My Channel in Youtube

My Channel in Youtube
Jom Langgan!

Jumaat, 5 Jun 2015

Love 4Ever bab 30-Tammat

BAB 30

                  BEBERAPA bulan berlalu selepas kes Ariesya dilarikan oleh Lyna. Keadaan kembali tenang selepas itu. Ajmal ternyata sudah benar-benar berubah. Fida pula sudah bersedia membuka hatinya untuk menerima Ajmal. Kini Fida sedang menunggu hari untuk melahirkan anaknya.

               Saisah dan Syahrul pula membuat permintaan untuk menjaga bayi Fida. Saisah ingin menyusukan sendiri bayi itu dan menganggapnya seperti anak sendiri. Buat sementara waktu Fida akan tinggal di rumah mereka hinggalah dia lepas pantang dan dalam perancangan mereka Syahrul akan menceraikan Fida selepas Saisah selamat melahirkan anaknya pula.

           Ajmal sudah berjanji untuk mengambil Fida menjadi isterinya bila Fida sudah bersedia menerima dirinya. Berita terbaru dari Lyna pula, kini dia juga sedang menjalin cinta dengan bekas rakan sekampus mereka. Muhammad Idham yang sudah lama menyimpan perasaan terhadap Lyna dengan beraninya melamar cinta Lyna untuk dirinya. Tanpa berfikir panjang, Lyna menerimanya dengan hati terbuka. Dia sudah mula memaafkan Saisah dan Syahrul. Sesungguhnya hati manusia ini begitu senang berbolak-balik. Yang paling penting kembalilah kepada Allah! Hanya Dia yang mampu membuka peluang untuk kita melihat kebenaran.

           ‘’Ibu! Mama,.aduh, tolong Fida!’’ Fida menjerit kuat bila merasakan perutnya menjadi kejang tiba-tiba. Sejak pagi tadi perutnya asyik memulas hinggalah selepas solat Isyak tadi dia masih rasa tidak selesa.

           ‘’Kak Zeati,.abang Syah tolong Fida!’’ nama Saisah dan Syahrul pula diseru. Mungkinkah semua orang sudah masuk ke bilik untuk tidur? Tak tunggu lama, Fida menguatkan dirinya untuk bangun. Sebetulnya Puan Mawar sudah menawarkan diri untuk menemaninya malam ini tapi Fida melarangnya kerana tahu ibu mertuanya juga keletihan kerana menguruskan kedai makan mereka seharian.

          ‘’Akak! Abang Syah!’’ Fida memanggil lagi dan mengetuk pintu bilik Saisah dan Syahrul. Perutnya yang kejang berubah menjadi sakit yang teramat di bahagian pinggang dan bawah ari-ari. Dia mengetap bibirnya menahan sakit. Air matanya mula mengalir ke pipi.

          ‘’Abang Syah! Tolong Fida!!’’ sekali lagi Fida memanggil kuat walau kudratnya sudah semakin lemah akibat menahan rasa sakit.

        ‘’Ya Allah! Akak,.tolong!!’’ semakin kuat jeritan Fida bila air ketuban sudah membasahi betisnya. Sakit perutnya pula semakin kuat dirasakannya.

           ‘’Kenapa ni Fida?’’ Saisah yang membuka pintu bilik terus bertanya.

            ‘’Ya Allah! Fida nak bersalin ke? Abang!! Bangun,.Fida nak bersalin!’’ melihat kedaan Fida dan lantai yang basah, Saisah mula menjadi kalut. Suaranya lagi kuat mengalahkan Fida tadi.

           ‘’Abang!!’’ kuat laungannya dan mengejutkan Syahrul.

           ‘’Kenapa Zeati? Sayang sakit ke?’’ terpingga-pingga Syahrul bangun. Dia baru saja terlelap. Baru nak melepaskan penat lelahnya setelah seharian bekerja dan melayan kerenah Ariesya dan isteri-isterinya.
       
                      ‘’Ketuban dah pecah bang! Cepatlah bangun! Nanti tak semapt ke hospital, mahu ke abang jadi bidan terjun?’’ Saisah bersuara cemas. Melihatkan keadaan Fida yang sudah mula menangis dan keletihan Saisah juga turut dilanda kebimbangan.

             ‘’Eh! Sayang jangan bergurau boleh tak? Abang letih ni,.perut sayangkan baru lima bulan, ketuban apanya yang pecah. Lambat lagikan?’’ Syahrul bersuara perlahan. Disangkanya Saisah sengaja nak mengenakan dirinya.

            ‘’Fida yang nak bersalinlah! Bukannya Zeati!!’’ Saisah bertempik kuat. Barulah Syahrul terpisat-pisat membuka matanya seluas mungkin. Mindanya baru dapat mencerna keadaan sebenarnya.

