AKU melangkah masuk ke dalam bangunan yang
tersergam ini dengan langkah yang amat perlahan dan jiwa yang resah. Fikiran
aku pula sudah mula memikirkan segala kemungkinan. Bagaimana, kalau aku jumpa
Zulaikha nanti? Dia akan cam aku tak? Kalau cam, dia akan tegur ke tak? Abang
Am aku tak risau sangat, mungkin abang Am dah tahu tentang situasi aku, tapi
Zulaikha.
~Zue..aku ada kat
tempat kerja kau ni, kalau kau jumpa aku, tolong jangan tegur ya. Aku sayang
kau sangat-sangat.~
Dalam diam, aku hantar mesej kepada
Zulaikha. Mudah-mudahan Zulaikha akan baca mesej aku. Aku berharap di dalam
hati.
~Kau menyamar lagi ke
Shah? Kau ni...okeylah, janji kau belanja aku hujung bulan nanti, lepas tu aku
nak novel free semua keluaran terbaru, amacam?~
Aku menarik nafas lega selepas
menerima balasan dari Zulaikha. Alah..kalau setakat nak belanja makan dan novel
percuma tu, tak ada masalahlah. Bila-bila masa pun boleh. Aku berbisik di dalam
hati.
~Okey laling, no hal.
Love you..muah, muah, muah...~
Tanpa banyak soal, aku balas mesej
Zulaikha dan menyimpan telefon bimbitku. Aku turut berdoa di dalam hati, andai
ada yang mengenali aku, janganlah mereka menegur aku di sini. Aku juga berdoa
agar Allah bantu aku dalam menjayakan penyamaranku kali ini. Semoga Allah
sentiasa merestui, apa saja yang aku lakukan.
‘’Akak mesej siapa tu?’’ aku
tersentak mendengar suara Sumaiyah yang begitu dekat denganku. Aku pandang dia
dengan wajah keliru, dia pula sudah tersenyum sambil menjungkitkan kening. Aku
mengeleng pantas dan cuba mencari alasan untuk mengelak menjawab soalannya
secara jujur. Ah, dalam penyamaran ni, aku memang perlu berbohong untuk
mengelak penyamaran aku dari terbongkar. Polis pun menipu juga bila buat
undercover, takkan aku sebagai penulis, tak boleh pula? Hati aku mula membebel
entah apa-apa.
‘’Tak ada, tak mesej siapa-siapa pun,
baca mesej saja.’’ Aku merangka ayat dalam suara yang bergetar. Agaknya,
Sumaiyah akan percaya ke?
‘’Sue nampaklah kak Shah, apa yang
kak Shah taip tadi.’’ Sumaiyah bersuara yakin. Aku melopong dan memandang ke
arahnya dengan mulut separuh terbuka. Dia mengangguk laju.
‘’Apa yang Sue nampak?’’ aku menyoal
kalut dalam suara separuh berbisik.
‘’Okey laling, love you, muah, muah,
muah..’’ Sumaiyah menjawab sambil mengenyitkan mata. Sekali lagi aku menarik
nafas lega dan pura-pura tersenyum malu. Aku urut dada perlahan-lahan.
Kemudian, aku meletakkan jari telunjuk di bibir dan memegang tangan Sumaiyah
dan mengajak dia untuk terus melangkah mengekori Encik Zafril dan tiga orang
jurugambar yang bersama kami. Agaknya, jurugambar rakam tak, aku yang sedang
bermesej dengan Zulaikha tadi? Tak semena-mena fikiran aku bekerja. Aku pandang
jurugambar yang berada di sebelah aku. Kamera sedang on dan aku tak mampu nak
buat apa lagi, selain berdoa agar mesej aku bersama Zulaikha tadi tak dirakam
dari jarak dekat.
KAMI tiba ke destinasi. Dengan tiga orang
jurugambar mengekori, kami mendapat perhatian ramai. Semua pekerja mendongak
memandang kami yang masuk ke dalam pejabat. Semua pekerja memakai pakaian yang
kemas dan cantik. Sekali lagi aku pandang tubuhku sendiri dan cuba
membandingkan pakaianku dengan pakaian pekerja yang ada di dalam pejabat yang
besar ini. Aku tersenyum pahit di dalam hati. Terasa sebal wajahku saat ini dan
ketika inilah mataku bertembung dengan wajah Zulaikha yang sedang memerhatikan
kami. Aku mengecilkan tubuh dan bersembunyi di belakang Sumaiyah.
Encik Zafril yang berada di depan
sekali terus melangkah dan jurugambar yang sedang merakam terus merakam setiap
aksi dan gelagat yang ada di dalam pejabat. Tiga orang jurugambar telah mengatur
tugas masing-masing. Seorang merakam aksi peserta, seorang lagi merakam aksi
pekerja dan jurugambar khas yang berada di depan sekali hanya fokus untuk
merakam Encik Zafril yang merupakan watak utama dalam rancangan ini. Dialah
hero dan dia jugalah penerbit untuk Reality Show ini.
