My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Ahad, 6 Oktober 2024

Aku Sedar Diriku Umpama Kaca Retak Seribu Part 5

Part 27 Allah, Kau uji aku lagi. Aku hanya ada seorang saja anak kandung tapi manjanya kemain lagi. Semua orang manjakan anakku Atirah. Suamiku apatah lagi. Setiap kali aku tegur anakku atau bercerita pasal anakku padanya, dia akan meletakkan jari telunjuknya di bibir. "Satgi Atirah dengar, dia kecik hati." itulah Rahman. Sejak ada anak, isteri pun dia sisihkan? Entahlah, sejak mengandungkan Atirah lagi aku dah sentap hati dengan dia. Sebab aku dah keguguran anak sulung, ketika aku mengandungkan Atirah kami dah jarang bersama. Rahman pula selalu tidur di bawah dengan alasan panas. Aku tahu, tentu dia cuba mengawal diri kalau tidur di sisi aku setiap malam. Umur aku baru 22 tahun, Rahman pula 30 tahun. Usia lelaki 30 tahun itu tentu nafsu berahinya sedang memuncak tapi dia hanya boleh pandang aku tapi tak boleh sentuh aku sebab takut kandungan aku gugur lagi. Aku pasrah saja pada keadaan. Aku faham keadaan dia tapi bila aku tidur sendirian di atas katil dan dia tidur di bawah, di depan katil, betapa hancurnya hatiku ini. Dia panas tapi hati aku lagi panas melihat sikapnya itu. Suatu hari tu, anak abang Izam menindih perut aku yang sedang sarat ketika aku tidur di atas buaian pukat di bawah rumah mentuaku. Aku cerita pada Rahman. "Tadi Atan tindih perut saya. Saya dok tidur atas ndoi bawah rumah dia mai naik duduk atas perut." "Haih, jaga-jaga la." budak umur beberapa tahun tu tindih perut aku tanpa disangka, aku pula yang disuruh berjaga-jaga. Ingat aku boleh kawal situasi spontan macam tu? "Teringin la buah sukun pokok depan jalan tu. Esok abang pi mintak na, sebiji pun cukup la. Tengok dok bergayut atas pokok tu." Aku tukar topik, malas nak tunjuk perasaan dengan hal sekecil kuman. Aku buat permintaan pula. Memang teringin sangat buah sukun tu, dan ada niat juga untuk menguji kesanggupan Rahman. "Segan la nak pi minta. Boleh beli takpa la." Sampai aku lahirkan Atirah, Rahman tak pergi minta atau pergi ambil buah sukun tu padahal di depan rumah mentuaku saja. Yang lawaknya, ada jiran tahu aku teringin nak makan buah sukun, dia hantar sukun yang siap digoreng tepung. Emak saudara Rahman pun bawa 3 biji sukun ke rumah mentuaku. Bila mentuaku dapat tahu, dia jumpa buah sukun, dia beli lagi. Puaskah aku makan sukun? Tak! Sebenarnya, bukan sukun tu yang aku teringin sangat. Aku hanya nak Rahman buang ego dia dan ambil sukun di depan rumah tu. Itu yang aku nak. Sampai ke sudah, Rahman begitu. Aku pula suka pendam. Minta apa, kalau dapat Alhamdulillah. Tak dapat, aku pendam lagi. Setiap kali aku sentap dengan Rahman, aku pendam. Aku merajuk, aku akan diam. Mulut aku kunci serapatnya. Aku tak boleh nak luah perasaan aku walaupun sebaris ayat. Kenapa? Bukan tak pernah luah tapi Rahman selalu kata " Tu diah, macam tu pun nak sentap." aku letih meluah perasaan tapi perasaanku tak dihargai langsung. Ya, memang hal kecil bagi dia tapi tidak bagiku! Lama-lama aku pendam semua keresahan hati. Suka, diam. Tak suka pun aku diam. Bila masuk bilik air, aku menangis sepuas hati. Aku tonton drama atau filem sedih sikit saja tapi aku menangis sampai bengkak mata. Yang aku tangisi