                        ‘’AJMAL,.kau datang sekarang! Fida dah sakit nak bersalin. Aku nak kau belajar azankan anak dia!’’ Saisah menghubungi Ajmal dan menyuruh dia datang ke hospital. Syahrul sudah memandang Saisah dengan pandangan tajam.

             ‘’Agak-agaklah,.kalau nak suruh bekas kekasih sayang tu datang pun. Abangkan masih suami Fida?!’’  Syahrul bersuara dengan nada tak puas hati.

           ‘’Datang sekarang! Kalau tak aku suruh Fida reject kau! Baru kau tahu,.membujanglah kau sampai ke tua!’’ Saisah tidak mempedulikan rungutan Syahrul di sebelahnya. Dia terus berbual dengan Ajmal di hujung talian.

           ‘’Sayang! Dah dekat pukul 1 pagi ni, biarlah Ajmal tu tidur!’’ Syahrul masih mencuba nasib untuk memujuk Saisah agar memberinya izin menjaga Fida dan mengazankan bayinya.

              ‘’Bangunlah! Macam tu ke nak jadi laki orang?’’ Saisah masih ralit berbual di telefon. Sengaja dia berpura-pura tidak mendengar kata-kata Syahrul. Bila Fida sudah tiada kudrat untuk berjalan tadi, Syahrul yang mendukung Fida. Hati Saisah dilanda cemburu tiba-tiba, kini peluangnya pula untuk membuatkan Syahrul cemburu. Walau pun butir bicara mereka adalah Fida.

              ‘’Sayang ni degil betulkan? Fida tu kan masih isteri abang! Biarlah abang yang azankan anak dia nanti. Tak payahlah nak susahkan Ajmal tu!’’ Syahrul kuatkan suaranya. Saisah semakin galak berbual di telefon bimbitnya. Suaranya sengaja dilunakkan. Geram pula mendengar ayat-ayat Syahrul. Cara dia tu macam dah jatuh sayang dengan isteri ke duanya itu.

                ‘’Minta sini telefon tu!’’ Syahrul terus merampas telefon bimbit yang sedang ditekap di telinga Saisah. Terpinga-pinga Saisah bila telefon bimbitnya sudah bertukar tangan.

             ‘’Hello Ajmal,.kau tak payah datang! Biar aku yang azankan!’’ tegas suara Syahrul. Saisah pula ketawa mengekek tiba-tiba.

            ‘’Hello! Hello! Hello!,..’’ Syahrul menoleh ke arah Saisah yang sudah terinjut bahunya.

          ‘’Zeati ni,.ingatkan betul dia cakap dengan Ajmal,..’’ suara Syahrul yang tegas tadi sudah berubah nada.

           ‘’Abang lupa ke? Ajmalkan pergi ke New Zealand,.takkanlah Zeati nak suruh dia datang ke sini sekarang. Abang tahu tak? Zeati cemburu tau tengok abang dukung Fida tadi. Bernanah ja kat dalam ni,..’’ dengan ketawa yang masih bersisa Saisah memberitahu Syahrul tapi suaranya berubah nada lagi bila tiba ayat terakhir. Saisah terbayangkan lagi suasana cemas itu. Tangannya memegang dadanya untuk memberitahu hatinya sakit melihat ‘fenomena’tadi, kemudian Siasah merebahkan kepalanya di bahu Syahrul.

         ‘’Nak balas dendamlah tadi tu? Sengaja nak bagi abang cemburu pulak? Abang tak mahu ceraikan Fida tu baru tahu! Sekali dengan Ajmal pun TERlepas!’’ Syahrul bersuara galak sambil melepaskan tawa. Saisah panggung kepala dengan pantas. Dipiatnya lengan Syahrul kuat. Mendidih hatinya mendengar Syahrul berkata begitu.

              ‘’Abang ni kan,..hee,..’’ Saisah bersuara rajuk. Dimasamkan wajahnya. Semakin galak pula Syahrul ketawa. Lengan yang pedih dipiat digosok perlahan. Kalau dengan Saisah, dalam baiknya dia, pantang silap sikit mesti Syahrul akan dapat sakit tapi demi kerana sayang, Syahrul tahankan saja. Saisah tu nak bersalin lagi sakit dari kena piat!

            ‘’Waris kepada Siti Rafidah binti Ramli!’’ nama Fida dilaung dari pembesar suara. Syahrul dan Saisah bangun dan menghampiri kaunter pertanyaan.

