HARI kedua pengambaran, baru aku tahu
ada seorang lagi peserta yang sudah menarik diri iaitu seorang wanita yang
bekerja sebagai arkitek. Pelajar KUIS itu pula bernama Sumaiyah. Aku cuba
berbual dengan Sumaiyah hari ini kerana kami berkongsi bilik dan hari kedua ini
kebetulan dia tak ada kuliah.
‘’Macam mana adik boleh jadi peserta
dalam rancangan ni?’’ aku bertanya dia ketika tiada jurugambar yang merakamkan
kami. Bila di belakang kamera, aku takkan pakai niqab lagi. Aku hanya pakai
niqab bila aktiviti yang kami lakukan dirakam.
‘’Kawan-kawan yang cabar bila pihak
produksi buat temuduga di KUIS. Kami lima bersahabat menghadiri temuduga dan
tiga orang antara kami diterima tapi dua orang lagi kawan Sue tak mendapat
keizinan daripada mak dan ayah mereka. Sue pun sebenarnya mama tak kasi datang,
tapi Sue pujuk juga mama dan berjanji untuk berkelakuan baik. Akhirnya mama Sue
izinkan dengan syarat Sue tak langgar janji.’’ Aku sudah mengangguk mendengar
ceritanya. Ramah juga rupanya dia.
‘’Kenapa Sue tak cakap banyak ketika pengarah dan encik Zafril tu soal
Sue?’’ aku tanya soalan yang aku teringin sangat nak tahu. Dia ushar dulu sekeliling
kami sebelum berbisik kepadaku.
‘’Itulah janji Sue dengan mama. Jangan
cakap banyak. Hanya cakap bila perlu saja.’’ Aku sudah mengangguk lagi sambil
tersenyum. Bijak, bijak, aku berbisik di dalam hati.
HARI ini aku dan Sue disuruh melakukan aktiviti
bersama di rumah dan di luar rumah memandangkan kami berdua saja yang tak
sibuk. Dua lagi peserta sudah keluar bekerja. Semalam aktiviti kami juga
dirakam tapi tak banyak sangat sebab selepas pukul sepuluh malam semua peserta
sudah masuk tidur. Encik Zafril juga merupakan salah seorang peserta. Dalam
rumah ini kami tinggal berlima tak termasuk jurugambar dan kru-kru yang
bertugas. Lebih kurang lakonan kami ini diibaratkan seorang lelaki yang
mempunyai empat isteri dan tiga orang daripada kami bakal tersingkir bila tiba
masanya.
‘’Aishah, hari ini awak yang pilih
bahan masakan tau. Sumaiyah boleh menolong apa yang perlu dan saya pula akan
menemani awak berdua untuk keluar bershoping. Selepas bershoping kita akan
pergi melawat Farisha dan Fatin di tempat kerja mereka. Kalau mereka ada masa
terluang kita akan keluar makan tengahari bersama.’’ Aku mendengar penerangan
encik Zafril sambil mengangguk tapi seketika cuma bila minda aku ternyata masih
keliru dengan penerangan itu, mulut aku sudah tidak sabar untuk bertanya.
‘’Encik Zafril...kita akan keluar
bershoping dan saya kena pilih bahan masakan. Tapi..kenapa pula nak kena keluar
makan? Kan senang kalau, lepas beli barang balik rumah dan masak?’’ soalan yang
aku rasakan cukup bernas sudah aku luahkan. Berjeda lama juga Encik Zafril
mendengarnya.
‘’Beli bahan untuk masak malam
nanti. Dah, jangan banyak cakap, pergi bersiap sekarang juga. Kita dah nak
keluar ni, pakai yang elok sikit, saya nak bawa awak semua makan di restoran.’’
Encik Zafril mengarah aku supaya menukar pakaian. Aku pandang tubuhku sendiri.