bukan drama atau filem tu yang sedih tapi hidup aku yang sangat menyedihkan. "Jangan jelian (jelir) lidah macam tu. Kawan elok-elok." aku menegur Atirah yang menjelirkan lidahnya pada anak abang Izam yang nombor enam yang tua beberapa tahun daripadanya. "Uwaaa.." Atirah melalak sekuat hati. "Awat tu? Hampa buat apa haa?" emak mentuaku pula melaung dari dapur. Aku panas hati tak semena. Tak peduli lagi dengan abang Izam dan anak ke enamnya yang ada bersama. Aku cubit Atirah sekuat hati. Rasakan! Baru tegur sikit, dah melalak. Manjanya bukan main lagi, langsung tak boleh ditegur. "Jom balik!" sambil berkata, aku pegang tangan Atirah dan bangun. Semakin kuat Atirah menangis. Paha kena ketam batu, mahunya tak semakin kuat. "Awat, gheyau pasai pa?" aku dengar emak mentuaku menyoal lagi. Aku menonong keluar dengan hati yang panas. Aku letih bila orang suka salahkan aku pada kesalahan yang belum aku lakukan. Akhirnya Atirah yang menjadi mangsa panas baranku. Lebam paha Atirah setiap kali aku cubit. Atirah ni aku ajar dia gosok gigi sejak umur dua tahun lagi, namun sikap manja dia memang keterlaluan. Aku baru pegang berus giginya, dia sudah melalak. Akhirnya, cubitan aku singgah lagi di pahanya. Ada sekali tu kami dalam perjalanan ke rumah ayahku untuk berhari raya. Kami sewa kereta orang kampung. Macam biasalah Atirah, bila aku menegur dia itu dan ini, dia akan melalak sekuat mungkin. "Hang kuti ( cubit) dia ka?" drebar kereta yang kami sewa menegur aku pula. "Dia memang manja, bukan boleh tegur dia." Rahman yang menjawab. Aku ni tahan saja perasaan ni. Malas nak buat hal dalam kereta orang, aku tahankan saja perasaanku ini. "Ingatkan Na kuti." itulah manusia, mereka bergurau tapi dengan tuduhan. Yang pendam hanyalah aku! Lapan bulan kami kahwin aku masih belum mengandung, aku dituduh kemuruk oleh orang kampung. Rahman ambil keputusan untuk berhenti kerja di kilangnya dan pulang ke kampung. Kami berdua pergi pula temuduga di kilang lain pula dan masuk dalam bahagian yang sama dan shift yang sama. Ujian untuk aku datang lagi. Kali ini aku diuji oleh perasaan cemburu bila Rahman digoda oleh perempuan tiga suku dalam line kami. Dia QC sebenarnya dan aku yakin dia pun tahu aku ni isteri Rahman. Ketika ini aku belum mengandung lagi. Belum pun setahun kahwin, masih dalam mod bulan madu. Setiap kali balik kerja, aku akan merungut pasal kelakuan perempuan gedik tu di depan Rahman. Rahman memang hati kering. Dia buat tak tahu saja dengan rungutan aku. Aku faham, perempuan tu yang kacau dan mengedik seorang diri dan Rahman tak pernah bagi respon pun. Masalahnya, perempuan gedik tu goda Rahman depan mata aku! Sebagai isteri, perlukah aku tengok saja tanpa perasaan? Adakah aku ni patung bernyawa yang dia kahwini? Aku terpaksa diam dan pendam juga. Tapi akhirnya aku berhenti kerja di kilang tu dan kemudian aku pergi temuduga di kilang lain pula. Aku gagal temuduga sebab masa buat urine test aku positif mengandung anak sulung kami. Bahagia tak terduga namun kebahagiaan kami tak lama. Empat bulan kandunganku gugur, tiga bulan lepas gugur aku mengandungkan Atirah, empat bulan Atirah di dalam rahimku, aku turun darah lagi. Alhamdulillah, aku selamat lahirkan Atirah, namun ujian yang Allah beri melalui anak ini