            ‘’Nurse,.isteri saya macam mana?’’ Syahrul yang bertanya. Saisah hanya mengukirkan senyuman hambar di sebelah. Sejak kandungannya semakin membesar ni, Saisah selalu dilanda cemburu yang tak sudah. Bila Syahrul bertanyakan tentang Fida dan menyebut perkataan isteri, Saisah cukup terasa.

          ‘’Isteri encik?’’ jururawat di kaunter bertanya kembali.

          ‘’Ya! Siti Rafidah binti Ramli,.’’ Syahrul memberitahu sambil cuba mengukirkan senyuman.

          ‘’Oh! Dia dah selamat melahirkan. Kami dah bawa dia ke wad sakit puan. Encik boleh terus ke sana,.’’ Syahrul mengangguk laju dan memimpin tangan Saisah untuk ke wad berkenaan. Jururawat sudah memandang pelik ke arahnya dan mengukirkan senyuman. Entah apa yang difikirkannya?

             ‘’Tentu nurse tu pening kepala tengok abang?!’’ Saisah bersuara sambil tergelak. Syahrul kebingungan seketika dan menoleh pantas ke arah Saisah.

        ‘’Kenapa pulak?’’ terus Syahrul ajukan soalan.

        ‘’Isteri baru lepas bersalin tapi dah pimpin tangan perempuan lain. Abang tak tengok muka nurse tadi? Macam tengah keliru ja!’’ Saisah cuba serkap jarang. Dia sendiri dapat mengesannya.

          ‘’Biarlah,.apa mereka nak fikir. Yang penting, kita tak kacau hidup mereka! Kalau kita nak ambil peduli dengan apa orang nak nilai dan fikir pasal kita, hidup kita ni takkan ke mana. Bagi abang, apa yang Zeati fikir itu lebih penting dari apa yang nurse tu fikir. Apa yang ada dalam hati Zeati tu yang abang nak tahu sangat!’’ Syahrul menyudahkan ayatnya sambil jari jemarinya mengenggam kemas jari jemari Saisah.

          ‘’Hurmm,..’’ Saisah mengeluh perlahan. Hatinya sekarang, ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapak! Bukan senang untuk menghadapi situasi ini dengan tenang. Dia juga insan biasa. Nak menjadi manusia yang Redha 100% tu memang payah!

                ‘’Kenapa?’’ Syahrul bertanya sepatah.

              ‘’Kalau ikutkan hati zeati ni abang, sekarang jugak Zeati nak abang ceraikan Fida tu, tapi perikemanusiaan Zeati ni masih tebal lagi untuk berlaku kejam macam tu. Cuma Zeati harap sangat, abang faham dengan situasi Zeati ni,.yang sekejap okey dan sekejap,.macam tak dapat menerima kenyataan bahawa Zeati sedang berkongsi suami dengan perempuan lain. Sakitnya di sini!’’ Saisah pegang dadanya. Sesekali hatinya bagai dihiris bila memikirkan hidup dalam perkongsian ini.

            ‘’Abang Faham! Sayang pun kena faham dengan tanggungjawab yang Wajib abang galas.’’ Lemah suara Syahrul kedengaran.


BAB 31

             Beberapa tahun berlalu dan keadaan sudah banyak berubah. Puan Habsah dan Puan Mawar membuat keputusan untuk pencen dan menghabiskan sisa-sisa umur mereka dengan beramal. Mereka sudah mengerjakan haji bersama dan kini hidup mereka dihabiskan di masjid dan di atas sejadah. Selain itu Al-Quran juga sudah menjadi peneman setia. Zikrullah itu kini sudah sebati dengan hati dan bibir mereka.

          Kedai makan mereka diambil alih oleh Syahrul dan kini sudah dinaik taraf menjadi restoran makanan kampung bertaraf antarabangsa. Mereka menyediakan juadah-juadah tradisional dari perbagai negara.

        Niat Syahrul untuk menyiasat mengenai syarikat ayahnya yang muflis dulu juga sudah terlaksana. Atas pertolongan Ajmal segalanya telah terbongkar dan manusia yang menyebabkan ayah Syahrul menanggung kerugian itu sudah dihadapkan ke muka pengadilan.

           Dato Huzaimi juga telah mempelawa Syahrul untuk menjadi rakan kongsinya kerana syarikat itu milik keluarga Syahrul asalnya. Namun Syahrul menolak pelawaan Dato Huzaimi dan berazam untuk memajukan restoran yang telah diamanahkan untuknya.

          Kedai kek Saisah juga semakin maju dan kemungkinan juga berkat rezeki anak-anak mereka. Saisah kini sarat mengandungkan anak ke tiga mereka yang sudah disahkan oleh doktor sebagai kandungan kembar tiga.

