Aku menulis bukan kerana nama.Aku menulis kerana IMPIAN DAN HARAPAN.Aku menulis sekadar untuk berkongsi idea di minda.Aku menulis kerana ingin menjadikan imaginasi sebuah reality.Aku menulis kerana aku ingin menjadi seseorang yang mengunakan minda dan berkongsi apa yang aku rasa,apa yang aku lalui dan apa yang aku tahu untuk semua.Inilah aku dan hasil mindaku,andai ada yang tak bertepatan dengan kehendak anda maafkanlah aku.
Isnin, 23 September 2024
Aku Sedar Diriku Umpama Kaca Retak Seribu Bab 3
Part 15 Kesian pula tengok, macam nak lembut hati saja tapi kalau aku lembut
hati sekarang, lepas ni pasti hati aku akan sakit lagi. Sejarah pasti berulang.
Baru tiga hari aku buat perangai. Rajin pula suami dan anak lelaki kami kisah di
ceruk dapur. Selalunya, sebelum masuk tidur aku akan kemaskan singki. Malam ni
aku tengok Rahman pula yang kemas singki sebelum masuk tidur. Aku pula bangun
masak dan makan walaupun Rahman dah masak nasi dan lauk pauk. Aku buka tudung
saji, ada sambal belacan, kari, ayam goreng tepung dan sebungkus laksam. Aku
buka peti ais dan keluarkan nasi goreng pattaya semalam yang dah tiga kali aku
makan tapi belum habis lagi. Macam mana nak habis, baru makan empat lima suap,
perut rasa mual. Aku masukkan dalam peti ais. Bila lapar, aku keluarkan dan
panaskan. Ayam goreng tepung, aku gunting nipis-nipis dan goreng garing. Bancuh
milo satu gelas tapi air dalam termos pula dah sejuk. Lantaklah! Sejuk pun
sejuklah. Sementara nak tunggu nasi goreng panas, aku ratah dulu ayam goreng
panas-panas. Makan tengah lapar ni walaupun perut mual, sedap juga. Aku goreng
tak banyak pun, sekadar untuk aku makan ja. Habis ayam goreng, aku makan laksam
pula. Selesai makan laksam, aku ambil kuali dan pinggan letak dalam singki. Nak
basuh ka? Ah! Biarlah situ! Asalkan dendam aku terbalas. Kau cari pasal dengan
orang waras, kau menang tapi bila cari pasal dengan orang 'sakit mental' macam
aku, pasti mendapat balasan cash. Sebenarnya, aku tak gamak pun nak kenakan
Rahman dan anak lelaki kami. Aku ni mudah simpati. Kesian tengok makan minum
mereka terabai. Masalahnya, mereka tak pernah kesian pun dengan aku. Sehari
suntuk di rumah, berkawan dengan dinding, lantai, bumbung, dengan kesihatan yang
tak memuaskan, ingat best ka? Pernah mereka terfikir perasaan aku? Tak pernah
rasanya. Kalau pernah terfikir, tentu Rahman akan ajak aku keluar bersantai di
luar. Duit bukannya tak ada, tapi itulah Rahman selalu memikirkan kegunaan untuk
masa depan berbanding memikirkan isteri yang hadapi tekanan. Aku boleh saja guna
duit tu sebab semuanya ada dalam akaun bank aku tapi kalau aku keluar tanpa izin
dia, satu saja yang aku risau. Kalau aku mati dalam perjalanan, Rahman tak redha
macam mana? Aku dah la kekurangan amalan. Sebelum ni aku pernah minta izin
Rahman untuk tinggal dengan anak perempuan kami yang sudah bergelar seorang
guru. Sekurang-kurangnya, tinggal dengan dia, ada juga kawan tapi dua kali aku
minta Rahman tak izinkan, kali ketiga dia buat ayat " Nak pi, pi la." macam tak
ikhlas pula bagi izin tu. Akhirnya aku mengalah ja. Bila tekanan semakin
memuncak, aku dah tak mampu untuk kawal emosi lagi. Punca sekecil kuman pun
mampu membuat aku tunjuk perasaan. Puas hati aku dapat kenakan mereka berdua.