sangat hebat untukku hadapi. Cemburu! Ya! Aku cemburu sejak Atirah dalam kandunganku lagi! Aku ibarat dimadukan dengan Atirah. Allahu Akhbar! "Berbahagialah anak-anakku, korang dapat ayah yang selalu manjakan korang, nak apa semuanya dapat..mak sebagai isteri ni hanya mampu memendam rasa. Tak apalah, asalkan korang bahagia sampai ke Jannah. Aamiin. Emak tak apa, sejak kecil lagi sudah diuji. Moga Jannah juga tempatku. Aamiin." Itu doaku, walaupun dosaku sebanyak buih di lautan, Syurga tetap jadi idaman. Ya Allah, aku dah letih menderita atas dunia, matikan aku dalam iman agar syurga tempatku di Akhirat nanti. Part 28 Sejak aku merajuk dan perang dingin ni, aku asyik makan dan tidur saja. Berkebun pun dah tak ada mod. Bila bangun aku layan Youtube. Sekarang ni aku suka tengok video orang renovate rumah. Aku dah tak mampu nak buat kerja luar dan dalam rumah. Pergi mandi pun rasa macam nak pitam. Nak buat kerja rumah lagilah letih. Rasa macam nafas pendek sangat. Kemarin aku tidur lepas Asar. Mengantuk sangat, tak dapat menahan mata walaupun aku tahu, tak elok tidur selepas Asar. Aku bangun dalam keadaan minda yang celaru. Aku mimpi ayahku yang meninggal tahun 2003 bawa emakku yang sakit tenat ke rumah kami. Emak aku meninggal tahun 1982, dan aku mimpi kedua ibu bapaku yang dah meninggal ni. Dalam mimpi, emak aku meninggal pula di rumah kami. Aku baru berkira-kira nak bagitau kakak kembar yang diserahkan pada orang lepas lahir bahawa emak ada di rumah. Salah seorang kakak kembar tu memang tak pernah tengok emak kami seumur hidupnya. Aku terbangun sebelum sempat aku mesej kakakku. Ayahku pun pernah diperkenalkan sebagai peminta sedekah bila dia bertandang ke rumah mereka. Ayahku bagi anak-anak kat orang dan akan melawat rumah keluarga angkat bila perlu. Ayah tak pernah hulur duit sebaliknya keluarga angkat kami yang hulur duit bila ayah nak balik. Patutlah keluarga angkat kakak kembarku memperkenalkan dia sebagai peminta sedekah. Kesian. Tapi, itu sikap dia pada kami anak-anak kandungnya sendiri. Tanggungjawab sebagai ayah diabaikan seratus peratus. Tugas dia sebagai ayah hanya melahirkan kami. Ayah hanya suka bela isteri agaknya? Emak kami isteri ke empat ayah. Sikap ayah panas baran, tak ada isteri yang boleh bertahan hidup dengannya. Hanya emak kami satu-satunya isterinya yang bercerai mati. Ramai orang kata, emak kami keramat hidup. Emak buat kerja, ayah tolong kutip duit dan habiskan duit. Emak meninggal selepas mengidap barah perut yang tak dirawat. Emak pernah masuk hospital tapi keluar hospital bila penyakitnya semakin tenat. Tiga bulan emak koma di rumah. Emak meninggal selepas barahnya pecah. Ada lebam kebiruan di perut emak. Aku pula bagaimana? Atas alasan apa aku meninggal nanti? Allahu'alam. Sejak akhir-akhir ni telinga aku selalu berdesing. Pernah aku dengar ustaz berceramah, itu tandanya kematian semakin menghampiri. Allahu Akhbar, aku boleh senyum bila ingat kata-kata ustaz tu. Memang mental aku dah koyak rabak ni? Aku pernah mimpi melihat daun gugur dan aku terjaga bila azan subuh berkumandang. Orang kata kalau waktu subuh bermimpi akan jadi kenyataan? Kena tulis wasiat dah ni agaknya? Kihkih..adakah ini satu gurauan atau satu ujian. Malam ini aku terjaga lagi pukul 1 