My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Jumaat, 5 Ogos 2016

Penyamar Bab 14



            DESTINASI  kedua kami tiba tanpa sebarang gangguan. Rakaman di atas kereta terus berlangsung. Kali ini meriah sikit bila Encik Zafril dan Farisha asyik berbual dari mula kereta bertolak hingga sampai ke destinasi.

          Aku hanya mencelah bila sesekali disoal oleh Encik Zafril. Sumaiyah macam biasa, hanya menjawab sepatah bila ditanya dengan setiap soalan. Banyak topik yang Encik Zafril dan Farisha bualkan. Topik melancong keluar Negara, tempat-tempat menarik yang pernah mereka kunjungi dan pengalaman masa lalu mereka, yang paling menarik mereka kongsikan. Aku mendengar dengan teliti setiap perbualan mereka. Itu juga merupakan bonus untuk aku persembahkan dalam manuskrip novel aku nanti. Bukan semua orang mempunyai pengalaman yang sama.

            ‘’Okey, kita dah sampai, sekarang ni Fatin tak tahu kita datang, macam mana kita buat serbuan di pejabat Farisha tadi, begitulah sekarang ni, kita akan serbu kelas Fatin mengajar. Sekarang ni, Fatin sedang mengajar di kelas Enam Ara. Aishah, pastikan awak tak pakai cermin mata hitam tu ya, kalau awak nak pakai cermin mata juga, boleh pakai yang ni.’’ Aku terkejut bila nama aku disebut lagi. Sambil berkata, Encik Zafril hulurkan cermin mata tanpa kanta untuk aku. Cermin mata dengan bingkai hitam, sesuai dipakai oleh warga tua atau watak-watak skema di dalam tv.

              Tanpa sepatah kata, aku mencapai cermin mata yang Encik Zafril hulurkan dan memakainya dengan selamba. Aku pandang Sumaiyah dan dia tersenyum sambil mengangkat ibu jari tangan kanannya. Encik Zafril sempat menoleh ke arah kami sebelum melangkah laju. Farisha langsung tak ambil peduli seolah langsung tak terkesan dengan kehadiran aku dan Sumaiyah. Mungkin bagi Farisha, aku dan Sumaiyah ni langsung tak wujud. Kami seolah halimunan di matanya. Di rumah pun begitu setiap kali kami bertembung, dia tak pernah menegur, apatah lagi untuk mengerling, jauh sekali memandang kami.

             ‘’Awak masuk dulu Farisha. Saya dan yang lain akan menyusul di belakang.’’ Encik Zafril menolak Farisha masuk ke dalam kelas Enam Ara. Aku dan Sumaiyah sudah saling memandang antara satu sama lain bila melihat gelagat Encik Zafril yang agak nakal. Pinggang ramping Farisha yang mengenakan pakaian yang agak sendat disentuh lembut. Aku tergeleng tanpa sedar. Aku sempat mendengar Sumaiyah beristighfar perlahan sambil pura-pura menutup mata dengan tangannya. Aku dan Sumaiyah juga sempat berbalas senyum sebelum masing-masing mencebik seketika.

             ‘’Assalamualaikum..’’ Farisha memberi salam sebaik masuk ke dalam kelas. Kelas yang sunyi sepi terus riuh dengan suara-sura pelajar yang dalam kehairanan. Masing-masing saling bertanya sesama mereka, siapa kami yang tak diundang ini. Fatin yang sedang membelek buku-buku pelajarnya di meja guru juga sudah membuat mimik muka terkejut dengan kehadiran kami.

            ‘’Assalamualaikum semua...’’ kali ini Encik Zafril pula melangkah masuk dan memberi salam dengan suara yang ceria. Aku dan Sumaiyah teragak-agak untuk masuk. Salah seorang jurugambar mengarah kami untuk masuk bersama. Pengarah juga turut serta bersama kami kali ini. Agaknya, tuan pengarah sudah lama tiba dan menunggu kami di lokasi ini sejak tadi. Mungkin juga tuan pengarah datang awal untuk meminta izin untuk membuat pengambaran di sini. Segalanya adalah mungkin.

            ‘’Ada apa ni?’’ seperti Farisha, Fatin juga menyoal dengan soalan yang sama.

            ‘’Relax Fatin. Jangan mengelabah dulu.’’ Encik Zafril memujuk Fatin yang sudah berubah wajah. Dia macam marah dengan kedatangan kami. Suasana riuh dalam kelas tersebut seolah tidak dihiraukannya. Wajah Fatin merah dan nampak sedikit tegang. Fatin memang berwajah garang dan sedikit sebanyak, kemungkinan kedatangan kami telah mengugat tugasnya sebagai seorang guru. Aku berceloteh di dalam hati bila melihat respon yang ditunjukkan oleh Fatin.

            ‘’Kenapa nak buat pengambaran di sini? Encik Zafril dan Tuan Pengarah tak pernah cakap pun, akan buat pengambaran di tempat kerja seperti ini. Ini dah langgar perjanjian kita. Mana boleh macam ni?’’ tanpa diduga, Fatin melenting juga, walaupun dalam nada suara yang tertahan-tahan.

