Bab 1
HAI! Nama aku Nur Izz Zahrah Hasyilla. Aku
adalah salah seorang daripada anak kembar tiga kepada pasangan Mohamad Zahidi
dan Siti Zahrah. Dua orang lagi saudara kembar aku bernama Mohamad Izzhar
Hasyim dan Nur Izz Zahrah Hasyita.
Di antara kami bertiga aku
adalah anak yang bongsu. Abang Izzhar adalah anak yang sulung dan Kak Ieta anak
yang kedua. Walaupun kami dilahirkan kembar tapi ibu dan abah cakap, mereka
kena pastikan mana satu adik, kakak dan abang dan akhirnya akulah adik yang
bongsu. Yea.. sekurang-kurangnya aku ada abang dan kakak untuk bermanja dan
berkongsi rahsiaku.
Sebenarnya ibu dan abah pun tak
sangka mereka bakal mendapat anak kembar tiga. Sepuluh tahun mendirikan rumah
tangga mereka masih tidak mendapat zuriat. Puas berubat dan akhirnya ibu dan
abah mengambil ubat kesuburan atas saranan doktor.
Selepas melahirkan kami bertiga,
rahim ibu telah diikat kerana kesihatan ibu yang tak mengizinkan ibu untuk
melahirkan lagi. Ibu dan abah terpaksa menerima ketentuan takdir dan hanya kami
bertigalah permata ibu dan abah sekarang.
Masa berlalu begitu cepat
sekali. Hari ini umur kami sudah menjangkau ke usia 24 tahun. Abang Izzhar
sedang menuntut di Mesir dan akan pulang ke Malaysia hujung tahun ini. Kak Ieta
pula sudah bertunang dengan pemuda pilihan hatinya. Hanya aku yang masih tidak
berpunya dan masih menganggur.
Hari ini baru aku akan
mula bekerja di sebuah Syarikat di Shah alam. Syarikat milik Bumiputera. Aku
belum tahu sepenuhnya tentang syarikat ini. Yang aku tahu kerja aku hanyalah
sebagai kerani sementara. Aku masih dalam peringkat percubaan. Selama tiga
bulan aku akan menjalani ujian percubaan itu dan andai kata kerja aku memuaskan
hati, barulah aku akan diterima sebagai pekerja tetap.
‘’Has..dokumen ni
tolong photostat ya. Buat 50 salinan,
encik Amran nak tengahari nanti selepas lunch.’’
Puan Salina merangkap penolong kepada encik Amran bersuara. Aku hanya mengangguk. Ini kerja
pertama aku pada hari pertama aku bekerja. Nasib baik dulu aku pernah buat
kerja part time di pejabat dan sudah
mahir mengunakan mesin Photostat.
Aku bangun dan
melangkah ke arah kanan pejabat yang menempatkan mesin photostat. Aku mula melakukan kerja aku seperti yang disuruh.
Selepas siap 50 salinan aku menghala pula ke arah mejaku semula dan menyusun
kertas-kertas yang telah diphotostat
itu ke dalam fail. Aku berfikir seketika, apa pula yang harus aku lakukan
dengan kertas-kertas itu?
‘’Err..Erna, dokumen ni
nak dipulangkan semula ke?’’ aku bertanya kepada rakan sekerja di sebelahku.
Kami sudah diperkenalkan tadi dan namanya memang tertulis dengan nama Erna di
atas kad pekerja yang tergantung di lehernya. Dia mendongak dan berwajah
serius. Aku mengangkat fail di tanganku. Mungkin dia tak faham dengan maksudku
agaknya sebab dia sedang tekun menaip sesuatu tadi ketika aku menegurnya.
‘’Apa tu?’’ Erna menyoal aku
kembali.
‘’Dokumen yang Puan Salina
kasi tadi nak dipulangkan kepada dia semula ke?’’ aku menyoal sekali lagi. Erna
terdiam seketika dan dia bangun sambil menghulurkan tangannya untuk meminta
fail yang ada di tanganku.
‘’Sepatutnya awak yang kena
hantar sendiri ke bilik mesyuarat. Puan Sal tak bagitau apa-apa ke?’’ soal
Erna. Aku mengeleng pantas. Puan Salina hanya menyuruh aku photostat saja seingat aku tadi.