Dalam ramai-ramai orang di dalam
pejabat ini, aku yang berpakaian pelik sekali. Dengan baju kurung kain kapas
dan tudung labuh, menutup wajah dengan niqab dan memakai cermin mata hitam. Aku
rasa sangat kerdil sekarang ini, tapi aku juga tiada pilihan kerana ini juga
sebahagian dari rancangan aku. Aku tak berani nak memandang wajah seorang demi
seorang, aku hanya menikus dan berperang dengan perasaan sendiri. Sesekali aku
akan menghimpitkan tubuhku di sisi Sumaiyah yang nampak agak selamba.
‘’Cik Farisya, awak dah bersedia?’’
terdengar suara Encik Zafril menyoal Farisya yang sedang berada di mejanya
dalam keadaan separuh bingung. Mungkin dia tak menduga kami akan datang membuat
kejutan di tempat kerjanya.
‘’Err..bersedia apa? Ada apa ni?
Kenapa tak bagitau dulu, nak datang? Kenapa datang mengejut macam ni?’’
bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Farisha kepada encik Zafril.
‘’Yupp..ini memang satu kejutan untuk
awak. Boleh kita keluar sekarang? Saya dah call bos awak. Dia dah setuju awak
bercuti separuh hari, hari ini. Boleh kita bertolak sekarang?’’ Encik Zafril
bersuara lagi. Aku dapat meneka rasa tidak puas hati yang Farisha sedang
tunjukkan melalui wajahnya. Mungkinkah dia rimas dengan situasi ini?
‘’Farisha...’’ nama Farisha dipanggil
perlahan, kedengaran begitu romantik dan menyakinkan. Farisha masih kelihatan
serba salah sambil memandang sekeliling. Rakan-rakan pejabatnya tiba-tiba
menepuk tangan beramai-ramai. Suasana jadi riuh tanpa diduga.
‘’Tahniah Sha, tahniah..’’ beberapa
orang rakan sekerja Farisha memberikan ucapan tahniah.
‘’Tahniah Cik Farisha.’’ Kedengaran
ungkapan tahniah dari beberapa orang pekerja lelaki dan wanita yang
bersahut-sahutan. Aku pula cuba menjeling Zulaikha yang turut berdiri
menyaksikan adegan yang sedang berlaku di depan mata. Aku cari juga wajah abang
Am, walaupun aku tahu, abang Am bukan dalam bahagian ini. Farisha pun, aku rasa
pekerja baru dalam pejabat ini. Dulu, setiausaha Encik Akram, bos Zulaikha
bernama Aryana. Aku kenal semua pekerja dalam bahagian ini, cuma aku perasan,
banyak juga wajah-wajah baru yang ada.
‘’Boleh kita bertolak sekarang, Cik
Farisha?’’ Encik Zafril ajukan soalan lagi bila melihat Farisha terus membisu.
Kali ini aku lihat Farisha mengangguk dan mencapai beg tangannya dan mula melangkah
keluar. Sebelum keluar encik Zafril bersalaman dengan pekerja-pekerja di dalam
pejabat, begitu juga dengan aku dan Sumaiyah. Saat tanganku dan tangan Zulaikha
bertaut, tangan aku digengam kejap dan sempat Zulaikha mengenyit nakal kepadaku
sambil tersenyum. Aku turut tersenyum dan sempat meramas tangan Zulaikha dalam
diam.
‘’Kita nak pergi ke sekolah Fatin
pula selepas ni. Aishah, awak tolong ya, jangan buat perkara pelik tu lagi.
Tanggalkan cermin mata tu. Masuk dalam pejabat berhawa dingin pun, awak pakai
cermin mata hitam ke?’’ ketika kami sudah berada di dalam lift Encik Zafril
bersuara lagi dengan suara yang agak tegas. Kecut juga perut aku, bila nama aku
turut disebut.
‘’Dengar tak Aishah?’’ Encik Zafril
bersuara kuat. Aku panggungkan kepala dan memandang wajahnya. Cermin mata hitam
yang aku pinjamkan dari Sumaiyah, aku buang perlahan-lahan dan aku turut
membetulkan tudung dan niqab yang senget selepas cermin mata ditarik.
‘’Dengar...’’perlahan saja aku
menjawab sambil menayang wajah bersahaja. Aku tak bersalah. Aku berbisik
sendiri.
‘’Sumaiyah, awak tak ada apa-apa nak
komen?’’ kali ini Encik Zafril ajukan soalan untuk Sumaiyah pula. Macam biasa,
Sumaiyah hanya mengeleng tanpa sepatah kata. Sumaiyah juga turut bekukan wajah,
seolah orang yang langsung tak punya perasaan. Pandai betul dia berlakon. Kalau
sesiapa yang tak kenal Sumaiyah secara dekat tentu akan bosan dengan gelagat
dia seperti itu, sedangkan hakikatnya, aku pasti Sumaiyah bukan pendiam
orangnya.