Aku chat dengan anak perempuan melalui WhatsApp, saja-saja kacau dia suruh bank
in rm5,000 kononnya nak pergi bercuti. Nurul Atirah : Aiyo, lima ribu tu 4 bulan
gaji bonda oii.. Me : Eleh, scamner hari-hari mesej mak nak bagi lima ribu ok
ja. Nurul Atirah : Scammer masyuk ratus ribu setiap hari..hahahaha mak bulan 3
ni tak balik kg la, nak himpun duit ambil lesen kereta cepat sikit. Me : Ikut
sukamu la. Nurul Atirah : Hahahahahaha Me : Mu balik pun bukannya penah pegang
periuk or penyapu.. Nurul Atirah : Hahahaha hadoi.. Me : Janji nak pi naik
gunung jerai pun janji melayu sokmo. Ingat nak pi cuti sorang-sorang, tak mau
balik dah, puas hati! Nurul Atirah : Letih.. Me : Letih gapo? Bukan nak ajak mu,
nak gi sorang-sorang ja. Freeedoooom!! Nurul Atirah : Hadoi... Aku malas dah nak
melayan dia, aku tutup WhatsApp dan buka Telegram, tengok video apa yang best
untuk ditonton. Sebelum ni aku mesej Atirah..aku share link Shopee..set kain
kapan lelaki / perempuan. Me : Kalau ada duit lebih, beli yang ni..setiap yang
hidup pasti akan mati. Nurul Atirah : Dua puluh tahun lagi baru ada duit lebih.
Me : Depa kata kiamat dah dekat, sempat ka tunggu 20 tahun lagi. Nurul Atirah :
Kehebatan Allah, sapa tau.. Aku tak tahulah kenapa, sejak akhir-akhir ini aku
dah tak berminat untuk hidup. Sebenarnya, aku hanya perlukan cuti dan keluar
beriadah tapi siapa yang faham perasaan aku ini? Rahman? Payah nak ajak dia!
Rayuan aku tak pernah lut. Alasan Rahman selalunya tak berduit. Ada seribu dalam
tangan pun dia tetap kata tak ada duit. Part 16 Bersabarlah. Bertabahlah.
Kuatlah. Banyakkan berdoa. Jangan sesekali berkata begitu pada orang-orang yang
sedang hadapi tekanan perasaan. Ubahlah ayatmu.. Semoga Allah permudahkan segala
urusanmu. Semoga Allah lindungimu. Semoga Allah terus berimu kekuatan dan
kesabaran. Semoga orang yang menyakitimu sedar kesilapannya dan berubah. Itu
yang kami harapkan daripada orang-orang yang ingin memberikankan kami sokongan
dan dorongan. Aku paling tak suka ayat " Sabarlah." Selama ni aku tak sabar ka?
Selama ni aku tak tabah ka? Atau selama ni aku tak pernah berdoa? Aku ni bukan
kata berdoa setiap hari, malahan setiap detik berdoa pada Allah agar terus beri
aku kekuatan untuk menghadapi semua dugaan yang Allah beri. Andai kata aku tak
sabar, tak kuat, tak tabah, pasti dah lama orang jumpa aku mati tergantung dalam
rumah ni. Andai aku tak sabar, tak tabah, tak kuat, pasti aku dah lama berada di
Korea. Eh, Korea pula. Tetiba teringin nak pergi ke Korea, boleh pula tersasul.
Tunggulah, andai ada rezeki suatu hari nanti pasti aku akan sampai ke Korea tu,
teringin sangat nak pergi pada musim bunga. Musim sejuk aku tak minat sebab aku
alahan sejuk. Berangan sekejap, aku sedang berada di Korea dan sedang melihat
artis-artis Korea shoot drama. Pernah Rahman berkata "Sabar" padaku saat aku
berpantang kerana keguguran. Puncanya, aku hanya nak bermanja dengan dia. Aku
perlukan sokongan dia saat aku letih hadapi cobaan. Kehilangan anak dalam
kandungan berkali-kali bukannya biasa-biasa. Pernah aku baca novel, watak utama
keguguran anak pertama, dia depression sampai hampir gila. Aku sudah sebelas
kali keguguran tapi aku masih bertahan sebab aku yakin ada hikmah yang
tersembunyi di sebalik semua kejadian. Aku yakin Allah menguji aku bersebab. Aku
boleh tahan semua ujian, satu saja ujian yang aku selalu gagal hadapi adalah
ujian iman dan taqwa. Aku tak mampu untuk jadi lebih baik setiap kali diuji. Aku
lebih menurut kata hati. Aku menjadi manusia paling egois untuk menerima
kenyataan. Ketika aku diuji, imanku menjadi setipis kulit bawang, adakalanya
imanku koyak rabak. Namun, adakalanya dengan ujian ini juga menjadikan minda dan
jiwaku lebih kuat. Kadang-kadang ketika diuji inilah aku lebih banyak ingatkan
Allah. Setiap masa aku mohon pada Allah, jangan biarkan aku mati sesat. Jangan
biarkan aku mati sebagai isteri yang derhaka pada suami. Jangan biarkan aku
aibkan dirinya dan keluarganya. Aku berdoa setiap saat, ujian apa pun yang Allah
beri, tolong beri aku kesedaran dan keinsafan bahawa ujian atas dunia ini
hanyalah sementara. Ujian di Akhirat yang kekal abadi itu lebih hebat lagi.
