My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Isnin, 5 November 2018

Penyamar Bab 25


Bab 25     


            SELEPAS beberapa hari Encik Airil pun kembali bertugas. Rumah agam tu terus sunyi sepi tanpa suara Encik Airil yang kuat membuli itu. Sebelum Encik Airil kembali bertugas dia sempat menitipkan pesan padaku, katanya dia akan pulang semula tiga bulan kemudian, kerana dia akan ditukarkan ke luar negara untuk sementara waktu. Aku pun tak faham apa yang cuba disampaikannya. Bagi aku kalau dia tak pulang setahun pun, apa kena mengena dengan aku?

             Seperti apa yang aku rancangkan, selepas novel aku siap aku terus berhenti kerja. Ketika aku berhenti kerja tu, Encik Airil belum pulang semula ke rumahnya. Puan Syarifah memujuk aku untuk terus bekerja dengannya, tapi aku bagi alasan aku mendapat kerja di tempat lain.

            Aku tak tahu lagi rancangan aku yang seterusnya. Nak tahu tak apa kisah novel aku tu? Aku terbalikkan ceritanya. Watak Encik Airil tu aku buat sebaliknya. Dalam novel aku, heroin bercinta dengan Encik Airil kerana Encik Airil yang menyelamatkan maruahnya bila ayah Encik Airil yang miang tu ingin memperkosa dirinya. Encik Airil aku gambarkan sebagai seorang pencinta yang setia. Mereka berkahwin dan berbahagia akhirnya. Aku beri tajuk pada novel tu, Orang Gajiku Isteriku. Seminggu selepas novel Orang Gajiku Isteriku diterbitkan, aku keluar makan dengan Ucu.
           
          "Okey, hari ni kak Yang bagi tau saja Ucu, nak makan apa. Ucu baru dapat gaji ni." tawaran yang paling menarik minatku.

           "Okey, tapi kak Yang ada permintaan yang lain. Jangan panggil kak Yang tapi kena panggil sayang untuk hari ini, lebih-lebih lagi kalau ada yang menegur. Tak kisahlah yang tegur kak Yang atau pun tegur Ucu, boleh?" aku pula buat permintaan nakal tu. Dalam hatiku ada sedikit debar, entah kerana apa, tapi aku percaya aku akan jumpa seseorang yang aku kenal hari ni. Sekurang-kurangnya kalau terserempak dengan orang lagi taklah aku malu lagi nak mengaku yang aku ni masih single.

             "Ucu on saja. Kalau macam tu, nanti kak Yang pula panggil Ucu bie." aku pandang Ucu semacam saja. Bukan panggilan tu untuk suami saja ke? Singkatan untuk perkataan hubby.

              "Bie untuk singkatan baby bukan hubby!" Ucu merungkaikan kekeliruan aku.Macam tau-tau saja Ucu ni apa yang aku fikir.

             "Baiklah bie,kita couple untuk hari ni ok. Let’s go,..KFC I'm coming!"

            "KFC lagi..." Terdengar keluhan lemah Ucu. Setiap kali keluar dengan dia mesti aku suruh dia belanja aku makan KFC. Kalau dengan Along, Angah or Alang mereka yang selalu menang. Kalau nak makan kena ikut selera mereka, tapi dengan Ucu dia lebih mengikut daripada berlawan dengan aku. Sebab tu aku sayang lebih kat adik bongsu aku ni. Hihihi,..

              Aku masuk dalam mall dengan ucapan Bismillah. Entah kenapa langkah saja dalam mall hari ini hati aku berdebar sangat, lebih kurang macam cerita Shah Rukh Khan tu, Khabi Kushi Khabi Gham. Bayangkanlah sendiri!.

             "Acik Shah, Acik Shah..horey, jumpa Acik Shah." aku dan Ucu serentak menoleh ke arah suara itu.Ucu pula dengan spontannya terus memegang tangan aku bila melihat dua orang kanak-kanak, dua orang lelaki dan seorang perempuan menuju ke arah kami. Siapa yang kami jumpa? Tentulah keluarga bekas majikan aku, Encik Airil, Yusri, Yusrina, Dania dan si kecil Danial.

             "Hai my dear Danial, my sweet heart Dania. Apa khabar?. Dania dan Danial sihat?" sebak pula aku tiba-tiba dengan pertemuan ini. Aku uraikan tangan Ucu yang memegang tangan aku.Ucu ni terlebih berlakonlah pula.Aku tundukkan wajah dan cium pipi Dania. Danial pula aku dukung dan cium juga pipinya kiri dan kanan. Rindu betul dengan mereka berdua.

          "Kak Shah dari mana ni?" Yusrina menyalami tanganku. Ucu pula bersalam dengan Encik Airil dan Yusri.

           "Nak gi KFC, jom join kami?" aku pula membuat tawaran kepada mereka. Dalam hati pula lain katanya. Aku berdoa agar mereka menolak. Aku berdebar pula berdepan dengan Encik Airil sekarang. Encik Airil dari tadi merenung aku semacam saja. Bila aku keluar dengan seorang model sambilan pakaian pun aku suaikan mengikut situasi. Takkan aku nak pakai selekeh pula.

         "Boleh join ke? Tak ganggu ke?" Encik Airil pula bersuara. Dia memandang aku dan Ucu silih berganti. Aku pula pandang Ucu sambil menjungkitkan kening. Ucu angkat bahu.

         "Yeayy....Danial nak pergi KFC." belum sempat aku membalas, Danial terlebih dulu bersorak. Aku letakkan Danial di bawah kembali. Macam tak jumpa anak sepuluh tahun pula aku buat Danial tu.

          "Dania nak jugak! Jom la Pak Ngah!" Dania pula merengek pada Encik Airil.

          "Tanyalah Acik tu…" Encik Airil pandang aku, langsung tiada senyuman di wajahnya.

           "Macam mana ni bie?" aku tanya Ucu.

           "Ikut sayang la, bie tak kisah." Ucu senyum padaku sambil kenyitkan mata. Aku tertawa perlahan. Baik punya lakonan.

               Hari ini dalam sejarah pun tercipta bila aku dan Ucu makan bersama dengan keluarga bekas majikan aku ni. Dania dan Danial pula langsung tak mahu berenggang dengan aku. Aku rasa bangga pula, walau sekejap saja aku jadi baby sister mereka tapi mereka begitu menyanyangiku. Ucu dengan Yusri pula rancak bercerita pelbagai kegemaran mereka. Photografilah, modellinglah, sukan dan sebagainya. Aku dan Yusrina lebih dari bertanya khabar masing-masing. Encik Airil pula lebih banyak diam dari bercakap, tapi yang aku perasan Encik Airil asyik merenung aku yang melayan kerenah Dania dan Danial.