‘’Cik Farisha, saya minta maaf,
sebab dah buat awak terkejut hari ini. Semua ini sebahagian dari rancangan
pihak produksi. Kami akan buat kejutan untuk peserta-peserta seperti ini kalau
perlu. Harap awak faham dengan tugas kami. Semua ini adalah salah satu usaha
untuk menaikkan rating dan kami berharap rancangan ini akan mampu menarik minat
penonton untuk menontonnya setiap episod. Malam ini, episod pertama akan
ditayangkan melalui siaran tv10.
Minggu depan akan bermula
penyingkiran seorang peserta mengikut undian pihak juri dan penonton. Awak
semua buatlah yang terbaik, terutama awak Aishah. Walaupun saya dah berjanji
nak singkirkan awak, ini tak bermakna, awak yang akan tersingkir. Awak pun sama
Sumaiyah, mulut awak tu jangan nak boh pedal ayam sangat, saya pasti, tak ada
belian dalam mulut awak tu.’’ Sekali Encik Zafril berceloteh, semua nama
peserta dikaitkannya. Aku menghela nafas keras, dalam masa yang sama turut
berdoa. Ya Allah, aku tak nak teruskan lakonan ini.
‘’Saya nak tarik diri, boleh tak
Encik Zafril?’’ aku memberanikan diri bertanya soalan maut itu. Encik Zafril
terus memandang tajam ke arahku. Selepas pintu lift terbuka, Encik Zafril menarik
lengan bajuku dan mengajak aku mengikutnya. Laju langkahnya dan aku mengikutnya
dalam rasa terpaksa sambil menarik tangan aku supaya lengan baju aku yang
dipegangnya terlepas.
Seorang jurugambar nak mengikut
kami, tapi Encik Zafril melarangnya. Semua orang diminta untuk menunggu kami di
dalam kereta. Encik Zafril bawa aku jauh dari semua orang dan mula berhenti
melangkah bila kami sudah tiba di suatu tempat yang agak tersembunyi dari
pandangan orang lain..
‘’Awak tahu tak Aishah, walaupun saya
dah berjanji untuk menyingkirkan awak, tapi awak merupakan seorang peserta yang
tersenarai dalam hati saya sebagai peserta terakhir. Awak faham tak maksud saya
ni?’’ soalan Encik Zafril aku jawab dengan gelengan. Aku tak faham langsung
maksudnya. Dia dah berjanji nak singkirkan aku, kenapa pula harus ada ayat-ayat
seperti ini? Aku menyoal pula diriku sendiri.
‘’Awak kata, awak akan faham kalau saya
cakap melayu. Kenapa pula awak geleng? Saya bukannya cakap bahasa asing pun.’’
Encik Zafril cuba menguji aku dengan kata-katanya. Aku mendongak dan cuba
bertentang mata dengannya. Hati aku sakit mendengar kata-katanya. Ah, janji
melayu sungguh. Semuanya tak boleh percaya. Emak! Anak emak dah kena tipu.
Huhuhu...aku terus merintih di dalam hati.
‘’Macam ni Encik Zafril, janji
tetap janji. Encik Zafril dah berjanji, saya peserta pertama yang akan
tersingkir, lagi pun, dalam empat orang peserta, saya rasa saya yang paling
menyusahkan. Buat apa nak simpan peserta macam saya lagi? Cuba Encik Zafril
fikir, dengan pakaian saya macam ni, rasa-rasanya..layakkah saya dikekalkan?’’
aku mencari helah menjawab setiap persoalan yang aku sendiri timbulkan. Aku tak
nak teruskan lakonan ini. Jiwa aku tersiksa untuk terus menipu di depan kamera.
‘’Saya dah tahu, semua ini memang
rancangan awakkan? Sebab tu la awak tunjuk perangai degil awak tu? Dengar sini
Aishah, walau apa pun awak lakukan, awak dah sign kontrak dengan kami. Saya
akan pastikan, awak adalah peserta terakhir dan takkan tersingkir dalam
pusingan pertama.’’ Tegas nada suara Encik Zafril dan aku sudah mencerlungkan
mata tanpa sedar.
‘’Mana boleh macam tu Encik
Zafril!’’ aku kuatkan suara. Encik Zafril tersenyum mengejek dan berlalu
meninggalkan aku yang sedang berperang dengan perasaan sebal.
‘’Awak tunggu apa lagi tu Aishah?
Cepat! Semua orang dah tunggu. Ingat, saya bos, bukan awak, jangan ingat awak
tu tuan puteri pulak.’’ Encik Zafril melaung namaku yang masih belum bergerak
selepas ditinggalkan. Macam nak lari balik ke rumah saja. Tapi, aku tak ada
pilihan. Okey, kalau itu kata Encik Zafril, aku akan cabar diri aku untuk terus
bertahan. Satu keazaman muncul secara tiba-tiba dalam fikiranku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.