Ujian di Padang Mahsyar pun tak kurang hebatnya. Di dunia ni, ujian sakit boleh
telan ubat. Rasa lelah, letih boleh cari bantal tidur. Ujian dengan anak-anak,
suami atau sesiapa saja pun kita masih boleh elak, namun di Akhirat nanti, tak
boleh elak dah. Semua orang kena hadap, semuanya kena terima, tak boleh lari ke
mana-mana pun. Aku dan ujian ibarat aur dan tebing. Sentiasa ada ujian yang
mendatangi. Tak perlu pergi ke mana pun, cukuplah dengan hanya membuka mulut
sedikit saja dan bersuara, pasti ada ujian yang menanti. "Tolong beli ubat sakit
urat sat." "Petang ni." Petang aku bertanya lagi. "Beli dak ubat sakit urat?"
"Allah, saya terlupa." Esok aku tanya lagi. "Ubat urat beli dak lagi?" "Lupa!
Sikit pun tak ingat." Seminggu seterusnya " Tak tahan la sakit sangat ni, betis
cekang banyak hari dah." "Lupa, tadi lalu dah depan farmasi, lupa nak singgah."
Tup-tup esoknya Rahman pula sakit urat, barulah dia beli tanpa banyak soal.
Adakalanya, aku kecil hati, adakalanya aku pasrah saja. Semua sakit dengan izin
Allah dan Allah jua penyembuhnya. Aku pasrah dan berserah hanya pada Allah. Part
17 "Na, duit juai acar hang, kami pinjam dulu tau, nak bayaq duit kut kat Azie."
Kak Besah biras aku datang dan berkata begitu padaku. Hari ini hari jumaat,
tinggal aku seorang saja di rumah. Aku buat acar dan kacang botak untuk
diletakkan di kedai runcit di kampung sebelah. Tanpa disuruh, kak Besah birasku
akan datang ambil untuk diletakkan di kedai. Rahman payah nak suruh. Malu
kononnya, padahal aku buat jual untuk tolong kukuhkan ekonomi keluarga kami
juga. "Hurm." itu saja yang keluar. Aku letih dengan kak Besah. Aku kenal dia
bukannya sehari dua. Seluruh keluarga Rahman dah tahu perangai dia. Pandai
berlakon. Kalau ada anugerah pelakon terbaik, mesti dia menang tempat pertama.
Selepas hari tu aku pergi siasat sendiri. Kak Besah selalu kata isteri tuan
kedai runcit tak ada, tuan kedai runcit tak pandai kira duit. Aku muhskil sikit
di situ. Takkan buka kedai tapi tak pandai kira duit? "Mana ada, kak Besah hang
mai ambik duit acar hang lama dah haih. Habis acar hari ni, esok dia mai kutip
duit, kami tak sempat nak pusing modal pun." kata Mak ndak Kiah isteri tuan
kedai runcit. "Selalu dia bawa mai berapa bungkus?" "Hat last ni 9 bungkus."
"Kacang botak dia mai letak di sini jugak ka?" "Takdak aih, dia mai letak acar
ja, tak sampai 10 bungkus pun. Hari tu ada orang mai beli acar buah hang, sekali
dia beli dia borong semua, dia kata sedap, murah pulak tu." Tetiba aku rasa
perasaan aku kosong. Tak tahu ayat apa yang harus aku ungkapkan lagi. Kenapa kak
Besah buat aku macam ni? Apa salah aku pada dia? Aku bagi acar pada dia setiap
kali hampir 30 bungkus atau lebih sikit. Kacang botak pun banyak bungkus juga.
Aku tahu banyak kedai runcit di kawasan tu. Mungkin dia ambil kesempatan sebab
aku ni pendiam dan jenis suka berserah dan tak suka bising-bising. Aku ni jenis
pendam. Suka aku diam. Tak suka pun aku diam. Penyiasatan aku belum berakhir.
Aku pergi bersoal jawab dengan adik iparku pula. Dia pun buat jual juga, karipap
mini dengan kerepek pedas. Dia letak di kedai runcit yang sama. Setakat hari
ini, aku belum pernah dengar lagi kejadian macam ni terjadi pada dia sebab dia
pergi letak dan ambil sendiri jualannya. Aku ni berbeza sebab Rahman tak nak
tolong aku. Apatah lagi, aku tak boleh pandu motor sendiri. Aku takut, darah
bergemuruh setiap kali aku cuba start motor. Lagi pun, Rahman bukannya ada
motor, selalu dia pinjam motor adik-adik dia. Rahman ni jenis lurus bendul. Apa
yang dia ada setakat itu sajalah. Dia takkan berusaha untuk tambah pendapatan.
