Bab 5
Aswal
Madri (Bos)
SEJAK hari pertama aku melihat
Izz Zahrah, aku jadi tertunggu-tunggu setiap kali waktu rehat. Macam hari ini
sengaja aku menunggu di tepi dinding untuk menanti kemunculannya dan dia datang
tepat pada masanya.
Hari ini Izz Zahrah memakai
blaus berwarna maroon dan seluar hitam. Shawl berwarna putih disematkan dengan
pin perbagai bentuk, kecil dan besar. Memang fesyen yang kena dengan trend
terkini.
Di luar sana sudah aku
sediakan sebuah meja kayu antik berserta kerusi khas untuk Izz Zahrah. Tak perlulah
dia duduk bersila lagi di atas surat khabar. Dan aku sedang menunggu untuk
melihat reaksinya hari ini. Dia nampak teruja bila melihat meja kayu antik itu.
Wajahnya cukup ceria dan aku turut tersenyum melihat gelagatnya.
Mata aku sudah tertumpu pada
mangkuk tingkat yang sudah diletakkannya di atas meja. Hari ini aku bercadang
untuk keluar dan menyertainya untuk makan tengahari. Aku dah minta setiausaha
aku menempah nasi dan lauk pauk juga air jus buah-buahan. Bila dia sudah
membuka mangkuk tingkat, aku pun perlahan-lahan membuka pintu pejabatku dan
keluar. Aku berjalan perlahan-lahan ke arahnya.
“Assalamualaikum, boleh join
sekali? Zuhaimie tak ada pula di pejabat hari. Saya tak ada kawan nak ajak
makan. Tak best pula makan sorang-sorang.” aku meletakkan makananku di atas
meja sambil memberikan alasan. Mulut Izz Zahrah sedikit ternganga sambil
memandang ke arahku.
“Encik Awal? Macam mana encik
Awal tahu saya ada di sini?” Izz Zahrah bertanya dengan wajah yang masih
bingung.
“Saya mana tahu awak ada di
sini. Zuhaimie cakap tempat ni best, jadi saya naiklah di sini. Bagus juga awak
ada sekali. Boleh juga temankan saya makan. Awak bawa apa tu? Kita tukar boleh
tak? Saya dah jemu makan makanan kedai. Teringin juga nak makan masakan dari
rumah.” aku bertanya sambil menarik mangkuk tingkatnya dan menghulurkan nasi
dan lauk paukku untuknya. Izz Zahrah tayang wajah bengang lagi. Aku tak
pedulikan dengan reaksinya. Nasi goreng yang ada di depan mata terus aku
suapkan ke mulutku.
“Makanlah cepat, takkan awak nak
tengok saja. Masa sedang berjalan Izz.” tanpa menunggu dia meluahkan kata aku
terlebih dahulu menambah rencah rasanya. Dia nampak macam serba salah namun
bekas makanan yang aku hulurkan kepadanya dibuka juga. Lega hatiku bila dia
mula menyuapkan nasi ke mulutnya. Aku pula sedang berusaha untuk menelan nasi
goreng yang pedas dan terlebih masinnya.
“Encik Awal, tak payahlah paksa
diri. Saya dah makan nasi goreng tu di rumah tadi. Tak sedap pun, lagi pun saya
tertambah garam dua kali.” Izz Zahrah berkata sambil cuba mengambil bekas
makanannya semula. Aku pula bertegas untuk terus menjamahnya walaupun
sebenarnya aku alah dengan makanan pedas.
“Izz..mulai esok awak bawa
bekal lebih ya. Nanti saya bayar untuk awak.” aku berkata perlahan dan merenung
wajah Izz Zahrah. Dia sudah mengerutkan keningnya dan memandang wajahku.
“Encik Awal ni teringin nak mati
kerana keracunan makanan ke? Saya mana pandai masak. Encik Awal tempah la di
restoran mana-mana, kalau dah rasa mampu sangat.” dia berkata sambil menarik
bekas makanannya sekali lagi. Aku pun berkeras juga dan melarikan bekas itu
serta mula menyuap lagi.
“Awak makan sajalah nasi di
depan awak tu. Kenapa nak rebut nasi saya pula?” ujarku sambil terus menyuap
walau sebenarnya aku dah tak berdaya nak menelan. Memandangkan Izz Zahrah yang
memasak aku paksakan diriku menelannya.
“Kalau sakit perut atau terkena
tekanan darah tinggi nanti, jangan saman saya sudahlah. Orang tak bagi, nak
juga..” bila dia sudah mengalah dan mula menjamah nasi yang aku beri kepadanya,
aku terus tersenyum kemenangan. Bila dia makan aku memerhatikan wajahnya.
Rasanya hati aku mula berkata sayang. Aku harap masa akan berhenti di sini dan
Izz Zahrah sentiasa ada di depanku.