          Fida sudah berkahwin dengan Ajmal dan kini sedang menetap di New Zealand. Fida dan Ajmal juga sedang melanjutkan pelajaran mereka di sana. Selepas berkahwin dengan Ajmal, Fida mengambil keputusan untuk belajar kembali. Berkat kesabarannya dia berjaya dan mendapat peluang melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Anak lelakinya kini dipelihara Saisah dan Syahrul.

         Lyna kini sedang menjalani praktikal sebagai doktor di sebuah hospital dan sedang berbahagia bersama keluarganya. Anak sulung Saisah sudah berusia enam tahun dan kepetahannya berkata-kata semakin menyerlah hari demi hari.

             ‘’Ibu,.bila adik nak keluar ibu? Iesya tak sabarlah nak main dengan baby!’’ Ariesya menyoal ibunya sambil mengelus perlahan perut ibunya yang sudah memboyot itu. Sesekali dia akan ketawa bila merasakan gerakan-gerakan kecil.

           ‘’Kalau ikut due yang doktor beri, minggu depan, tapi tak taulah bila Allah nak keluarkan. Kenapa ni? Dia pulak yang tak sabar. Larat ke Iesya nak menjaga nanti? Adik Rafiq dengan adik Afiq tu pun Iesya dah tak larat nak jaga!’’ Saisah tersenyum dengan kata-katanya. Ariesya mengeluh perlahan.

           ‘’Alaa,.adik Rafiq dengan adik Afiq tu degil sangat. Dah tu lasak, mana Iesya larat. Lagi pun mereka dah besarlah ibu. Merekakan lelaki, Iesya nak adik perempuan!’’ Ariesya menjawab sambil memuncungkan bibirnya. Saisah tersenyum lucu. Rafiq anak lelaki Fida tua empat bulan dari Afiq tapi tahun yang berlainan. Sekarang ni usia Rafiq tiga tahun dan Afiq baru dua tahun. Hanya jarak empat bulan tetap memisahkan umur mereka.

            ‘’Kalau adik yang dalam perut ibu ni lelaki jugak, macam mana?’’ sengaja Saisah menyoal untuk  menguji Ariesya.

            ‘’Ibu mengandunglah lagi, sampai Iesya dapat adik perempuan!’’ Ariesya menjawab dengan tenang. Saisah sudah melopong tidak percaya.

           ‘’Iesya!!,.Iesya ingat ibu ni kilang buat anak ke? Iesya ingat anak tu ibu yang buat?’’ Saisah menyoal kalut. Ariesya memandang wajahnya dengan pandangan kosong.

           ‘’Laa,..ibu dengan abahkan pandai buat anak?! Dalam perut ibu ni kan dah ada tiga orang baby? Iesya tengok kawan-kawan Iesya mana ada yang dapat adik tiga orang serentak?!’’ Ariesya bersuara tenang. Saisah sudah membeliakkan matanya.

          ‘’Iesya!! Bila masa baby ni ibu dengan abah yang buat? Semua ni Allah yang bagi tahu! Iesya pun Allah yang bagi kat ibu dengan abah.’’ Ariesya mengangguk faham.

              ‘’Ibu,.nanti baby-baby dalam perut ni, Iesya nak bagi nama ya?’’

          ‘’Haa,.nama apa Iesya nak letak?’’ Saisah sengaja menduga Ariesya, sedangkan nama untuk anak-anaknya sudah disediakan sejak mereka tahu dia sedang mengandungkan anak kembar.

         ‘’Ustazah di sekolah Iesya ada cakap, menyebut nama tu doa. Lepas tu ustazah cakap lagi, kalau nak letak nama untuk baby yang baru lahir, kena letak nama yang maknanya cantik. Kalau dapat baby perempuan mesti ada Nur yang bermaksud cahaya. Kalau anak lelaki kena letak Muhammad yang bermaksud,.aaa,..’’ Ariesya sudah mengaru tengkuknya. Saisah sudah tersenyum lebar.

            ‘’Muhammad tu maksudnya yang terpuji. Iesya jangan bimbanglah, ibu dan abah dah sediakan nama untuk adik-adik Iesya nanti. Kalau semuanya anak-anak lelaki, kami nak letak nama Ali, Abu Bakar dan Omar tapi kalau perempuan pula Siti Aishah, Siti Fatimah dan Siti Khadijah.’’ Saisah mengelus perlahan perutnya sambil memandang Ariesya yang sudah menganggukkan kepalanya berkali-kali.

            ‘’Kenapa nama Iesya, Ariesya Iriana? Kenapa nama adik-adik Iesya ada nama Siti? Dah tu, macam nama orang-orang tua ja ibu?!’’ Ariesya bertanya lagi. Saisah berfikir sejenak sebelum menjawab. Dia teringat ketika dia mengandungkan Ariesya dulu, umurnya baru sembilan belas tahun. Ketika tu dia hanya terfikir untuk menamakan anak mereka dengan nama yang sedap disebut tanpa memikirkan maknanya.