pagi. Aku terlelap lepas melayan permintaan Rahman. Aku pun layan dia sebab aku nak tidur lena malam ni. Tetap terjaga selepas sejam aku terlelap. Marah-marah aku, sentap macam mana pun Rahman tetap aku utamakan. Masak nasi bukan tugas aku tapi melayani suami adalah kewajipan aku. Marah? Aku marah tapi hati aku sebenarnya mudah sejuk dan memaafkan semua orang. Mungkin sebab itu aku selalu dibuli. Aku suka pendam jadi orang ingat aku tak kisah pun. Katalah apa pun. Fitnahlah apa pun, aku tetap diam dan aku sedang menunggu masanya untuk aku diam selamanya. Allah, sungguh tak sabar aku menanti panggilanMu! Part 29 Aku bermimpi lagi. Aku letih, aku mengantuk dan aku tidur siang lagi. Sebelum aku terjaga, aku terlihat hitungan waktu yang ada angka 4. Aku keliru. Adakah Allah nak bagitau bahawa angka 4 itu adalah hari kematianku? 4 apa? 4 jam lagi, 4 hari, 4 minggu, 4 bulan atau 4 tahun. Mulanya aku andaikan 4 jam lagi. Aku bangun pukul 12 lebih. Waktu Zohor aku cuba solat seolah-olah aku akan mati lagi 3 jam walaupun aku tahu mustahil untuk kusyuk. Namun sampai Azar aku masih dalam keadaan baik. Masuk waktu Maghrib aku diuji lagi. Allahu Rabbi mengantuk sangat. Aku menguap tanpa henti. Aku tetap tunggu atas sejadah hingga waktu Isya. Sungguh, sebaik habis solat Isya aku terus cari katil dan tidur. Alhamdulillah, aku tak perlu bersengkang mata malam ni. Namun pukul 1 pagi aku terjaga lagi. Pertama sekali yang aku buat adalah ke bilik air. Sejak akhir-akhir ni selalu buang air kerap sangat. Kadang-kadang dah macam paip air bocor. Allah, letih. Ujian masuk bertalu-talu, dengan bermacam jenis penyakit, kerap kencing, payah tidur malam, tak selera makan. Semuanya lengkap mewarnai hari-hariku. Sekarang ni aku perlu menunggu 4 hari lagi. Andai kata 4 hari lagi aku masih hidup, mungkin 4 minggu lagi? Atau 4 bulan, 4 tahun? Allahu'alam. Andainya aku masih hidup selama 4 tahun lagi maknanya aku sudah dipermainkan oleh jin-jin afrit yang selalu menganggu tidurku. Ya, aku bukan sekadar dipermainkan oleh manusia. Makhluk-makhluk ghaib itu juga selalu menganggu tidur dan jagaku. Hingga satu tahap, aku bermimpi aku yang kejar hantu, bukan hantu yang kejar aku. Aku letih dan aku selalu berdoa, tak kira manusia atau makhluk halus yang selalu menganggu hidup aku atau mempermainkan perasaanku bayarlah cash. Bayar cash Ya Allah. Aku mohon Kau bayar cash pada mereka semua. Allahu Rabbi, aku dah nampak beberapa orang di antaranya dah dapat bayaran cash tu dan ada sesetengahnya aku insaf dan mohon Allah tarik balik doa aku. Aku tak doa untuk orang saja tapi juga untuk diriku andai aku buat salah. Allah kabulkan doaku walaupun aku hanya berkata-kata di dalam hati Allah tetap bayar cash untuk aku. Allah Maha Besar, berilah kami bayaran cash atas dunia agar kami segera bertaubat dan insaf dengan semua perbuatan jahat kami yang Kau tak pernah redha. Aamiin. Kemarin aku bermesej panjang dengan Atirah, tak tahu pula jin jahat mana yang merasuk aku? Aku luahkan semua rasa sakit dan depression aku pada Atirah. Namun aku takut nak membuka mesej balasan daripada Atirah, takut sangat kata-katanya akan membuatkan depression aku semakin parah. Petang baru aku buka mesej dia. Malam baru aku balas. Atirah : Hanya mampu baca, tak