‘’Kalau macam tu, awak
pergi tanya dia sendiri.’’ Erna berkata lagi.
Tanpa banyak soal, aku
melangkahkan kakiku menuju ke bilik Puan Salina yang berada agak jauh dari meja
kami. Aku mengetuk pintu setelah sampai di depan biliknya.
‘’Nak buat apa tu?’’ aku ditegur oleh
seseorang. Matanya mencerlung tajam ke arahku. Aku cuba tersenyum untuk
menunjukkan keramahanku.
‘’Nak pulangkan semula dokumen
ni,’’ aku cuba berlagak tenang. Aku tak tahu apa jawatan dia di sini. Di atas
kad pekerjanya ada tertulis dengan nama Shasha dan aku berusaha untuk mengusha
pangkatnya di bawah nama, namun terlindung sedikit.
‘’Bagi aku. Nanti aku bagi kat
dia..’’ dia mengambil fail yang aku pegang dan mengetuk pintu bilik Puan Salina
seraya memulas tombol pintu, dia hilang selepas daun pintu bilik ditutup. Aku
hanya memandang tanpa kata dan melangkah ke arah mejaku semula.
‘’Erna..’’ aku memanggil Erna
yang masih tekun menatap skrin komputer di depannya. Dia menghentikan kerjanya
dan menoleh ke arahku.
‘’Shasha tu apa pangkat dia dalam
pejabat ni?’’ aku bertanya perlahan.
‘’Oh, setiausaha Puan Sal. Kenapa
tanya?’’ ujar Erna.
‘’Tak ada apa. Saja nak tahu.
Agaknya apa kerja saya dalam pejabat ni selain photostat dokumen?’’ aku bertanya lagi.
‘’Hmm..buat air kalau ada meeting ataupun sediakan dokumen. Taip
apa yang bos suruh atau ikutlah permintaan. Apa yang orang suruh awak kenalah
buat.’’ Erna menjelaskan sambil cuba mengorak senyum. Aku terdiam sambil
berfikir. Banyak juga ya kerja aku? Tapi, sekarang ni kerja apa pula yang aku
perlu buat?
‘’Sekarang ni, saya dah tak ada
kerja. Nak buat apa pula ya?’’ aku bertanya dan terus bertanya. Erna sudah
tersengih dan menghulurkan aku sebuah fail.
‘’Ini kerja yang seterusnya. Awak
taip semula dokumen ni dan perbetulkan kesalahan ejaan di dalam dokumen ni.
Mana yang awak tak tahu, awak tanya saja. Umur Has ni berapa ya?’’ Dalam
menyuruh aku membuat kerja sempat pula dia bertanya umurku.
‘’Err..dua puluh empat tahun.
Kenapa ya?’’ aku bertanya Erna kembali. Dia mengelengkan kepala dan kembali
menyambung kerjanya. Aku pula mula membelek dokumen yang diberikannya. Komputer
di hadapanku yang sedang menyala skrinnya aku godek. Tetikus aku pegang dan
mula mencari Microsoft word dan
membukanya.
Aku memulakan kerja seperti yang
disuruh. Patah demi patah perkataan aku taip. Sukar juga pada mulanya kerana
aku perlu membaca dengan teliti baris demi baris. Memandangkan kerja aku adalah
membetulkan kesalahan jadi aku perlu berhati-hati agar kesalahan yang sama
takkan berulang lagi. Aku terus bertekun dengan kerjaku dan setelah selesai aku
menyemak sekali lagi ejaannya. Fuhh..nasib baik semuanya selesai dengan
sempurna. Agaknya, siapalah yang sudah membuat kesilapan itu? Banyaknya
kesalahan ejaan yang dilakukannya walaupun dokumen itu di dalam Bahasa
Malaysia.
‘’Dah siap. Nak kena print ke?’’ aku bertanya Erna. Dia
memandang sekilas ke arahku dan menyambung kerjanya. Aku memerhatikan
gelagatnya dengan hati yang sedikit geram.
‘’Erna…’’ aku memanggil namanya.
Dia menoleh dan memandang aku. Wajahnya macam orang sedang bingung. Aku ingin
tergelak tapi aku tahan.