            "Ayang, Ucu..makan KFC tak ajak Angah pun." kami ditegur oleh satu suara. Semuanya menoleh serentak. Si kecil yang didukung Angah sudah hulurkan kedua belah tangannya padaku. Aku juga menghulurkan tangan untuk menyambut Alisya dari dukungan Angah. Aku mencium pipi Alesya kiri dan kanan. Alesya juga mencium pipiku kiri dan kanan bila aku memberi isyarat dengan mengunjuk pipiku pada Alisya. Inilah anak saudaraku yang bijak dan manja denganku.

            "Angah dengan abang Am dari mana ni?" aku tak peduli lagi dengan pandangan Encik Airil, Yusri dan Yusrina. Angah dan Alang kakak yang paling tak sporting sekali, berbeza dengan Along dan Ucu. Aku lebih ngam dengan mereka berbanding Angah dan Alang.

             "Shoping." sepatah saja ungkapan Angah sambil tangan dihulur untuk bersalam dengan Yusrina. Begitu juga dengan abang Idham. Biar di mana kita berada adat bersalam tetap diutamakan.

             "Makan." aku pelawa Angah dan abang Idham sambil tersenyum.

              "Bam,bam la Ayang, KFC saja yang dia tahu." abang Idham menyakat aku. Ucu dan Angah turut tersenyum dengan kata-kata abang Idham.

              "Biarlah, bukan Ayang nak kacau abang Am pun." aku menarik muka sekejap. Aku tahu abang Idham ni memang suka menyakat aku.

              "Ayang Mas Merah, Mohd Taufik..korang ni tak ada benda lain dah ke nak makan?" tu dia, entah dari mana Alang ni muncul. Dengan perut boyot dia tu tiba-tiba main sergah saja. Pandai pula mereka ni cari lokasi kami ni. Macam tau-tau saja aku dan Ucu ada di sini. Kebetulan atau suratankah ini?.

             "Haa, dah sampai pun. Jomlah kita." Angah pula bersuara.

          "Alang dengan Angah berjanji nak jumpa di sini ke?" Ucu menyoal pula. Itu juga soalan yang ingin aku tanya tapi Ucu pula yang terlebih pantas dari aku. Aku pandang kedua kakakku dan abang Idham mohon penjelasan.

          "Abang Nas tak datang sekali ke? Lepas pulak dia mak labu dia ni, keluar dengan perut boyot ni?" aku ajukan soalan pada Alang sambil tergelak kecil. Alang dah buntangkan matanya.

           "Alahh, Ayang tunggulah time Ayang esok. Sedap saja cakap orang boyot." Alang tarik tangan Angah untuk berlalu dari situ. Sedari tadi memang aku perasan tiga orang hamba Allah depan aku ni sedang pandang aku semacam saja, lebih-lebih lagi Encik Airil. Mungkin inilah sebabnya debaran yang aku rasa sebentar tadi. Aku bakal berjumpa dengan orang-orang yang aku kenal. Aku pandang Ucu di sebelah, dia hadiahkan senyuman nakal padaku.

           "Jomlah Angah, usah dilayanlah budak-budak glamer tak cukup satu sen ni." itulah Alang. Kalau dengan kami berdua, adik-adik dia yang tersayang ni, ada saja dia nak cari gaduh, tapi gaduh-gaduh sayang.

           "Bye Alang, jatuh bangun sendiri ya." aku usik Alang lagi. Alesya aku hulurkan pada Angah. Sebelum mereka pergi, sekali lagi kami bersalaman. Sebenarnya keluarga aku dah lama  kenal semua ahli keluarga Puan Syarifah ni. Tak perlu diperkenalkan lagi. Bila Alang dan Angah pergi aku pandang Encik Airil dan pandangan kami bersatu. Aku larikan pandanganku dengan perasaan serba salah.

         "Ayang Mas Merah? Awak tak ada apa-apa nak bagi tahu saya ke?" Encik Airil tanya aku. Serius betul nada suaranya. Aku menoleh ke arah Ucu, dia angkat bahu. Aku pandang pula wajah Yusri dan Yusrina.

         "Rina dan Yus dah tahu semuanya. Papa dan mama pun tahu, kecuali abang Airil. Dia sorang saja yang tak tahu apa-apa." Yusrina bersuara sambil tersenyum, Yusri turut mengiyakan sambil tersenyum serta menjeling Encik Airil di sebelahnya. Aku yang tercengang, tidak percaya. Ohh, tidak….

           "Apa semuanya ni?" Encik Airil menyoal pula adik-adiknya.

           "Abang tanyalah kak Shah." jawapan mudah Yusrina. Aku juga yang terperangkap dengan penipuan aku sendiri.



Penyamar Bab 10- Bab 11


Bab 10      

             MAJLIS  kenduri kesyukuran berjalan dengan lancar dan aku berjaya menjadi orang gaji yang tidak diundang dengan bantuan keluargaku. Alangkah sportingnya keluargaku. Nasib baiklah saudara mara terdekat hanya datang ke rumah pada malam hari. Memang ayah sengaja menjemput saudara mara datang bermalam di sini. Lagi pun tiada kerja berat yang harus dilakukan. Zaman sekarang ni, nak buat apa pun semua gunakan duit. Asalkan ada duit kudrat manusia pun boleh dibeli dengan senang.

            Bila sebut pasal duit, aku rasa bukan saja tenaga manusia boleh dibeli tapi segalanya boleh dibeli kecuali perasaan cinta dan sayang serta keimanan kita pada Allah. Bila sebut pasal duit, kadang-kadang buat aku terfikir, kenapa orang sanggup bergaduh kerana duit? Aku tahu duit itu penting, tapi mengapa harus jadi hamba duit hingga sanggup mengadaikan segalanya? Apa yang paling menyedihkan bila sanggup menyisihkan keluarga kerana duit sedangkan ikatan persaudaraan itu ibarat air yang dicincang takkan putus. Kecualilah kalau tak bayar bil air. Opss..nak bayar bil tentu guna duitkan?

           ‘’Ayang, nak kerja tak? Kot-kot Ayang nak buat kerja part time.’’ Along yang datang entah dari mana tiba-tiba bertanyakan soalan itu. Sejak bila pula aku suka buat kerja part time ni? Eh, selama ni memang aku selalu buat kerja part time pun. Kenapa pula minda aku bercelaru sampai begini sekali. Tiba-tiba saja jadi biul macam ni.

          ‘’Kerja apa Along?’’ aku tunjukkan juga minat aku. Manalah tahu, kerja tu nanti boleh memberi ilham untuk aku menghasilkan novel aku yang seterusnya.

          ‘’Ayang ingat tak dengan kawan Along yang minta air dengan Ayang hari tu?’’ aku mengecilkan mataku. Macam ingat saja. Ada rupa juga tu. Bolehlah tahan dan layak juga tu kalau nak dijadikan hero dalam filem.