Baju kurung kain kapas dan tudung labuh yang masih tersarung ditubuhku aku
pandang dengan wajah hairan. Tak sesuai ke aku pakai baju ni? Aku bertanya di
dalam hati. Minda sudah mula berfikir, ada ke baju yang cantik yang aku bawa ke
sini? Tak ada rasanya.
‘’Err..encik Zafril, baju ni tak
cantik ke? Macam sesuai saja, janji tutup auratkan?’’ aku bertanya encik Zafril
tanpa rasa bersalah. Dia pandang aku atas dan bawah dan kemudian dia sudah
menghela nafas berat. Aku buat-buat tak perasan dengan gelagatnya.
‘’Tukar!’’ satu perkataan saja
dengan nada yang sangat tegas dan dia sudah melangkah meninggalkan aku dan
Sumaiyah yang sudah memandang di antara satu sama lain.
‘’Macam mana ni? Kak Shah tak
bawa banyak baju la Sue. Ingatkan tak perlu keluar mana-mana, dok rumah saja.
Alahai..lecehnya, nak kena keluar makan di restoran bagai. Canggunglah akak
nanti..’’ aku mula mengeluh di depan Sumaiyah. Alasan sebenar aku, takut
terserempak dengan kenalan yang kenal aku. Habislah penyamaran aku nanti.
Walaupun aku akan pakai niqab dan tutup muka, kalau terserempak dengan teman
rapat atau saudara mara, tentu mereka akan cam juga. Hati aku mula
berkata-kata.
‘’Pinjam baju Sue la, rasanya
kita sama saizkan?’’ Sumaiyah mengeluarkan pendapatnya. Aku tersenyum hambar.
Nak pinjam baju dia ke? Aku tak sangguplah nak kongsi baju dengan orang lain.
Apa kata, aku telefon Acu dan minta dia hantar baju aku, tapi..buatnya Acu bawa
baju yang cantik sangat nanti, kena soal bertalu-talu pula. Kalau Encik Zafril
syak lagi la nahas dibuatnya. Sukarnya, menyamar dikalangan orang-orang berada
ni, tak sesukar penyamaran aku sebelum ni.
‘’Tak apalah Sue, menyusahkan Sue
saja. Biarlah, kalau Encik Zafril nak marah akak pun. Dia kena faham, akak ni
orang gaji saja, mana mampu nak beli baju mahal-mahal. Kalau dia tak suka, akak
tak boleh buat apa.’’ Akhirnya aku bersuara pasrah, walaupun sebenarnya aku
sengaja mencari alasan supaya tak turut serta.
AKU tetap dengan keputusan
nekadku. Bila kru yang bertugas memanggil aku dan Sumaiyah supaya keluar kerana
kami akan berangkat sebentar lagi, aku masih lagi mengenakan baju kurung kain
kapas yang aku pakai dan mengenakan tudung labuh bersama niqab. Aku pinjam
cermin mata hitam milik Sumaiyah untuk menutup mataku dan keluar ke halaman
dengan langkah bersahaja.
‘’Zahratul Aishah! Kenapa awak ni
degil sangat? Saya suruh tukar pakaian tadikan? Kalau awak tak ada pakaian,
awak cakap sajalah. Pihak penerbit menyediakan banyak pakaian, awak boleh pilih
saja, mana yang awak suka. Jangan nak tunjuk sangat degil awak tu.’’ Encik
Zafril menyergah aku sebaik saja dia melihat aku keluar dari rumah dengan
pakaian tadi dengan senafas saja. Aku terkebil-kebil memandang Encik Zafril
yang sudah bercekak pinggang dengan wajah garangnya.
‘’Laa..baju ni pun okey apa. Ni baju
saya yang paling baru tau Encik Zafril.’’ Aku menjawab sergahan encik Zafril
dengan suara tenang sambil tersengeh. Sekejap saja bibir aku mampu bertahan
dengan sengehan tu bila Encik Zafril terus mencerlungkan matanya.