Dia takkan cuba buat kerja separuh masa. Aku nak tolong dia tambah pendapatan
pun dia tak pernah support, tapi kalau aku hulur duit, tak pernah pula dia
tolak. Dia ambil dan cium lagi duit tu. Suka sangat setiap kali aku hulur duit.
Aku bukan nak kutuk dia jahat dan suka ambil kesempatan. Taklah! Dia baik
sangat, cuma dia ni tak nak berusaha untuk berubah. Dia jenis pasrah dan redha
dengan apa yang Allah takdirkan. Namun begitu, setiap kali aku minta duit, tak
pernahnya dia hulur on the spot. Selalunya respon dia, petik ibu jari dan jari
telunjuk, kemudian geleng kepala. Maknanya dia tak ada duit. Aku ni sejak kecil
lagi dah terbiasa, minta sekali saja, kalau orang cakap tak ada duit, aku terus
diam. Aku tak pernah memaksa, sebab tu aku berusaha untuk buat acar limau, acar
buah-buahan kering dan kacang botak untuk duit poket aku sendiri. Tapi, aku
kecewa sangat, modal keluar banyak namun untungnya entah ke mana. Semuanya kena
rembat oleh kak Besah dan seterusnya aku pula yang difitnah kak Besah. "Abang
Izam bawa pisau nak serang Na, dia kata Na fitnah kak Besah." Rahman bagitau aku
dengan muka dungu. "Fitnah pasai pa pulak? Bila saya fitnah dia?" "Abang Izam
kata, hari tu dia mai dengan kak Besah, dia yang bagi duit kat kak Besah suruh
bagi kat Na." "Bila? Dia mai habaq, Azie nak pinjam duit acar tu, nak bagi duit
kut." aku mula berang dan suaraku terkuat sikit. "Abang Izam cerita kat semua
orang, dia nampak kak Besah pegang duit masuk dalam rumah." Allahu Akhbar, ujian
apa ni Ya Allah? Aku sakit hati, sangat sakit dengan kenyataan yang aku hadapi
saat ini. "Berapa ringgit duit modal Na? Nanti dapat gaji, abang ganti balik.
Kesian kat abang Izam." Apa? Kesian kat abang Izam? Habis, aku yang kena fitnah
ni macam mana? Adakah perasaan aku ni langsung tak bernilai? Dia balik cerita,
abang dia bawa pisau nak serang aku, tapi yang dia kesian abang dia yang nak
serang aku? Allahu Akhbar! Inikah Rahman suami aku? Atau suami kak Besah?
Sungguh, aku sangat keliru. "Kak Besah kata, dia sanggup junjung Al-Quran. Dia
kata lagi, kalau dia mai rumah kita, dia akan disambar petir kalau dia tipu."
Oh, jadi dia nak bagitau, aku la penipu tu? Aku tak boleh terima pengkhianatan
ini. Aku takkan sesekali junjung Al-Quran atau bersumpah sebegitu. Nak percaya,
terpulang. Tak mau percaya pun, aku tak kesah! Part 18 2023, aku masih begini,
walaupun masa terus berlalu. Kes fitnah kak Besah masih terus menghantui
perasaanku. Andai dapat ku undur masa, aku hanya nak Rahman memihak padaku,
bukannya pada abangnya atau pun kak Besah, kakak iparnya. Dia tak dapat beri aku
harta kekayaan, tak dapat bawa aku pergi bercuti, aku boleh terima tapi sampai
bila dia nak abaikan perasaan aku? Bukannya aku tak pernah luahkan rasa sakit
hatiku ini. Banyak kali aku luahkan tapi ayat dia yang keluar lebih menyakitkan
hati. "Tu diahhhh..macam tu pun nak sentap." dia cakap seolah-olah perasaan aku
tak perlu dijaga. Aku kena terima semuanya. Kena telan segala kepahitan tanpa
merungut sikit pun. Balasannya adalah aku yang hari ini. Sesekali aku akan
mengeluarkan kata-kata kurang ajar. "Abang ingat abang tu baik, solat, puasa,
abang ingat abang akan masuk syurga? Abang pun takkan masuk syurga aih. Syurga
bukan untuk orang yang banyak amalan tapi syurga tu terletak pada rahmat Allah."