         ‘’Macam ingat. Kenapa?’’ aku ajukan lagi soalan untuk Along yang sudah duduk di hadapan aku.

           ‘’Dia tu penerbit untuk rancangan realiti tv dan sekarang ni mereka nak buat satu show macam show Korea tu, cuma mereka ubah sikit konsep untuk menyesuaikan show tu dengan budaya di Malaysia ni.’’ Aku mendengar penjelasan Along dengan minda yang buntu. Apa kena mengenanya aku dalam hal ini? Takkan Along nak suruh aku join show tu pula?

             ‘’Habis tu, apa kena mengena Ayang dengan show tu? Takkan Along nak suruh Ayang jadi peserta untuk rancangan tu pula?’’ aku suarakan apa yang aku fikir.

          ‘’Ayang pernah tengokkan rancangan We Got Married?’’ aku mengangguk laju.

         ‘’Tengok gitu-gitu saja. Bukan semua episod dan semua pasangan Ayang tengok. Ayang pilih-pilih juga. Takkan kawan abang tu nak buat rancangan We Got Married Malaysia pula kot?’’ sambil menjawab soalan Along, aku menyoal Along kembali.

      ‘’Lebih kurang macam tu la, cuma dalam show yang kawan Along nak buat ni, dia akan pilih wanita-wanita yang terdiri dari perbagai golongan dan kerjaya. Jadi, dia minta Along tanya Ayang, kalau Ayang berminat untuk turut serta. Rancangan tu akan disiarkan setiap malam Ahad.’’aku mengangguk lagi walau sebenarnya aku belum faham dengan penjelasan Along.

        ‘’Kalau Ayang berminat, Ayang perlu buat apa? Perlu berlakon di depan kamera ke atau sekadar buat kerja di belakang tabir?’’ soalan demi soalan aku ajukan.

      ‘’Ayang berminat ke?’’ aku tersenyum mendengar pertanyaan Along.

        ‘’Ada syarat tak, kalau Ayang berminat? Kawan Along tu tahu ke Ayang ni siapa?’’ Along sudah mengeleng sambil tersenyum. Aku kerutkan dahiku.

        ‘’Apa maksud tu?’’ aku tanya Along lagi dan memandang tepat ke wajah Along.

        ‘’Takkan Ayang dah lupa? Hari tu Ayang menyamar jadi orang gajikan? Kebetulan kawan abang ni memang nak cari orang gaji untuk peserta akhir. Mereka dah ada pelajar IPT, cikgu sekolah, setiausaha dan seorang arkitek. Seorang engineer dan seorang bisness woman dah tarik diri sebab terlalu sibuk dengan urusan kerja. Sekarang ni,mereka cuma nak minta persetujuan Ayang saja lagi. Kalau Ayang setuju, pengambaran akan dijalankan hari Ahad ni. Ayang nak ke?’’ Along sudahi ayat-ayatnya sambil menatap wajah aku. Aku pula sudah menarik nafas dan melepaskan nafas dengan berat. Macam berminat tapi..

       ‘’Ayang tak nak menipu, sebab Ayang bukan orang gaji pun. Lagi pun show tu tentu ramai orang yang akan menontonnya. Macam mana kalau, ramai yang kenal Ayang? Cuba Along fikir. Haru biru jadinya, kalau ada yang bongkarkan rahsia Ayang ni.’’ Along sudah menjatuhkan kepalanya berkali-kali. Tentu dia setuju dengan apa yang aku cakapkan tu.

           ‘’Betul jugakan.’’ Along turut bersetuju dengan aku. Beberapa minit kemudian idea menjengah dalam mindaku. Bibirku pantas menguntum senyum.


             AKU memerhatikan sekelilingku. Ramai kru-kru pengambaran sedang menyiapkan peralatan masing-masing. Lokasi pengambaran yang sangat sibuk ketika ini. Peserta-peserta yang mengambil bahagian sudah sampai dan sedang disolekkan oleh jurusolek masing-masing. Aku menolak untuk disolek berlebihan kerana aku membuat permintaan untuk memakai niqab. Biar mata aku saja yang dapat dilihat oleh penonton dan aku sudah membuat permintaan tambahan. Andai mereka nak aku menjadi peserta, kurangkan babak-babak untuk aku. Cukuplah sekadar beberapa shot saja dalam satu episod.

          Semua permintaan aku akan ditunaikan dan sebelum pengambaran bermula, kami diminta untuk menandatangani kontrak. Mengikut kontrak itu, salah seorang yang terpilih pada episod akhir akan menurut apa saja kehendak penerbit. Pada awalnya, aku tidak menyetujui kontrak itu tapi kawan Along yang merupakan penerbit rancangan itu memberi jaminan aku adalah orang pertama yang akan tersingkir. Tanpa banyak soal, aku terus menurunkan tandatangan aku. Mudah-mudahan aku akan tersingkir seperti apa yang dijanjikan. Tak mahulah aku menjadi pak turut nanti.

          ‘’Aishah, tugas awak adalah sebagai pembantu rumah. Bila peserta lain membuat kerja mereka, awak akan ditinggalkan di rumah dan melakukan tugas sebagai orang gaji. Awak dah biasakan buat semua kerja-kerja rumah?’’ aku menelan liur bila tuan pengarah menyoal dan menjelaskan apa yang perlu aku lakukan. Perlahan-lahan aku menjatuhkan kepalaku dalam terpaksa.

         ‘’Dalam rumah nanti, seorang jurukamera akan mengikut ke mana saja awak pergi. Semua kerja-kerja yang awak lakukan, akan dirakam. Mana yang tak perlu, kami akan sunting semula. Awak buat kerja awak macam biasa, seolah awak hanya bersendirian.’’ Aku menjatuhkan kepala aku lagi. Jantung aku usah dicakap, macam nak gugur saja mendengar penerangan daripada tuan pengarah.

             ‘’Zafril!’’ tuan pengarah melaung nama seseorang. Aku turut menoleh ke arah yang sama dan seorang lelaki yang bergaya sudah melangkah ke arah kami. Aku dapat mengecam lelaki itu. Dialah kawan Along yang memanggil aku bibik tempoh hari.

             ‘’Ini hero kita, yang akan memilih setiap peserta. Yang mana bakal tersingkir dan yang akan bertahan hingga episod akhir. Setiap peserta harus buat yang terbaik agar tidak tersingkir dan harus pandai mengambil hati watak utama show ini. Awak fahamkan maksud saya?’’ aku sudah menjatuhkan kepalaku lagi. Lidah aku dah kelu untuk berkata-kata. Tidak semudah yang aku duga rupanya.

