My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Jumaat, 5 Ogos 2016

Penyamar Bab 13



            AKU  melangkah masuk ke dalam bangunan yang tersergam ini dengan langkah yang amat perlahan dan jiwa yang resah. Fikiran aku pula sudah mula memikirkan segala kemungkinan. Bagaimana, kalau aku jumpa Zulaikha nanti? Dia akan cam aku tak? Kalau cam, dia akan tegur ke tak? Abang Am aku tak risau sangat, mungkin abang Am dah tahu tentang situasi aku, tapi Zulaikha.

~Zue..aku ada kat tempat kerja kau ni, kalau kau jumpa aku, tolong jangan tegur ya. Aku sayang kau sangat-sangat.~

          Dalam diam, aku hantar mesej kepada Zulaikha. Mudah-mudahan Zulaikha akan baca mesej aku. Aku berharap di dalam hati.

~Kau menyamar lagi ke Shah? Kau ni...okeylah, janji kau belanja aku hujung bulan nanti, lepas tu aku nak novel free semua keluaran terbaru, amacam?~

           Aku menarik nafas lega selepas menerima balasan dari Zulaikha. Alah..kalau setakat nak belanja makan dan novel percuma tu, tak ada masalahlah. Bila-bila masa pun boleh. Aku berbisik di dalam hati.

~Okey laling, no hal. Love you..muah, muah, muah...~

             Tanpa banyak soal, aku balas mesej Zulaikha dan menyimpan telefon bimbitku. Aku turut berdoa di dalam hati, andai ada yang mengenali aku, janganlah mereka menegur aku di sini. Aku juga berdoa agar Allah bantu aku dalam menjayakan penyamaranku kali ini. Semoga Allah sentiasa merestui, apa saja yang aku lakukan.

              ‘’Akak mesej siapa tu?’’ aku tersentak mendengar suara Sumaiyah yang begitu dekat denganku. Aku pandang dia dengan wajah keliru, dia pula sudah tersenyum sambil menjungkitkan kening. Aku mengeleng pantas dan cuba mencari alasan untuk mengelak menjawab soalannya secara jujur. Ah, dalam penyamaran ni, aku memang perlu berbohong untuk mengelak penyamaran aku dari terbongkar. Polis pun menipu juga bila buat undercover, takkan aku sebagai penulis, tak boleh pula? Hati aku mula membebel entah apa-apa.

          ‘’Tak ada, tak mesej siapa-siapa pun, baca mesej saja.’’ Aku merangka ayat dalam suara yang bergetar. Agaknya, Sumaiyah akan percaya ke?

          ‘’Sue nampaklah kak Shah, apa yang kak Shah taip tadi.’’ Sumaiyah bersuara yakin. Aku melopong dan memandang ke arahnya dengan mulut separuh terbuka. Dia mengangguk laju.

           ‘’Apa yang Sue nampak?’’ aku menyoal kalut dalam suara separuh berbisik.

           ‘’Okey laling, love you, muah, muah, muah..’’ Sumaiyah menjawab sambil mengenyitkan mata. Sekali lagi aku menarik nafas lega dan pura-pura tersenyum malu. Aku urut dada perlahan-lahan. Kemudian, aku meletakkan jari telunjuk di bibir dan memegang tangan Sumaiyah dan mengajak dia untuk terus melangkah mengekori Encik Zafril dan tiga orang jurugambar yang bersama kami. Agaknya, jurugambar rakam tak, aku yang sedang bermesej dengan Zulaikha tadi? Tak semena-mena fikiran aku bekerja. Aku pandang jurugambar yang berada di sebelah aku. Kamera sedang on dan aku tak mampu nak buat apa lagi, selain berdoa agar mesej aku bersama Zulaikha tadi tak dirakam dari jarak dekat.

             KAMI tiba ke destinasi. Dengan tiga orang jurugambar mengekori, kami mendapat perhatian ramai. Semua pekerja mendongak memandang kami yang masuk ke dalam pejabat. Semua pekerja memakai pakaian yang kemas dan cantik. Sekali lagi aku pandang tubuhku sendiri dan cuba membandingkan pakaianku dengan pakaian pekerja yang ada di dalam pejabat yang besar ini. Aku tersenyum pahit di dalam hati. Terasa sebal wajahku saat ini dan ketika inilah mataku bertembung dengan wajah Zulaikha yang sedang memerhatikan kami. Aku mengecilkan tubuh dan bersembunyi di belakang Sumaiyah.