            ‘’Ini sebahagian dari skrip yang telah kami rancang Fatin. Membuat suprize untuk peserta dan kebetulan, antara empat orang peserta, awak dan Farisha saja yang bekerja. Farisha pun dapat susprize macam ni juga tadi. Relax Fatin, jangan mengamuk dulu. Ini semua untuk meningkatkan rating rancangan ini. Kalau rancangan ini berjaya menarik minat penonton, semua peserta pun akan mendapat habuan juga. Semua ini bukan free Fatin.’’ Aku dapat menangkap kata-kata Encik Zafril walaupun suaranya yang sedang memujuk Fatin agak perlahan seakan orang sedang berbisik. Aku tersenyum di dalam hati. Nak kejar ratinglah sangat. Inilah dia, orang bisnes.

          ‘’Habis tu, apa yang perlu saya buat?’’ suara Fatin semakin mengendur, tak setegang tadi lagi. Encik Zafril dan Tuan Pengarah bermain mata sambil melebarkan senyuman.

           ‘’Awak teruskan tugas awak macam biasa. Kami hanya akan memerhatikan saja gelagat-gelagat pelajar di dalam kelas ini. Kami akan membuat rakaman hingga pelajaran ini tamat. Selepas awak selesai mengajar di semua kelas, kita akan keluar untuk makan tengahari bersama. Mungkin akan makan di kantin sekolah, kalau awak masih ada kelas selepas ini.’’ Kata-kata Encik Zafril membuatkan aku dan Sumaiyah saling berpandangan lagi.

             ‘’Back to school.’’ Sempat Sumaiyah berbisik kepadaku. Aku mengangguk dan tersenyum. Encik Zafril menoleh ke arah kami. Aku pula lontarkan pandangan keluar tingkap yang berlatarkan padang yang menghijau.

                ‘’Awak kata apa Sumaiyah?’’ Encik Zafril menyoal Sumaiyah dengan tiba-tiba saja. Sumaiyah terus mengeleng laju. Wajahnya turut berubah, aku alihkan pula pandanganku ke arah pelajar-pelajar di dalam kelas yang masih menumpukan perhatian ke arah kami.

               ‘’Awak berdua ni...’’ encik Zafril tak menghabiskan ayat-ayatnya. Dia hanya memandang kami dengan pandangan tajam sebelum membuat pengumuman di dalam kelas kepada pelajar-pelajar supaya membuat kerja masing-masing. Selepas itu kami berjalan dari meja ke meja melihat pelajar-pelajar membuat kerja mereka. Sesekali kami akan ajak mereka berbual.

           ‘’Kenapa kakak tutup muka?’’ salah seorang pelajar perempuan menyoal aku. Aku perhatikan namanya yang dilekatkan di atas lencana sekolah, Nur Aishah Umairah. Ada juga nama aku. Aku berbisik di dalam hati sambil tersenyum.

           ‘’Muka akak tak cantik. Jerawat banyak.’’ Aku autakan saja. Pelajar tu macam tak puas hati saja dengan jawapan aku.

          ‘’Tak baik tau kak Shah, menipu tu berdosa tau.’’ Sumaiyah datang dan berbisik kepadaku. Aku tersenyum lagi dalam diam sambil menjungkit sedikit keningku.

          ‘’Jangan cakap banyak Sue. Langgar perjanjian dengan mama Sue pun berdosa jugak tau.’’ Aku membalas kata-kata Sumaiyah dengan bisikan juga. Dalam masa yang sama aku cari jurugambar yang sedang merakamkan gelagat kami. Nasib baik semua jurugambar sedang fokus ke arah lain. Yang sedang memerhatikan kami ketika ini hanyalah Encik Zafril. Dia seolah sedang mencari kesalahan kami. Macam polis pencen yang sedang mengintip penjenayah saja lagaknya.

          ‘’Awak berdua ni ada sembunyikan rahsia apa-apa ke?’’ encik Zafril menyoal aku dan Sumaiyah bila kami berdua membuat keputusan untuk berdiri di belakang kelas sambil berbisik sesama kami dan sesekali ketawa kecil.

             ‘’Rahsia apa?’’ aku menyoal kembali berniat untuk mengenakan encik Zafril yang selalu sangat memerhatikan gelagat aku dan Sumaiyah.

            ‘’Kalau ada yang awak berdua tak puas hati, bagitau saya. Janganlah berbisik dan mengutuk saya macam tu.’’ Encik Zafril serkap jarang. Aku mencebik dari sebalik niqab. Perasan. Hatiku berkata lancar.

          ‘’Mana ada kami kutuk encik Zafril pun. Sue cakap encik Zafril ni kacak. Saya kata sesuai sangat dengan cik Farisha yang cantik. Kami puji apa, mana ada kutuk pun.’’ Aku autakan saja. Padahal, kami tak sebut pun pasal encik Zafril dan Farisha. Aku dan Sumaiyah hanya berbual-bual kosong saja.

