Bab 35
KENDURI kahwin betul-betul bertukar menjadi kenduri
arwah. Semua pelamin, dewan dan pakaian pengantin, kami batalkan tempahannya.
Yang tinggal cuma catering yang telah
ditempah. Kami tiada semangat untuk membuat majlis kenduri besar-besaran. Tiada
langsung kemeriahannya. Sehari selepas atuk meninggal, bapa mertua kak Ieta
yang selama ini asyik sakit datang ke rumah abah untuk berziarah. Tengoklah
perancangan Allah. Yang sihat walafiat, pergi tanpa diduga. Yang selalu sakit,
sembuh tanpa disangka. Walaupun bapa mertua
kak Ieta datang dan masih duduk di atas kerusi roda, sekurang-kurangnya
kesihatannya semakin pulih.
Keluarga encik Awal juga
berkampung di rumah kami sejak dua hari lepas. Encik Zuhaimie dan abang Amri
saja yang pulang untuk menguruskan syarikat. Encik Awal, semestinya sedang
berusaha untuk menjadi menantu yang baik. Begitu juga dengan abang Faizi. Hari
ini hari kenduri dan tunang abang Izzhar juga turut datang bersama keluarganya.
Nampaknya, kehilangan atuk digantikan dengan ramai lagi ahli keluarga yang
baru, namun arwah atuk tetap segar dalam ingatan. Tiada siapa pun yang dapat
mengantikan tempat atuk dalam hati kami.
‘’Kak Ieta, ibu suruh kak Ieta
layan keluarga mertua kak Ieta. Mereka dah sampai tu, kerja ni semua, biar Has
yang buat.’’ Bila keluarga mertua kak Ieta sudah memenuhi rumah kami, aku
mencari kak Ieta di dapur yang terlalu sibuk membantu, padahal ramai lagi
saudara mara yang boleh melakukannya. Sepatutnya, hari ini kami bergelar raja
sehari, tak perlu buat kerja. Aku pun sejak pagi hanya melayan kak Iffa, Lina
dan Umai saja. Adakalanya aku melayan dua orang anak kak Iffa berbual. Seronok
betul melayan keletah mereka berdua.
‘’Mereka dah sampai ke? Ramai
tak? Okey tak, kak Ieta pakai macam ni? Nampak selekeh sangat tak?’’
bertubi-tubi soalan yang kak Ieta ajukan. Cemas semacam saja kak Ieta, macamlah
tak biasa dengan keluarga mertuanya itu. Padahal, dia yang nikah dulu.
‘’Ermm..macam tak okey saja.’’ Aku
cuba menyakat kak Ieta sambil memandang dia atas dan bawah.
‘’Rasanya, kak Ieta kena masuk tukar baju ni.
Kena pakai baju waktu kak Ieta akad nikah dulu. Lepas tu kena bersolek sikit.
Pakai gincu yang warna terang tu, jangan lupa eyes shadow dan pipi merah.’’ Aku berkata lagi seraya mengulum
senyum. Kak Ieta menjeling geram dan berlalu pergi selepas memiat lenganku.
‘’Uih..Has report dengan abang Awal, baru tahu. Main cubit-cubit pula.’’ Aku
berpura-pura menyeringai sakit. Sambil tu, bibir terus berkata-kata.
Konon-kononnya nak mengadulah sangat.
‘’Samalah dengan orang tu, suka main
cubit-cubit. Adik beradik kembar dengan ketam batu dan sewaktu dengannya.’’ Tak
tahu dari mana encik Awal muncul, tahu-tahu sudah terpacak di belakang aku.
‘’Tu, baru kena buku dengan ruas.
Kalau abang tu tak kuat menyakat, takkan kenalah sepit ketam. Abang dari mana
ni? Nak apa, masuk dapur ni? Dah habis dah kerja di luar?’’ bagaikan berteh aku
membalas kata-katanya, disusuli oleh soalan-soalan bonus.
‘’Abang dahaga, di luar tu cuma ada
air manis dan berais saja. Tak puas minum.’’ Dia berkata sambil berjalan ke
arah meja makan. Air masak yang sudah tersedia di atas meja dicapainya. Aku
pula mengambil gelas dan menghulurkan kepadanya.