Kadang-kadang aku meluah semborono melepaskan segala amarah yang terbuku di
dalam dada. Tapi, selalunya aku lebih banyak memendam dan hanya mampu
memberontak di dalam hati. Kelemahan aku tak mampu meluahkan perasaan secara
lisan. Aku lebih suka cipta video dan karang perasaanku dalam video itu. Aku
muat naik video dengan caraku sendiri. Aku suka layan drama Korea, Cina dan
Thai..aku akan edit drama dan ambil bahagian penting saja lalu muat naik ke
Tiktok. Aku mendapat ramai followers kerana drama yang aku edit. Kebanyakannya
tentang dilema wanita. Banyak dilema wanita yang ku temui bercerita tentang
orang ketiga, suami curang dan keluarga mentua. Aku tak pernah hadap masalah
macam tu sebab Rahman jenis yang setia. Dua puluh lapan tahun kawen Rahman masih
setia walaupun ada juga dia melayan beberapa orang rakan wanita dalam media
massa. Selalunya laman sosialnya kadang-kadang aku kawal. Namun, bila jemu, aku
biarkan saja. Aku pernah berkata, aku tak kesah sejahat mana pun suamiku,
asalkan jangan curang dan bermain kayu tiga. Ternyata, aku salah menduga
rupanya. Selain curang, ada lagi perkara lain yang lebih menyakitkan hati.
Kata-kata Rahman juga merupakan racun yang selalu menghancurkan kebahagiaanku.
Aku cuba bertindak biasa setiap kali kata-katanya menguris hati. Adakalanya, aku
buat-buat tak dengar namun sebagai manusia biasa yang jiwanya sangat sensitif,
jujurnya aku tak mampu. Kisah kak Besah tak pernah berakhir selagi ingatanku tak
hilang. Aku akui, aku dah maafkan dia dan abang Izam sebab dia pun dah minta
maaf. Cuma sesekali kisah lama mengetuk perasaanku, semuanya kembali terimbas
seolah-olah kejadian tu baru terjadi. Sekarang ni abang Izam dah macam hilang
ingatan. Kak Besah pula semakin kaya sebab mewarisi harta emaknya yang telah
meninggal dunia. Anak-anak mereka 7 orang pun sudah berjaya menjadi bisnessman
dan bisnesswomen. Semuanya berniaga sendiri. Kak Besah pun pernah bagi zakat
pada Rahman sebanyak rm300 dengan duit yang diwarisi daripada emaknya. Anak-anak
abang Izam pun selalu tolong anak dara kami ketika dia memerlukan. Semakin
memujilah Rahman pada keluarga abangnya. Aku pula buat ayat pada anak dara kami.
"Elok sangat depa tolong hang, dulu mak ayah depa teruk buat niaya kat mak."
tapi itu ayat antara kami berdua saja. Jangan cakap ayat macam tu di depan
Rahman. Nahas, kalau dia dengar. Keluarga dia paling utama, isteri boleh lagi
ditukar ganti. Aku ingat lagi dua minggu lepas, mula-mula dia beli bihun goreng,
aku dah komplin, masin. Aku tak tau pun, bihun goreng tu dia beli kat anak
sulung abang Izam. Hari berikutnya, aku komplin dalam group Rahman Family yang
ahlinya hanya 4 orang, aku, Rahman, anak dara kami dan anak lelaki kami. Me :
Jangan beli dah nasi lemak yang abang beli hari ni, tak sedap langsung, rasa aji
no moto 100%. Rahman : Nasi lemak Azie tu, dia bagi free.. Me : Free ka,
patutlah depa boh kerak..🤪🤪🤪 Balik tengahari tu dia habiskan nasi lemak tu,
aku ni sesuap pun tak boleh nak telan. Selera aku dah tak ada. Makan apa pun dah
tak sedap dilidah aku. Tapi, masakan kak Besah memang bukan selera aku pun. Kari
yang dia masak pun rasa rempah lagi. Bukan nak kutuk, tapi aku pernah rasa
sekali tu. Aku tengok dia masa dia masak, belum masak lagi rempah tu, dia dah
masukkan santan. Rahman : Bukan nak puji anak menakan sendiri, ni nasi lemak
paling sedap, saya rasa. Azrul : Rasa pedas semua elok. Tetiba anak lelaki kami
pun mencelah dan memuji nasi lemak Azie. Aku tahu sangat, anak lelaki kami,
kalau aku masak pedas, dia tak mau makan dan komplin. Eh, boleh pula dia cakap,