            ‘’Kan Sue?’’ aku menyambung kata dan menyoal Sumaiyah. Macam biasa respon Sumaiyah, menganggukkan kepalanya tanpa sepatah kata.

            ‘’Tak apa, tak nak mengaku. Tak mengaku, tak apa..saya tak dengar tak apa, awak berdua selamat. Kalau saya nampak awak berdua berbisik lagi selepas ni, tahulah saya apa nak buat.’’ Tak semena-mena encik Zafril mengertak kami. Tak puas hati kat mana pun tak tahulah. Sampai tak boleh berbual langsung, teruklah kami. Nak suruh kami berdua jadi patung cendana ke apa? Aku merungut geram di dalam hati. Bibir sudah mencebik lagi sambil bermain mata dengan Sumaiyah. Dan, tanpa aku sangka Sumaiyah sudah melebarkan senyuman dan tubuhnya sudah mengigil menahan tawa. Aku mengulum senyum dalam diam dan meletakkan jari telunjuk di bibir.

            ‘’Haa..apa lagi tu?’’ encik Zafril perasan dengan gelagat kami dan menyoal garang namun suaranya tak dikuatkan pun. Hanya untuk didengari aku dan Sumaiyah saja. Aku mengeleng pantas dan memandang ke hadapan kelas. Pelajar-pelajar masih melakukan kerja sekolah mereka. Fatin pula sedang menandakan buku-buku pelajarnya. Farisha pula sedang berbual rancak dengan tuan pengarah di sudut kiri kelas. Jurugambar pula sedang melakukan tugas masing-masing. Encik Zafril? Kini, dia sedang berada di tengah-tengah antara aku dan Sumaiyah. Tak dapatlah aku dan Sumaiyah berbisik-bisik lagi macam tadi.

            ‘’Kenapa diam? Tadi bukan main lagi, awak berdua berbisik.’’ Keluar lagi soalan tak puas hati dari encik Zafril. Entah apa yang ada dalam fikirannya sekarang. Cemburu agaknya dengan kami yang berbual mesra di belakang dia?

            ‘’Encik Zafril dah jadi penghalang percintaan kami, nak suruh kami buat apa lagi? Takkan kami nak bertempik bagi satu kelas dengar kami cakap apa.’’ Aku menjawab kata-kata encik Zafril dengan nada bersahaja. Aku dengar encik Zafril berdecit. Aku silangkan tangan dan berpeluh tubuh. Dah macam pelajar yang kena denda dengan guru sebab tak buat kerja sekolah saja, kena berdiri di belakang kelas macam ni.

          ‘’Lesbian ke apa?’’ suara encik Zafril yang tengelam timbul aku buat-buat tak dengar saja. Aku cuit Sumaiyah perlahan sambil bermain mata. Encik Zafril mencerlung tajam.

           ‘’Esok, kita akan buat lawatan di rumah Sumaiyah pula dan hari seterusnya kita akan berkampung di kampung awak. Harap awak maklumkan pada keluarga awak. Saya tak mahu keluarga awak terkejut dengan kedatangan kita.’’ Encik Zafril bersuara lagi sambil memandang kiri dan kanannya. Saat ini, segala idea untuk berbalas kata dengan encik Zafril hilang entah ke mana. Hati aku berdebar kuat. Apa ni? Tak ada dalam perjanjian pun? Hati aku berdongkol geram. Di mana aku nak bawa mereka pergi? Kampung aku? Rumah Mak Esah ke? Masalah besar ni. Aku pandang Sumaiyah pula. Wajah dia turut berubah. Mungkin dia juga seperti aku, takkan menduga semua perancangan pihak produksi yang menerbitkan rancangan ini.

          ‘’Mana..mana boleh macam tu.’’ Tergagap-gagap Sumaiyah membantah kata-kata encik Zafril sebentar tadi.

            ‘’Kenapa pula tak boleh? Sebelum awak sign kontrak, awak baca tak semua syarat-syaratnya. Syarat nombor sepuluh, pihak produksi yang akan tentukan, di mana rakaman akan dibuat.’’ Encik Zafril menjawab tegas. Aku dengar Sumaiyah menghela nafas berat dan mengeluh. Mungkin dia runsing memikirkan syarat mamanya, seperti aku juga yang sedang runsing, memikirkan kampung mana, yang akan aku bawa mereka pergi.

            ‘’Selepas makan nanti, kita pergi shoping. Selain beli barang-barang dapur, kita akan shoping pakaian untuk awak berdua. Malam ini kita ada rakaman di studio untuk siaran langsung. Kemungkinan salah seorang dari peserta akan tersingkir. Kalau nasib awak berempat baik, mungkin penyingkiran akan ditangguhkan untuk minggu seterusnya.’’ Kata-kata seterusnya dari encik Zafril membuatkan nafasku semakin semput. Tak habis dengan kejutan tadi, kini muncul pula kejutan kedua. Masuk studio untuk siaran langsung? Tak pernah aku bayangkan untuk berdepan dengan penonton di depan kamera. Allahu Akhbar, tubuh aku mengigil lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.