            Encik Zafril yang berada di depan sekali terus melangkah dan jurugambar yang sedang merakam terus merakam setiap aksi dan gelagat yang ada di dalam pejabat. Tiga orang jurugambar telah mengatur tugas masing-masing. Seorang merakam aksi peserta, seorang lagi merakam aksi pekerja dan jurugambar khas yang berada di depan sekali hanya fokus untuk merakam Encik Zafril yang merupakan watak utama dalam rancangan ini. Dialah hero dan dia jugalah penerbit untuk Reality Show ini.

           Dalam ramai-ramai orang di dalam pejabat ini, aku yang berpakaian pelik sekali. Dengan baju kurung kain kapas dan tudung labuh, menutup wajah dengan niqab dan memakai cermin mata hitam. Aku rasa sangat kerdil sekarang ini, tapi aku juga tiada pilihan kerana ini juga sebahagian dari rancangan aku. Aku tak berani nak memandang wajah seorang demi seorang, aku hanya menikus dan berperang dengan perasaan sendiri. Sesekali aku akan menghimpitkan tubuhku di sisi Sumaiyah yang nampak agak selamba.

           ‘’Cik Farisya, awak dah bersedia?’’ terdengar suara Encik Zafril menyoal Farisya yang sedang berada di mejanya dalam keadaan separuh bingung. Mungkin dia tak menduga kami akan datang membuat kejutan di tempat kerjanya.

           ‘’Err..bersedia apa? Ada apa ni? Kenapa tak bagitau dulu, nak datang? Kenapa datang mengejut macam ni?’’ bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Farisha kepada encik Zafril.

        ‘’Yupp..ini memang satu kejutan untuk awak. Boleh kita keluar sekarang? Saya dah call bos awak. Dia dah setuju awak bercuti separuh hari, hari ini. Boleh kita bertolak sekarang?’’ Encik Zafril bersuara lagi. Aku dapat meneka rasa tidak puas hati yang Farisha sedang tunjukkan melalui wajahnya. Mungkinkah dia rimas dengan situasi ini?

         ‘’Farisha...’’ nama Farisha dipanggil perlahan, kedengaran begitu romantik dan menyakinkan. Farisha masih kelihatan serba salah sambil memandang sekeliling. Rakan-rakan pejabatnya tiba-tiba menepuk tangan beramai-ramai. Suasana jadi riuh tanpa diduga.

           ‘’Tahniah Sha, tahniah..’’ beberapa orang rakan sekerja Farisha memberikan ucapan tahniah.

         ‘’Tahniah Cik Farisha.’’ Kedengaran ungkapan tahniah dari beberapa orang pekerja lelaki dan wanita yang bersahut-sahutan. Aku pula cuba menjeling Zulaikha yang turut berdiri menyaksikan adegan yang sedang berlaku di depan mata. Aku cari juga wajah abang Am, walaupun aku tahu, abang Am bukan dalam bahagian ini. Farisha pun, aku rasa pekerja baru dalam pejabat ini. Dulu, setiausaha Encik Akram, bos Zulaikha bernama Aryana. Aku kenal semua pekerja dalam bahagian ini, cuma aku perasan, banyak juga wajah-wajah baru yang ada.

           ‘’Boleh kita bertolak sekarang, Cik Farisha?’’ Encik Zafril ajukan soalan lagi bila melihat Farisha terus membisu. Kali ini aku lihat Farisha mengangguk dan mencapai beg tangannya dan mula melangkah keluar. Sebelum keluar encik Zafril bersalaman dengan pekerja-pekerja di dalam pejabat, begitu juga dengan aku dan Sumaiyah. Saat tanganku dan tangan Zulaikha bertaut, tangan aku digengam kejap dan sempat Zulaikha mengenyit nakal kepadaku sambil tersenyum. Aku turut tersenyum dan sempat meramas tangan Zulaikha dalam diam.

           ‘’Kita nak pergi ke sekolah Fatin pula selepas ni. Aishah, awak tolong ya, jangan buat perkara pelik tu lagi. Tanggalkan cermin mata tu. Masuk dalam pejabat berhawa dingin pun, awak pakai cermin mata hitam ke?’’ ketika kami sudah berada di dalam lift Encik Zafril bersuara lagi dengan suara yang agak tegas. Kecut juga perut aku, bila nama aku turut disebut.