pedas dan sedap? Rahman pula kata, bukan nak puji anak saudara, tapi kata
masakan anak saudaranya paling sedap. Habis tu, dia sedang mengutuk anak saudara
dialah sebab masak sedap? Hurm.. Aku malas nak cakap apa dah..aku hanya menanti
masa yang sesuai dan situasi yang sesuai untuk aku bertindak. Sebenarnya dalam
fikiran aku yang sedang serabut sekarang ni, kalau Allah tak nak ambil nyawaku,
aku mohon beri aku kesempatan untuk keluar dari rumah ini untuk mencari
ketenangan. Tapi, siapalah yang sudi membawa aku keluar dari sini? Buat masa
sekarang, aku teringin nak berjauhan daripada Rahman. Aku nak bagi dia peluang
hidup bahagia tanpa aku di sisinya. Mungkin sikap aku sekarang ni buat jiwanya
tak tenteram. Aku sedar, sikap aku ketika ini mungkin telah meremuk redamkan
hatinya. Maklumlah, selama ini aku adalah seorang isteri yang taat namun kini
'bisu' tanpa suara. Part 19 "Saya tau, adik beradik abang dah banyak tolong
abang, tapi pernah tak abang terfikir, saya juga banyak berkorban dalam rumah
ni? Saya mengandung 12 kali, saya gugur 11 kali, 7 beg darah dah masuk dalam
badan saya ni. Saya hampir kehilangan nyawa berkali-kali. Tak bolehkah abang
hargai saya walaupun sikit?" Aku ingin luahkan semua tu pada Rahman tapi
sayangnya, semua perkataan tu hanya terngiang-ngiang dalam fikiranku saja. Aku
tak mampu, seolah-olah aku sudah dapat mengagak apa respon Rahman. Pasti dia
akan merendahkan diriku lagi? Pasti dia akan mengejek perasaanku lagi? Rahman
yang telah berjanji untuk memberi aku bahagia dulu, hanyalah sekadar mainan
kata-kata di bibir, umpama lagu Janji Manismu yang pernah aku nyanyikan dulu.
"Saya ni bukannya harapkan sangat harta kekayaan, saya redha ja kalau abang tak
mampu. Masalahnya abang tak pernah sedar, selama ni saya memendam rasa sakit
hati. Bukan sekali tapi beratus kali. Abang sombong sebab abang ada keluarga di
sisi namun abang lupa, isteri abang ni tak punya siapa-siapa lagi. Emak saya dah
lama tak ada. Ayah pernah kata saya anak derhaka walaupun dia tak pernah bela
saya, walaupun ayah tak pernah sara saya. Saya dituduh atas kesalahan yang saya
tak pernah buat sejak kecil. Abang pula satu-satunya insan yang saya ada untuk
menumpang kasih ketika ini, tapi apa yang terjadi? Abang back up keluarga abang,
seolah-olahnya dalam dunia abang hanya ada mereka. Mungkin saya ni hanya boneka
hidup yang hanya diperlukan ketika abang memerlukan. Mungkin saya ni hanya
berguna bila abang nak sesuatu daripada saya. Abang sendiri tahu, abang takkan
sentuh saya kalau abang tak nak sesuatu, melainkan saya yang memulakan dulu.
Bila abang nak, saya cakap letih, senak, loya pun abang buat-buat tak dengar.
Abang tetap berusaha selagi tak dapat. Abang selfish! Tapi, abang tak pernah
sedar semua tu!" Aku masih lagi membetontak di dalam hati. Andai aku dapat
meluahkan semua perkataan tu, alangkah bagusnya. "Dalam rumah ni saya yang buat
semua, saya masak, saya mengemas luar dan dalam..kalau abang tolong pun,
selalunya sekerat jalan ja..tapi cuba abang ingat balik, yang abang nampak
isteri orang tu rajin, orang ni masak sedap, paling sedap di dunia ini. Pernah
abang puji dan ucap terima kasih pada saya, sebab dah jadi pembantu rumah free
selama ni? Abang fikirlah sendiri. Semut di seberang laut abang nampak jasanya,
padahal gajah di depan mata, abang tak sedar pun kewujudannya." Aku terus
mengomel di dalam hati. Bukan aku nak mengungkit semua hal , ustazah Asma Harun
pun pernah kata dalam ceramahnya, semua keluh kesah suri rumah macam aku bukan
mengungkit tapi satu ingatan untuk suami-suami yang tak pandai menghargai.