          ‘’Awak cantik. Kenapa nak sembunyikan kecantikan awak ni? Lagi pun, macam mana awak nak buat kerja mengemas dengan pakaian macam ni?’’ aku sudah mengecilkan mataku demi mendengar soalan penerbit rancangan ini. Dialah encik Zafril, rakan Along. Orang pakai niqab macam aku, ingat tak boleh buat kerja ke? Aku berdongkol di dalam hati.

        ‘’Kecantikan yang Allah anugerahkan ini hanya untuk tatapan suami saya sahaja. Bukan untuk tatapan umum. Lagi pun, saya akan buat kerja dengan tangan, bukan buat kerja dengan pakaian. Apa masalahnya pula, kalau saya pakai macam ni?’’ aku berkata perlahan tapi dalam nada tegas.

         ‘’Terharunya saya dengar. Siapalah yang paling bertuah tu? Kalau awak terpilih sebagai peserta akhir, sudi tak awak jadi isteri saya?’’ mata aku terbuntang tanpa sedar. Dia cakap, aku orang pertama yang akan tersingkir. Apa pula ni? Tak naklah aku jadi isteri orang-orang famous macam dia. Hiesy..minta simpang.

         ‘’Kalau macam tu, saya nak tarik diri.’’ Aku berkata sambil mula nak melangkah.

          ‘’Zahratul Aishah, atau apa sajalah nama awak. Jangan lupa ya, awak dah sign kontrak dan kontrak tu berkuatkuasa mulai sekarang.’’ Aku terkaku berdiri mendengar kata-katanya. Ah! Tipah tertipu.



Bab 11

            HARI pertama pengambaran peserta-peserta mula diperkenalkan. Aku belajar menyesuaikan diri dengan suasana baru. Sebelum ini kebanyakan penyamaran aku berada dikalangan orang-orang miskin dan sederhana, kali ini sedikit berbeza.

            Farisha, seorang peserta yang bekerja sebagai setiausaha. Dia anak seorang Tan Sri. Aku pun tak menyangka, anak seorang Tan Sri akan turut serta dalam rancangan ini. Dikalangan kami dia yang paling anggun dan bergaya. Sudah pastinya sebagai seorang setiausaha di syarikat besar, pakaiannya up to date dengan fesyen terkini.  

        Fatin Nabila seorang guru yang berkelulusan tinggi, mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Dia anak seorang Dato. Dengar kata, dia guru Bahasa Inggeris. Tak hairanlah kalau dia fasih berbahasa Inggeris. Okey, dia sedikit tegas pada pandanganku. Wajahnya manis namun payah nak senyum. Sejak bertemu dengannya, aku belum berkesempatan lagi melihat bibirnya mengukirkan senyuman. Mahal sangat agaknya senyuman dia?

        Peserta ketiga, pendiam orangnya. Masih belajar di KUIS, Kolej Universiti Islam Selangor dan dia memakai tudung labuh semestinya. Setakat ini aku dan dia hanya berbalas pandang. Aku terperasan sejak kami bertemu, dia akan menjawab setiap pertanyaan pengarah ataupun penerbit, hatta jurusolek hanya dengan beberapa patah perkataan. Sepuluh perkataan diutarakan adakalanya hanya dibalas dengan anggukan dan gelengan.

       Dan peserta terakhir, Zahratul Aishah. Hanya seorang pembantu rumah, yang datang bekerja di Kuala Lumpur untuk mencari rezeki membantu keluarga di kampung. Alamatnya, adalah rumah mak Esah dan Pak Mail tapi sebarang surat menyurat hendaklah dihantar ke rumah Dato Khuzairi.

          ‘’Aishah!’’ aku berpusing kalut bila mendengar nama aku dilaung.

          ‘’Saya rasa pakaian awak ni tak sesuailah untuk pengambaran kita. Awak tak ada baju yang okey sikit ke?’’ tuan Pengarah sudah mula mempersoalkan pakaian yang aku pakai. Bila nak menyamar sebagai orang gaji, pakaian yang aku bawa kebanyakannya baju kurung kain kapas, T.shirt lengan panjang, seluar treck dan tudung labuh dengan niqab. Aku dah buat research dah dalam internet. Kalau aku bawa baju yang glamour nanti, siapa pula yang akan percaya, aku ni hanya orang gaji?

        ‘’Saya mana mampu nak beli pakaian yang mahal-mahal tuan. Saya rasa pakaian saya ni tak bersalah pun tuan. Duit dalam dompet saya yang bermasalah, lagi pun tuan kena faham, saya ni mana mampu nak beli baju cantik-cantik. Kalau tuan tak setuju dengan apa yang saya pakai, saya boleh tarik diri sekarang juga.’’ Aku memulakan serangan psikologi sebab aku pun macam terdesak nak lari dari dunia selebriti di depan kamera ni. Pada mulanya memang sekadar nak cari pengalaman tapi, bila difikirkan balik, dunia di depan kamera memang tak sesuai dengan jiwa aku walaupun dulu, aku pernah menyamar sebagai model. Itu pun model gantian saja.

          ‘’Kami nak buat show realiti tv tau. Awak pernah tak tengok rancangan realiti tv berpakaian macam awak ni?’’ garang dan serius sekali suara tuan pengarah.

         ‘’Minta maaflah tuan. Saya tak minat rancangan realiti tv. Saya terima tawaran untuk masuk rancangan ni pun sebab encik Amirul yang cadangkan. Lagi pun, encik Amirul cakap, encik Zafril tu kawan dia. Sebab tu saya setuju.’’ Sengaja aku menjual nama Along. Wajah aku memang sengaja aku kawal supaya nampak real. Bukan aku yang bersalah.

         ‘’Zafril!’’ tuan pengarah melaung encik Zafril pula sambil mengamit dia supaya datang. Aku tayang riak wajah tak bersalah sambil membelek jari-jemari sendiri.

         ‘’Macam mana ni? Peserta ni kata, hanya pakaian ini saja yang dia ada. Nak teruskan ke?’’ sebaik saja encik Zafril sampai di depan kami, tuan pengarah terus mengajukan soalan kepadanya.

       ‘’Teruskanlah. Pakaian tak penting. Yang penting reputasi dan persembahan yang bakal ditunjukkan. Saya tak nak tengok pakaian ataupun wajah yang cantik. Saya cuma mencari seorang wanita yang mempunyai kekuatan jiwa dan iman. Hati yang bersih, jujur dan ikhlas.’’ Aku cuba mencuri dengar kata-kata encik Zafril dan mencerna kata-katanya. Apa maksud dia sebenarnya?

        ‘’Aishah, hari ini pengambaran awak di dalam rumah dulu. Esok baru awak akan buat pengambaran di luar. Peserta lain semua akan sibuk dengan urusan harian mereka dan awak akan take over semua kerja rumah. Awak faham tak?’’ aku angguk dan geleng serentak.