            ‘’Dengar tak Aishah?’’ Encik Zafril bersuara kuat. Aku panggungkan kepala dan memandang wajahnya. Cermin mata hitam yang aku pinjamkan dari Sumaiyah, aku buang perlahan-lahan dan aku turut membetulkan tudung dan niqab yang senget selepas cermin mata ditarik.

          ‘’Dengar...’’perlahan saja aku menjawab sambil menayang wajah bersahaja. Aku tak bersalah. Aku berbisik sendiri.

           ‘’Sumaiyah, awak tak ada apa-apa nak komen?’’ kali ini Encik Zafril ajukan soalan untuk Sumaiyah pula. Macam biasa, Sumaiyah hanya mengeleng tanpa sepatah kata. Sumaiyah juga turut bekukan wajah, seolah orang yang langsung tak punya perasaan. Pandai betul dia berlakon. Kalau sesiapa yang tak kenal Sumaiyah secara dekat tentu akan bosan dengan gelagat dia seperti itu, sedangkan hakikatnya, aku pasti Sumaiyah bukan pendiam orangnya.

              ‘’Cik Farisha, saya minta maaf, sebab dah buat awak terkejut hari ini. Semua ini sebahagian dari rancangan pihak produksi. Kami akan buat kejutan untuk peserta-peserta seperti ini kalau perlu. Harap awak faham dengan tugas kami. Semua ini adalah salah satu usaha untuk menaikkan rating dan kami berharap rancangan ini akan mampu menarik minat penonton untuk menontonnya setiap episod. Malam ini, episod pertama akan ditayangkan melalui siaran tv10.

             Minggu depan akan bermula penyingkiran seorang peserta mengikut undian pihak juri dan penonton. Awak semua buatlah yang terbaik, terutama awak Aishah. Walaupun saya dah berjanji nak singkirkan awak, ini tak bermakna, awak yang akan tersingkir. Awak pun sama Sumaiyah, mulut awak tu jangan nak boh pedal ayam sangat, saya pasti, tak ada belian dalam mulut awak tu.’’ Sekali Encik Zafril berceloteh, semua nama peserta dikaitkannya. Aku menghela nafas keras, dalam masa yang sama turut berdoa. Ya Allah, aku tak nak teruskan lakonan ini.

            ‘’Saya nak tarik diri, boleh tak Encik Zafril?’’ aku memberanikan diri bertanya soalan maut itu. Encik Zafril terus memandang tajam ke arahku. Selepas pintu lift terbuka, Encik Zafril menarik lengan bajuku dan mengajak aku mengikutnya. Laju langkahnya dan aku mengikutnya dalam rasa terpaksa sambil menarik tangan aku supaya lengan baju aku yang dipegangnya terlepas.

           Seorang jurugambar nak mengikut kami, tapi Encik Zafril melarangnya. Semua orang diminta untuk menunggu kami di dalam kereta. Encik Zafril bawa aku jauh dari semua orang dan mula berhenti melangkah bila kami sudah tiba di suatu tempat yang agak tersembunyi dari pandangan orang lain..

         ‘’Awak tahu tak Aishah, walaupun saya dah berjanji untuk menyingkirkan awak, tapi awak merupakan seorang peserta yang tersenarai dalam hati saya sebagai peserta terakhir. Awak faham tak maksud saya ni?’’ soalan Encik Zafril aku jawab dengan gelengan. Aku tak faham langsung maksudnya. Dia dah berjanji nak singkirkan aku, kenapa pula harus ada ayat-ayat seperti ini? Aku menyoal pula diriku sendiri.

        ‘’Awak kata, awak akan faham kalau saya cakap melayu. Kenapa pula awak geleng? Saya bukannya cakap bahasa asing pun.’’ Encik Zafril cuba menguji aku dengan kata-katanya. Aku mendongak dan cuba bertentang mata dengannya. Hati aku sakit mendengar kata-katanya. Ah, janji melayu sungguh. Semuanya tak boleh percaya. Emak! Anak emak dah kena tipu. Huhuhu...aku terus merintih di dalam hati.