‘’Abang nak kena pulang ke KL
petang ni. Sayang nak ikut abang balik?’’ aku berjeda lama. Teringatkan majlis
tahlil yang belum habis, macam keberatan pula untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Tapi, bila ingatkan tentang kerja, aku jadi serba salah pula. Sudah seminggu
aku bercuti. Esok sepatutnya aku sudah mula bekerja, bulan depan baru kami
bercadang untuk pergi berbulan madu.
‘’Hati Has, memang berat nak balik,
kalau boleh nak berlama sikit di sini. Tapi, nanti apa pula kata encik Amran
dan Puan Salina. Sepatutnya, hari ini last
orang cuti. Macam mana pendapat abang? Kalau abang suruh balik, orang ikut
saja.’’ Aku meluahkan isi hatiku. Giliran encik Awal pula berjeda lama. Selepas
beberapa saat baru dia bersuara.
‘’Isteri haruslah sentiasa di sisi
suami. Abang nak sayang ikut abang balik. Satu lagi, tak payah nak orang-orang
dengan abang. Dengan orang lain boleh pula sayang sebut nama sayang, dengan
abang pula, masih jadi orang lagi ni, kenapa?’’ aku sudah tersenyum lebar
mendengar rungutan encik Awal. Orang lain panggil aku nama, sedangkan dia
panggil aku sayang. Takkan aku nak bahasakan diri aku sayang pula? Tetiba rasa
meremang bulu tengkuk. Boleh muntah hijau abang Izzhar dan kak Ieta, kalau
mereka dengar.
‘’Okey, Has boleh? Kalau nak sebut
sayang, macam romantik sangat. Has cuma nak abang romantik dengan Has, tapi Has
tak pandai nak romantik-romantik ni. Alergik.’’ Ungkapan kata-kataku yang
disusuli ketawa kecil. Encik Awal mengerut kening dan beberapa saat kemudian
dia mengangguk perlahan.
‘’Lebih baik Has, daripada orang.
Tapi, sesekali abang teringin juga nak sayang jadi romantik. Hanya untuk abang
sorang!’’ keluar sudah ayat-ayat penyata itu. Aku tak berani nak mengangguk dan
tidak juga mengeleng.
‘’Beri Has masa. Pukul berapa abang
nak bertolak balik KL?’’ aku tak berani
nak berjanji. Aku menukar topik kami dan wajah encik Awal aku renung tak
berkelip. Mata kami bertemu.
‘’Hoii..orang lain sibuk tolong buat
kerja. Mereka main mata pula di dapur ni. Awal..jom, kita ke rumah Pak Ngah
sekejap. Abah suruh pergi ambil kawah. Nasi dah nak habis, abah takut tak
cukup.’’ Abang Izzhar menyergah kami yang baru nak bermain mata. Ishh..kacau
daun betul. Tahulah, tunang dia tu ustazah pun. Sejak datang tadi, aku tak
sempat nak tengok pun macam mana wajah tunang abang Izzhar. Bertutup dari atas
sampai ke bawah. Nampak mata saja, itupun dia pakai cermin mata.
‘’Ramaikan yang datang abang Izz,
ramai juga saudara mara kita yang Has tak kenal. Abang Izz kenal semua tak?’’
aku cuba mengalihkan topik lagi sebab terkantoi dengan abang Izzhar tadi. Sejak
bila dia masuk dan memerhatikan gelagat kami.
‘’Memang ramai, sebab saudara mara
yang datang untuk melihat atuk ramai yang tak balik. Alang-alang mereka dah
datang, jadi abah jemput semuanya datang hari ini. Kebanyakan mereka tidur di
rumah Pak Ngah dan saudara mara kita yang ramai di kampung ni. Has macamlah tak
tahu, kebanyakan adik beradik kita berkahwin sesama sepupu.’’
Abang Izzhar tetap menjawab
soalanku sebelum bergegas mengajak encik Awal menemaninya untuk pergi ke rumah
Pak Ngah. Encik Awal pun, macam dah rapat sangat dengan abang Izzhar. Mereka
dah macam belangkas. Ke mana saja, mereka akan pergi berdua. Abang Faizi pula
sejak datang ke sini, dia begitu sibuk melayan saudara maranya saja. Hari-hari
saudara maranya bertandang. Abah dan ibu pun tak pernah kisah. Siapa saja yang
bertandang, tetap dilayan sama rata.