yang jadi penyoal sekarang ni. Encik Airil tak segera menjawab bahkan dia terus mengambil buku di tanganku dan menuju ke kaunter dan membayar bersama beberapa buah buku kanak-kanak untuk Dania dan Danial.

             Aku hanya memandang langkah Encik Airil. Aku sendiri pun tidak bercadang untuk membeli apa-apa. Selepas melihat Encik Airil membayar semua harga buku, aku terus mendapatkan Dania dan Danial. Kami menunggu Encik Airil di luar kedai. Sambil tu mata aku liar memerhatikan sekelililng. Berada di tempat umum ni pun kadang-kadang buat aku risau juga.

             "Ayang..." aku menoleh. Alamak, Along la pula. Aku mula gelisah. Aku pandang pula Encik Airil yang sedang menuju ke arah kami.

             "Ayang, dari mana ni?" Along sudah ada di sebelahku. Aku hulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Aku menyalami Along dan mencium tangannya.

             "Ayang dari sinilah. Abang dari mana ni?" aku tanya pula Along sambil kenyitkan mata padanya. Along tersenyum. Mungkin faham dengan maksud yang ingin aku sampaikan.

            "Abang jumpa kawan. Siapa ni Yang?" Along tanya aku sambil bersalaman dengan Encik Airil.

           "Ni bos Ayang."  aku perkenalkan pula Encik Airil pada Along. Encik Airil jungkitkan keningnya padaku, mungkin bertanya pula siapa Along. Aku tiba-tiba dapat idea nakal untuk kenakan Encik Airil.

           "Bos, kenalkan ini My BFF.." maksud aku BFF tu Best Friend Forever. Lantaklah apa yang Encik Airil nak fikir pun. Kebetulan kami adik beradik memang cukup rapat macam kawan baik la juga.

            "Ohh, tadi bukan awak cakap awak masih single ke? Dan awak cakap, awak tak laku." Encik Airil ingatkan aku. Along usap kepala aku yang masih bertudung tu sambil tersenyum.
           
          "Tak adalah Encik Airil, Ayang saya ni memang macam tu. Suka sangat bergurau tak bertempat." Along kenakan aku di depan Encik Airil. Seingat aku tadi tak ada pula aku beritahu nama Encik Airil ni kat dia.

          "Mana awak tahu nama saya?"

         "Bukan tadi Ayang saya dah bagi tahu ke?" aku mengeleng. Encik Airil pandang aku semacam. Aku mula tak sedap hati. Aku pegang tangan Dania dan Danial dan mula minta diri untuk berlalu dari situ.

          "Bye abang, Ayang pergi dulu ya. See you next time." aku pun mula melangkah tanpa menoleh lagi. Biarlah Encik Airil pula yang mengejar kami. Encik Airil memintas aku di hadapan.

            "Awak ni memang misterikan?"

          ‘’Misteri apa? Misteri Nusantara?’’ aku cuba berloyar buruk. Encil Airil membulatkan matanya. Aku mengebam bibir menahan senyum.

          ‘’Macam mana awak kenal Amirul? Apa? Abang? Kekasih awak ke?’’

          "Saya kerja dengan mereka sebelum ni Encik Airil, kalau Encik Airil nak tahu saya dapat kerja di rumah Encik Airil pun Datin Maimunah yang rekomenkan. Dia cakap Puan Syarifah tu kawan baik dia." Fuhh! berjaya jugak aku cipta alasan. Harap-harap dia percayalah. Aku pun dah malas nak teruskan dengan pembohongan demi pembohongan ni. Apa-apa hal pun aku nekad. Selesai novel aku ni di tulis aku akan berhenti kerja. Tak sanggup lagi aku nak jadi seorang pembohong ni. Itu bukan aku. Aku ni seorang yang sentiasa bercakap benar.

           "Wow, dahsyatnya. Kau panggil anak majikan kau abang?" aku angguk kerana aku dah ada jawapan untuk soalannya.

           "Ya Encik Airil, kerana keluarga mereka tak pernah anggap saya macam orang gaji. Encik Amirulkan lebih tua dari saya, jadi kenalah saya hormat dia dan panggil dia abang." itu jawapan aku.

            "Berapa umur kau?"

            "Dua puluh empat..."

           "Kalau macam tu mulai hari ni kau pun kena panggil aku abang, kerana aku pun lagi tua dari kau." selepas berkata begitu Encik Airil terus memegang tangan Danial dan memimpinnya pula. Dia terus melangkah keluar dari mall. Aku pula yang mengekorinya di belakang. Dania dan Danial pun sudah nampak keletihan.

           "Acik Shah, Acik Shah kena panggil abang kat Pak Ngah, nanti bolehlah kahwin dengan Pak Ngah. Mama Dania pun panggil abang kat papa Dania." aku terkesima mendengar kata-kata Dania.

           "Tak semestinya Dania. Abang ni memang gelaran wajib untuk orang yang lebih tua dari kita." aku cuba terangkan pada Dania. Bukan isteri saja yang memanggil abang pada suaminya.

           Kami terus pulang selepas itu. Dalam kereta macam-macam Encik Airil soal aku termasuk adegan aku bersalam dengan Along tadi. Dia kata aku ni nampak saja bertudung labuh tapi tak tahu istilah halal dan haram, siap ceramah lagi. Dia kata lagi, kalau aku ni jenis gadis yang berpakaian seksi dia tak hairan sangat kalau aku tak dapat membezakan halal dan haram. 

             Aku tak layan sangat pun segala ceramah dan kutukan dia tu. Dania dan Danial pula sudah terlena sepanjang perjalanan kami pulang. Sampai di rumah Encik Airil dukung Dania masuk, sementara aku pula mendukung Danial yang lebih kecil. Patutlah tadi Danial Haziq tersalah faham dengan kami. Memang macam pasangan suami isteri lagak kami. Encik Airil pula berlagak seolah seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang. Aku mula terfikirkan tentang watak dalam novelku. Perlukah watak Encik Airil ini dimasukkan?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.