“Kenapa tengok saya pula? Tadi nak
sangat nasi tu, makanlah sampai habis.” aku tersenyum kepadanya mendengar dia
berkata begitu. Tak menduga bahawa dia akan perasan aku sedang menelek
wajahnya.
“Esok awak akan datang makan ke
sini lagikan?” aku memberanikan diri untuk bertanya.
“Tak naklah. Sebelum ni tempat
ni aman saja. Tapi hari ni ada pula penganggu ketenangan. Rasanya hari ni hari
terakhir saya naik ke sini.” aku sedikit kecewa mendengar kata-katanya.
“Tapi…” dia ingin menyambung
kata-katanya. Aku menunggu dengan sabar.
“Saya tak tahu nak pergi makan
di mana. Orang dalam pejabat saya tu semuanya dah ada pasangan. Waktu rehat
semuanya tak pernah ajak saja. Kalau tak, jangan haraplah saya nak menapak ke
tingkat teratas ni. Encik Awal kerja tingkat berapa ya?” aku menjadi kelu
seketika mendengar soalannya. Kalau aku jujur dan menerangkan hal yang sebenar,
apa pula yang difikirkannya nanti.
“Err..saya ni drebar saja Izz.
Kadang-kadang jadi drebar Zuhaimie. Kadang-kadang jadi drebar CEO syarikat ni.
Kadang-kadang jadi drebar abang ipar CEO ataupun kakak CEO.” aku mengambil
keputusan untuk auta saja. Izz Zahrah sudah terangguk-angguk. Aku melepaskan
nafas kelegaan.
“Siapa CEO syarikat ni?” aku
telan liur mendengar soalannya.
“Awak tak tahu ke?” aku bertanya
dia kembali.
“Kalau dah tahu, buat apa saya
tanya.” dia menjawab sambil mengebamkan bibirnya. Aku sudah tersenyum gelihati.
“CEO syarikat ni paling
handsome tau dalam bangunan ni.” aku terpuji diri sendiri. Izz Zahrah
mengerutkan keningnya. Bekas makanannya ditutup dan dia mencapai bekas air dan
meminumnya. Aku juga berbuat perkara yang sama. Dah tak berdaya nak menelan
nasi goreng yang pedas dan masin tu.
“Handsome kalau baik tak apalah
juga tapi kalau rupa saja handsome, perangai sebijik crocodile land and sewaktu dengannya, hancoq ler..” dengan
selambanya dia berkata. Aku pula yang mengerutkan keningku.
“Crocodile land tu khas untuk Zuhaimie sorang saja. CEO tak macam
tu. Dia sedang mencari cinta sejati yang abadi. Dan rasanya dia dah jumpa
seorang, cuma perempuan tu payah sikit nak tackle.
Jual mahal sangat.” aku mematahkan kata-kata Izz Zahrah. Dia mencebik dan
menelek jam di tangannya.
“Dah nak habis waktu rehat. Saya
balik pejabat dululah encik Awal.” dia berkata sambil bangun.
“Encik Awal serius ke nak
saya bawa bekal lebih esok?” Izz Zahrah mengajukan soalan yang aku teringin
sangat nak dengar. Aku terus mengangguk laju.
“Tapi, masakan saya tak sedap.
Encik Awal bagi tahu saja apa yang encik Awal nak makan.” ujarnya lagi. Aku
sudah tersenyum lebar.
“Apa saja awak masak saya akan
makan cuma jangan pedas dan masin sangat. Pendek umur saya nanti. “ aku berkata
sambil tersenyum. Izz Zahrah turut tersenyum dan aku berharap semoga aku dapat
melihat senyuman itu lagi.
“Tak nak turun ke?” dia bersuara
lagi. Aku menjawab soalannya dengan gelengan.
“Ada hal dengan CEO. Nanti
dia cari pula. Jumpa lagi esok di sini. Jangan tak datang pula. Malam tu kenapa
awak pulang lewat? Takkan awak buat overtime?
Awak masih belum menjadi pekerja tetapkan?” aku bersuara juga agar dia tak
menaruh syak kepadaku.
“Hmm..saya turun dulu kalau
macam tu. Soalan encik Awal tu biar saya fikirkan dulu jawapannya. Okey..bye.”
dia berkata sambil tersenyum dan berlalu. Aku duduk kembali dan melihat Izz
Zahrah hingga dia hilang. Beberapa minit kemudian barulah aku masuk ke dalam
pejabat aku semula.
Di dalam pejabat aku melamun lagi.
Izz Zahrah..sejak dia hadir di sini dan melakukan pelbagai aksi pelik di
depanku, dia sudah mula membuatkan hatiku berdebar-debar dan aku seringkali
mengintai gerak lakunya dan mencari identiti dirinya. Zuhaimie yang sering
menjadi mangsa aku untuk mengumpul maklumat. Apa saja mengenai Izz Zahrah akan
aku tanya kepada Zuhaimie.