         ‘’Awak faham tak?’’ encik Zafril mengulang soalannya. Aku angguk dan geleng lagi.

         ‘’Awak tak bisukan? Boleh tak awak bagitau saya, apa yang awak faham dan apa yang awak tak faham?’’ aku terus disoal.

      ‘’Saya faham bahasa melayu saja encik. Bahasa inggeris saya tak faham langsung. Dulu saya sekolah takat darjah enam saja, tu pun BI saya selalu masuk gaung. Kalau encik cakap melayu, In Sha Allah saya akan faham. Tapi kalau cakap BI memang saya tak faham.’’ Nak sangat aku cakapkan? Sekali aku cakap straight to the point, non stop. Faham ke tak encik Zafril? Aku membebel di dalam hati.

        ‘’Oh, okey.’’ Dia berkata sambil kepalanya dianggukkan berkali-kali. Aku perhatikan tuan pengarah sudah tersenyum dan sesaat kemudian dia sudah tergelak.

       ‘’She funny.’’ Tuan pengarah berkata sambil terus tergelak. Ya ke? Apa yang lucu sangat tu? Sebab aku cakap senafas saja tadi, jadi aku nampak macam buat lawak ke?

        ‘’Yupp..she different and I like her.’’ Hah? Suka aku? Apakah ini? Aku sudah membebel lagi di dalam hati mendengar respon daripada encik Zafril sedangkan riak wajah aku sengaja aku bekukan sambil terus bermain dengan jari jemari. Macam orang sedang mengelabah pun ada reaksi aku ketika ini.

               PENGAMBARAN pun bermula dan aku melakukan tugas-tugas di dalam rumah dengan perasaan berdebar-debar. Nama saja orang gaji tapi kekok sangat aku buat kerja rumah. Serius, sebelum ini kebanyakan kerja-kerja rumah pembantu rumah yang lakukan. Kerja aku hanya keluar meronda sambil cari ilham dan selebihnya berada di depan skrin komputer sambil berimaginasi. Masak pun ala kadar saja. Taklah sedap sangat. Bolehlah kalau nak makan tu, asalkan tak hangit dan tak mentah.

             Pekerjaan mengemas rumah mengambil masa beberapa jam sebab tuan pengarah banyak sangat merungut. Itu tak kena, ini tak kena. Dahlah aku mengelabah nak buat kerja di depan kamera dan kru-kru pengambaran yang terlalu ramai ni.

      ‘’Saya tak percayalah, awak ni orang gaji. Hulur tangan saya nak chek. Betul ke awak ni orang gaji? Anis! Mari sini. Awak try pegang tangan dia tengok. Buat kerja slow, tak macam orang gaji langsung.’’ Aku sudah mula berpeluh mendengar omelan tuan pengarah. Wanita yang bernama Anis yang merupakan salah seorang kru pengambaran datang kepadaku dan memegang tanganku. Kantoi!

        ‘’Wow! Lembut lagi tangan dia dari tangan saya ni bos.’’ Aku sudah berwajah pucat mendengar kata-kata Anis. Bibir cuba untuk tersenyum namun ternyata begitu hambar dan dingin. Sebab aku pun sudah berpeluh dingin.

       ‘’Awak guna krim tangan jenama apa Aishah?’’ encik Zafril pula bertanya. Wajah dia memang serius sangat ketika dia bertanya begitu. Aku sudah mula cuak, takut rahsia aku terbongkar.

        ‘’Entah! Datin Maimunah yang belikan. Katanya ambil di butik cik Humaira.’’ Kali ini aku jual pula nama emak aku dan nama Alang. Kebetulan Alang memang buka butik dan dia selalu hadiahkan aku alat-alat solek dari butiknya. Sabun mandian, lulur badan dan krim badan dan tangan semua tu selalu sangat aku dapat percuma. Orang dah beri, takkan aku nak tolak pula? Itulah untungnya kalau ada adik beradik yang buka butik.

        ‘’What do you think Zafril? Are you sure she’s maid?’’ aku semakin mengelabah mendengar kata-kata tuan pengarah. Habislah aku kali ni. Inilah natijahnya kalau suka buat kerja bodoh ni. Kalau menyamar di kampung tu bolehlah aku lepas diri. Bila di depan orang-orang besar ni bukan senang tau. Tak kena gaya, semua pasal aku mereka akan siasat sampai ke akar umbi. Aku bermain dengan jari-jemari aku sambil menundukkan wajah. Tak berani aku nak panggung kepala dan melihat berpasang mata yang sedang menonton gelagat aku ketika ini. Rasa bersalah terus menderu masuk ke dalam minda dan hatiku.

            ‘’Well, actually I’m not sure. But, I trust my friend. She is my friend maid. You know Amirul Dato Khuzairi?’’ aku masih mendengar perbualan antara tuan pengarah dan encik Zafril. Ketika ini hati aku sudah berada di dalam bilik aku dan sudah menangis semahu-mahunya. Serius, aku menyesal datang ke sini dan berada dalam situasi ini. Aku macam tak sanggup lagi nak meneruskan penyamaran ini.




          ‘’I have no idea. Kita teruskanlah. Aishah, dah sampai masa untuk awak menunjukkan skil dalam masak- memasak pula. Rasanya pembantu kita dah beli barang-barang masakan dah tadi. Mana Syikin?’’ tuan pengarah berkata sambil memerhati sekeliling. Lutut aku terus mengigil. Tadi, aku ingatkan aku hanya akan ditinggalkan dengan seorang jurukamera saja untuk merakam setiap kerja-kerja aku. Ternyata telahan aku salah sama sekali. Di sini termasuk kru-kru, tuan pengarah dan encik Zafril, jumlahnya mungkin antara 15 atau menjangkau 20 orang. Maunya aku tak ketar lutut.

        ‘’Dah siap dah bos. Saya dah letak atas meja di dapur. Resepi ala-ala western food.’’ Aku sudah terbuntang mata. Western food? Gila ke apa? Aku ni baru datang dari kampung, takkan nak suruh masak western food? Tak masuk akal langsung!

        ‘’Tuan pengarah! Westen fud tu apa?’’ aku mengangkat tangan dan bertanya dengan beraninya. Buat-buat tak tahu, padahal, aku pernah belajar masak sebelum ni, cuma kurang yakin saja nak masak di depan kamera.

       ‘’Saya cuma pandai masak yang ringkas-ringkas saja. Macam kari, masak merah, ikan goreng, ikan bakar, masak lemak.’’ Aku menyambung kata-kataku dan dapat aku lihat semua kru-kru sudah melebarkan senyuman dengan kenyataan aku. Ada yang sudah ketawa sambil mencebikkan bibir.

