Bab 39
‘’NAH!’’ aku hulurkan benda alah
yang aku beli di farmasi tadi kepada encik Awal sebaik saja kami masuk ke dalam
kereta. Wajah dia yang macam cekodok basi tu buatkan aku macam nak tergelak
guling-guling, walaupun perasaan sakit hati aku sebab kena tinggal dengan dia
masih bersisa.
‘’Apa pula ni?’’ encik Awal
bertanya. Suaranya serius. Marah sangat agaknya sebab dah dikenakan oleh aku
tadi. Belum pengsan lagi dah nak mengamuk. Aku sampai pengsan dikenakan oleh
mereka, boleh pula.
‘’Tengoklah sendiri!’’ aku masih
ingin berteka-teki. Dia tak mengambil pun alat penguji kehamilan yang aku
hulurkan, malahan dia terus menghidupkan enjin dan menekan minyak kereta.
Aku menghela nafas panjang bila
encik Awal buat tak tahu saja dengan aku selepas itu. Beberapa kali aku
berpaling ke arahnya sambil terus menghulurkan alat penguji kehamilan. Tak mahu
tahu tahu ke apa yang positif tu? Hati aku berkata-kata.
‘’Abang tak mahu tahu ke apa yang
positif tu? Tak mahu tahu, sudah! Selepas ni jangan tanya lagi. Jangan harap
Has nak cerita kat abang!’’ aku kuatkan sikit suaraku. Terasa hati lagi, bila
aku teringin nak berkongsi berita gembira ini, dia boleh pula buat tak layan.
Bengkek betullah!
‘’Tak mahu cerita sudah!’’ encik
Awal bersuara tegas. Air mata aku mengalir lagi. Rasa macam nak meraung saja.
Aku dah mengandungkan anak dia, takkan dia tak mahu tahu? Kejamnya!
‘’Haa..itu saja yang sayang tahu.
Menangis saja tahu. Kenapa ni? Sensitif sangat. Datang bulan lagi ke?’’ aku
terus menangis mendengar dia bertanya begitu. Walaupun suaranya tak setegas dan
segarang tadi, tapi aku cukup terkesan dengan pertanyaannya.
‘’Abang sukalah Has datang bulan?’’ aku
bertanya dengan perasaan sebak. Tak tahu kenapa, dalam sakit hati tu aku masih
ingin berlawan kata dengannya.
‘’Habis, kalau tak datang bulan,
kenapa sensitif sangat ni? Sepatutnya, abang yang harus marah sayang. Tapi
disebabkan abang sayang isteri abang ni, terpaksa abang lupakan semua perasaan
marah abang tu.’’ Dia terus menghentam aku. Salah aku saja yang dia nampak.
Salah dia, ada dia ambil tahu?
‘’Ingat perempuan datang bulan saja ke yang sensitif?
Orang mengandung pun lagi sensitif daripada orang datang bulan lah!’’ aku
berkata senada dengan suara yang agak kuat.
‘’Apa sayang? Ulang sekali lagi!’’
aku terus berpaling keluar kereta dan memerhatikan permandangan di luar. Jalan
raya yang agak sibuk, membuatkan perut aku terasa mual.
‘’Sayang mengandung ke?’’ aku tak
menjawab pertanyaannya. Hanya air mata yang menjadi penganti bicara. Ah, kenapa
perasaan aku ni? Emosional tak bertempat. Teruk sangat ke aku ni? Hati aku pula
berteka-teki sendiri.
‘’Habis, abang ingat HIV positif
ke?’’ aku bersuara juga sambil terus menangis. Encik Awal terus tergelak. Aku
mengebam bibir.
‘’Kenapa tak cakap awal-awal
lagi? Bila sayang pergi buat chek-up?
Kenapa tak ajak abang pergi sekali? Tergamak betul sayangkan? Buat anak
sama-sama, pergi chek sorang-sorang.’’ Encik awal terus berceloteh dan terus
menerus ketawa. Aku sudah membuntangkan mata tanpa sedar.
ENCIK Awal meninggalkan aku di depan
bangunan apartmentnya. Berpuluh pesanan ditinggalkan untuk aku sebelum aku
menutup pintu keretanya. Betul sangkaan aku, kemarahannya terus reda bila dia
tahu aku sedang mengandung. Tak sangka pula senang nak menundukkan seorang
lelaki. Hanya dengan berita gembira ini. Encik Awal yang sedang berapi itu pun
ibarat disiram ais. Musim panas berbahang terus bertukar menjadi musim salji.
Itulah kuasa seorang isteri yang bakal bergelar ibu.
Bila kereta encik Awal sudah
hilang dari pandanganku, aku mengambil keputusan untuk balik ke rumah flat. Dah
lama aku tinggalkan rumah aku. Mungkin dah berhabuk dan bersawang agaknya. Bila
encik Awal asyik bertegas supaya aku tinggal di rumahnya terus, maka rumah sewa
aku pun terbiar lah jawabnya. Agaknya, aku kena pulangkan semula rumah ini
kepada pemiliknya. Biarlah orang lain pula yang menyewanya.