            ‘’Macam ni Encik Zafril, janji tetap janji. Encik Zafril dah berjanji, saya peserta pertama yang akan tersingkir, lagi pun, dalam empat orang peserta, saya rasa saya yang paling menyusahkan. Buat apa nak simpan peserta macam saya lagi? Cuba Encik Zafril fikir, dengan pakaian saya macam ni, rasa-rasanya..layakkah saya dikekalkan?’’ aku mencari helah menjawab setiap persoalan yang aku sendiri timbulkan. Aku tak nak teruskan lakonan ini. Jiwa aku tersiksa untuk terus menipu di depan kamera.

           ‘’Saya dah tahu, semua ini memang rancangan awakkan? Sebab tu la awak tunjuk perangai degil awak tu? Dengar sini Aishah, walau apa pun awak lakukan, awak dah sign kontrak dengan kami. Saya akan pastikan, awak adalah peserta terakhir dan takkan tersingkir dalam pusingan pertama.’’ Tegas nada suara Encik Zafril dan aku sudah mencerlungkan mata tanpa sedar.

           ‘’Mana boleh macam tu Encik Zafril!’’ aku kuatkan suara. Encik Zafril tersenyum mengejek dan berlalu meninggalkan aku yang sedang berperang dengan perasaan sebal.

           ‘’Awak tunggu apa lagi tu Aishah? Cepat! Semua orang dah tunggu. Ingat, saya bos, bukan awak, jangan ingat awak tu tuan puteri pulak.’’ Encik Zafril melaung namaku yang masih belum bergerak selepas ditinggalkan. Macam nak lari balik ke rumah saja. Tapi, aku tak ada pilihan. Okey, kalau itu kata Encik Zafril, aku akan cabar diri aku untuk terus bertahan. Satu keazaman muncul secara tiba-tiba dalam fikiranku.

Penyamar Bab 12



         HARI kedua pengambaran, baru aku tahu ada seorang lagi peserta yang sudah menarik diri iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai arkitek. Pelajar KUIS itu pula bernama Sumaiyah. Aku cuba berbual dengan Sumaiyah hari ini kerana kami berkongsi bilik dan hari kedua ini kebetulan dia tak ada kuliah.

        ‘’Macam mana adik boleh jadi peserta dalam rancangan ni?’’ aku bertanya dia ketika tiada jurugambar yang merakamkan kami. Bila di belakang kamera, aku takkan pakai niqab lagi. Aku hanya pakai niqab bila aktiviti yang kami lakukan dirakam.

       ‘’Kawan-kawan yang cabar bila pihak produksi buat temuduga di KUIS. Kami lima bersahabat menghadiri temuduga dan tiga orang antara kami diterima tapi dua orang lagi kawan Sue tak mendapat keizinan daripada mak dan ayah mereka. Sue pun sebenarnya mama tak kasi datang, tapi Sue pujuk juga mama dan berjanji untuk berkelakuan baik. Akhirnya mama Sue izinkan dengan syarat Sue tak langgar janji.’’ Aku sudah mengangguk mendengar ceritanya. Ramah juga rupanya dia.

         ‘’Kenapa Sue tak cakap banyak ketika pengarah dan encik Zafril tu soal Sue?’’ aku tanya soalan yang aku teringin sangat nak tahu. Dia ushar dulu sekeliling kami sebelum berbisik kepadaku.

       ‘’Itulah janji Sue dengan mama. Jangan cakap banyak. Hanya cakap bila perlu saja.’’ Aku sudah mengangguk lagi sambil tersenyum. Bijak, bijak, aku berbisik di dalam hati.

              HARI  ini aku dan Sue disuruh melakukan aktiviti bersama di rumah dan di luar rumah memandangkan kami berdua saja yang tak sibuk. Dua lagi peserta sudah keluar bekerja. Semalam aktiviti kami juga dirakam tapi tak banyak sangat sebab selepas pukul sepuluh malam semua peserta sudah masuk tidur. Encik Zafril juga merupakan salah seorang peserta. Dalam rumah ini kami tinggal berlima tak termasuk jurugambar dan kru-kru yang bertugas. Lebih kurang lakonan kami ini diibaratkan seorang lelaki yang mempunyai empat isteri dan tiga orang daripada kami bakal tersingkir bila tiba masanya.

           ‘’Aishah, hari ini awak yang pilih bahan masakan tau. Sumaiyah boleh menolong apa yang perlu dan saya pula akan menemani awak berdua untuk keluar bershoping. Selepas bershoping kita akan pergi melawat Farisha dan Fatin di tempat kerja mereka. Kalau mereka ada masa terluang kita akan keluar makan tengahari bersama.’’ Aku mendengar penerangan encik Zafril sambil mengangguk tapi seketika cuma bila minda aku ternyata masih keliru dengan penerangan itu, mulut aku sudah tidak sabar untuk bertanya.