Ya, dia memang playboy tapi aku tahu kenapa Zuhaimie
jadi macam tu. Dia pernah suka dengan seorang gadis tapi cintanya kepada gadis
itu ditolak kerana gadis itu sudah menaruh hati kepada sahabat baik Zuhaimie
sendiri. Akulah sahabat baiknya itu namun aku tak menyintai gadis itu. Aku
sudah menganggap dia seperti adikku sendiri.
Perkara itu sudah lama
berlalu. Kebetulan Umairah adalah sahabat baik adikku dan kebetulan juga kami
tinggal berjiran dulu. Selepas keluarga Umairah meninggal dan terlibat dalam
kemalangan jalan raya, dia tinggal bersama kami.
Kami tiga beradik dan aku anak
kedua. Kakak aku yang sulung sudah berkahwin. Namanya Nur Afifah Madhiah dan
abang ipar aku juga merupakan salah seorang pekerja dalam syarikat ini. Namanya
Saiful Amri. Adik bongsu aku pula masih menuntut di Luar Negara dan namanya Nur
Adlina Madihah. Lina dan Umai berkawan sejak kecil dan mereka sangat akrab.
Bila Lina bermanja dengan aku, Umai juga berbuat perkara yang sama. Apa saja
barang atau hadiah yang aku beri kepada Lina, aku akan beri kepada Umai juga.
Aku tak pernah pilih kasih antara Lina dan Umai. Kedua-duanya adalah adikku
tapi sebaliknya bagi Umairah. Tanpa aku sedar rupa-rupanya dia menyimpan
perasaan lain terhadapku.
Aku tersenyum sendiri bila mengingati
gelagat adik-adikku yang banyak kerenah itu. Mereka cuma ada aku dan kak Afifah
untuk bermanja. Mama dan papa kami juga sudah meninggal dunia ketika kami masih
kecil.
Syarikat ini dulu pak Usu yang
jaga iaitu adik papa yang bongsu. Selepas aku habis belajar pak Usu serahkan
kembali syarikat ini kepada kami. Kak Afifah tak mahu menguruskan syarikat. Dia
lebih berminat untuk membuka kedai buku. Aku pula tak ada pilihan lain selain
mengambil alih syarikat ini namun aku masih tak mahu diperkenalkan lagi. Aku
nak cuba menyesuaikan diri sebagai pekerja biasa dulu. Aku menguruskan syarikat
dalam diam dengan bersembunyi di sebalik Zuhaimie dan abang Amri.
Aku nak mengenali semua pekerja sebagai
pekerja biasa dan bukan sebagai bos besar. Aku ada misi dan prinsip aku
sendiri. Aku perlu berkawan dengan semua pekerja agar aku dihormati oleh mereka
sebagai bos yang berpotensi dan bukan kerana mereka menghormati aku kerana aku
ini adalah bos mereka. Mungkin hanya beberapa orang pekerja saja yang tahu
tentang kewujudan aku sebagai CEO syarikat ini.
Mereka terdiri daripada
orang-orang kepercayaan aku. Selain Zuhaimie dan abang Amri, setiausaha aku dan
setiausaha Zuhaimie juga tahu tentang kewujudanku. Pekerja selebihnya hanya
menganggap aku sebagai pekerja biasa saja. Adakalanya aku memperkenalkan diriku
sebagai pembantu peribadi Zuhaimie atau abang Amri.
Aku ingin melihat reaksi
pekerja-pekerja bawahanku. Bagaimana penerimaan mereka terhadap diriku.
Sebetulnya pula sekarang ni aku hidup menyewa di rumah teres yang berhampiran
pejabat.
Rumah teres murah satu tingkat yang
kecil. Hujung minggu saja aku akan pulang ke rumah besar peninggalan arwah
papa. Rumah itu sekarang menjadi milik kak Afifah. Kami akan berkumpul juga
sekali sekala di rumah itu. Aku juga teringin nak berdikari. Caraku begitu
berbeza dengan orang lain.
Kalau P. Ramlee mencari jodoh
dengan menyamar sebagai pengembara dalam filem Musang Berjanggut, aku pula
mencari teman hidup dengan menyamar sebagai pekerja yang hanya hidup tanpa
barang mewah. Dan kenderaan aku bila pergi ke pejabat hanyalah motor EX5 yang
aku beli dengan harga borong.
Inilah hakikatnya kehidupanku.
Bagi aku, nak mencari yang berkualiti haruslah berkorban segalanya. Aku sudah
lama hidup dalam kemewahan. Demi mendapatkan seorang suri dalam hidupku, aku
tak mahu wanita yang hanya memandang kemewahan.
Aku nak seorang wanita yang
biasa-biasa saja dan paling utama sanggup hidup susah dan senang bersamaku. Dan
aku sudah mendapat seorang dan sedang berusaha untuk memikatnya atas bantuan
Zuhaimie dan abang Amri. Mereka berdua memang boleh dipercayai untuk terus
menyokongku dari belakang. Izz Zahrah, inilah namanya. Akan aku pastikan dia
menjadi milikku suatu hari nanti!