            ‘’ Zafril, kau sajalah buat keputusan.’’ Nampaknya tuan pengarah sudah mengaku kalah. Encik Zafril pun nampak macam tertekan saja. Itulah pasal, yang beli barang masakan untuk memasak western food tu apasal? Aku bukannya chef. Kalau chef tu lainlah, semua masakan dia boleh masak.

         ‘’Tak apalah, jom kita ke dapur. Saya akan ajar awak memasak, lepas tu masa nak buat rakaman nanti, awak lakukan sendiri. Jom, kita pergi dapur. Tak payah rakam lagi atau..’’ tiba-tiba encik Zafril petik jarinya. Wajah dia nampak ceria dan berseri.

       ‘’Kita berlakon sikit. Aishah, awak dah bersedia? Mana tahu, rating tinggi nanti bila hero masuk dapur dan mengajar peserta memasak western food stail.’’ Encik Zafril berkata sambil ketawa. Aku sudah mencebik di dalam hati.

          Semua kru yang berkenaan, termasuk aku, encik Zafril dan tuan pengarah berjalan menuju ke ruang dapur. Encik Zafril sudah membelek barang-barang masakan. Aku hanya mengintai di sebelahnya dan aku dapat meneka apa masakan yang bakal kami masak.

         ‘’Hari ini saya akan ajar awak masak spagetti bolognese dan chicken chop. Boleh tak Aishah?’’ dia tanya aku dan semestinya aku sudah mengeleng laju.

            ‘’Boleh tolong terjemah dalam bahasa melayu tak encik Zafril nama masakan tu? Macam mana nak masak, kalau nama masakan pun saya tak faham?’’ respon aku terhadap pertanyaan encik Zafril membuatkan kru-kru yang ada bersama kami sudah menghamburkan tawa. Aku tayang wajah kering lagi.

        ‘’Awak ni…’’ encik Zafril mungkin sudah teramat bingung sekarang ni. Bersabarlah encik Zafril. Kalau tak sabar, bubarkan saja nama aku sebagai peserta atau singkirkan saja aku seperti yang telah dijanjikan. Aku berbisik di dalam hati sambil ketawa jahat. Di dalam hati saja tau.

Penyamar Bab 24


         Hari ketiga Puan Syarifah Amelia pergi berkursus ke Terengganu. Aku hanya menjaga Dania dan Danial bila perlu saja. Mereka lebih banyak bersama Encik Airil bila orang lain tiada di rumah. Bila ada Yusri dan Yusrina, mereka yang menguruskan Dania dan Danial. Adakalanya Puan Syarifah dan Encik Nazir sendiri yang akan melayan mereka.
                                    
         Tapi..hari ini Encik Nazir pergi ke Luar Negara kerana urusan perniagaannya. Puan Syarifah juga ke luar daerah dengan alasan menemani kawan baiknya. Yusri dan Yusrina juga ada agenda masing-masing. Manakala, Encik Airil pula ada tugasnya yang belum selesai di KLIA. Entahlah tugas apa, malas pula aku nak ambil tahu.

          ‘’Banyaknya buku cerita Dania? Siapa yang beli?’’ aku cuba mengambil hati Dania sambil berbual dengannya. Walaupun kebanyakan buku-buku ceritanya adalah buku-buku cerita dongeng yang aku langsung tak setuju dibaca oleh kanak-kanak seperti Dania.

          ‘’Mama yang beli. Nenek dan Pak Ngah pun beli juga. Banyak ke Acik? Acik boleh tolong bacakan untuk Dania tak?’’ aku tersenyum mendengar pertanyaan Dania. Aku mengangguk tanpa sedar. Salah satu buku ceritanya aku capai sambil membuka lembaran demi lembaran.

            ‘’Tapikan Dania..Acik rasa, daripada kita baca buku ni, lebih baik kita berzikir. Lagi pun, buku ni semua cerita dongenglah Dania. Acik tak suka cerita ni semua. Cerita bohong dan tak elok dibaca.’’ Aku macam terlupa siapa Dania yang sebenar. Aku bercakap seolah Dania itu seorang dewasa yang sudah matang dan bijak berfikir.

           ‘’Berzikir tu apa Acik? Betul ke cerita bohong? Mama tak pernah cakap pun. Kalau betul cerita bohong, kenapa mama beli untuk Dania?’’ petah pula Dania berkata-kata dan melumpuhkan fakta yang aku beri. Aku tersenyum lagi dan cuba mengajak minda aku bekerja untuk memberi alasannya.

          ‘’Berzikir tu memuji Allah dan Rasul. Sebagai hamba Allah dan sebagai umat, kita haruslah memuji Allah dan Rasul kita selalu. Contohnya macam ni.. La Ila Ha Illallah, Muhamadul Rasullullah. Ataupun Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku mengalunkan pujian-pujian mengikut rentak irama yang sepatutnya sambil memandang tepat ke wajah Dania dan Danial silih berganti. Mereka nampak macam berminat dan bibir kedua-duanya seakan bergerak-gerak.

           ‘’Okey..Dania dengan Danial ikut Acik. Kita berzikir bersama-sama. Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku ajak kedua-duanya mengalunkan zikir itu. Bibir kedua-duanya terkumat kamit mengikut aku melagukan zikir tersebut walaupun masih kekok.

         ‘’Pandai pun. Kita mula sekali lagi.. Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi Ghairullah, Nur Muhammad Sallallah, La Ilah Ha Illallah..’’ aku masih ingin mengajak mereka berzikir. Mudah-mudahan, aku tak perlu menjawab soalan Dania tadi. Kenapa buku cerita dia tu, cerita bohong. Macam mana aku nak jawab? Wujud ke Cinderellah, Snow White, Sleeping Beauty dan berbagai lagi tu? Bukankah semua itu hanya cerita khayalan semata-mata? Lebih baik baca buku kisah-kisah Rasullullah dan sahabat-sahabatnya yang dikhaskan untuk bacaan kanak-kanak. Rasanya, berlambak buku tu di pasaran.

            "Apa yang Dania rasa?" soal aku pada anak kecil itu.

            "Ermm..tak tahu, tapi dekat sekolah pun cikgu Dania ajar juga lagu macam ni." tulus Dania menuturkannya. Aku hanya tersenyum. Budak sekecil Dania apa yang dia tahu, tapi tak apalah sekurang-kurangnya aku dah jadi guru tak bertauliah untuk Dania dan Danial hari ini.

         ‘’Dania! Danial!’’ aku menoleh kalut mendengar suara itu. Encik Airil sudah tersenyum lebar di depan pintu bilik.