‘’Cepatlah masuk kereta! Malas saya
nak bertekak dengan awak ni la. Kalau tak kerana Amirul, majikan awak tu, tak
hinginlah saya nak ambil awak masuk rancangan ni!’’ Encik Zafril masih bersuara
lantang sambil mengarah aku masuk ke dalam kereta dan dia turut berlalu masuk
ke dalam kereta. Aku sempat mencebik sambil membebel di dalam hati. Eleh..aku
pun tak hingin la nak masuk rancangan ni. Huh!
SUASANA dalam kereta sunyi sepi.
Encik Zafril yang memandu langsung tak bersuara, begitu juga dengan seorang kru
yang naik kereta bersama kami. Aku dan Sumaiyah apatah lagi, turut mengunci
bibir serapatnya. Kamera yang sedang on dan dilekatkan di dalam kereta depan
dan belakang terus merakam setiap gelagat kami. Aku tak berani langsung nak
membuat sebarang aksi. Sepanjang perjalanan, aku hanya menoleh keluar kereta
dan minda terus melayang entah ke mana. Sesekali aku akan fikirkan tentang plot
cerita untuk manuskrip novel seterusnya dan tajuk yang harus aku berikan.
‘’Sebelum bekerja di rumah Amirul,
awak bekerja di mana Aishah?’’ aku tersentak mendengar nama aku disebut. Aku
menoleh pantas ke arah depan. Encik Zafril yang bersuara tadi terus memandu
tanpa menoleh ke belakang pun. Aku pula masih berkira-kira di dalam hati, apa
pula auta yang harus aku ungkapkan lagi.
‘’Err..’’ aku kehilangan kata.
Otak aku tepu untuk terus menipu. Tapi...
‘’Kerja kilang Encik Zafril, di
Prai..’’ teringat tentang penyamaran terakhirku bersama Acu, aku menjawab tanpa
ragu-ragu.
‘’Kilang apa?’’ Encik Zafril terus
mengajukan soalan.
‘’Sony.’’ Sepatah saja jawapan
yang aku beri, sebab aku takut Encik Zafril akan terus menyoal. Aku kerja di
Sony tak lama, cuma beberapa bulan saja, itu pun hanya sebagai pekerja kontrak
yang membuat barang-barang re-work.
‘’Sebelum tu, kerja di mana?’’
Encik Zafril bertanya lagi. Aku menarik nafas dan melepaskan perlahan. Minda
terus aku perah untuk mengimbas kembali kerja-kerja separuh masa yang pernah
aku lakukan.
‘’Banyak kerja yang saya buat. Pernah
jadi model gantian sekejap, pernah kerja di restoran sebagai pelayan dan
pencuci pinggan mangkuk. Pernah jadi pekerja sukarela tapi mendapat elaun dari
pihak yang terbabit. Pernah..’’
‘’Cukup! Itu saja yang saya nak
dengar, tak payah nak lebih-lebih sangat. Jawab saja bila saya tanya.’’ Belum
habis aku mengarang semua kerja yang pernah aku buat, kata-kata aku dipintas
oleh Encik Zafril. Aku tersenyum di dalam hati. Tadi nak tahu sangat, dah
bagitau, tak nak dengar pula. Hati aku pula membebel tak puas hati.
Dan selepas itu suasana di dalam
kereta terus sunyi kembali hingga kami tiba ke destinasi. Kaki aku terus
mengigil bila bangunan yang berdiri megah sudah terpacak di depan mata.
Alamak..ini tempat kerja abang Am. Tempat kerja kawan baik aku juga, Siti
Zulaikha, teman baik aku sejak sekolah menengah. Aku selalu datang ke sini
sebelum ini, cuma sejak aku menyamar di rumah Mak Esah dan bekerja sebagai
pekerja kilang, aku tak datang ke sini lagi. Kali terakhir aku jumpa Zulaikha
pun beberapa bulan lepas. Sesekali kami akan berbual di dalam WhatsApp.
Rupanya, Malaysia ini taklah besar mana pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.