‘’Dokumen ni dah siap taip. Nak
kena print ke?’’ aku mengulangi
soalanku.
‘’Ohh..okey. Awak print
dan tolong photostat. Buat lima
puluh salinan. Selepas tu awak susun di dalam fail tu,’’ dia berkata sambil
memuncungkan bibirnya ke arah fail yang terdapat di atas mejanya.
Aku melakukan seperti yang diarahkan. Selepas
menyemak sekali lagi, aku terus print.
Aku pergi ke mesin photostat dan mula
melakukan kerjaku. Aku kembali ke meja Erna untuk memasukkan kertas yang telah
aku photostat tadi ke dalam fail.
Sempat aku mengintai skrin komputer Erna dan ingin mengambil tahu apa yang
sedang ditaipnya. Uihss..makan gaji buta rupanya minah sorang ni? Dia sedang
berbual dalam facebook rupanya. Aku
ingatkan dia tekun buat kerja.
‘’Tak baik tau makan gaji
buta.’’ Aku berkata perlahan sambil berlalu ke mejaku. Aku menjeling sekilas ke
arahnya dan dia juga sedang memandang tajam ke arahku. Aku mengukirkan senyuman
hambar. Takut pula dia melenting.
‘’Internet free, bila lagi nak ambil kesempatan. Kau buat saja kerja
kau. Kalau aku makan duit haram pun bukan aku nak share dengan kau,’’ angkuh betul bunyi ayat-ayat terakhir Erna. Aku
beristighfar perlahan. Tak nampak lagi seksa yang bakal ditanggungnya di
akhirat nanti, senanglah dia bercakap.
HARI pertama aku bekerja berakhir
dengan jayanya. Walaupun aku terasa seakan dikulikan tapi aku nak berfikiran
positif saja. Nama pun bekerja di bawah orang lain, tentulah aku perlu mengikut
telunjuk mereka. Kecualilah kalau aku ni yang jadi bos.
Aku pulang ke rumah dengan hati
yang lapang kerana berjaya menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekerja. Memang
hari pertama ini begitu menguji kesabaranku, apatah lagi bila ada sesetengah
rakan sekerja yang menyuruh aku melakukan kerja dengan suara yang sedikit
keras. Aku nak menjadi manusia yang mempunyai hati yang kuat dan kental dalam
menghadapi apa saja dugaan. Selama ini aku sudah hidup bahagia bersama
keluarga. Inilah masanya aku membuktikan kepada keluargaku bahawa aku mampu
berdikari walau tanpa mereka di sisi.
Abang Izzhar dah lama hidup
berdikari di Mesir. Kak Ieta pun sudah hidup berdikari. Mungkin sudah tiba
masanya untuk aku pula menjalani hidup sendiri. Aku pergi dan balik dari kerja
dengan kereta pemberian abah. Kereta terpakai yang abah belikan khas untuk
kegunaan aku. Almaklumlah, aku anak bongsu dan tak pernah hidup berjauhan dari
ibu dan abah. Bila aku mendapat kerja di bandar besar ini abah mengeluarkan
duit simpanannya untuk membelikan aku sebiji kereta. Antara kami tiga beradik
mungkin aku sedikit manja.
Itulah perasaan seseorang bila bergelar ibu
dan ayah. Bukan senang nak melepaskan anak-anak mereka tinggal berjauhan.
Beruntungnya aku kerana masih mempunyai ibu dan abah untuk aku bermanja serta
kakak dan abang untuk aku mencurahkan kasih sayang.
Balik ke rumah aku merehatkan
diri seketika sebelum membersihkan diri dan bersolat. Sekejap lagi akan masuk
waktu maghrib. Tinggal seorang diri di rumah flat kepunyaan sepupu aku yang aku
sewa ini terasa begitu sunyi dan asing.
Aku dah biasa tinggal di kampung
yang penuh keriuhan kerana rumah nenek cuma bersebelahan rumah kami saja dan
ramai saudara mara yang menjadi jiran kami. Ibu, abah..Has dah rindukan
kampung. Has dah mula rindukan semua orang. Aku menjerit di dalam hati disusuli
air mata yang sudah mula bergenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.