         ’’Pak Ngah!’’ serentak Dania dan Danial menjerit dan bangun serta berlari laju memeluk Encik Airil. Mereka berpelukan seolah tak berjumpa bertahun lamanya. Aku pula sudah kaget di tempat aku duduk tanpa bergerak sedikit pun. Minda aku penuh dengan persoalan. Bila Encik Airil pulang? Kenapa dia datang dan munculkan diri di bilik ini? Dengarkah dia, apa yang aku katakan kepada Dania dan Danial tadi?

             "Siapa nak ikut Pak Ngah keluar makan ice cream?" Encik Airil bertanya, Dania dan Danial serentak memandang ke arahnya.

             "Horey..Dania nak! Dania nak!" Dania bersorak sakan. Danial pun tak terkecuali tumpang gembira dengan berita itu.

             "Danial nak ikut jugak!" petah Danial berkata-kata.

             "Okey, jom..pergi siap cepat. Aishah awak tolong siapkan mereka ya. Awak pun siap sekali. Saya nak awak ikut juga. Lagi pun tugas nak jaga mereka tugas awakkan. Bukan tugas saya." aku melopong.

              "Hah?" sepatah saja ayat yang mampu aku keluarkan.

              "Kenapa? Takkan awak nak goyang kaki saja di rumah? Cepat, daripada awak menganga saja di situ, lebih baik awak cepat pergi bersiap." sekali lagi Encik Airil keluarkan arahannya dan yang pastinya arahan Encik Airil tidak harus ada perkataan tidak. Terkena juga aku kali ini. Hampeh!


           "ZAHRATUL AISHAH!"  ketika kami sedang menikmati ice cream di Mc Donald nama aku diseru seseorang. Kami terus menoleh. Aku amati wajah itu. Orangnya tinggi dan kacak.

              "Zahratul Aishahkan?" lelaki itu bertanya, dia sudah ada di tepiku. Aku belek wajahnya sekali lagi, macam aku kenal la mamat ni.

              "Danial?" aku tanya dia inginkan kepastian.

              "Kenapa Acik panggil Danial." aku pandang Danial Rizqi. Aku tergelak perlahan.

             "Tak adalah Danial, ni kawan Acik masa sekolah, nama dia Mohd Danial Haziq." aku menerangkan pada si kecil Danial. Danial mengangguk. Encik Airil dan Danial Haziq  bersalaman.

             "Kau dengan siapa ni? Sorang saja ke?" aku menoleh ke arah Danial semula dan mula bersoal jawab. Dah lama sangat aku tak jumpa dia, semakin kacak dan bergaya pula.

             "Aku datang dengan wife aku, dia pergi toilet kejap." aku tersentak. Dah kahwin rupanya dia. Ingatkan akulah bidadarinya.

             "Lahh..dah kahwin ke?" aku bertanya lagi.

              "Yupp..Alhamdulillah, dah sampai seru, kau pun keluarga dah besar nampak?" Encik Airil yang sedang minum air tersedak. Aku lagi la, macam nak sekeh kepala Danial Haziq ni. Main serkap jarang saja. Malu aku dengan Encik Airil.

             "Ehh, kau salah faham ni. Ni bos aku la, ni anak-anak saudara dia. Aku teman saja ni. Aku masih single la. Tak laku." aku saja nak berseloroh untuk menutup malu.

            "Ohh..sorry, ingatkan..." Danial Haziq tak habiskan ayatnya. Dia tergelak perlahan.

                 "Abang.." seorang perempuan cantik menghampiri meja kami. Sudah berbadan dua. Nampak sarat benar perutnya. Dia mengukirkan senyuman.

              "Wife aku." Danial Haziq perkenalkan isterinya padaku. Kami bersalaman.

             "Sayang, ni kawan abang masa sekolah, Aishah." giliran aku pula diperkenalkan, kami berbalas senyuman.

             "Join sekali, makan.." Encik Airil yang terdiam sejak tadi mula bersuara. Aku ingatkan dah tak ada suara dah. Dania dan Danial kecil pula berceloteh sesama mereka sambil menikmati ice cream masing-masing.

           "Tak apalah, kami minta diri dulu. Nak cari barang baby." sekali lagi kami bersalaman sebelum Danial Haziq dan isterinya berlalu pergi. Terlupa pula nak tanya apa nama isterinya tadi. Aku tanya hati aku, kecewakah aku? Aku tak pasti apa perasaan aku sekarang.

           "Aishah, kenapa?" Encik Airil tujukan soalan itu untuk aku. Aku hanya mengeleng. Malas pula nak beramah mesra dengan dia. Sepanjang kami keluar dari rumah tadi hinggalah dalam kereta aku hanya melayan keletah Dania dan Danial. Encik Airil dan aku langsung tak bertegur sapa.

          "Betul ke awak masih single?" aku pandang Encik Airil. Soalan apa ni? Perangkap maut ke apa?

         "Kenapa diam? Dengan lelaki tadi bukan main rancak lagi awak berbual. Dengan saya dah tak ada suara pulak?" aku mula rimas berhadapan dengan Encik Airil. Aku tak jawab soalan dia. Aku sibukkan diri aku melayan Dania dan Danial. Aku tahu, Encik Airil terasa hati dengan gelagat aku yang selalu mengabaikan pertanyaannya.

          "Okey, Fine!" Encik Airil keraskan suara. Wajahnya menunjukkan dia sedang tegang. Aku tak pedulikan apa yang dia rasa. Nak marah ke apa ke, biarlah dia. Usai makan, kami terus meronda mall tersebut.

           "Kita nak ke mana pula ni?" aku menyoal Encik Airil bila melihat dia melangkah laju meninggalkan aku dan Dania di belakang. Danial dia pimpin. Nasib baik dia ada juga rasa tanggungjawab. Lama menunggu, soalan aku tak berbalas. Aikk..kenapa dengan Encik Airil ni?

           "Encik Airil! Kita nak ke mana ni?" aku bertanya sekali lagi. Encik Airil menoleh, tapi dia tak menjawab pertanyaanku. Dia hanya pamerkan senyuman sinis. Haih! Encik Airil ni nak balas dendam ke? Akhirnya aku mengikut saja dia dari belakang sambil berbual dengan Dania.


             KAMI masuk kedai buku dan Encik Airil menuju ke rak buku kanak-kanak, aku pula menuju ke rak novel. Dania aku biarkan mengikut Encik Airil. Biarlah mereka anak beranak dengan hal sendiri, aku pun mahukan privasi sendiri juga. Aku terjah bahagian novel terlaris dan terhangat dipasaran. Novel aku yang terakhir adalah salah satu diantaranya. Bagaikan piramid di susun di dalam kedai buku itu. Aku sengaja bertanya pada pekerja kedai perihal novel yang lain bila aku tidak menemuinya, dan penjelasan pekerja kedai itu begitu memuaskan hati. Dah kehabisan stok. Satu perkembangan yang bagus juga ni. Aku ukirkan senyuman pada pekerja kedai itu dan mengucapkan terima kasih.