Pengorbanan mengandung dan melahirkan bukannya semudah yang disangka. Aku ni
setiap kali buat D&C rahimku dikikis, aku dibius dan macam-macam bius aku dah
rasa. Bius separuh badan, bius separuh sedar, bius terus dan tak sedar apa yang
berlaku tu selalu terjadi bila keadaan aku semakin tenat. Hanya keguguran
terakhir saja doktor sakit puan kata "No need" tak perlu lakukan D&C. Aku tanya
doktor " Pasai pa doktor?" "Puan dah kerap sangat buat D&C, saya takut rahim
puan koyak." Dan kali terakhir tu, lima hari selepas balik rumah barulah janin
keluar. Bayangkan lima hari perut aku senak selagi janin tak keluar. Senak tu
umpama sengugut atau nak melahirkan anak, cuma aku ni jenis yang tahan sakit,
tak nampak sangat bahawa aku sedang menahan sakit. Lagi pun memang aku
dibekalkan dengan ubat tahan sakit. Namun, pernah Rahman hargai? Entahlah! Aku
tak dapat baca hati dia. Mungkin dalam hati dia ada simpati dan kasih sayang,
hanya dia tak pernah tunjuk rasa sayang tu. Dalam kata-katanya, yang dipuji
hanya anak-anak dan saudara maranya. Yang dihargai, hanya adik beradik dia yang
selalu bantu dia. Aku ni walaupun selalu juga bantu dia, hulur juga duit bila
aku ada duit tapi entahlah.. p/s : Cerpen ni kisah past & present. Aku akan taip
sesuka hati, sekejap part bahagia, sedih berselang seli. Aku sekadar cuba
menghayati watak seorang suri rumah yang dalam dilema perasaan dan rasa dirinya
tidak dihargai oleh orang sekelilingnya. Dituduh dan sebagainya. Bak kata,
sepanjang hidup dia asyik disalahkan tanpa sebab. Part 20 Emak tiriku datang ke
rumah, katanya ayahku kini tinggal di rumah abangku di Perak. Tugasku sekarang
menghantar ibu tiriku ke Perak untuk menjaga ayahku. Kesian dengan abang dan
kakak iparku, dua-duanya kerja, kena jaga ayahku lagi. Aku pula baru lepas
berpantang anak ke - 8 yang keguguran. Teruk aku gugur kali ni sebab aku
berdegil dan tak mahu ke hospital ketika darah baru turun sikit. Aku ke klinik
swasta mengambil ubat untuk menghentikan darah namun malam seterusnya darah
keluar dengan banyaknya. Aku masih berdegil, masih tak mahu ke hospital
hinggalah tengah malam, keadaanku semakin teruk. Aku muntah dan keluar darah
serentak dengan banyaknya, akibatnya pernafasanku mula terganggu dan rumah
menjadi berpusing "Tak tahan dah, panggil orang bawa pi hospital." aku merayu
Rahman yang berada di sisiku. Barulah Rahman tergesa-gesa menelefon seseorang.
Kebetulan tadi, rumah kami memang ramai orang, emak saudara Rahman dan suaminya
masih ada di rumah emak mentuaku. Bila Rahman menelifon, mereka datang semula.
Aku dipapah hingga ke pintu, namun sebaik saja kakiku melangkah keluar, aku
terus lembik, tak sedarkan diri. Apa yang aku rasa ketika itu adalah suasana
bertukar merah senja dan aku dikelilingi oleh berpuluh makhluk. "Na, mengucap
Na, mengucap." suara emak saudara Rahman menyuruhku mengucap. Aku tersedar bila
orang ramai sedang menarik aku masuk ke dalam kereta. Aku terus mengucap seperti
yang disuruh. Air liurku berjejeran membasahi bajuku dan bau muntah yang kuat
membuatkan aku terus meloya. Terasa darah masih keluar membuak-buak. Sampai di
hospital, aku disorong masuk ke bilik kecemasan. Aku dirawat dengan kadar yang
segera, tak perlu tunggu giliran dan sebagainya. Tubuhku dipasang dengan jarum
dan dimasukkan drip air. "Puan, jangan tidur naa.." dalam keadaan mataku yang
susah nak diangkat, aku dilarang jangan tidur. Aku tak peduli, aku tetap
pejamkan mata serapatnya. Buatlah apa yang perlu, aku malas nak ambil tahu.
"Puan, kami gunting baju ni na.." aku angguk perlahan. Kalau aku tahu baju tu
akan digunting, mesti aku pakai baju paling buruk tadi. Ada sedikit kesalan
dalam hatiku. Bajuku baru sangat aku beli. Mahal juga blous yang aku pakai ni.
Blous dua lapis, labuh dan sangat selesa kalau dipakai waktu sejuk. "Puan..kami
nak tengok puan boleh dak?" seorang nurse praktikal bertanya. Aku buka mata,
beberapa orang nurse praktikal mengelilingiku yang sedang dirawat. Aku mengeleng
perlahan. Jujurnya, aku tak rela. "Bolehlah puan.." aku tetap mengeleng tapi
siapa yang peduli dengan gelenganku? Tak! Tak ada seorang pun yang beredar.