layak nak kata apa-apa, tunggulah Irah balik cuti penggal ni. Lepas budak-budak ambil SPM. Me : Tak perlu. Hanya Allah saja yang boleh tolong mak waktu ni. Mak tak perlukan sokongan dan pertolongan hang. Sekadar luahan hati untuk melepaskan semua beban perasaan. Lebih kurang macam tu la aku balas mesej dia. Aku jadi takut kalau dia juga menyalahkan aku. Aku takut aku tak boleh terima kenyataan dan jiwa aku semakin parah. Aku tahu, dia dan ayahnya lebih rapat berbanding dia dan aku. Aku selalu curi baca mesej dia dan ayahnya dalam whatsApp. Jahatkan aku? Tapi, entahlah..aku memang begitu. Sifat ingin tahuku terlalu menebal. Tapi, tidak lagi. Aku dah tak ingin tahu apa-apa. Aku harap mimpiku benar dan andai aku hanya ada 4 hari lagi, aku mohon aku takkan sia-siakan waktu 4 hari ni dengan perkara yang tak berfaedah. Atirah hanya tahu 5% saja luahan perasaan aku kerana aku tak cerita semuanya. Masih banyak peristiwa pahit yang aku lupakan dan masih banyak perasaan yang harus aku pendamkan. Sekarang ni aku dah padam akaun tiktok yang aku pos luahan perasaan mental breakdown tu. Aku dah padam Telegram yang banyak menghanyutkan duniaku dengan drama Korea, drama Cina, drama Thai dan sebagainya lagi. Aku padam juga gmail sebab takut andai aku mati ada orang salah gunakan gmail aku. Facebook, Twitter, Instragram dah lama aku padam. Yang tinggal blog dan Youtube saja lagi. Aku benar-benar nak lupakan semua media sosial yang buat aku hanyut selama ni. Semoga Allah bimbing aku ke jalan lurusnya sebelum aku dipanggilNya pergi untuk selama-lamanya. Part 30 Trauma! Pernah tengok orang trauma dalam drama? Selalunya watak hero kerap trauma bila orang tersayangnya mati di depan mata seperti emak atau ayahnya. Kadang-kadang hero atau heroin trauma kerana dibuli ketika kecil, sama ada dikurung, diculik dan sebagainya. Apa simptom yang mereka alami? Sesak nafaskan? Aku pernah alami 3 kali zaman kecilku. Zaman kecilku terkenal dengan lasak dan degil. Aku pula kerap dibuli oleh Farid anak sulung kak Aini dan sepupu abang Sudin yang tinggal di sebelah rumah. Dulu aku kerap ke rumah mak ngah, kak emak aku. Dia ramai anak lelaki dan hari tu anak lelakinya yang ke empat kahwin. Sebab aku ni luar biasa lasak, aku ikut orang naik atas para tempat simpan kuih. Masa nak turun, tempat aku pegang tu lekang dan aku spontan lepaskan tangan. Alamatnya, aku tersadai atas lantai dengan keadaan sesak nafas. Macam terjadi dengan watak hero dalam drama Korea yang alergik dengan darah. Nampak darah saja, dia terus sesak nafas. Itulah yang terjadi pada aku. Mujurlah lepas mereka urut belakang aku dengan minyak angin, aku boleh bernafas semula. Kejadian seterusnya kerana bergaduh dengan Farid. Pagi tu bila turun dari rumah, aku tak ada kasut nak pakai. Aku jumpa kasut Farid dalam parit depan tangga. Aku ambil basuh dan pakai. Sedang aku seronok main buai di bawah rumah jiran sebelah, Farid datang minta kasut. "Mai balik kasut aku!" kuat dan lantang suaranya. Aku ni pun degil, ingat semudah tu aku nak bagi? Kirim salam. "Mana boleh! Aku yang kutip dalam acaq! (parit kecil). "Kasut aku! Mai la balik!" aku malas nak layan dan terus main buaian. Sekali Farid tendang betis kering aku. Sakit sangat tapi aku masih buat tak peduli. Bukkk..Farid