             "Hatiku Milikmu Selamanya..." Encik Airil hulurkan sebuah novel padaku. Itu novel aku. Aku sambut dan berpura-pura membaca sinopsisnya.

             "Saya suka dengan gaya penulis ini. Ceritanya santai dan mudah difahami." itu ulasannya mengenai penulis buku tersebut. Aku terkejut. Takkan Encik Airil baca novel-novel aku kot?

           "Encik Airil pun minat baca novel ke?" aku tanya dia untuk kepastian.

            "Ayang Mas Merah, saya peminat dia. Saya selalu chat dengan dia melalui emeil dan Facebook." sekali lagi aku terkejut. Biar betul?

             "Facebook?" aku pula yang jadi penyoal sekarang ni. Encik Airil tak segera menjawab bahkan dia terus mengambil buku di tanganku dan menuju ke kaunter dan membayar bersama beberapa buah buku kanak-kanak untuk Dania dan Danial.

             Aku hanya memandang langkah Encik Airil. Aku sendiri pun tidak bercadang untuk membeli apa-apa. Selepas melihat Encik Airil membayar semua harga buku, aku terus mendapatkan Dania dan Danial. Kami menunggu Encik Airil di luar kedai. Sambil tu mata aku liar memerhatikan sekelililng. Berada di tempat umum ni pun kadang-kadang buat aku risau juga.

             "Ayang..." aku menoleh. Alamak, Along la pula. Aku mula gelisah. Aku pandang pula Encik Airil yang sedang menuju ke arah kami.

             "Ayang, dari mana ni?" Along sudah ada di sebelahku. Aku hulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Aku menyalami Along dan mencium tangannya.

             "Ayang dari sinilah. Abang dari mana ni?" aku tanya pula Along sambil kenyitkan mata padanya. Along tersenyum. Mungkin faham dengan maksud yang ingin aku sampaikan.

            "Abang jumpa kawan. Siapa ni Yang?" Along tanya aku sambil bersalaman dengan Encik Airil.

           "Ni bos Ayang."  aku perkenalkan pula Encik Airil pada Along. Encik Airil jungkitkan keningnya padaku, mungkin bertanya pula siapa Along. Aku tiba-tiba dapat idea nakal untuk kenakan Encik Airil.

           "Bos, kenalkan ini My BFF.." maksud aku BFF tu Best Friend Forever. Lantaklah apa yang Encik Airil nak fikir pun. Kebetulan kami adik beradik memang cukup rapat macam kawan baik la juga.

            "Ohh, tadi bukan awak cakap awak masih single ke? Dan awak cakap, awak tak laku." Encik Airil ingatkan aku. Along usap kepala aku yang masih bertudung tu sambil tersenyum.
           
          "Tak adalah Encik Airil, Ayang saya ni memang macam tu. Suka sangat bergurau tak bertempat." Along kenakan aku di depan Encik Airil. Seingat aku tadi tak ada pula aku beritahu nama Encik Airil ni kat dia.

          "Mana awak tahu nama saya?"

         "Bukan tadi Ayang saya dah bagi tahu ke?" aku mengeleng. Encik Airil pandang aku semacam. Aku mula tak sedap hati. Aku pegang tangan Dania dan Danial dan mula minta diri untuk berlalu dari situ.

          "Bye abang, Ayang pergi dulu ya. See you next time." aku pun mula melangkah tanpa menoleh lagi. Biarlah Encik Airil pula yang mengejar kami. Encik Airil memintas aku di hadapan.

            "Awak ni memang misterikan?"

          ‘’Misteri apa? Misteri Nusantara?’’ aku cuba berloyar buruk. Encil Airil membulatkan matanya. Aku mengebam bibir menahan senyum.

          ‘’Macam mana awak kenal Amirul? Apa? Abang? Kekasih awak ke?’’

          "Saya kerja dengan mereka sebelum ni Encik Airil, kalau Encik Airil nak tahu saya dapat kerja di rumah Encik Airil pun Datin Maimunah yang rekomenkan. Dia cakap Puan Syarifah tu kawan baik dia." Fuhh! berjaya jugak aku cipta alasan. Harap-harap dia percayalah. Aku pun dah malas nak teruskan dengan pembohongan demi pembohongan ni. Apa-apa hal pun aku nekad. Selesai novel aku ni di tulis aku akan berhenti kerja. Tak sanggup lagi aku nak jadi seorang pembohong ni. Itu bukan aku. Aku ni seorang yang sentiasa bercakap benar.

           "Wow, dahsyatnya. Kau panggil anak majikan kau abang?" aku angguk kerana aku dah ada jawapan untuk soalannya.

           "Ya Encik Airil, kerana keluarga mereka tak pernah anggap saya macam orang gaji. Encik Amirulkan lebih tua dari saya, jadi kenalah saya hormat dia dan panggil dia abang." itu jawapan aku.

            "Berapa umur kau?"

            "Dua puluh empat..."

           "Kalau macam tu mulai hari ni kau pun kena panggil aku abang, kerana aku pun lagi tua dari kau." selepas berkata begitu Encik Airil terus memegang tangan Danial dan memimpinnya pula. Dia terus melangkah keluar dari mall. Aku pula yang mengekorinya di belakang. Dania dan Danial pun sudah nampak keletihan.

           "Acik Shah, Acik Shah kena panggil abang kat Pak Ngah, nanti bolehlah kahwin dengan Pak Ngah. Mama Dania pun panggil abang kat papa Dania." aku terkesima mendengar kata-kata Dania.

           "Tak semestinya Dania. Abang ni memang gelaran wajib untuk orang yang lebih tua dari kita." aku cuba terangkan pada Dania. Bukan isteri saja yang memanggil abang pada suaminya.

           Kami terus pulang selepas itu. Dalam kereta macam-macam Encik Airil soal aku termasuk adegan aku bersalam dengan Along tadi. Dia kata aku ni nampak saja bertudung labuh tapi tak tahu istilah halal dan haram, siap ceramah lagi. Dia kata lagi, kalau aku ni jenis gadis yang berpakaian seksi dia tak hairan sangat kalau aku tak dapat membezakan halal dan haram. 

             Aku tak layan sangat pun segala ceramah dan kutukan dia tu. Dania dan Danial pula sudah terlena sepanjang perjalanan kami pulang. Sampai di rumah Encik Airil dukung Dania masuk, sementara aku pula mendukung Danial yang lebih kecil. Patutlah tadi Danial Haziq tersalah faham dengan kami. Memang macam pasangan suami isteri lagak kami. Encik Airil pula berlagak seolah seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang. Aku mula terfikirkan tentang watak dalam novelku. Perlukah watak Encik Airil ini dimasukkan?