           ‘’Encik Zafril...kita akan keluar bershoping dan saya kena pilih bahan masakan. Tapi..kenapa pula nak kena keluar makan? Kan senang kalau, lepas beli barang balik rumah dan masak?’’ soalan yang aku rasakan cukup bernas sudah aku luahkan. Berjeda lama juga Encik Zafril mendengarnya.

             ‘’Beli bahan untuk masak malam nanti. Dah, jangan banyak cakap, pergi bersiap sekarang juga. Kita dah nak keluar ni, pakai yang elok sikit, saya nak bawa awak semua makan di restoran.’’ Encik Zafril mengarah aku supaya menukar pakaian. Aku pandang tubuhku sendiri. Baju kurung kain kapas dan tudung labuh yang masih tersarung ditubuhku aku pandang dengan wajah hairan. Tak sesuai ke aku pakai baju ni? Aku bertanya di dalam hati. Minda sudah mula berfikir, ada ke baju yang cantik yang aku bawa ke sini? Tak ada rasanya.

            ‘’Err..encik Zafril, baju ni tak cantik ke? Macam sesuai saja, janji tutup auratkan?’’ aku bertanya encik Zafril tanpa rasa bersalah. Dia pandang aku atas dan bawah dan kemudian dia sudah menghela nafas berat. Aku buat-buat tak perasan dengan gelagatnya.

             ‘’Tukar!’’ satu perkataan saja dengan nada yang sangat tegas dan dia sudah melangkah meninggalkan aku dan Sumaiyah yang sudah memandang di antara satu sama lain.

              ‘’Macam mana ni? Kak Shah tak bawa banyak baju la Sue. Ingatkan tak perlu keluar mana-mana, dok rumah saja. Alahai..lecehnya, nak kena keluar makan di restoran bagai. Canggunglah akak nanti..’’ aku mula mengeluh di depan Sumaiyah. Alasan sebenar aku, takut terserempak dengan kenalan yang kenal aku. Habislah penyamaran aku nanti. Walaupun aku akan pakai niqab dan tutup muka, kalau terserempak dengan teman rapat atau saudara mara, tentu mereka akan cam juga. Hati aku mula berkata-kata.

              ‘’Pinjam baju Sue la, rasanya kita sama saizkan?’’ Sumaiyah mengeluarkan pendapatnya. Aku tersenyum hambar. Nak pinjam baju dia ke? Aku tak sangguplah nak kongsi baju dengan orang lain. Apa kata, aku telefon Acu dan minta dia hantar baju aku, tapi..buatnya Acu bawa baju yang cantik sangat nanti, kena soal bertalu-talu pula. Kalau Encik Zafril syak lagi la nahas dibuatnya. Sukarnya, menyamar dikalangan orang-orang berada ni, tak sesukar penyamaran aku sebelum ni.

            ‘’Tak apalah Sue, menyusahkan Sue saja. Biarlah, kalau Encik Zafril nak marah akak pun. Dia kena faham, akak ni orang gaji saja, mana mampu nak beli baju mahal-mahal. Kalau dia tak suka, akak tak boleh buat apa.’’ Akhirnya aku bersuara pasrah, walaupun sebenarnya aku sengaja mencari alasan supaya tak turut serta.

             AKU tetap dengan keputusan nekadku. Bila kru yang bertugas memanggil aku dan Sumaiyah supaya keluar kerana kami akan berangkat sebentar lagi, aku masih lagi mengenakan baju kurung kain kapas yang aku pakai dan mengenakan tudung labuh bersama niqab. Aku pinjam cermin mata hitam milik Sumaiyah untuk menutup mataku dan keluar ke halaman dengan langkah bersahaja.

              ‘’Zahratul Aishah! Kenapa awak ni degil sangat? Saya suruh tukar pakaian tadikan? Kalau awak tak ada pakaian, awak cakap sajalah. Pihak penerbit menyediakan banyak pakaian, awak boleh pilih saja, mana yang awak suka. Jangan nak tunjuk sangat degil awak tu.’’ Encik Zafril menyergah aku sebaik saja dia melihat aku keluar dari rumah dengan pakaian tadi dengan senafas saja. Aku terkebil-kebil memandang Encik Zafril yang sudah bercekak pinggang dengan wajah garangnya.