lepaskan tumbukan di mata kiri aku. Kelam. Aku menangis dan lari naik ke rumah dengan berkaki ayam. Kerana sepasang kasut, aku ditendang dan ditumbuk oleh Farid. Sampai di pintu dapur, aku terus lembik dan nafasku tercunggap-cunggap. Aku tak dapat bernafas. Mujur ada kakakku yang baru berkahwin dan masih dalam mod bulan madu dan abang ipar ketika itu. Abang ipar aku ni anak kedua mak ngah. Sebelum ni aku pernah sesak nafas di rumah mereka. Kini terjadi lagi di depan mereka. Hal yang sama mereka lakukan adalah urut belakang aku dengan minyak angin. Kakak aku yang ini ungkit kejadian tu pada kak Aini, abang Sudin mengamuk dan pukul Farid. Kak Aini mengamuk dan melibas aku dan Farid dengan tali pinggang. Kata Farid " Macam tu pun mak gheyau. Ayah tibai, sikit pun tak sakit." Masalahnya di sini, aku ditumbuk dan diterajang oleh Farid hingga aku sesak nafas, kenapa kak Aini libas aku sekali dengan tali pinggang. Aku akui, kena libas dengan tali pinggang tak sakit sangat pun. Tapi, hati aku yang tersangat sakitnya. Macam tak ada keadilan pun. Aku sudah lama sedar diri, tinggal di sini hanya menambah deritaku kerana aku buat apa pun semuanya tak kena di mata orang. Bak kata, buat baik salah, buat jahat lagilah salah. Tak buat apa pun kena kutuk dan kena fitnah. Letihkan? Di hari yang lain pula, aku bergaduh lagi dengan Farid. Aku takut dia pukul aku kerana dia takkan pukul main-main. Aku lari dari bilik air dengan kaki basah dan naik ke rumah emak abang Sudin di sebelah rumah. Ketika itu waktu Maghrib, aku lari selajunya dan bila aku sampai di atas rumah yang bertikar getah, aku jatuh terlentang. Aku kejung lagi dan sukar bernafas. Beberapa saat aku dalam keadaan tu hinggalah kak Fauziah jumpa aku dalam keadaan aku yang tercunggap-cunggap. Tahu tak keadaan hero yang trauma? Itulah gambaran keadaan aku ketika itu. Rasa macam nak hilang nyawa. "Mak ngah, la..cik Na kena apa ni?" kak Fauziah panggil kak Aini. Macam biasa kak Aini datang dan urut belakang aku dengan minyak angin. Apa rasanya trauma? Sakit sangat! Sakit tu tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata. Dan sejarah berulang bila aku turun darah dengan banyaknya ketika keguguran. Aku kekurangan oksigen dalam darah dan aku jadi sesak nafas seperti zaman kecilku. Kali ini perawat hanya memberi aku oksigen dan darah serta drip air dimasukkan ke tubuhku. Apa kesannya pula terima darah orang? Gatal. Sangat gatal. Seminggu aku keluar wad, ruam kecil penuh di muka dan seluruh tubuhku. Seminggu baru hilang. Kini, penyakit gatal itu terus menghantui hidupku. Bila disapu ubat gatal, hilangnya sekejap saja, makan udang, sotong, ketam, daging, ikan tongkol, gatal kulit akan menyerang lagi. Itulah trauma, aku juga alahan teruk pada beberapa jenis makanan. Kulit aku juga senang melecur kalau berkebun. Gunting pokok, pegang cangkul, kulit aku akan melepuh dan kemudian akan berparut. Serik? Tak pernah pun. Aku dah magli. Hari ini melepuh, esok aku berkebun lagi. Hari ini gatal, esok ada udang, ketam dan sebagainya aku makan lagi. Degil! Jangan pernah dilarang. Biarkan, selagi berselera, selagi boleh buat kerja. Sekarang ni, makan tak selera, kerja pun tak boleh buat dah. Amekaw!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.