          ‘’Masa ibu beri Iesya nama, ibu tak tengok pun buku panduan nama-nama dalam Islam. Ibu dengan abah main letak ja tapi nama adik-adik Iesya ni adalah nama-nama anak Rasullullah, nama sahabat Rasullullah, nama isteri-isteri  Rasullullah.’’ Saisah cuba menjelaskan setiap persoalan yang Ariesya utarakan. Sebenarnya nama-nama yang bakal diberikan pada anak-anak kembarnya, ibu dan ibu mertuanya yang cadangkan. Saisah dan Syahrul pun sudah berbincang untuk menerima cadangan kedua ibu mereka.

           ‘’Tapi ibu,.macam tak best ja nama tu ibu?!’’ Ariesya menambah lagi. Dia teringat nama adik kawan-kawannya yang bagaikan nama-nama artis. Nama yang cukup glamour.

           ‘’Tak apalah,.biar tak sedap disebut yang penting maknanya elok. Kan Iesya cakap tadi, nama tu adalah doa? Betullah tu!’’ sekali lagi Ariesya menjatuhkan kepalanya berkali-kali bila mendengar jawapan Saisah.

              ‘’Ariesya Iriana apa maksudnya ibu??’’ Saisah sudah ternganga mendengar soalan Ariesya yang ini.

              ‘’Errr,....’’ dan Saisah terus melebarkan senyuman tanpa jawapan. Nantilah ibu chek dalam buku panduan nama-nama dalam Islam! Saisah berbisik di dalam hati.


BAB 32

             RESTORAN makanan tradisional bertaraf antarabangsa yang sudah menjadi milik Syahrul hari ini cukup meriah. Bila Ajmal pulang bercuti dari luar negara bersama Fida, dia berniat untuk membuat kenduri. Restoran Syahrul menjadi pilihan dan tetamu mereka adalah bekas rakan-rakan sekolah yang telah bertemu kembali di dalam muka buku.

             Inilah kelebihan internet yang banyak manfaatnya. Dalam muka buku ni Ajmal dah membuka satu group khas untuk bekas-bekas pelajar sekolah mereka. Group itu dibuka untuk umum. Rakan pelajar yang Ajmal kenal, dia akan add sendiri. Selebihnya dia meminta rakan-rakan yang lain tolong masukkan. Ajmal dulu seorang pelajar yang angkuh dan ramai yang tak suka dia, jadi ramai juga rakan sekolah yang dia tak kenal.

                 Saisah dan Syahrul yang banyak menolong dia memasukkan rakan-rakan sekolah mereka sebagai ahli ke dalam group itu. Hari ini kebanyakan rakan-rakan yang mereka temui dalam muka buku sudi menghadirkan diri. Semuanya sudah berkelulusan tinggi dan bekerja. Ada juga yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
                           
          ‘’Uwaa,.mak labu, bila due ni?’’ Atie Solehah bertanya sambil mengelus lembut perut Saisah yang hanya menunggu hari untuk melahirkan. Hari ni pun dia tak banyak bergerak. Semua kerja, Syahrul dan pekerja-pekerja mereka yang lakukan. Rafiq dan Afiq kedua orang ibunya yang jaga, Ariesya juga membantu mengawal kedua orang adiknya itu.

           ‘’Dah sampai due pun,.aku tunggu saat dan masa ja, bak kata bila-bila masa saja meletuplah ni,..’’ Saisah menjawab pertanyaan Atie sambil membetulkan kedudukannya.

                   ‘’Sakan perut kau ni Saisah? Kembar ke?’’ Lyna pula menyoal sambil memegang lengan Saisah. Nadi Saisah diperiksanya.

            ‘’Ha’ah!,.kembar tiga! ‘’ Saisah menjawab dengan penuh teruja. Kawan-kawannya yang sedang mengelilingi dia sudah melopong tidak percaya.

          ‘’What?’’ Ifa mencelah. Matanya bulat memandang wajah Saisah.

          ‘’Terror ar korang! Macam mana buat?’’ Lyna pula menambah soalan sambil ketawa kecil. Mulutnya ditekup dengan telapak tangan. Saisah sudah mencerlungkan mata ke arahnya.

          ‘’Ek-eleh,.tanya soalan maut kat aku? Perut kau pun boyot jugak! Kau buat macam mana? Kena buatan orang erk?!’’ sambil menegakkan badannya Saisah membalas kata-kata Lyna.