Mereka masih berdiri dan melihat aku yang sedang diproses. Dua minggu lepas aku
berpantang, mak tiriku pula datang ke rumah membawa berita, ayahku sakit dan
sedang berada di Perak. Sebagai anak bongsu, aku rasa perlu bertanggungjawab.
Keesokannya, aku dan mak tiriku bertolak ke Perak. Kami naik bas pukul 10 pagi
tapi bas tu masuk jalan kampung, maknanya bas tu dah melencong dari jalan asal
dan kutip orang dipertengahan jalan sebab nak kutip duit untuk minum katanya.
Ada juga drebar bas yang ambil kesempatan macam ni? Yang jadi mangsanya adalah
kami penumpang bas ni. Pukul 8 malam barulah kami sampai di rumah abangku di
Perak. Kami dah tahap kebulur dah, apa yang kakak iparku hidang malam tu cukup
menyelerakan. Makan masa lapar, kerabu tembikai pun rasa sangat sedap ditekakku
ini. Tiga empat hari juga aku tinggal di rumah abangku. Semua kerja rumah aku
buat termasuk mengemas rumah, membasuh baju, kutip baju, lipat baju dan memasak.
Kalau aku tak buat semua kerja ni, fikiran aku asyik ingat Rahman dan anak kami
yang kena tinggal. "Sapa mai tengok ayah, dia akan cetita, Na anak derhaka." kak
ipar aku membuka cerita hari kedua aku berada di rumahnya. Petang tu, adik ipar
ayah a.k.a emak saudaraku pula datang melawat. "Bukan hang anak derhaka tapi
ayah hang tu yang derhaka." ya, ayah tak pernah sara hidup aku dan kakak-kakak
aku tapi kenapa dalam ramai anak-anak ayah, aku pula yang dikata anak derhaka?
Hari ketika tok saudara aku yang menjadi jiran abangku pula meninggal. Aku dan
abangku baru balik dari rumah adik ayahku a.k.a bapa saudaraku bila berita itu
kami terima. Sempat juga aku pergi ziarah arwah Tok Lang petang tu tapi masalah
sedang menanti aku di rumah abangku petang itu. Anak sulung mak ngah, adik chaq
sedang tunggu aku di rumah abangku. Bila dia berbual denganku, dia buka topik
anak derhaka tu. Aku kena ceramah dengan dia petang tu. Tanpa usul periksa dia
salahkan aku. Sebaik-baiknya tanyalah dulu, jangan menuduh aku melulu sebegitu.
Aku sakit hati dan automatik terus kemas baju. Aku dah tak sanggup lagi untuk
tinggal di rumah abangku. Malam tu sambil seterika baju aku membebel pasai chaq
dan keadaan aku. Tersedu-sedan aku menangis sambil bercerita itu dan ini. Dalam
fikiranku saat ini hanya ada Rahman dan anakku yang ditinggalkan. Keesokan
harinya, lepas subuh lagi aku menghulurkan tangan pada ayahku untuk bersalam
dengannya. Aku dah nak bertolak balik ke Kedah namun, respon ayahku amat
mengelirukan. Ayahku menutup muka dan tak mahu bersalam denganku " Nak balik, pi
la balik!" ayah berkata dalam nada suara orang merajuk. "Terima kasih." aku pula
berkata dalam nada menyindir, tapi lepas itu aku jadi sebak tak semena. Abang
aku perasan aku menangis. "Orang kata, kura-kura ajar anak jalan betul tapi dia
pun jalan mengiring." abangku bersuara, mungkin niat nak memujuk aku yang sudah
tidak dapat mengawal perasaan ini. Sepanjang jalan ke stesen bas aku menangis,
hinggalah aku naik bas dan terus sambung menangis. Bak kata, perjalanan yang
panjang kali ini berseorangan dalam bas dari Perak ke Kedah hanya ditemani air
mata. Seminggu selepas itu kak Aini datang ke rumah lepas subuh memberitahu
ayahku sudah tiada. Aku hanya mampu mendengar tanpa setitik pun air mata. Sampai
di Perak pun aku masih tidak menangis. Tiada lagi air mata untuk ku tangisi
buatmu ayah. Betapa tegarnya hatiku kala ini. Maafkan aku ayah. Aku mungkin
boleh memaafkan tapi tak mungkin aku melupakan kesakitan yang kau tinggalkan
untukku.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Aku dah mati akal..tak tau macam mana nak edit bagi novel aku ni masuk elok dan ada perenggan..blurr plus blank dah ni..lama sangat tak update kot?
BalasPadam