           ‘’Laa..baju ni pun okey apa. Ni baju saya yang paling baru tau Encik Zafril.’’ Aku menjawab sergahan encik Zafril dengan suara tenang sambil tersengeh. Sekejap saja bibir aku mampu bertahan dengan sengehan tu bila Encik Zafril terus mencerlungkan matanya.

          ‘’Cepatlah masuk kereta! Malas saya nak bertekak dengan awak ni la. Kalau tak kerana Amirul, majikan awak tu, tak hinginlah saya nak ambil awak masuk rancangan ni!’’ Encik Zafril masih bersuara lantang sambil mengarah aku masuk ke dalam kereta dan dia turut berlalu masuk ke dalam kereta. Aku sempat mencebik sambil membebel di dalam hati. Eleh..aku pun tak hingin la nak masuk rancangan ni. Huh!

          SUASANA dalam kereta sunyi sepi. Encik Zafril yang memandu langsung tak bersuara, begitu juga dengan seorang kru yang naik kereta bersama kami. Aku dan Sumaiyah apatah lagi, turut mengunci bibir serapatnya. Kamera yang sedang on dan dilekatkan di dalam kereta depan dan belakang terus merakam setiap gelagat kami. Aku tak berani langsung nak membuat sebarang aksi. Sepanjang perjalanan, aku hanya menoleh keluar kereta dan minda terus melayang entah ke mana. Sesekali aku akan fikirkan tentang plot cerita untuk manuskrip novel seterusnya dan tajuk yang harus aku berikan.

           ‘’Sebelum bekerja di rumah Amirul, awak bekerja di mana Aishah?’’ aku tersentak mendengar nama aku disebut. Aku menoleh pantas ke arah depan. Encik Zafril yang bersuara tadi terus memandu tanpa menoleh ke belakang pun. Aku pula masih berkira-kira di dalam hati, apa pula auta yang harus aku ungkapkan lagi.

             ‘’Err..’’ aku kehilangan kata. Otak aku tepu untuk terus menipu. Tapi...

              ‘’Kerja kilang Encik Zafril, di Prai..’’ teringat tentang penyamaran terakhirku bersama Acu, aku menjawab tanpa ragu-ragu.

               ‘’Kilang apa?’’ Encik Zafril terus mengajukan soalan.

              ‘’Sony.’’ Sepatah saja jawapan yang aku beri, sebab aku takut Encik Zafril akan terus menyoal. Aku kerja di Sony tak lama, cuma beberapa bulan saja, itu pun hanya sebagai pekerja kontrak yang membuat barang-barang re-work.

             ‘’Sebelum tu, kerja di mana?’’ Encik Zafril bertanya lagi. Aku menarik nafas dan melepaskan perlahan. Minda terus aku perah untuk mengimbas kembali kerja-kerja separuh masa yang pernah aku lakukan.

           ‘’Banyak kerja yang saya buat. Pernah jadi model gantian sekejap, pernah kerja di restoran sebagai pelayan dan pencuci pinggan mangkuk. Pernah jadi pekerja sukarela tapi mendapat elaun dari pihak yang terbabit. Pernah..’’

            ‘’Cukup! Itu saja yang saya nak dengar, tak payah nak lebih-lebih sangat. Jawab saja bila saya tanya.’’ Belum habis aku mengarang semua kerja yang pernah aku buat, kata-kata aku dipintas oleh Encik Zafril. Aku tersenyum di dalam hati. Tadi nak tahu sangat, dah bagitau, tak nak dengar pula. Hati aku pula membebel tak puas hati.

          Dan selepas itu suasana di dalam kereta terus sunyi kembali hingga kami tiba ke destinasi. Kaki aku terus mengigil bila bangunan yang berdiri megah sudah terpacak di depan mata. Alamak..ini tempat kerja abang Am. Tempat kerja kawan baik aku juga, Siti Zulaikha, teman baik aku sejak sekolah menengah. Aku selalu datang ke sini sebelum ini, cuma sejak aku menyamar di rumah Mak Esah dan bekerja sebagai pekerja kilang, aku tak datang ke sini lagi. Kali terakhir aku jumpa Zulaikha pun beberapa bulan lepas. Sesekali kami akan berbual di dalam WhatsApp. Rupanya, Malaysia ini taklah besar mana pun.