          ‘’Hahaha,.yupp! Buatan orang dengan kerjasama aku jugak!’’ Lyna bersuara lagi sambil ketawa galak. Suaminya yang sedang berbual dengan rakan-rakan lelaki mereka di hujung kiri restoran dijeling sekilas.

          ‘’Amboi korang ni,.agak-agaklah nak berbual topik panas ni pun,..kami yang masih solo ni, malu tau nak dengar!’’ Zalifah mencelah lagi. Wajahnya sudah merah mendengar ayat-ayat Saisah dan Lyna yang sedang mengandung sulung.

        ‘’Lyna!,.kau kata nak tunggu lama sikit baru nak timang baby, kenapa tiba-tiba ja ni? Terbabas ke? Eh!,.Bukan kau sedang buat praktikal ke?’’ tanpa mempedulikan rungutan Ifa, Saisah masih meneruskan topik sensasi mereka. Tiba-tiba dia teringat pula tentang Lyna yang masih melanjutkan pelajarannya.

         ‘’Aku jeles kat kau la,..umur masih muda lagi tapi anak dah nak masuk enam orang,.Hehe,.betul,betul,betul,.aku doktor praktikal ja tapi kalau dah rezeki nak buat camno?! Dah terlanjur,.termengandung takkan nak gugurkan?’’ Laju saja Lyna menjawab sambil terus ketawa.

         ‘’Ceh! Alasan tak boleh blah,..’’ Saisah mencelah pantas, matanya meninjau sekeliling restoran. Kelibat Syahrul dicari bila perutnya memulas tiba-tiba. Saisah menegakkan badannya dan pinggangnya digosok perlahan.

            ‘’Kau kenapa Saisah? Tiba-tiba ja macam kucing nak beranak!?’’ Atie Solehah yang perasan kegelisahan di wajah Saisah menyoal.

             ‘’Bukan kucing nak beranak la! Aku rasa, aku yang dah nak terberanak!’’ pantas Saisah menjawab sambil cuba bangun bila dirasakan pinggangnya seakan ingin patah.

           ‘’Hah?’’ ketiga orang rakannya yang rancak berbual dengannya serentak bersuara. Mereka menolong memapah Saisah yang sudah agak payah untuk bangun dan cuba berdiri.

         ‘’Syahrul!! Cepat!!’’ serentak juga Ifa, Atie dan Lyna melaung Syahrul yang sedang rancak berbual dan bergelak ketawa di sudut kiri restoran. Semuanya yang ada sudah menoleh pantas.

          ‘’Cepat Syah! Saisah dah nak beranak?’’ Lyna melaung Syahrul lagi. Saisah sudah hilang suara bila perutnya sudah mula kejang. Kakinya juga terasa kaku tiba-tiba.

           ‘’Time orang buat reunion ni la kau nak beranak pun Saisah,.’’ Ayie yang datang menghampiri Saisah bersama Syahrul dan yang lain cuba berseloroh. Saisah dah tak mampu nak membalas.

           ‘’Pandailah kau Ayie! Kalau boleh merancang, senanglah!’’ Ifa membantu Saisah menjawab. Dalam suasana Saisah yang sedang sakit itu pun mereka masih nak berbahas lagi. Ayie pula hanya tersengih mendengar kata-kata Ifa.

             SUASANA wad persendirian yang dihuni Saisah kini sudah penuh dengan rakan-rakan dan saudara mara. Riuh rendah suara mereka berbual.
Saisah selamat melahirkan bayi-bayi kembarnya namun anak-anaknya terpaksa dimasukkan ke dalam balang dan dimasukkan oksigen. Saisah mengalami masalah kontraksi ketika ingin melahirkan bayi mereka dan bayi terakhir yang dilahirkannya hampir lemas.

            Dua orang bayi perempuan dan seorang bayi lelaki yang comel kini melengkapkan lagi kebahagiaan Saisah dan Syahrul. Fida dan Ajmal yang terlambat tiba di restoran tadi baru menyusul selepas Saisah dimasukkan ke hospital. Mereka yang menjadi penaja perjumpaan reunion itu, mereka pula yang paling lambat tiba.

         ‘’Memandangkan Saisah dah selamat melahirkan anak-anak kami, jadi biar aku yang jadi penaja. Lagi pun Ajmal lambat sampai,.nama saja penaja tapi dia yang paling akhir sampai,.’’ Syahrul mula bersuara bila melihat Ajmal dan Fida memasuki wad itu dengan sebuah hamper barangan baby. Sengaja dia nak mengenakan Ajmal.