Aku masuk ke dalam rumah dan
merehatkan tubuhku di atas sofa di ruang tamu. Bibir aku sudah menguntum senyum
dan tangan aku pantas memegang perutku yang masih kempis. Aku tak tahu
bagaimana untuk mengungkapkan perasaan ini. Rasa bahagia yang luar biasa bila
berfikir bahawa di dalam rahim aku kini sudah ada satu nyawa, pengikat kasih
sayang kami.
Ibu, aku mula teringatkan ibu. Tadi
aku tak sempat nak memberitahunya tentang berita gembira ini. Aku menyelongkar
beg tanganku dan mengeluarkan telefon bimbit. Aku mula mencari nombor telefon
bimbit abah. Aku tahu, walaupun telefon abah, selalunya ibu yang menjawabnya
kerana abah takkan pernah membawa telefonnya, walau ke mana saja dia pergi,
kecuali kalau dia berjalan jauh seorang diri. Abah memang macam tu. Tak ada
privasi katanya. Baru nak berbual dengan kawan-kawan, telefon sudah berbunyi.
Baru nak membuka mulut, isteri sudah telefon suruh balik. Itulah abah, walaupun
hakikatnya, kata-kata dia hanya sekadar untuk bergurau.
‘’Ibu..Has ni.’’ Aku mula berbual
dengan ibu selepas berbalas salam.
‘’Ada apa Has? Tak sihat ka?’’ ibu
bersuara bimbang. Aku terus ketawa.
‘’Has tak sempat bagitau tadi, ibu
bakal jadi opah.’’ Aku berterus terang tanpa berselindung.
‘’Kenapa pula? Habis tu opah nak jadi
apa pula?’’ aku tergelak lagi mendengar pertanyaan ibu. Hailah ibu, buat-buat
tak faham pula.
‘’Opah bakal jadi tok nek lah kot.’’
Aku terus-terusan ketawa. Andai kata ibu ada di depan aku, pasti ibu boleh
melihat wajah aku yang sudah berbahang sekarang ni.
‘’Has…kemarin baru kenduri, takkan
hari ni dah mengandung?’’ wajah aku semakin berbahang. Malunya mendengar
pertanyaan ibu. Andai kata kak Ieta dan abang Izzhar pun tahu, pasti lagi teruk
aku diusik mereka.
‘’Ala ibu ni, TER accident, nak buat
macam mana ibu. Itulah, abah tu yang nak sangat orang nikah gantung. Abang Awal
tu pula tak menyabar. Allah pula murahkan rezeki, takkan nak tolak kot.’’ Aku
sengaja menolak semua kesalahan kepada abah dan encik Awal. Aku sudah terdengar
suara ibu ketawa di hujung talian.
‘’Kalau Has tak bekerjasama
dengan Awal, ibu ingat takkan menjadi semua tu.’’
‘’Ibu….ishhh..’’ aku sudah
bertempik kuat, tapi dalam nada manja. Wajah aku semakin berbahang diusik ibu.
‘’Bunting pelamin ka ni? Jaga diri tu
elok-elok. Jangan lasak-lasak sangat. Isteri yang mengandung ni tak boleh
sangat nak melawan cakap suami. Ingat Has, wanita mengandung, segala dosanya
yang lalu Allah akan ampunkan. Jangan pula nak menambah dosa dengan engkar
perintah suami. Banyakkan membaca Al-Quran dan melakukan solat-solat sunat.
Banyakkan bersedekah. Semua itu sebagai pelengkap amalan kita. Lebih-lebih lagi
wanita mengandung ni, mudahan anak yang dikandung akan mewarisi sikap ibunya
yang rajin melakukan amal ibadah. Buat semua amalan tu kerana Allah. Jangan nak
mengharapkan sebarang balasan.’’
Panjang lebar ibu memberi
tazkirah. Aku sudah mengangguk laju, walaupun aku tahu ibu tak dapat melihat
anggukan aku.
‘’Terima kasih ibu. Sayang ibu
tau. Ibu…janji ya, jangan bagitau dulu pada kak Ieta dan abang Izz, biar Has
bagitau sendiri. Dengan abah dan opah boleh, tapi bersyarat. Biar mereka
rahsiakan juga.’’ Aku mula membuat permintaan. Ibu sudah tergelak panjang.
‘’Kami dah dengarlah! Abang buat speak louder tadi, lepas tu baru abang
bagi telefon kat ibu!’’ aku terdengar suara abang Izzhar terpekik kuat disusuli
dengan gelak ketawa orang ramai. Arghhh..malunya! Sampai hati ibu. Aku pun terlupa, rumah kami
masih ramai lagi saudara mara yang bertandang untuk mengadakan majlis tahlil
arwah atuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.