            ‘’Aku dah janji,.mana boleh mungkir janji. Jadi orang munafik pula aku nanti. Lain kalilah kau belanja kami. Sesekali,.bagilah peluang untuk aku rebut pahala pulak! Asyik kau ja nak rembat semua pahala.’’ Ajmal membalas selamba. Wajah Syahrul dipandang sambil keningnya dijungkitkan berkali-kali.

         ‘’Kau ni,.kalau buat baik semata-mata nakkan pahala, itu tak ikhlas namanya! Orang buat apa pun, niatnya mesti kerana Allah. Kita ni sebagai hamba kepadaNYA! Buat amalan,buat ibadat mestilah diniatkan kerana Allah, bukan kerana nakkan ganjaran atau pun nakkan pujian orang atau sebagainya.’’ Saisah mencelah perbualan mereka. Semua mata mengarah ke arahnya. Ajmal sudah beku ditempat dia berdiri.

           ‘’Aku serender! Bercakap dengan korang ni, aku memang takkan menang. Ada saja hujah korang yang akan mematahkan pendapat aku,..’’ Ajmal mengangkat  kedua belah tangannya. Bibir masing-masing sudah melebar dengan senyuman.

         ‘’Bukan hujahlah! Aku cakap yang betul. Kita ni sebagai hamba selalu tersalah niat. Kita menderma, kita nak orang puji. Kita solat, kita nak orang tahu kita bersolat. Ada setengah orang baru ada ilmu sikit, dengan tok guru sendiri pun nak ajak berbahas. Adakalanya, sengaja nak menegakkan benang yang basah!’’ Saisah menambah lagi. Dia membetulkan kedudukannya. Rasa segan pula bila dikelilingi rakan-rakan dan saudara mara dalam keadaan dia seorang saja yang sedang berbaring.

         ‘’Hai,.orang sakit ni,.nanti anak kau besar mesti jadi ustaz dan ustazah, sebab ibu mereka pun dah ada aura nak jadi ustazah ni,.’’ Lyna bersuara pula sambil tersenyum. Drip air yang tergantung dibetulkan kedudukannya.Bila dah jadi doktor, prihatinnya terlebihlah pulok.

        ‘’Amin Ya Rabbal Alamin!’’ serentak Saisah dan Syahrul mengaminkan kata-kata Lyna dan mereka ketawa selepas itu, disusuli yang lain.

           ‘’Baby-baby korang dah ada nama ke?’’ Ifa tidak melepaskan peluang untuk mencelah sama. Nak tahu juga apa nama bayi-bayi kembar pasangan suami isteri ni.

           ‘’Tanya Iesya! Aik,.mana Iesya?’’ Saisah yang menjawab dan tertinjau-tinjau mencari Ariesya. Sekejap tadi ada ja Ariesya di sebelah katilnya.

          ‘’Mana ada! Dah keluar,.’’ Syahrul yang menjawab.

        ‘’Tak perasan pulak! Rafiq dengan Afiq mana? Tadi semuanya ada,.mana semua orang dah hilang?’’ resah saja suara Saisah. Syahrul mengelengkan kepalanya. Rakan-rakan mereka sudah tersenyum.

            ‘’Kau ni Saisah,.dalam keadaan kau macam ni pun masih bimbangkan anak-anak kau. Biarlah anak-anak kau, orang lain pulak yang jaga!?’’ Atie Solehah yang hanya mendengar sejak tadi turut mencelah. Terpegun dia melihat Saisah yang masih bersemangat walau baru melahirkan tiga orang kembar.

             ‘’Itulah namanya naluri seorang ibu. Kau tunggulah giliran kau nanti. Kau akan faham Atie, apa yang aku rasa sekarang,.’’ Saisah menjawab dengan tenang.

           ‘’Anak-anak ikut siapa? Rasanya ibu dengan mama pergi solat tadikan?’’ masih belum habis kerisauannya, Syahrul pula disoal.

         ‘’Bini aku bawa! Kau jangan bimbanglah,.Rafidah takkan larikan anak-anak kau tu. Kami belum habis belajar, lagi pun kami belum puas honeymoon!’’ Ajmal yang menjawab soalan Saisah sambil mengulum senyum. Dia mencapai kerusi yang ada di tepi katil dan mula duduk. Dengan kaki palsu yang digunakannya mana larat nak berdiri lama-lama.

           ‘’Amboi! Sakan betul honeymoon?!’’ Saisah membidas kembali sambil turut tersenyum.

          ‘’Soalan aku, kau belum jawab lagi!’’ Ifa kembali meminta soalannya dijawab. Saisah mengerutkan keningnya, cuba mengimbas kembali apa yang disoal Ifa.

          ‘’Dalam perancangan kami, kalau dapat semua perempuan kami akan namakan dengan nama Siti Fatimah, Siti Aishah dan Siti Khadijah. Kalau lelaki pula Ali, Omar dan Abu Bakar tapi sekarang dah ada dua perempuan dan satu lelaki. Aku rasa kena bincang sekali lagi ni,..’’ Saisah mengakhiri kata-katanya sambil memandang wajah Syahrul. Keningnya dijungkitkan sikit dan bibirnya terus mekar dengan senyuman.

           ‘’Lorhh,.aku ingatkan kau nak namakan dengan nama-nama yang canggih sikit. Nama klasik tu jugak yang korang berkenan?!’’ Ifa bersuara lagi. Saisah sudah dapat mengagak itulah respon rakan-rakannya.

           ‘’Apa ada pada nama? Niat aku memberi nama macam tu, dengan harapan, anak-anak kami akan mempunyai akhlak sebaik isteri-isteri Rasullullah, akhlak sebaik anak Rasullullah dan juga sebaik sahabat-sahabat Rasullullah. Aku tahu, semuanya bermula dari rumah. Ibu bapalah yang akan mencorakkan anak-anak ni,.’’ Semua rakan-rakannya menganggukkan kepala. Mula memahami niat Saisah dan Syahrul.

           Betullah tu! Apa ada pada nama? Tapi,.kalau namanya seindah wajah orangnya pun, akhlak kena jugak diambil kira. Amal ibadat kita pun kena juga dititik beratkan. Yang penting setiap apa yang kita lakukan niatnya mestilah kerana Allah!

           ‘’Ibuuu,.tadi Iesya pergi tengok Siti Fatimah, Siti Aishah,Ali dengan aunty Fida! Kesian kat baby, ibu,.baby kecik sangat!’’  Ariesya yang baru masuk ke dalam wad sudah melaung. Suaranya yang kecil sudah menarik semua pandangan menghala ke arahnya.

          ‘’Boleh tengok ke?’’ soalan Saisah ajukan untuk Ariesya tapi pandangannya dihalakan ke arah Ariesya dan Fida serentak.

          ‘’Alaa,.boleh tengok dari luar ja ibu!’’ Ariesya bersuara lagi.

           ‘’Nampaknya anak-anak kita dah ada nama?! Ibu dengan abah tak payah bincang lagi. Iesya dah bagi nama untuk adik-adik dia,..’’ Syahrul mencelah sambil tersenyum. Dia dan Saisah saling berpandangan dan kemudian wad persendirian itu terus meriah dengan gelak ketawa.

                 **********TAMMAT********
6 HAL JAMINAN SYURGA DARI RASULULLAH SAW

Mari kita merenungi nasihat Rasulullah,"Jaminlah untukku enam hal darimu,aku jamin syurga untukmu."

1. Benar dalam bicara.
2. Menepati janji kepada ALLAH,seperti solat,zakat,puasa dan lain-lain,serta janji pada manusia,seperti nazar,sumpah dan sebagainya.
3. Tunaikan amanah.
4. Tutup aurat dan jaga kemaluanmu.
5. Tahan matamu dari yang haram / maksiat (pornogarafi).
6. Jaga tangan,seperti memukul bukan hak,menerima atau memberi yang haram,menyentuh yang bukan mahramnya.

(HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Baihaqi).



Aamiinkan doa ini saudaraku.

Allahumma ya ALLAH tanamkan di hati kami perasaan selalu rindu kepada-Mu, ingatkanlah selalu kami tentang dahsyatnya hari akhirat-Mu agar hamba tidak tertipu dengan kesenangan dunia sesaat ini, ya ALLAH, ya Tuhan kami, Penguasa hati kami, tetapkanlah hati kami dalam taqwa dan istiqomah agar tetap dijalan-Mu sampai akhir hayat nanti... Aamiin ya Rabbal'alamin

Nota CINTA buat semua pembaca:

Semoga mini novel ini dapat memberikan ikhtibar untuk kita semua termasuk diri saya juga,.yang baik itu dari Allah! Yang khilaf itu dari sayalah hendaknya,.salam kemaafan dan selamat melakukan amalan soleh. Ingat! Niatkan hanya kerana Allah!



4 ulasan:

  1. MasyaALLAH.. bestnye citer nih.. suka sangat >.<

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nurlisa..terima kasih sudi baca dan tinggalkan komen. Semoga ada pengajaran yg boleh dijadikan ikhtibar dalam novel ni..

      Padam
  2. best sangat cerita ni.. walaupun lambat sikit tahu kewujudan novel ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mizs_Syaz..lambat tahu tak mengapa. Yg penting masih sudi untuk singgah dan baca. Terima kasih daun kari..lain kali sudilah singgah dan baca lagi😃😃..

      Padam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.